NAFAS lega dihela. Penat lelahnya dirasakan berhasil. Malah, waktu rehat dan tidur yang telah dikorbankan juga memberi pulangan. Tidaklah segalanya sia-sia. Tidak juga seperti tahun-tahun sudah. Segalanya pasti kelam-kabut. Pasti caca-marba. Seperti disediakan oleh orang yang tiada otak.
Mata kuyunya melilau ke setiap wajah pekerja
yang ada di depannya. Menerka di dalam samar, siapakah yang mendraf belanjawan
syarikat kali ini? Mereka ini terdiri daripada golongan bijaksana. Kerana itu
dia ambil mereka ini menjadi pekerja. Tapi, rasanya baru kali ini dia mampu
hela nafas lega dengan hasil kerja yang diberikan.
Untuk apa dia gajikan orang jika semua kerja
dia perlu lakukan sendiri?
Setiap wajah menunduk. Langsung tidak bengah. Beginilah keadaannya setiap kali mesyuarat yang diadakan. Tak ubah seperti di medan perang. Masing-masing menekur ke meja. Menelan liur.
Andai difikirkan, lebih elok demikian. Dia
tidak pernah kisah tentang pandangan orang pada dirinya. Dia tahu siapa
dirinya. Dia tahu apa yang dia mahukan. Itu sudah lebih daripada cukup.
Dia digambarkan sebagai manusia berhati singa. Dia
dikatakan, mempunyai sikap keras dan kejam. Dia digelar seorang putera berhati
beku yang tiada belas. Dia tahu khabar angin yang telah bertebaran ke serata alam.
Dia tidak mahu menafikan biarpun segalanya tidaklah benar.
“Siapa yang buat draf kali ini?” suaranya
memecah hening bilik mesyuarat yang sejak tadi tak ubah seperti dilanggar geroda.
Diana dapat rasa peluh kecil mula merecik pada
dahinya. Mendengarkan soalan demikian, buat dia tak berani nak angkat wajah. Apatah
lagi untuk memberi jawapan.
Tidaklah dia harapkan semuanya tepat bila
tugasan itu jatuh ke bahu Mukminin. Dia sendiri tidak tahu bila Syira menyuruh
Mukminin yang sediakan. Kerana segalanya tergesa-gesa, dia tidak menyoal Syira
tentang perkara itu. Asal dibuat dan dia akan semak terlebih dahulu.
Tapi, siapa juga sangka yang Amirul mahu adakan
mesyuarat tentang perkara itu dengan tergesa-gesa. Apakah dia perlu menuding
jari pada Mukminin? Kerana itu kebenaran.
Cuma, bukan tugas Mukminin sebenarnya. Jika dia
tolak segalanya pada Mukminin, dia tahu kesannya agak teruk. Dengan kedudukan
gadis itu yang masih lagi belum menjadi pekerja tetap, Mukminin akan ditendang
keluar dengan serta-merta.
“Puan Diana?” Amirul menyeru nama ketua
Bahagian Kewangan syarikatnya bila soalan itu tidak bersambut.
“Err… saya yang…”
“Staf baharu yang buat, Encik Amirul.”
Diana menoleh ke kanan bila suara lembut itu
menyapa pendengaran. Belum sempat dia menghabiskan ayatnya, Syira terlebih
dahulu bersuara. Syira adalah pembantunya. Mukminin itu hanya staf biasa.
Dia pandang Syira bagai tidak percaya, tapi apa
yang dikatakan adalah tepat.
“Betul ke, Puan Diana?” soal Amirul mencari
kebenaran.
Dia mengerling sekilas kepada Syira. Wanita itu
melemparkan senyuman tipis yang cukup manis padanya. Senyuman yang dia tahu
dengan jelas maknanya. Senyuman yang dia akan balas hanya sekadar di bibir. Mustahil
untuk sampai ke hati.
“Betul, bos.” Diana tunduk. Menggigit bibir. Rasa
bersalah pada Mukminin.
Biarpun gadis itu pendiam dan hanya buat kerja
sendiri atau apa yang disuruh, dia suka pada Mukminin. Andai Mukminin dibuang
kerja, dia akan tanggung kekesalan seumur hidup. Dia lebih rela bekerja dengan
seorang Mukminin daripada bekerja dengan sepuluh yang lain yang nyata bekerja
sambalewa.
