Monday, November 27, 2023

DINGIN 6

SEBAIK sahaja pintu dibuka dan dua orang wanita itu melangkah masuk, rongga hidung Amirul sudah mula menghidu haruman yang asing itu. Maka, tahulah dia. Haruman ini adalah milik pekerja baharu mereka. Dia senyum dan mengisyaratkan untuk Diana dan pekerja baharunya itu duduk.

“Ini offer letter, bos…” Danial menolak fail kulit keras itu ke depan Amirul.

Buat seketika, ruang bilik terasa hening. Amirul tekun membaca surat tawaran itu. Namun, ada beberapa perkara yang tidak memuaskan hatinya.

“Nampak gaya, kita tak boleh nak bagi awak surat tawaran ni lagi. Ada beberapa benda saya tak berkenan. Macam ni… kita bincang dulu. Surat ni akan keluar paling lewat esok pagi. Masa tu, baru kita sign. Macam mana?” Amirul pandang wanita yang berdiri di sisi Diana. Tunduk sejak tadi. Sedikit terkebelakang. Sebahagian tubuhnya terlindung dek Diana.

Boleh jadi kerana khabar angin tentang dirinya membuatkan pekerja ini juga kecut. Tapi, dia harap wanita itu juga memandang wajahnya di saat dia berbicara. Apa pun, dia adalah majikan.

“Min,” bisik Diana sambil menyiku Mukminin.

“Bos cakap dengan awak tu…”

Malangnya, Mukminin masih kaku. Suara parau itu, seperti pernah didengar olehnya satu ketika dahulu. Satu ketika yang sudah cukup lama berlalu.  Amaran dan janji akhir itu masih begitu jelas berbisik di telinganya. Suara kecewanya. Suara kesalnya.

Dia dapat rasa telapak tangannya mula berpeluh. Berdirinya juga sudah mula goyah. Liur ditelan terasa berbatu. Biarpun telah lebih sedekad berlalu. Malah, wajah di hadapannya ini juga telah banyak berubah. Sudah begitu matang. Susuk tubuh yang dulunya sudah cukup tegap, bertambah sasa dan kekar.

Mana mungkin dia lupakan semua itu. Bukan tak mahu dilupakan tapi sekuat mana dia berusaha, dia tak pernah berjaya. Dia tak berdaya. Selama ini, dia hanya menafi.

“Mukminin?” bisik Diana bila Mukminin tak beri reaksi.

Dia pandang Amirul yang tunak memandang Mukminin. Nampak keliru sebelum lelaki itu menjongketkan kening padanya. Dia sengih janggal. Sekali lagi, dia menyiku wanita di sebelahnya.

Kali ini, barulah Mukminin menoleh. Tiada langsung senyuman yang menghiasi wajah itu. Keterujaan Mukminin juga hilang.  Tak dapat dikesan.

Diana pandang Amirul. Lelaki itu berkerut kening. Mata kuyu bosnya itu memandang penuh pertanyaan. Dia sendiri dihantui persoalan. Apa yang menyebabkan Mukminin tiba-tiba jadi begini? Apakah aura buruk Amirul begitu menakutkan?

“Saya faham.” Perlahan-lahan dan penuh hati-hati Mukminin membalas. Ringkas. Bimbang jika suaranya dikenali.

Beberapa ketika dia mendiamkan diri. Tunduk ke lantai. Tertanya adakah lelaki ini masih ingat akan dirinya. Dia yakinkan diri yang lelaki ini lupa tentang dirinya. Tidak cam akan rautnya. Kerana itu dia sedikit lega.

Namun, ada sedih yang menyapa. Dia perlu pergi sejauh-jauhnya dan tidak menoleh lagi. Padahal, dia begitu yakin segalanya kian mudah. Dia akan bantu keluarganya.

Apa nak kata. Gamaknya, dia sekali lagi menjadi manusia tamak. Begitu mudah berharap kesudahan yang membahagiakan. Akhirnya, yang tamak itu selalu rugi. Tanpa sedar, Mukminin koyak senyuman sinis untuk diri sendiri.

Dahi Amirul berkerut seketika melihat senyuman pada bibir pekerjanya itu. Dia makin tak mengerti apa yang sedang berlaku. Dia percaya, Kak Diana pasti dah beritahu apa yang jadi dalam mesyuarat. Dia bukan mudah untuk memuji orang. Dia memuji pada yang layak dipuji.

