TIDAK dapat tidak, Buya perlu masuk pejabat hari ini dan saat
ini, Sera ambik kesempatan balik ke rumah mak su dengan izin Buya yang
pastinya. Inipun Razman yang
hantarkan. Buya tak nak dia penat atau
tak nak dia susahkan Riz atau Naz datang jemput. Jauh sekali nak dia guna Grabcar atau apa
saja pengangkutan awam lain.
Sebaik saja dia tiba, Riz, Naz dan Uncle Malik dah ada
menanti. Sera duduk di sisi mak su. Tangan tua itu dipegang kemas bersama ulas
senyum yang nampak sedikit tawar. Dia
tahu semua orang dah tahu. Tiada apa
lagi yang dia mahu sorok atau ceritakan.
Berkali-kali dia buka cerita pun, segalanya tetap sama. Tiada apa yang berubah tapi dia yakin sesuatu…
dia akan mampu ubah sesetengah perkara agar kerosakan itu masih dapat dibaiki
biarpun mungkin tak sama seperti sedia kala.
“Lama dah Uncle Malik sampai?”
“Baru aje. Air pun
baru minum seteguk,” seloroh Uncle Malik.
“Korang berdua EL ke apa?”
Riz geleng perlahan. “Aku
cabut kejap aje. Nak jumpa kau. Nak pastikan kau okey…”
“Aku pun sama. Ini dah
tengok kau, aku nak balik ofis dah kejap lagi…”
Naz pula menyambung.
“Kau okey, Sera?”
Soalan Riz berbaur resah.
“Aku okey. Aku pegang
nasihat kau,” balas Sera dengan suara
dan riak wajah yang meyakinkan.
Riz hela nafas lega.
Dia pandang Naz. “Kita dah tengok
Sera okey, jom kita gerak. Aku drop kau
dekat ofis kau…” ajak Riz.
Naz pandang Sera. Ya,
dia tahu mereka perlu berlalu memberi ruang Sera menyelesaikan apa yang
perlu. Dia tahu bila sebaik tiba tadi,
Uncle Malik juga ada sama. Dah tentu
tentang harta peninggalkan Dato Bakri.
“Nanti aku call…” Naz
tinggalkan pesan sebelum menghilang bersama-sama Riz.
“Ini yang Sera mintak tolong tu?” Uncle Malik menarik kertas putih daripada
sampul surat. Diletakkan depan
Sera.
“Tapi, betul ke Sera nak bagi semua ni pada Buya dan Balqish?” Dia bukan apa… argh sudah… kepalanya sendiri
buntu.
“Saya tekad, uncle.
Dah sampai masanya. Tanpa apa-apa
syarat. Kalau sebelum ni banyak sangat
syarat sampaikan semua benda tergantung dan terkait. Sekarang, semua dah tahu apa yang dah jadi
antara orang tua kami, saya dengan mak su dah lama maafkan semua orang. Harta ni tak bagi apa-apa makna pada
kami. Patut hal ni dah selesai lama tapi
silap saya sebab bagi banyak syarat sampaikan ini tertangguh dan menyusahkan
ramai orang. Uncle lebih-lebih lagi…”
“Tak, Sera. Dah tugas
uncle. Sera jangan cakap gitu…” Jujurnya, dia juga bersyukur sangat bila Sera
benar-benar dah nampak bahagia di samping Buya.
Sepertinya, segala beban amanat yang dia galas selama ini
terlepas. Cuma tak sangka, masalah lain pulak yang timbul.
“Apapun, terima kasih sebab dah bantu saya selama ni…” Sera tarik pen daripada beg tangannya dan
terus dia turunkan tandatangan.
Tak tersisa biar satu sen pun untuknya. Dia tak perlukan semua ini. Semua ini hanya menjadi beban dalam hatinya
nanti. Dia pandang mak su dan mata
wanita itu nampak sedih namun mak su mengerti dengan keputusannya. Mereka hanya mahukan ketenangan dan duit
ringgit ini tak mampu beli semua itu malah menambahkan beban pula.
“Kalau betul ini keputusan Sera, uncle akan uruskan…”
“Secepat yang boleh, uncle…”
“Insyaallah, Sera…”
“Uncle lega bila nampak Sera dengan Buya bahagia…”
“Oh… tentang tu patut saya dengan dia dah lama bahagia. Saya mengaku silap saya layan sangat hati
merajuk. Tak sedar, cepatnya masa
berlalu dan masa bahagia untuk kami berdua makin singkat…”
“Makin singkat?” Dahi
Uncle Malik berkerut. Tak tahu kenapa, Uncle Malik dapat rasakan sesuatu yang
sedang dirancang oleh Sera. Tapi, tak
mungkinlah… gamaknya ini hanya fikiran buruk dia saja.
