AMIRUL labuhkan siku di atas meja. Genggaman jari-jarinya sedang menongkat dahi. Pelbagai persoalan yang muncul. Usah kata penafian Kak Diana, dia sendiri juga bagai tak percaya dengan penolakan itu. Padahal tadi, dia yakin dia nampak riak gembira biarpun terselindung gugup pada wajah indah itu.
Cantik?
Ya. Dia perlu akui. Mana mungkin dia nafi
kebenaran yang jelas terbentang di depan mata. Sama seperti hasil kerja dan
bakat wanita itu. Dia akur kerana itu kenyataan. Tapi, apakah yang membuatkan
wanita itu berubah sekelip mata sedangkan Kak Diana cakap, sebelum masuk pun
wanita itu berkali-kali mengucapkan terima kasih. Wajahnya usah dikata. Terpancar
riak ceria. Bahagia dan syukur.
Anehnya.
Apakah yang menyebabkan perubahan itu berlaku sekelip mata?
“Kau rasa sebab khabar angin pasal aku ke?” soalnya
pada Danial.
“Tentang pekerja tadi tu ke?”
Amirul tidak menjawab. Hanya merenung semula ke
mata Danial menanti jawapan.
“Saya tak fikir pasal tu, bos.” Tumpuan Danial
pada kerja juga sudah beralih. Sama seperti Amirul, fikirannya juga sedang
memusat tentang apa yang baru sahaja terjadi.
Bagai tak percaya ada juga orang menolak tuah. Tawaran
yang diberikan sangat bagus untuk pekerja baharu. Takkanlah sebab itu, kan?
Selama ini, memang ramai orang gerun hanya
kerana khabar angin tentang Amirul. Tapi, lelaki keras ini tidaklah kejam
seperti yang dikatakan.
Hanya kerana Amirul tidak pernah menidakkan
semua cerita buruk tentang diri sendiri, maka semua orang beranggapan, ia
adalah benar. Sementelah dengan sikap dingin Amirul. Khabar angin itu begitu
mudah tersebar.
“Saya yakin ada sebab lain.”
“Sebab lain?” soal Amirul.
“Kan Kak Dee cerita pasal ada staf yang tak
puas hati bila bos tawarkan dia jawatan tetap dalam tempoh percubaan.”
“Kau rasa, aku tak patut offer dia ke?”
Danial senyum dan menggeleng. Nak kira, Amirul
tak pernah hirau tentang tanggapan orang. Setiap kata adalah kota. Amirul
membuat keputusan setelah memikir dengan mendalam. Bukan sewenang.
Dan lelaki ini sangat bagus dalam menilai
orang. Dia yakin tentang tawaran itu. Amirul memang punya hobi untuk merekrut
sesiapa sahaja yang berpotensi untuk ada di bawah sayapnya.
“Tawaran tu patut. Hasil kerja dia bagus. Boleh
jadi, dia nak elak bermusuh dengan staf lama. Siapa tahu, kan?”
Itulah yang dapat dirumuskan bila mendengar
cerita Kak Diana. Biarpun wanita itu tak cerita pun siapa yang nampak tak
selesa dengan keputusan Amirul.
Kali ini Amirul menyepi. Tiada lagi soalan yang
mahu diajukan biarpun persoalan yang ada dalam benak langsung tak berjawab.
“Kau dah dapat resume dia?” soal Amirul
akhirnya.
“Dah. Ini ha…” Danial letakkan sehelai kertas
itu di hadapan Amirul.
Amirul tak banyak bersuara. Tiba-tiba sahaja
hilang terus rasa ingin tahunya tentang wanita tadi. Kerana itu, tolak semula kertas itu kepada
Danial. Malas nak tengok apa-apa
maklumat dah. Kerana telah diajak
berbincang tapi ditolak begitu sahaja.
Telah dia katakan, tawaran ini hanya sekali
sahaja diberi. Jika ditolak, dia yakin masih ramai di luar sana yang lebih
bagus. Dia tak rugi apa. Kak Diana masih sangat boleh diharapkan. Cuma, dia tak
mahu Kak Diana terus terbeban dengan kerja yang makin banyak. Wanita itu sudah
begitu banyak membantunya. Sejak awal.
“Macam mana, bos?” soal Danial memandang pada Amirul yang
langsung tak baca maklumat yang dia dapatkan.
“Apa yang macam mana?” soal Amirul semula
dengan mata yang tertutup. Letihnya kembali bertandang.
“Offer letter? HR
tanya. Dah siap dah. Tinggal nak bos sign je…” beritahu
Amirul.
“Tak payahlah membazir kertas. Dah dia tak nak.
Kita tak rugi,” balas Amirul bersahaja. Dia menahan kuap. Mengurut belakang
lehernya.
Jelas, sudah tidak berminat.
