Monday, November 27, 2023

DINGIN 8

ENTAH beberapa kali dia tersilap ejaan. Surat yang begitu mudah itu, menjadi amat payah. Sendinya seperti mengeras. Susah untuk bekerja. Dengan jari-jemari menggigil, surat itu disiapkan juga. Dia tidak peduli. Yang penting, dia mahu berlalu dari situ dengan segera.

Setelah dipastikan, semua barang peribadinya telah dimasukkan ke dalam kotak kecil, Mukminin angkat tubuh. Surat tersebut segera dihantar ke meja Puan Diana.

Wanita itu sedang menantinya. Nampak keliru dan dibanting persoalan. Dia pula… tiada jawapan melainkan alasan yang tidak konkrit. Tapi, kala itu sahaja yang dia ada. Mustahil untuk dia katakan kebenaran. Itu terlalu peribadi.

“Ini, puan… suratnya. Saya minta maaf sebab menyusahkan puan. Dalam masa singkat ni, saya banyak belajar. Terima kasih.” Mukminin tundukkan kepala sebagai tanda hormat.

“Kenapa, Min?” soal Diana. Mengerling di antara surat dengan wajah pucat di depannya.

Mukminin seperti terlihat jelmaan. Bibir yang merah basah itu, berubah menjadi ungu dalam sekelip mata. Dia masih dapat lihat dengan jelas, tubuh halus Mukminin menggigil.

“Kalau awak takut bos…”

“Bukan, puan…” Nafas Mukminin terasa sesak bila Puan Diana mengungkit tentang lelaki itu.

“Sebab saya sendiri. Saya ada alasan peribadi dan saya tak boleh nak beritahu, puan. Sebelum saya pergi, saya nak puan tahu yang saya berterima kasih pada puan untuk segalanya. Paling penting, saya minta maaf untuk keputusan saya yang boleh jadi menyusahkan puan. Saya tak ada pilihan.” Saat memandang mata Puan Diana, dia dapat lihat wajah kecewa wanita itu.

Mukminin gigit bibir. Ya, dia tiada pilihan. Pesanan lelaki itu sentiasa terngiang. Tak akan pernah sekali dia lupa.

“Saya minta diri dulu…” Mukminin terus berlalu.

Bukan hendak biadab dengan Puan Diana yang nampaknya masih mahu berbicara dengannya. Namun, semakin dia berada di sini, peluang untuk lelaki itu mengejar dan membunuhnya sangat tinggi. Bila-bila masa sahaja. Kerana masa itu sedang berdetik.

Ya… masa itu berlalu dengan begitu pantas. Hinggakan langsung tidak terasa yang telah empat belas tahun berlalu. Lebih sedekad ini dia hidup tanpa seorang pun kawan. Dia menjauhkan diri daripada sesiapa sahaja. Dia tidak ke tempat orang ramai. Dia tidak menimbulkan masalah.

Salah satu adalah kerana lelaki itu.

Dia telah elak dirinya. Sangkanya, di sini adalah penamat untuk segala kisah yang lalu. Kisah baharu sedang bermula. Dia sedang rangka yang indah biarpun dalam kesederhanaan. Dia tidak minta lebih. Dia tidak lagi tamak.

Namun, apa nak dikata… dia lupa sekali lagi.

Bumi ini bulat. Telah jauh dia berjalan dan hari ini, dia telah tiba di titik permulaan yang sama.

Sekali lagi… dia akan lari dan menyembunyikan diri. Dia akan melakukan ini untuk seumur hidup.

 

 

KERTAS itu direnyukkan. Usai Danial angkat tubuh dan terus keluar daripada biliknya, dia juga sama. Menuruni anak tangga, terus menuju ke bilik Diana. Dirempuh pintu kaca itu.

Diana nampak tenang menerima kehadiran Amirul. Dia dapat tebak sesuatu. Ada perkara yang telah berlaku antara dua orang manusia ini.

