Monday, November 27, 2023

DINGIN 9

SEBAIK sahaja dia tiba di perhentian bas itu, sebuah teksi sedang menurunkan penumpang. Kebiasaannya dia akan menunggu bas atau berjalan ke stesen LRT. Tapi, memikirkan keadaan sekarang dan dia tak boleh nak menanti biarpun seminit atau membuang masa, dia terus dapatkan teksi.

Kotak isian kertas A4 itu ada di ribaan. Tak banyak barang. Sejak awal, memang tak banyak barang. Bila memikirkan kembali apa yang telah terjadi, hatinya benar-benar sayu.

Mukminin meraup wajah berkali-kali.  Sudah tidak dihiraukan akan tudung yang senget-menget. Dia tak pernah mementingkan semua ini.

Gamaknya, Tuhan memang hantar isyarat untuknya melalui Syira. Pada awal dia memang tidak selesa dengan wanita itu yang begitu mudah menghakiminya. Tapi sekarang, tanggapan Syira itu punya asas. Dia benar-benar punya kisah lalu dengan lelaki itu.

Tak lama kemudian, Mukminin hela nafas panjang. Biarpun sedih kerana kehilangan pekerjaan dengan tawaran yang bagus, dia juga tahu inilah yang terbaik buatnya. Kerana, berada dekat dengan lelaki itu, hanya akan membawa derita. Lelaki itu masih menjaga sumpah. Dia pula, masih memegang kata-katanya.

Dia terasa mahu menangis kerana kisah lalu yang kerap kali menghantui. Bukan dia tak cuba lupakan, tapi bagaimana dia mahu nafikan bila semua itu telah jadi darah dagingnya sejak sekian lama.

Mukminin dapat rasa tubir matanya sedang basah. Apakah takdir sedang memintanya untuk menerima hukuman atas segala silap yang telah dilakukan satu ketika dahulu?

“Nak? Ooo… nak?”

“Ya, pak cik?” Mukminin nampak terpinga-pinga menjawab seruan pemandu teksi itu.

“Dah sampai ke?” Dia menyoal pantas dan memandang keluar. Mereka masih ada di atas jalan raya. Menghadap kesesakan lalu lintas.

“Belum. Jammed pula. Tengok ke GPS ni, ada kemalangan dekat depan. Tapi, pak cik panggil sebab telefon tu berbunyi. Nampak anak ralit sangat. Itu sebab pak cik panggil,” jelas pemandu teksi itu.

Kala ini, sekali lagi telefon itu menjerit. Barulah Mukminin mencari telefon di dalam beg tangannya. Pada mulanya, dia takut akan panggilan itu adalah daripada Puan Diana tapi lega bila nama mak naik pada skrin.

“Maaf, pak cik. Mak saya telefon,” ujar Mukminin.

Pemandu teksi itu hanya senyum.

“Ya, mak.” Mukminin menjawab panggilan itu dengan sopan.

“Min tak sedar tadi bunyi telefon,” ujarnya.

“Tak apa. Mak saja aje telefon sebab Min tak telefon mak dah dekat seminggu…”.

Kali ini, barulah Mukminin sedar betapa dia benamkan dirinya dengan kerja yang diberikan sehingga terlupa nak telefon mak. Biasanya, dia akan telefon mak paling tidak, dua hari sekali.

“Maaf, mak. Min banyak kerja.”

“Mak tahu. Tempat kerja baharu, kan. Suasana baharu, kawan baharu. Mak tahu mesti sibuk dengan kerja. Min sendiri macam mana? Dah dapat sesuaikan diri? Kawan satu pejabat okey ke?” soal Masni dengan suara teruja.

Di saat anaknya menyampaikan berita akan bertugas di tempat baharu, hatinya agak runsing bila mengambil kira sikap Mukminin yang pendiam dan tak bergaul. Bukanlah tidak pandai. Tapi, Mukmin lebih memilih untuk menjauhkan diri. Jika balik kampung, Mukminin sangat pandai melayani orang tua di kampung. Hinggakan ada yang datang bertanya padanya, bila lagi Mukminin akan balik.

Tapi, dia juga tahu dia tak boleh memaksa. Dia tahu penyebabnya. Membesar dalam suasana yang sukar dan penuh luka telah memaksa Mukminin menjadi demikian. Semua salah dirinya yang tak mampu mempertahankan Mukminin. Memberikan luka yang meninggalkan parut di hati rapuh itu sehingga ke saat ini.

