Monday, November 27, 2023

DINGIN 10

MARAH sedang meluap-luap, membakar hati. Tangannya menggigil. Urat sarafnya bagai nak pecah. Amirul tak turun ke bawah. Sebaliknya, kembali ke pejabatnya. Duduk tanpa berkutik sepatah pun.

Danial memerhati. Jelas ada yang tak kena. Pasti ada sesuatu yang pernah terjadi antara dua manusia ini. Perasaan ingin tahu itu kuat, namun dia tak berdaya untuk ajukan soalan. Silap hari bulan, dia pula menjadi mangsa keadaan. Yang mampu dilakukan saat ini, hanyalah berdiri kaku. Menanti penuh debar akan kata-kata yang bakal terluncur daripada mulut Amirul.

Kertas yang direnyuk oleh Amirul tadi, ditenung. Membaca setiap maklumat diri Mukminin. Wanita itu punya masa depan yang baik dengan kelulusan dan kebolehan yang ada. Dengan tawaran yang diberikan, masa depan Mukminin akan cerah dan tak mustahil akan menjadi orang kanan Amirul satu hari nanti. Amirul yang dia kenal sangat suka pada sesiapa sahaja yang berkebolehan.

Sepertinya telah menjadi hobi lelaki itu. Amirul akan merekrut sesiapa yang berbakat untuk ada di bawah sayapnya. Seperti mana Kak Diana dan dirinya sendiri. Paling penting juga, mereka perlu setia. Kesetiaan yang sangat didambakan sepertinya lelaki ini pernah dikhianati dengan begitu kejam sebelum ini.

Nama Mukminin muncul dalam kepala.

Apakah benar seperti yang dia telah sekarang? Apakah yang mengkhianati itu adalah Mukminin? Kerana, sejak dia kenal Amirul, malah Kak Diana sering kali tegaskan yang Amirul tidak pernah rapat dengan mana-mana wanita jika bukan kerana urusan kerja. Jauh sekali untuk ada teman wanita.

Amirul adalah seorang lelaki yang tak boleh diteka riak wajahnya.

“Itu alamat rumah dia sewa ke?”

“Ya, bos. Memang rumah sewa,” balas Danial dengan yakin biarpun tiba-tiba sahaja soalan itu diajukan padanya.

Pastilah rumah sewa kerana Mukminin bukan berasal dari sini. Bibir Amirul herot dengan senyuman senget. Sebaik sahaja mendengar cerita Kak Diana, dia membawa kakinya berlari laju menuruni anak tangga. Tapi, belum sampai separuh, langkahnya mati.

Dengan nafas mengah, dia berdiri kaku di situ. Memandang kosong. Tertanya sendiri… apakah yang sedang dilakukan? Kenapa dia perlu sekali lagi menjadi bodoh kerana wanita yang kejam sedemikian rupa? Sementelah, masa masih panjang. Mereka masih punya banyak masa bersama.

Dia tak tahu apakah Mukminin lupa akan pesanannya? Dia tidak pasti. Satu yang pasti, wanita itu telah muncul di depannya biarpun ditegah.

Tidak sengaja? Itu bukan alasan yang akan dia terima.

Amirul koyak senyum pada hujung bibirnya. Tipis tapi cukup tajam. Nampaknya takdir juga sedang menolak dirinya untuk menuntut segala hutang yang telah sekian lama itu.

“Pastikan kau dapat jejak dia.  Aku tahu dia akan keluar daripada rumah tu seberapa segera,”

Mengenali Mukminin, dia tak boleh jangka apakah tindakan selanjutnya.

Jika dengan tawaran demikian, Mukminin sanggup berhenti kerja, apatah lagi dengan tempat tinggal. Orang seperti Mukminin tak akan berfikir dua kali untuk buat keputusan.

Senyuman tajam tersungging pada hujung bibirnya. Tak sedar, air mata mengalir daripada mata yang merah bahana rasa marah yang tak dapat didakap kemas.


....


PRA TEMPAH SEKARANG DENGAN HARGA MENARIK



No comments:

Post a Comment