Monday, November 27, 2023

DINGIN 4

MUKMININ tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja bila Puan Diana sampaikan berita gembira itu padanya. Hampir seminggu dia bersengkang mata. Menyemak dan meneliti semua data budget syarikat bagi tahun-tahun yang lepas. Dibandingkan dengan keperluan pada tahun ini dan tahun hadapan bagi mendapatkan budget yang sesuai. Agar tidak berlaku pembaziran dan terlebih penggunaan.

“Saya sign surat tawaran hari ini, kira esok saya datang kerja sebagai pekerja tetaplah, ya?” soalnya, mencari kepastian. Kerana dia masih tak percaya dengan apa yang sampai ke pendengarannya.

Semua bagai mimpi. Yang terlalu indah untuk diharapkan menjadi nyata.

“Ya, betul. Kiranya, awak dah tak perlu patah balik ke cawangan. Awak akan terus kerja dekat sini. Atau awak sebenarnya nak patah balik ke sana?” Sengaja Diana mengusik Mukminin.

“Saya ni, kat mana-mana pun saya okey. Saya tak memilih.” Itulah kebenarannya.

Memikirkan diri yang agak susah mendapatkan pekerjaan yang sesuai sebaik sahaja menamatkan pengajian, dia akan terus berikan yang terbaik. Ini adalah rezeki untuknya. Daripada punca yang tidak disangka-sangka. Di usia tiga puluh tahun ini, dia perlukan kerja yang stabil.

“Terima kasih, Puan Diana. Saya janji untuk terus berikan khidmat yang terbaik. Saya harap puan sudi beri tunjuk ajar,” ucapnya, dengan suara yang sedikit serak. Serasa mahu menangis dengan khabar yang Puan Diana bawakan.

“Asalkan awak pegang janji awak dan sudi terima teguran, saya akan ajar awak semua benda.” Diana senyum tapi sedikit hambar. Rasa bersalah juga kerana membiarkan Mukminin siapkan kerja yang ditugaskan kepada Syira dan hampir sahaja dijadikan kambing hitam.

“Sekarang ni, awak siapkan dulu laporan penuh untuk budget tu. Bos nak petang ni. Saya rasa lepas rehat tengah hari ni, offer letter awak siaplah. Nanti saya temankan awak pergi jumpa bos. Masa mesyuarat tadi, dia memang dah cakap nak awak sign surat tawaran sebagai pekerja tetap syarikat hari ini juga…” Diana koyak senyum. Lebar dan nampak lega.

Kesilapan yang Syira lakukan adalah kesilapan yang terbaik setakat ini kerana semuanya berpihak pada Mukminin dengan tak disangka. Cuma dia tak akan biarkan Syira mengambil mudah tentang setiap tugas yang diberikan.

“Tahniah, ya,” ucapnya.

“Terima kasih, puan,” balas Mukminin. Dia sepertinya masih tidak dapat percaya dengan berita yang Puan Diana khabarkan.

Duduk dilabuhkan. Seketika, dia termenung dengan senyuman lebar. Setelah banyak kesusahan yang dilalui sejak zaman kanak-kanak, kini segalanya telah dipermudahkan dan dia harap laluan hidupnya yang seterusnya tidaklah terlalu sukar. Paling penting, dia harap dia akan terus kuat.

Tidak mahu membuang masa dengan angan yang telah menjadi nyata itu, Mukminin terus menyiapkan laporan penuh seperti yang Puan Diana mahukan. Peluang telah terbuka. Dia tak akan mensia-siakan sedikit pun. Dan, dia sudah tidak sabar nak kongsikan berita ini dengan mak. Mak pasti akan jadi orang yang paling gembira.

Dan si comel itu? Arghh… memikirkan wajah comel Muna membuatkan hatinya terus teruja. Muna akan dapat jalani pembedahan tak lama lagi setelah simpanan mencukupi. Dia sudah tak sanggup melihat si kecil itu terus menderita.

“Sukalah kau…”

“Hah?” Mukminin mendongak. Memandang tepat pada wajah sinis Syira. Dia langsung tak faham maksud ayat yang Syira tuturkan.

“Sukalah kau tak perlu nak susah payah. Tiga bulan probation dah dapat tetap. Orang lain, ada tu sampai kena tambah tempoh percubaan. Barulah diserap jadi tetap. Padahal, orang lain pun bagus je buat kerja. Bukan kau sorang. Baru satu tu je bos tengok hasil kerja bagus kau, terus diserap tetap. Atau kau sebenarnya ni, dah ada tempoh percubaan lain.”