“Semua okey, mak. Yang tak okey Min sendiri…”.

“Maksud Min?”

Mukminin tahu mak mula risau. Daripada nada suaranya sahaja dia dapat agak, mak sedang gelisah.

“Min dah berhenti kerja, mak…”

“Kenapa?” soal Masni, terkejut.

Mukminin tak menjawab. Dia hanya diam. Hinggakan terdengar helaan nafas berat mak. Dia dapat rasa air matanya mahu mengalir. Sejak sekian lama, baru kali ini dia dapat kerja tetap. Tapi, kesudahannya berbeza pula. Memikirkan pelbagai janji yang telah dia tabur untuk mak. Tak banyak yang dapat dia lakukan.

“Min rasa Min terlalu tamak dengan tawaran yang diberi. Min yakin Min mampu buat. Tapi, rupanya Min tak berdaya. Semuanya payah. Min tak boleh nak hadap kerja tu lagi. Min tak nak susahkan pekerja lain. Sebab tu Min berhenti,” jawab Mukminin, penuh makna tersirat.

Kerana itu adalah kenyataan. Dia sudah sedia menjadi buah mulut pekerja lain kerana tawaran kerja yang diberikan. Andai semua orang tahu akan sejarah lalu yang sangat kelam itu, segalanya pasti akan terlambat.

Kali ini juga, dia bisikkan pada diri.  Dia tidak melarikan diri. Dia hanya menyelamatkan dirinya. Dia hanya mahu hidup tenang dan bahagia. Dengan cara sendiri.

“Tak apalah. Kalau dah kerja tu tak sesuai dengan Min. Jangan paksa diri. Banyak lagi rezeki lain kat luar sana,” pujuk Masni, mengerti dengan kegundahan hati anak bila Mukminin mendiamkan diri.

“Min sebenarnya yakin Min dapat buat kerja dengan baik. Gaji yang ditawarkan pun bagus. Min harap Min dapat tunaikan janji beri duit untuk pembedahan Muna. Min terlalu yakin padahal Min tak boleh.”

“Tentang tu, Min jangan risau. Tahulah mak uruskan Muna. Doktor kata tak teruk. Masih ada masa. Mak selalu bawa dia jumpa doktor. Min hidup baik-baik. Jangan risaukan kami sangat,” nasihat Masni.  Lebih kepada memujuk bila dia dengar suara dan luahan itu. 

Sebagai ibu, dia dapat rasa, betapa sedihnya Mukminin melepaskan kerja itu.

Dia tahu Mukminin mahu dan sedang berikan yang terbaik buat mereka sekeluarga. Sesuatu yang tak dapat dia berikan pada anaknya sejak kecil.

“Min minta maaf, mak.” Suara Mukminin kedengaran jauh dari dalam rengkung. Dadanya terasa sangat sempit.

Bagaimana dia tak risau bila Muna perlukan pembedahan untuk menutup lubang kecil pada injap jantung yang berlubang. Biarpun dikatakan sedikit tapi masih memerlukan kos yang agak tinggi. Dia mahu Muna membesar dengan sihat dan menikmati setiap zamannya dengan baik.

Dia tidak mahu Muna lalui apa yang pernah dilalui. Dia diberi kesihatan tubuh tapi emosinya dilukai. Sakitnya tak pernah hilang. Muna akan membesar dalam keluarga yang penuh kasih sayang tapi penyakitnya akan merampas zaman kanak-kanak si comel itu.

“Mak yang patut minta maaf pada Min. Mak tak dapat berikan yang sepatutnya dan sampai sekarang, mak masih menyusahkan Min,” balas Masni dengan nada yang cukup sebu.

Mendengarkan suara mak meminta maaf, air mata Mukminin jatuh setitis. Mak tak pernah lekang daripada perkataan maaf. Sedangkan tiada dosa mak padanya. Mak telah berusaha sedaya-upaya. Untuk dia. Cuma, nasib tidak menyebelahinya.

Mata dipejamkan seketika. Dia meraup wajah tanpa henti. Menyembunyikan wajah tangis.

Ke mana lagi dia harus melarikan diri?

Kenapa tiba-tiba sahaja dirasakan dunia ini begitu sempit hingga tiada ruang untuknya lagi.


....


PRA TEMPAH SEKARANG DENGAN HARGA MENARIK



No comments:

Post a Comment