“Saya tak ingat pula kita ada buka interviu ambil
pekerja baharu…” Kali ini, Amirul menoleh pada Danial.
Mustahil untuk mereka buka temu duga jawatan
kosong tanpa memberitahunya. Melainkan semua itu sangat berkeperluan. Tapi,
paling tidak, Danial akan maklumkan padanya. Biasanya dia tak akan campur
tangan. Semuanya diserahkan pada pihak HR.
“Dah lama, bos. Tiga bulan lepas lagi. Cuma,
dia dihantar terus bekerja di cawangan dekat Port Klang. Sekarang, kita
kekurangan staf, saya pinjam sekejap untuk siapkan kerja-kerja yang ada. Lagipun,
dia masih dalam percubaan,” jelas Diana, merenung tepat ke mata majikannya.
“Probation
period?” soal
Amirul, bagai tidak percaya.
Semua mata saling memandang. Melihat cara
Amirul, bila-bila masa sahaja majikan mereka akan meletup. Dan, masing-masing
mula menyumpah Mukminin. Biarpun ada yang tidak kenal pun siapakah pemilik nama
itu.
“Hebat…” Amirul tepuk tangan. Senyuman senget tersungging
kemas pada hujung bibir. Penuh sarkastik dan sinis.
“Macam mana awak boleh suruh pekerja yang masih
dalam percubaan buat kerja penting ni?” Dia memandang Diana.
“Saya minta maaf, bos…”
“Saya tak nak dengar perkataan maaf dan saya
nak tambah sikitlah. Alang-alang topik maaf naik ni,” Amirul tongkat kedua-dua
belah tangan di bawah dagu.
“Saya tahu apa yang semua orang tentang saya
dan saya tak akan nafi apa aje gosip pasal saya dekat luar sana. Saya tak
kisah. Sebab tu, saya nak tambah satu lagi. Saya tak akan berkompromi dengan
perkataan maaf.” Pandangan matanya tajam mencerun.
“Sebab kita semua ada otak dan akal. Waras tak gila. Boleh fikir kesan baik-buruk. Kita semua
manusia. Yang kerja dengan saya semua waras dan bijak pandai. Bukan beruk yang
tak boleh guna akal. Jadi, nak buat apa-apa, fikir dalam-dalam sebab saya tak
suka perkataan maaf tu lebih-lebih lagi bila semua dah jadi. Ada masa maaf tu dah tak dapat ubah apa-apa,”
ujarnya dengan suara yang datar dan perlahan.
Nadanya tidaklah menengking. Jauh sekali marah.
Namun, dia tahu amaran itu diterima sebagai satu ugutan yang keras bila melihat
ada yang mula gelisah.
“Jadinya, memang awak serahkan tugas penting ni
pada pekerja probation lah, ya?”
“Ya, bos.” Diana mula pasrah.
Jika perlu, biarlah dia yang dipecat. Dia tidak
kisah. Dia sendiri sudah agak lama bertahan dengan sikap dingin majikannya.
Suasana kembali diam. Hening. Yang menyapa
pendengaran hanyalah bunyi liur yang ditelan tanpa henti.
“Berapa lama lagi?” Amirul tiba-tiba menyoal.
“Hah?” wajah Diana terpinga-pinga. Apa yang
berapa lama? Berapa lama dia kerja di sini atau berapa lama lagi dia perlu
bertahan?
“Maksud saya, berapa lama lagi staf baharu ni
nak diserap ke jawatan tetap?”
“Err… kurang lebih tiga bulan, bos. Tapi,
sebelum bos buat keputusan saya nak cakap dekat bos…” Diana telan liur bila
Amirul merenungnya dengan pandangan demikian.
Buat sekujur tubuhnya meremang.
“Rekod dia dekat ofis sebelum ni pun sangat
bagus. Sekarang juga sama. Baru dua minggu tapi dia memang pandai buat kerja. Paling
tidak, bagi masa dia habiskan tempoh percubaan, bos,” ujar Diana dengan sekali
hembus. Sedikit merayu.