“Iyalah. Dengan apa
yang jadi. Otak saya sendiri pun tak
boleh nak jana. Tapi, boleh saya tanya
uncle satu benda?”
“Tentang Balqish?”
duga Uncle Malik.
Sera senyum.
“Buya mesti tersangat sayang dekat Balqish, kan?”
Seketika, Uncle Malik diam.
Kemudian mengangguk perlahan.
“Sejak dulu, Buya sangat sayangkan Balqish. Apa saja untuk Balqish. Balqish kena bahagia. Boleh jadi, umur dorang tu agak jauh beza,
jadi memang Buya layan Balqish macam puteri.
Dia manjakan Balqish. Sejak dulu,
tiada siapa boleh marah Balqish. Arwah
orang tuanya pun tak boleh marah Balqish…”
Barulah Sera mengerti, betapa pentingnya Balqish pada
Buya. Malah, dia juga dah tahu kenapa
Buya tak pernah tinggikan suara pada Balqish biar apa saja terjadi. Malah malam tu juga, Buya nampak begitu
bersalah kerana meninggikan suara pada Balqish.
“Saya tahu dia tak akan bahagia tanpa Balqish, kan?”
Dengan berat hati, Uncle Malik mengangguk.
“Kenal dua beradik tu, diorang sangat rapat. Sebab tu, masa mula-mula dia tahu sebahagian
besar harta Dato Bakri tinggal pada Sera dan sikit pada dia dan Balqish, Buya
nak bagi semuanya pada Balqish. Dia tak
nak adiknya susah. Dia susah tak
apa. Dia selalu janji dengan Balqish
yang dia akan ada dengan Balqish dalam apa saja keadaan dan berjanji akan
sayang Balqish seorang aje. Tapi, dia
maksudkan sebagai seorang abang dan adik.
Tak lebih daripada tu. Cumanya, uncle
sendiri tak sangka yang Balqish memang simpan perasaan pada Buya. Uncle yakin Buya sendiri terkejut…”
“Ya…” Sera
angguk. Memang Buya sendiri terkejut
malah dia berkali ganda terkejut demi mengetahui hakikat hubungan dua beradik
itu.
“Tapi sekarang, uncle yakin Buya akan bahagia dengan
Sera. Tentang hubungan dia dan Balqish,
biarlah masa merawatnya. Manusia ni, ada
masanya tak boleh nak tamak sangat. Ada
masa, nak genggam dua benda dengan dua belah tangan, tak kuat mana. Jadinya perlukan dua belah tangan untuk
genggam satu-satunya. Jadi, yang satu
lagi perlu dilepaskan.” Nasihat itu,
Uncle Malik tujukan buat Sera sebenarnya bila Sera nampak sedikit goyah
kini.
Dia pandang Sera yang sedang tunduk sejak tadi. Kemudian pada Saira yang sejak tadi diam tak
berkata apa. Faktor usia gamaknya. Lidah dan sikap Saira sudah begitu
pasif.
“Uncle rasa, kami akan bahagia tanpa Balqish?”
Kali ini, agak lama Uncle Malik menyepi. Dia akhirnya senyum.
“Buya akan belajar terima hakikat tu…”
Jawapan Uncle Malik sangat tak meyakinkan hati Sera. Sepertinya, dialah petualang dalam hubungan
dan dalam rumah itu. Andai tidak kerana
dia, dah tentu segalanya berjalan lancar seperti biasa.
Sera senyum. “Uncle
tolong uruskan ya. Saya dah serah
segalanya. Saya tak terkait lagi dalam
hal arwah Dato Bakri…” Dia sengaja
menukar hala tuju perbualan.
“Insyaallah…” janji
Bakri dalam senyuman tawar.
DIA akhirnya tiba tepat pada masa yang dijanjikan. Balqish sedang menanti di depan
kedainya. Nampak lesu dan tak bermaya
tapi pandangan itu masih tajam dan penuh kebencian. Rasanya, Balqish terpaksa temuinya dengan
permintaan yang dia tahu dia tak akan mampu tunaikan.
“Duduklah…” pelawa Sera.
