WAJAH mulus bujur sirih itu menengadah langit yang cerah. Angin pagi bertiup agak rakus pagi ini. Tidak seperti semalam. Namun, masih menyamankan. Langit juga terang-benderang.
Harapannya, agar suasana ini berterusan hingga
ke petang. Bibir merah basah itu koyak dengan senyuman tipis.
Dia kembali memandang ke jalan raya. Menyambung
langkah. Kemas dan meyakinkan di tengah lautan manusia yang berkejaran dengan
masa.
Mukminin masuk ke dalam bangunan Teguh Tower. Sudah
dua minggu dia ditukarkan ke ibu pejabat setelah tiga bulan ditempatkan di
pejabat cawangan dan masih berbaki tiga bulan untuk dia tamatkan tempoh
percubaan.
Berharap akan diserap sebagai kakitangan tetap
setelah ini. Di usianya dan dengan apa yang sedang ditanggung, dia perlukan
sedikit jaminan. Kerana itu, dia
berusaha sedaya-upaya.
Di mana sahaja, Mukminin yakin dia akan sentiasa mampu bernafas
. Selama dia tidak campur tangan dalam masalah orang dan tidak menimbulkan masalah.Sejak sekian lama, dia hidup secara sederhana. Tidak
punya kawan. Sunyi itu sesekali menggugat hati. Namun, dadanya begitu lapang. Hatinya
tenang. Mindanya tidak terbeban.
Dia lakukan apa yang diarah. Dia abaikan yang
bukan tugasnya. Dia membantu jika diminta. Dia mendiamkan diri bila tidak
diperlukan.
Dirasakan, segala penat lelah serta
kesabarannya telah dibayar. Biarpun gaji pekerja yang masih dalam tempoh
percubaan sepertinya ini dirasakan tidak setimpal dengan kerja. Tapi, tidak
mengapalah tidak mewah. Asalkan cukup dan sentiasa ada. Sedikit untuk mak dan
si comel yang ada dalam jagaan mak. Bakinya untuk diri sendiri. Dia telah
berjanji, tak akan tamak.
Pintu kaca itu ditolak setelah kad pekerjanya
sekali lagi diletak pada sistem keselamatan. Mukminin masuk dan terus duduk di
tempat sendiri. Menghidupkan komputer.
Mahu menyiapkan kerja yang sudah sedia menimbun
di atas mejanya.
“Min?”
“Ya, puan?” Dia menoleh sebaik sahaja terdengar
suara menyeru.
Wajah penyelianya nampak cemas.
“Min? Awak buat draf belanjawan syarikat
semalam tu, kan?” soal Diana dengan nafas lelah.
“Ya.”
“Dah siap?”
“Dah,” balas Mukminin dengan wajah sedikit
berkerut bila melihat raut penyelianya juga keruh di pagi hari ini.
“Print
segera. Lepas tu, tolong letak dalam bilik miting. Sediakan air dan apa yang
patut.” Diana mahu berlalu pergi.
“Puan belum semak lagi. Itu draf…”
Diana menoleh.
“Tak sempat dah. Nanti masa mitinglah bincang
kalau ada pembetulan. Buat masa ni, print dulu. Nak edar
dalam miting.”
“Baik, puan. Tapi, saya tak perlu masuk miting
tu, kan?” soal Mukminin lagi.
Bukan kerana mahu mengelat, tapi itu bukan
tugasnya. Dia hanya menolong. Tapi, jika diperlukan dalam mesyuarat itu,
dia akan ikut serta. Sementelah, draf belanjawan itu dibuat olehnya.
“Rasanya tak perlu,” jawab Diana.
“Nanti ada perubahan apa-apa, saya cakap dekat
awak. Minta maaf sangat sebab menyusahkan awak. Sebab awak ajelah yang selalu
awal sampai ofis.” Sungguh… Diana lega bila melihat kelibat Mukminin.
Biarpun baru dua minggu bertugas di sini,
Mukminin cekap. Cepat belajar dan paling penting, rajin. Tak pernah merungut
biarpun dia arahkan kerja yang bukan tugasnya. Dia tak akan teragak-agak untuk mengesyorkan
agar Mukminin diserap sebagai kakitangan tetap.