Apa pun jadi, dia tak boleh jadikan Mukminin
mangsa. Dia perlu bertanggungjawab sebagai ketua.
“Apa keputusan saya?” soal Amirul dengan
senyuman senget.
Nampak gaya, Diana dah salah faham. Dia suka
wanita ini. Sejak dia tubuhkan syarikat ini, Diana adalah staf pertamanya. Kemudian,
Danial hadir. Sejak sekian lama, Diana sentiasa buktikan dia memang cekap dalam
menjalankan tugas.
Saat ini, melihat cara Diana membela pekerja
baharu itu, dia tahu pasti itulah kebenaran dan dia tak akan membiarkan pekerja
yang sebegini lepas daripada tangannya.
“Err…” Diana kehilangan kata.
Amirul tegakkan tubuh. Memandang ke setiap
wajah yang ada di depan mata. Suasana masih tegang rupanya.
“Saya tak kata draf budget kali
ini tak bagus. Boleh dikatakan, ini yang paling bagus andai nak dibandingkan
dengan tahun-tahun sudah. Pekerja baru ni, walau masih belum tetap… dia dah buat
kerja dengan baik. Saya setuju dengan budget
kali ini. Saya tak perlu buat kerja dua kali…” Amirul jongketkan senyum senget
pada hujung bibir.
Kerana itu adalah kenyataan. Biarpun wajah
semua orang berubah. Dia tidak kisah. Saat ini, barulah bahu masing-masing
nampak kendur. Dia dapat dengar Diana lepas nafas lega.
“Tentang tempoh percubaan dia tu, pendekkan aje
ke tiga bulan. Serap terus sebagai pekerja tetap kita. Penempatan dia adalah di
tempat sekarang. Saya tak akan biarkan pekerja yang bagus macam ni lepas macam
tu aje…” Dia sengetkan tubuh sedikit. Mendekat pada Diana.
“Nampak gaya, saya dah jumpa pelapis Kak Dee,”
bisiknya.
Tidak dapat tidak, Diana senyum.
“Tapi, bos… ini macam dah langgar syarat
syarikat.”
Amirul menoleh bila suara Syira menyapa
pendengaran. Jelas tergambar rasa tidak senangnya dalam penafian itu.
“Cik Syira dulu percubaan enam bulan juga?”
“Ya,” suara Syira jelas canggung. Entah kenapa,
dia dapat rasa senyuman tipis yang tersungging pada bibir Amirul itu adalah
untuknya.
“Tahniah sebab lulus tempoh tu dan dilantik
jadi pekerja tetap,” ucap Amirul. Tenang dan bersahaja.
Ucapan yang buatkan Danial tunduk
menyembunyikan senyuman sendiri. Kedengaran bersahaja namun hakikatnya,
kata-kata Amirul tajam menikam. Dia dapat lihat air wajah Syira berubah
langsung.
“Anggap ajelah saya bagi pengecualian kali ini
setelah saya ambil kira hasil kerja dia. Tak semua orang boleh buat draf budget
macam ni. Jangan kata staf baharu, yang sedia ada dan dah jadi
kakitangan tetap yang hadap benda sama tiap-tiap tahun pun, belum tentu lagi
boleh buat seperti yang dia dah buat.”
Amirul langsung bangkit. Tidak dipandang
langsung pada wajah Syira yang berkerut dan jelas tidak puas hati.
“Mesyuarat sampai sini dulu. Hantar laporan
penuh pada saya sebelum balik hari ini. Puan Diana nanti bawa staf baharu tu
jumpa saya. Minta HR sediakan terus offer letter untuk
dia. Biar dia sign terus hari ini,
depan saya.”
Tak menanti, Amirul melangkah keluar. Diikuti
Danial yang tersenyum lega. Biasalah, suasana dalam bilik mesyuarat ini, tak
ubah seperti perang. Kerana itulah bilik mesyuarat ini dinamakan War-Room. Usah kata semasa mesyuarat berjalan. Pasca perangnya adalah yang
lebih menakutkan.
Namun, kali ini berbeza. Siapa pun dia… Danial
tahu dia perlu berterima kasih pada pekerja baharu mereka.
...
PRA-PESANAN SEKARANG DENGAN HARGA MENARIK
No comments:
Post a Comment