Dia pandang kedai bunga yang hampir kosong. Semua stok dia dah hantar pada Auntie
Jane. Hanya ada sedikit bunga lily yang
nampak sedikit layu biarpun dalam tempat sejuk.
Gamaknya, lily itu juga sepertinya. Biarpun didakap dengan kasih sayang Buya,
perasaan dan harapannya layu.
“Kau tak cakap dekat abang, kan?” soal Balqish memulakan bicara.
Sera angguk dalam senyuman.
Dia nak cakap tapi seluruh hatinya menahan bila mendengar bicara antara
Buya dan Zul. Malah, keputusannya itu
dirasakan tepat bila mendengar cerita daripada Uncle Malik pagi tadi.
“Balqish sihat?” Sera
tetap mesra. Seperti Sera sedia
ada.
Balqish tak beri jawapan.
“Buya risau dekat Qish.
Semua orang risau. Saya pun risau…”
“Perlu ke kau risau?” Kala
ini, barulah Balqish sunggingkan senyuman sinis.
“Kalau Qish rasa tak perlu, tak apa. Tapi, orang lain betul-betul risaukan
Qish. Qish off handphone, Buya dah macam
kucing jatuh anak…”
“Kenapa nak risau macam tu sekali? Dia dah ada kau…” Suara Balqish kasar.
Sera lepaskan nafas pendek.
Sehari dua ni, nafas dia semput betul.
Berjalan sikit mengah. Makan
lebih sikit, mulalah sengkak.
“Saya dengan Qish berbeza…”
“Apa yang beza? Cuba
kau cakap? Sedangkan aku jugak perempuan
yang boleh bagi apa yang kau bagi pada dia…”
Sera beristighfar dalam hati.
Dia faham apa yang Balqish maksudkan.
Ya, Balqish juga perempuan yang normal malah lebih cantik dan indah
daripadanya. Boleh jadi Balqish boleh
bagi lebih lagi.
“Dia sayangkan Balqish sangat…”
“Kalau sayang, dia tak akan buat aku macam ni…” Nada Balqish mula keras.
Sera raup wajah. Tak
putus-putus menyebut nama Tuhan.
“Balqish tak faham sesuatu…”
“Tak… aku faham segalanya.
Daddy yang paksa abang kahwin dengan kau dan abang kahwin dengan kau
sebab nak dapatkan balik harta tu. Itu
yang abang cakap dekat aku tapi kenapa dia berubah tiba-tiba? Aku tak faham dan aku sendiri tak faham,
sedangkan kau dah dapat segalanya daripada daddy, kenapa kau mesti nak
abang? Dialah satu-satunya yang aku
ada? Tak boleh ke kalau kau tak tamak, Sera? Tak boleh ke kau korbankan salah satu? Aku tak nak harta tu pun sebenarnya. Harta aku sebenarnya hanya abang seorang…” ujar Balqish dalam nada merayu.
“Aku pujuk hati aku untuk jumpa kau. Bukan abang.
Sebab aku masih percaya yang kau adalah seorang yang baik dan bukan
seorang yang tamak seperti yang daddy katakan.
Sebab tu aku merayu kau, Sera… kau ambiklah segala harta tu. Kau bahagiakan dengan harta tu semua. Aku sanggup keluar daripada rumah tu dan aku
akan bagi semua bahagian aku pada kau.
Aku cuma perlukan abang…” Kala
ini, airmata Balqish mula merembes.
Hati Sera terbersit.
Dahinya berkerut. Rasa kesal dan
simpati kian menghempap diri. Tapi, Balqish
salah faham. Dia juga tak mahukan semua
tu. Dia hanya ada Buya. Tapi, dia telah katakan pada lelaki itu,
Balqish tak sepertinya yang masih ada mak su.
“Kalau Buya tu sejenis barang, dah lama saya bagi pada awak
Balqish. Tak perlu awak minta. Tapi, dia manusia…” pujuk Sera perlahan.
“Ya, kalau dia barang… aku dah lama rampas dia, Sera. Tapi, sebab dia manusia baru aku merayu pada
kau…” luah Balqish perlahan bersulam
esakan halus.
Tuhan… entah kenapa Sera nampak Balqish lebih mencintai Buya
daripada dia mencintai suami sendiri. Tarian
dia dan Buya kian pincang dan hampir tergelincir bahana air mata Balqish yang
kian lebat menitis di atas altar tarian bahagia mereka.