“Saya buat sekarang.” Mukminin koyak senyum.
“Terima kasih sebab bantu. Saya pun
terkejar-kejar pagi ni bila big boss tiba-tiba nak
buat miting nak tengok agihan budget kita
untuk tahun depan ni. Siapa tak kalut.”
“Bos dah balik, ya?” Setahu Mukminin,
majikannya itu sudah berada di luar negara dua minggu lebih.
Dia sendiri tak kenal siapa majikannya. Sebaik
sahaja lulus temu duga, dia terus dihantar untuk bekerja di salah sebuah
cawangan syarikat. Baru kali ini dia jejakkan kaki ke ibu pejabat. Terus lapor
diri kepada Puan Diana sebagai ketuanya.
Selebihnya, masih banyak yang dia belum tahu. Dan,
dia memang tak nak ambil tahu apa yang bukan tugasnya.
“Baru sampai jam 3.00 pagi tadi. Terus masuk
ofis. Tak ke sakit kepala kita dibuatnya. Ingatkan balik rumah dulu, berehat
dulu ke. PA dia telefon saya jam 5.00 pagi. Terpinga-pinga saya bila dia cakap
bos miting.” Diana buat muka.
Mukminin angguk. Fahamlah dia dengan riak resah
dan sikap kalut Puan Diana pagi ini.
“Tolong, ya…” Wajah itu nampak merayu.
“Saya buat sekarang.” Mukminin senyum.
Diana berlalu terkocoh-kocoh masuk ke bilik
sendiri. Mukminin meneruskan kerja. Tak lama, segalanya telah sedia dan dia
mula mengatur langkah ke bilik mesyuarat utama.
Di dalam Menara setinggi 23 tingkat ini, hanya
tiga tingkat yang disewa oleh majikannya. 18 hingga 20. Dia pula berada di
tingkat 18. Tak pernah sekali pun dia naik ke tingkat 20. Tambah pula, tempoh
dia berada di sini, hanya seminggu.
Katanya, di tingkat 20 ini hanya menempatkan
bilik beberapa orang kuat syarikat dan juga satu bilik mesyuarat dan sebuah
taman.
Buat seketika, matanya melilau liar melihat
seluruh ruang. Sofa biru langit menjadi tempat menunggu. Dilengkapi dengan rak
yang diisi dengan buku-buku serta satu skrin TV yang lebar. Di bawahnya pula
adalah lantai jenis parquet. Blind pula
dibuka lebar. Menampakkan pemandangan kota raya daripada dinding kaca itu.
Satu yang dapat dia rumuskan, berada di sini,
dia merasa tenang. Tidak seperti pejabatnya. Agak sempit. Biarpun tak ramai
pekerja tapi dengan dokumen yang bersusun. Menyesakkan.
Mukminin melangkah menuju ke arah bilik
mesyuarat. Pada pintu itu jelas tertera perkataan ‘War-Room’. Gamaknya bilik ini adalah tempat di mana mereka berperang pendapat. Kerana
itu dinamakan sedemikian. Bibirnya koyak dengan senyuman tipis. Perlahan-lahan,
menolak pintu bilik mesyuarat. Menyusun semua dokumen seperti yang diarahkan. Termasuk
keperluan lain.
Sebagai pekerja yang belum tetap, dia dah biasa
diarahkan melakukan pelbagai kerja. Daripada sekecil-kecil urusan hinggalah
arahan seperti semalam untuk menyiapkan draf belanjawan syarikat.
Projektor juga dipasang. Dia menekan remote dan skrin putih itu turun secara automatik. Setelah dipastikan
semuanya lengkap, dia terus keluar dari bilik tersebut. Niat di hati mahu
mengambil lif tapi memikirkan, dia hanya perlu turun dua tingkat, Mukminin
menolak pintu tangga kecemasan. Menuruni anak tangga.
Hanya satu harapannya setiap hari bila dia buka
mata. Semoga semuanya berjalan lancar.
... bersambung
Pra-pesan sekarang untuk harga menarik.
No comments:
Post a Comment