Lantas, apakah yang menyebabkan wajah itu nampak begitu pucat. Hampir tidak mengangkat pandangan langsung. Apakah khabar buruk tentangnya menyebabkan wanita itu bersikap begini? Atau kecewa kerana surat tawaran yang tidak dapat disiapkan hari ini?

“Awak nampak tak gembira aje,” komen Amirul sambil menongkat siku di meja, menahan dagu.

“Bukan macam tu, bos…” Suara halus itu membalas lagi. Cukup perlahan. Hampir tak kedengaran.

Nafas berat dilepaskan. Amirul sandarkan tubuh pada kerusi. Mengerling Danial. Lelaki itu jongket bahu tanda tidak tahu. Mendongak pada Kak Diana. Tindak balasnya juga sama. Betullah adik-beradik ni. Kemudian, dia pandang wanita itu sekali lagi. Rasanya, staf HR ada beritahu nama tapi dia lupa. Dalam surat tawaran ini juga bahagian itu masih kosong.

“Kalau pasal tak boleh sign offer letter hari ini, awak jangan salah faham. Saya percaya Puan Diana dah cerita semuanya dan saya betul-betul hargai pekerja berbakat macam awak. Apa yang saya cakap dalam mesyuarat adalah betul. Awak adalah yang pertama saya tawarkan jawatan tetap macam ni. Saya cuma nak minta HR ubah sikit. Saya nak beri awak benefit lebih sikit daripada apa yang ada dalam surat ni,” jelas Amirul panjang lebar.

Ada keluhan pada akhir bicaranya.

Tak tahulah kenapa dia perlu jelaskan semua ini? Biasanya tak pernah. Dia hanya buat tawaran sekali dan jika ditolak, dia juga tak akan berikan peluang untuk kali kedua. Sesekali dia pejamkan mata. Haruman ini benar-benar berikan satu rasa asing dalam dadanya.

“Saya berterima kasih sebab bos pandang hasil kerja saya dan berikan saya tawaran yang sangat baik. Tapi…”

Kali ini, Mukminin angkat wajah. Merenung wajah lelaki di depannya setelah dia yakin, lelaki itu sudah tidak kenal akan dirinya.

Dia akan selamat sekiranya dia berlalu secepat mungkin.  Pergi sejauh-jauhnya.

“Saya minta maaf sebab saya tak dapat nak terima tawaran ni dan saya tahu hak saya sebagai pekerja dalam tempoh percubaan yang saya boleh letak jawatan bila-bila masa sahaja dengan notis 24 jam…”

“Eh…” Diana gamam dengan bicara Mukminin. Terkejut bukan kepalang hinggakan dia tak mampu berbicara lanjut.

Bila pandangannya dan Amirul berlaga, dia menggeleng berkali-kali. Wajahnya bagai tak berdarah saat ini. 

“Bos, bagi kami bincang sekejap.”

“Tak perlu, Puan Diana. Saya nekad. Kejap lagi saya hantar surat letak jawatan.” Mukminin senyum pada Puan Diana.

Rasa bersalah menerpa. Dia suka pada wanita ini. Sejak dia masuk ke sini, Puan Diana banyak membantu.

“Sekali lagi saya minta maaf…” Bicaranya beralih pada majikan yang masih kaku. Duduk tanpa berbuat apa. Sekadar memerhati dengan pandangan yang penuh tanda tanya.

“Saya minta diri dulu…” Tak menanti, Mukminin berlalu.

Langkahnya bagai pincang dengan sendi terasa longlai. Peluh kecil terus merecik. Malah, helaan nafasnya juga makin tidak teratur. Dia perlu pantas. Dia tak boleh lemah. Dia perlu keluar dari pejabat ini kerana dia tahu, hanya dalam beberapa ketika sahaja lagi, maklumat dirinya akan sampai ke meja Amirul.

Dan, dia yakin dia akan terus dihukum atas silap lalunya yang dia tahu… tidak akan pernah terampunkan.


...

PRA-TEMPAH SEKARANG DENGAN HARGA MENARIK



No comments:

Post a Comment