Bagaimana mereka bisa bertahan?
Lama kelamaan, mereka berdua akan jatuh tersungkur dengan
kesakitan yang bukan sedikit.
“Tak boleh ke Balqish hanya sayang dia sebagai abang dan
terima saya sebagai seorang kakak?” Sera
masih cuba memujuk.
“Aku tanya kau… macam mana kau boleh tukar perasaan kau dalam
sekelip mata? Kau yang baru sekejap
bersama dia sedangkan aku seumur hidup…”
Sera terdiam bila Balqish menyelar. Ya, yang hidup subur itu tak akan mudah
dicantas. Biarpun dicantas, ia tetap
akan bertunas.
“Balqish yakin ke Buya akan bahagia?”
“Selama ini dia bahagia.
Dia lakukan segalanya untuk aku.
Andai dia tak terima aku lebih daripada seorang adik pun, aku tetap tak
boleh nak tengok dia dengan perempuan lain, Sera. Selama aku hidup, aku sentiasa sedar yang aku
ini yatim piatu yang tak pernah kenal mak ayah sendiri. Aku tak pernah minta lebih sebab aku tahu
abang begitu hargai aku. Tapi, sekali
ini aje aku nak minta… kau pulangkan abang pada aku…”
Kali ini, luahan Balqish sudah tenggelam timbul digasak
esakan. Sera yang melihat pun turut sama
menitiskan airmata. Dia buntu. Dia mahu memujuk tapi dia tahu pujukkan tak
akan tukar kehendak Balqish dan tak dapat pulihkan keadaan.
Apatah lagi bila terkenangkan kata-kata Zul dan Uncle Malik
tentang hubungan dua beradik ini.
Tak, Riz… Sera menafi. Aku tak pernah mampu berdiri atas derita orang
demi bahagia aku. Jauh sekali untuk aku
menapak dan menari.
Sera tarik kerusi dan berdiri sangat rapat dengan
Balqish. Dia capai tangan Balqish dan
sebelah lagi menyentuh pipi mulus itu. Dia nampak keikhlasan dalam setiap bicara
Balqish. Dia tahu Balqish begitu
sayangkan Buya dan antara mereka perlu mengalah untuk kebaikan bersama. Daripada tiga hati terbelah, lebih baik hanya
satu hati saja.
“Dahlah… jangan nangis.
Saya faham dan jangan risau.
Sebelum kita jumpa ni pun, saya dah buat keputusan. Sebab saya sangat sayangkan Buya, saya nak
dia bahagia dan saya juga tahu, Balqish lagilah sayangkan dia. Berbelas tahun hidup bersama, saya tak boleh
salahkan Balqish bila Balqish ada perasaan tu dan saya juga tahu, Buya tak
pernah tenang bila Balqish pergi. Sejak
kali pertama dulu. Masa tu, saya patut
dah sedar tapi saya mati-mati ingatkan Balqish nak balik harta peninggalan
tu. Saya silap fikir Balqish macam
tu. Sekarang ni, saya cuma nak satu
daripada Balqish…” Sera senyum.
Tangannya turun mengusap bahu Balqish.
“Balik rumah. Kita tak
akan buat orang yang kita sayang risau.
Balqish balik dulu. Jangan fikir
sangat. Semuanya akan jadi baik. Saya janji…”
Sera kerdipkan mata sekali.
Dahi Balqish berkerut lebat.
Mencari kesahihan dalam setiap kata-kata Sera.
Aduiiii.. ..Pasaipa mcm sera Ni bg hrpn dia nk beralah dgn keadaan cmni...
ReplyDeleteBenci ..meluat aku dgn si balqis..spesis paku pakis sungguh
ReplyDeleteNi bukan jalan peyelesaian sera...geramnya dengan perangai si balqis ni...
ReplyDeleteomaiiiiiiiiiii...plss buya buatlah pilihan yg tepat..ðŸ˜ðŸ˜
ReplyDeletePlease buya for once ckear the air and
ReplyDeleteBe a man
berkorban demi orang tercinta....begitukah sera nur?
ReplyDeleteRasanya balqish ni bkn cinta dh tp obses..
ReplyDeleteTolong la sera jgn beralah
itulah cinta yg meraja dihati.. takkan nampak kasih sayang org lain... kesian tapi marah pd kau balqish... simpati dan lelah pada kau sera...
ReplyDeleteishhh sera nk mengalah lagi...
ReplyDelete