Mendengarkan kata-kata Syira, Mukminin dapat rasa sekujur tubuhnya menggigil. Dia tidaklah bodoh untuk mentafsirkan makna di sebalik bicara Syira. Dia bukanlah jenis wanita yang menggadai tubuh dan harga diri demi sesuatu. Dia adalah yang jenis berusaha sehabis-daya. Malah, lebih daripada dirinya terdaya.

Tapi, untuk menafikan pada orang seperti Syira, rasanya tidak perlu. Terserahlah kepada wanita ini untuk terus menghakimi. Mukminin koyak senyum. Kerana dia tahu, bukan sedikit usaha yang dia laburkan.

“Saya anggap ini rezeki saya, Cik Syira,” balas Mukminin lembut. Tidak mahu mencipta permusuhan.

Dia tahu, sejak awal wanita ini tidak suka padanya dan kejadian ini nampaknya telah menjadikan dia musuh Syira tanpa dia pinta dan juga dikenali semua.

“Nampaknya kau faham apa yang aku nak sampaikan…” Syira senyum sinis.

“Dan, kau tak nafi. Jangan-jangan…”

“Apa yang awak nak sampaikan tu sebenarnya, Syira? Saya tak faham. Boleh awak jelaskan…”

Belum sempat Syira habiskan ayat, Diana terlebih dahulu mencelah. Sejak tadi dia hanya memerhati. Ingatkan Syira sekadar nak mengucapkan tahniah. Siapa sangka, pembantunya itu hadir untuk mengherdik.

“Puan… saya…”

“Saya apa?” Diana peluk tubuh. Merenung tajam pada Syira.

“Saya ni masih banyak kerja yang bos nak segera.” Melihatkan Syira yang sepertinya tak bersuara, Diana terus menyambung.

“Saya tak sempat lagi nak panggil awak dan tanya kenapa awak suruh Mukminin yang buat kerja awak. Patutnya draf belanjawan syarikat tu awak buat. Saya arahkan awak buat. Tapi, sebab bos nak segera, saya tak sempat nak fikir kenapa awak suruh pekerja baharu yang masih dalam tempoh percubaan yang tak pernah buat budget pun. Sekarang, awak nak persoalkan kerja dia pula? Padahal dia dah buat kerja dengan baik.”  Sengaja Diana buat wajah kelat pada Syira.

“Atau perlu ke saya cakap dekat bos, saya suruh awak buat sebenarnya. Tapi, awak tolak pada orang lain. Jadi pekerja yang tidak bertanggungjawab? Macam tu ke?” selar Diana.

Dia dah perasan dengan perubahan sikap Syira. Jika dulu, Syira sangat rajin. Dia tak lepas memuji Syira di depan Amirul. Tapi, sekarang… lebih banyak mengelat. Sekarang, bila hasil kerja pekerja baharu mendapat pujian, pandai pula nak melenting?

Haih… ikutkan hati yang panas ni, memang dia buat aduan pada majikan. Tak dapat dia bayangkan jika benar Amirul menolak laporan itu dan Mukminin menjadi mangsa kerana dia tahu, Amirul tidak akan memecatnya. Tidak juga Syira.

“Saya minta maaf, puan. Tentang tu, saya memang ada kerja lain. Tak sempat nak siapkan…”

“Okey. Saya akan dengar alasan awak lepas ni. Saya harap benda ni tak berulang lagi. Kalau awak tak sempat buat, awak boleh datang terus jumpa saya. Saya tak kejam untuk paksa awak buat kalau awak sendiri banyak kerja. Satu lagi…”

Diana kerling Mukminin yang menunduk. Langsung tidak memandangnya. Jauh sekali untuk membela diri.

“Saya harap awak jangan kacau Mukminin lagi. Dia tengah sibuk. Seperti yang dia cakap, dah itu rezeki dia. Awak buat kerja awak, biar dia buat kerja dia. Siapa pun, kalau buat masalah… saya tak akan lepaskan. Ini amaran akhir!” tegas Diana lantas berlalu ke biliknya.

Dada Mukminin terasa sendat. Sedangkan setiap hari dia berdoa moga dijauhkan semua masalah. Lebih-lebih lagi masalah dengan manusia. Dalam diam, dia berterima kasih pada Puan Diana namun dia juga tahu, dia akan terus menjadi mangsa kebencian manusia. Padahal, itulah perkara yang sentiasa dielakkan.


...

PRA-TEMPAH SEKARANG DENGAN HARGA MENARIK



No comments:

Post a Comment