Monday, November 27, 2023

DINGIN 5

 


YANG
berlaku, biarlah berlaku. Tiada apa lagi yang dapat dilakukan selain terima sahaja kesannya. Jika ketenangan hari-hari di tempat kerja adalah perkara yang perlu dikorbankan demi jawatan tetap ini, dia tiada pilihan. Dia masih banyak tanggungjawab yang mahu dilunaskan dan dia tidak akan terus bertelingkah dengan diri sendiri tentang apa yang telah terjadi. Semuanya tak akan ke mana. Malah, akan memberi kesan mudarat pada diri sendiri.

Mukminin senyum sendiri. Apa sahaja, dia akan terus dengan pendiriannya. Dia akan mengabaikan apa yang bukan urusannya. Dia akan menjalankan tugas dengan baik. Akan membantu jika diminta. Akan menyepi jika tidak dipandang. Semuanya akan pulih seperti sediakala.

“Terima kasih, Puan Diana,” ucapnya.

Walau pada awalnya dia tidak senang dan lebih rela jika tiada siapa yang membelanya. Tapi, Puan Diana membantu menghentikan herdikan dan menghargai hasil kerjanya. Dia perlu berterima kasih untuk itu.

“Sebab tadi tu ke?” yang dimaksudkan adalah tentang Syira yang mengherdik Mukminin.

“Salah satunya.” Mukminin senyum tipis.

“Paling penting, terima kasih sebab pandang hasil kerja saya.”

Diana balas senyuman Mukminin. Jujurnya, dia sendiri tidak tahu sejauh mana hasil kerja Mukminin hinggalah Amirul bersuara.

“Bukan saya yang perasan. Bos yang perasan dulu. Masa kami masuk bilik mesyuarat, dia dah ada. Saya rasa sejak awal dia memang dah tengok. Sebab tu, dia terus tanya saya siapa buat. Mulanya, saya takut dia tak setuju macam sebelum ni. Tapi, kami semua terkejut bila ini pertama kali dia setuju tanpa apa-apa pindaan.  Bekerja dengan dia sejak awal, rasanya ini kali pertama dia tak banyak bantah,” jelas Diana, dengan rasa bangga.

“Kalau tak, memang berkali-kali kena buat benda sama. Selalu sangat dia tak puas hati. Bekerja dengan dia, macam jalan atas tasik yang beku. Perlahan je. Takut ais tu pecah.  Sejuk jangan cakaplah,” cerita Diana.

Itulah sikap Amirul yang dia kenal. Malah, majikannya itu tak banyak cakap tentang perkara selain kerja. Waima dengan dia sendiri. Dengan staf lain apatah lagi.

Diana dapat lihat Mukminin telan liur dan anak mata itu sedikit tenggelam mendengarkan ceritanya. Lantas, Diana ketawa kecil.

“Jangan takutlah. Selama mana awak buat kerja awak, tak betul tak apa. Nanti boleh tanya saya. Jangan mengelat sudah.” Bahu Mukminin ditepuk perlahan. Barulah nampak Mukminin dapat bernafas dengan lancar.

“Nak kira, saya yang patut berterima kasih pada awak, Mukminin,” jawab Diana.

“Sama-sama, puan. Saya janji akan terus bekerja dengan rajin dan berikan yang terbaik.”

“Ya, saya tahu. Sejak awal awak memang dah buktikan. Saya pun sama macam bos. Saya tak nak kehilangan pekerja yang cekap dan bagus macam awak,” Diana kenyit mata.

Mukminin koyak senyum. Dia tarik nafas dalam bila akhirnya pintu lif ternganga di tingkat dua puluh.

“Awak dah sedia nak jumpa, bos?”

“Dah, puan.” Sekali lagi wajah Mukminin nampak resah.

Diana mengerti. Boleh jadi kerana khabar angin yang sentiasa bertiup kencang tentang sikap buruk Amirul. Padanya pula, tidaklah teruk mana. Masih boleh diajak berbincang.

“Apa aje khabar angin yang awak dengar tu, boleh jadi betul. Boleh jadi juga tak betul. Awak nilai sendiri nanti. Cuma, kalau awak takut… awak tunduk ajelah. Jangan pandang dia. Tapi, percayalah cakap saya. Dia akan hargai awak. Dia tak mudah nak tunjuk dia hargai orang secara terbuka kalau dia tak maksudkan. Awak adalah satu-satunya yang dia beri penghargaan tu. Awak kena bangga dan rasanya… kontrak awak tu nyatakan awak terima gaji dua kali ganda daripada yang sekarang.” Diana sengaja mengolengkan mata ke atas. Mengetuk telunjuk di dagu.  Buat-buat berfikir.

“Betul ke, puan?” suara Mukminin teruja. Hilang terus riak resahnya.

Diana memandang Mukminin dan mengangguk. Dia dapat lihat wajah keruh tadi sudah berubah jernih. Dan, Mukminin layak untuk semua itu.


...


PRA-TEMPAH SEKARANG DENGAN HARGA MENARIK




No comments:

Post a Comment