Dia pernah dengar cerita daripada mama Amirul. Daripada seorang anak yang sentiasa gembira dan menceriakan, Amirul berubah sekelip mata. Kerana satu kisah lama yang hampir membunuh rasa. Cumanya, cerita yang lebih lanjut itu yang menjadi pertanyaan.

Amirul tidak pernah bersikap begini dengan sesiapa sahaja. Kali ini, Amirul turun ke biliknya. Boleh jadi, ini kali pertama Amirul ke sini sejak mereka bekerja bersama.

Diana angkat tubuh. Mengoyak senyum. Diletakkan surat letak jawatan Mukminin ke dalam laci.

“Kenapa, bos?” soal Diana, tenang. Bagai tiada apa berlaku kerana dia tak mampu lakukan apa lagi bila Mukminin juga sangat tegas dalam kelembutan tutur bicaranya.

“Ada apa-apa, bos boleh panggil saya naik atas aje,” tambah Diana.

“Kak Dee tahu apa yang saya nak tanya,” balas Amirul dengan suara yang mendatar.

“Kalau tentang Min…”

Amirul pejam mata mendengarkan nama itu disebut oleh Kak Diana.

“Dia dah pergi. Sebaik aje keluar dari bilik Mirul tadi, dia kemas barang-barang. Lepas bagi surat letak jawatan dekat Kak Dee, dia terus pergi. Kak Dee dah tanya dan cuba halang tapi dia memang dah nekad.” Suara Diana lembut menyatakan kebenaran.

Melihatkan keadaan Amirul, dia tahu… sekarang dia tak boleh jadi seorang pekerja kepada Amirul. Amirul boleh jadi perlukan seseorang yang bergelar kakak.

“Kak Dee minta maaf. Kak Dee sendiri tak tahu apa yang jadi. Kak Dee nak tanya Min, tapi dia kata itu terlalu peribadi. Amirul kenal Kak Dee. Kak Dee tak akan ceroboh privasi orang. Jujurnya, Kak Dee nak tanya Amirul, tapi Kak Dee juga tahu, Amirul tak suka orang berlebih. Cuma, Kak Dee nak Amirul tahu… kalau Amirul nak cakap apa-apa, Kak Dee ada,” jelas Diana, lembut. Langsung tidak memaksa. Dia akan sentiasa ada bila masa sahaja Amirul bersedia.

Entah kenapa... Di sebalik wajah beku dan sikap dingin itu, simpatinya sering tumpah pada lelaki muda ini. Untuk pelbagai sebab yang tidak dapat dijelaskan.

“Rasanya, dia baru je keluar dalam 10 minit macam tu…”

Diana pandang jam. Mengangguk. Mengiakan tanggapan sendiri. Memang kurang lebih sepuluh minit Mukminin baru keluar.

“Setahu Kak Dee dia datang kerja dengan LRT. Tapi, mengambil kira dia ada bawa barang tu, mungkin dia ambil teksi. Boleh jadi dia tunggu teksi dekat perhentian bas depan ni. Kak Dee tak pasti,” tambahnya melihat pada Amirul yang mahukan jawapan.

Beberapa ketika, Amirul tunduk sebelum mengangkat wajah memandang Diana. Berat lidahnya untuk bersuara. Sudahnya, hanya dengan renungan mata dia ucapkan terima kasih pada wanita itu. Setelah itu, dia terus berlalu keluar. Tidak dihiraukan akan beberapa pasang mata yang memandangnya seperti orang asing.

Ya… asing. Kerana dia tidak pernah jejakkan kaki di sini. Sekali lagi, dia telah lakukan sesuatu yang luar kemahuan diri hanya kerana wanita itu.

Nampaknya, bukan hanya hutang lama yang dia akan kutip. Bunganya juga perlu dibayar. Dia pula, mahukan bayaran itu dilakukan sekali gus.

Sejak sekian lama, dia tak pernah lupa akan hutang itu. Yang telah mengubah seluruh hidupnya. Merenggut tenang dan senyuman.

Semua ini perlu berakhir.

Rela atau terpaksa.


...


PRA-TEMPAH SEKARANG DENGAN HARGA MENARIK



No comments:

Post a Comment