RASANYA dah dua cawan kopi espreso pekat diteguk. Namun kafein itu tidak membantu. Matanya hampir tak dapat dibuka. Sepanjang penerbangan balik dari Taipei, dia tak lelapkan mata.
Bagaimanapun, dia perlu berjaya untuk dapatkan
projek kali ini. Melebarkan sayap perniagaannya. Cita-cita tinggi melangit. Untuk
melihat nama syarikat miliknya tersenarai dalam Bursa Saham Malaysia. Ketika
itu, baru dia akan berasa puas.
Kini, sedikit demi sedikit dia sedang membina
kekuatan sendiri dalam dunia perniagaan yang pelbagai cabang. Menjadi salah
seorang ahli perniagaan muda yang disegani adalah tidak mudah. Terlalu banyak
yang telah dia korbankan.
“Apa kata saya tunda miting dalam 1 jam? Bos boleh tidur sekejap.”
Amirul mengerling pembantunya. Dia senyum
senget dan menggeleng. Perkara ini perlu dilakukan segera. Dia perlu tahu budget yang diperlukan untuk memastikan aliran
wang tunai syarikat sentiasa kukuh untuk terus teguh.
“Lepas miting, aku balik tidur.”
“Tapi, saya tengok bos macam nak tumbang dah…” Suara
Danial jelas menzahirkan kerisauan.
“Jangan risau. Aku nampak aje nak tumbang tapi
akar aku kuat lagi dalam bumi ni. Belum masa nak tumbang. Meliuk sikit kena
tiup angin tu… biasalah,” balas Amirul pula.
Danial sunggingkan senyuman pada hujung bibir
bila setiap kali Amirul membalas dengan analogi sebegini. Jujurnya, dia suka mendengarnya.
Siapa sangka, lelaki dengan wajah tidak punya
perasaan itu, punya lidah yang sangat lembut dan bicara yang indah.
“Kalau bos tumbang, saya tak sambut,” balas
Danial bersahaja.
Amirul ketawa kecil. Rasanya, tiada siapa yang
berani cakap macam tu padanya. Kecuali Danial dan Amilin. Selain
itu, semua orang menganggapnya sebagai mimpi ngeri.
“Aku lagi besar dari kau. Kalau kau sambut aku,
aku takut kau patah-riuk dulu. Kalau aku tumbang, kau biar aje. Jangan sambut,”
balasnya. Seperti jauh hati tapi dia
sengaja mengusik Danial.
“Ala… bos. Janganlah macam tu. Saya akan sambut
walau macam mana besar pun bos. Saya nampak aje kurus. Tapi, saya ni tulang
besi urat dawai…” giliran Danial pula mengenakan Amirul.
Walau hakikatnya jelas terbentang. Susuk tubuh
Amirul jauh beza daripada dia. Tinggi, tegap dan sasa.
“Jangan jatuh sungai, tau…”
“Kenapa?” Danial kerut kening dengan kenyataan
Amirul.
“Tulang besi urat dawai berat. Senang
tenggelam. Susah aku nak heret kau ke darat.”
Danial olengkan mata ke atas.
Amirul ketawa. Hilang lemau dapat usik Danial. Dia
melangkah keluar bila lif ternganga di tingkat 20. Berjalan pantas terus ke
bilik mesyuarat. Namun, saat melalui pintu tangga kecemasan, langkahnya mati.
Dia terhidu satu haruman. Asing dan menimbulkan
rasa ingin tahu yang mendalam.
“Kenapa, bos?” soal Danial.
“Kau bau tak?”
“Hah? Bau apa?” Danial cuba menghidu tapi tiada
yang asing melainkan pewangi yang biasa digunakan. Atau juga haruman Sauvage daripada tubuh
Amirul. Itu aje.
“Ada yang guna tangga. Ada bau…” Tangan Amirul
sudah menolak pintu rintangan api itu. Kosong. Namun, dia dapat rasakan aura
yang asing.
Pintu ini jarang dikunci memandangkan ini
adalah tingkat paling atas. Dia juga tahu, paling tidak hanyalah pekerjanya
sahaja yang turun naik. Cuma haruman ini membuatkan dahinya sedikit berkerut.
“Busuk?” wajah Danial berkerut.
“Tak…” nafi Amirul, ringkas.
“Tak busuk, bermakna wangilah. Tapi, kalau
wangi tiba-tiba ni… puntianak, bos. Cantik tu tapi kena paku tengkuk dia
dululah.” Danial sengih.
“Puntianak apa siang-siang buta?” Amirul
mengerling pembantunya yang sedang tersengih.
“Puntianak sesat?” sebelah kening Danial
terjongket.
“Kau ni kan…” Amirul angkat tangan tapi Danial
lebih pantas menahan.
Dia hanya mampu menggeleng kecil melihat Danial
yang ketawa. Mereka terus masuk ke bilik mesyuarat di mana, segalanya sudah
sedia. Amirul koyak senyuman tipis. Puas hati dengan kepantasan pekerjanya. Biarpun
permintaannya sering kali di luar jangkaan.
Kertas yang ada di atas meja diangkat. Dibaca
seketika tapi fikirannya memusat tentang perkara lain. Lantas, kertas itu
dibawa rapat ke hidung. Haruman yang sama menerjah rongga.
Haruman ini terlalu biasa sebenarnya. Bukanlah
daripada minyak wangi yang mahal atau berjenama. Tapi, aneh bila haruman ini
boleh buatkan tubuh yang longlai… terasa kuat.
....
Pra-pesanan sekarang untuk harga menarik
No comments:
Post a Comment