“Kalau macam tu… eh…”
Amirul buka mata bila ayat Danial belum tamat. Bertanya
hanya dengan pandangan mata.
“Saya baru nak balas mesej dorang. Laju betul HR buat kerja. Kejap, saya jawab panggilan ni.” Telefon
dilekapkan ke telinga.
“Macam mana, Encik Danial? Boleh saya naik
jumpa bos?” suara Kamarul, Pegawai HR mereka menyapa di hujung talian.
“Tak jadi. Offer tu
dah terbatal. Cik Mukminin nak letak jawatan. Nanti, bila Puan Diana bagi surat
letak jawatan tu, abang tolong proses segera, ya. Tak banyak nak buat sebab dia
masih dalam probation. Cuma, nak sebagai
rekod dokumentasi kita ajelah…”
Amirul yang bersandar pada kerusi, mendiamkan
diri… mengerutkan dahi seketika. Sesuatu sedang berdenting dalam kepalanya. Tapi,
mustahil, kan?
“Dah pula? Tak cukup ke yang bos offer sampai dia tolak ni?”
Danial senyum. Nampaknya, semua orang tertanya
soalan yang sama.
“Tak pastilah saya. Tadi, memang Puan Dee bawa
dia jumpa bos. Cik Mukminin sendiri yang tolak tawaran tu dan cakap nak letak
jawatan. Saya beranggapan atas sebab peribadi. Tapi, tak apalah. Nanti proses
segera, ya?” pesan Danial sekali lagi sebelum talian dimatikan.
Dia alihkan pandangannya tepat kepada Amirul
namun hampir sahaja dia tergelincir daripada duduk bila melihatkan cara Amirul
memandangnya. Nak dikira, bukan pandangan biasa tapi pandangan yang tak pernah
dia terima sepanjang mengenali lelaki ini.
Apakah pandangan ini yang diperkatakan orang? Yang
digeruni? Pandangan yang membawa aura gelap yang mencengkam jiwa. Liur ditelan
berkali-kali. Danial membetulkan duduk. Hujung jarinya terasa dingin apatah
lagi melihat buku lima Amirul pucat lesi. Tanda genggaman yang sangat padu.
“Bos okey ke?” Soalnya perlahan.
“Nama siapa kau sebut?”
“Nama…”
“Siapa?” jerkah Amirul belum pun sempat Danial
habiskan ayat. Penumbuk dihentak kuat hinggakan semua yang ada di atas meja
berganjak kedudukannya.
Danial telan liur. Mata kuyu Amirul terbuka
luas. Merah menyala. Malah, ada air yang seperti sedang bergayut pada tubir
matanya. Danial berkerut dahi. Memandang Amirul penuh persoalan.
“Err… maaf, bos kalau saya salah cakap,” jawab
Danial dengan suara yang sedikit bergetar.
Dia tunduk memandang surat tawaran tadi yang
ada di tangan. Mencari kepastian yang nyata telah pasti. Wajah diangkat. Amirul
masih merenung tajam.
“Saya sebut tadi nama staf Puan Diana yang nak resign tiba-tiba tadi tu. Nama dia…” sekali lagi Danial telan liur.
Amirul nampak sudah tidak sabar. Tapi, lelaki itu
sedang bertahan untuk tidak kembali menjerkahnya. Dia nampak riak bersalah
Amirul sekarang.
“Nama dia… Mukminin binti Muksin.”
“Bagi aku…” Amirul merampas keras kertas yang
ada di tangan Danial. Membaca setiap baris ayat yang tertera. Tidak dihiraukan
pada Danial yang kaku tak berkata apa.
Demi melihatkan sebaris nama itu, malah segala
maklumat tentang wanita itu, sekujur tubuhnya terasa sejuk. Tangannya
menggigil. Mata dipejamkan seketika. Berharap ini adalah kebetulan.
Sangat mengejutkan.
Yang menyakitkan.
Yang bukan seperti dia sangka. Mereka adalah
dua orang berbeza dengan nama dan maklumat yang sama.
Tapi, mustahil, kan?
Amirul masih berperang dengan pelbagai soalan. Untuk
ada kebetulan yang sebegini adalah sangat mustahil. Nafas ditarik dalam. Matanya
tunak merenung gambar pasport yang ada pada resume tersebut. Lebih lama, lebih teliti. Lebih tajam.
Seketika dia mahu senyum kerana ini adalah kali
kedua dia melihat wanita yang begitu indah kejadiannya. Yang pertama kali dulu,
adalah yang telah lama berlalu.
Dia benar berharap orang yang berbeza. Sayang…
matanya yang menipu. Silapnya kerana tidak cam akan wajah yang hampir berubah
kerana usia dewasa dan kematangan.
Rahangnya diketap sekuat hati. Air matanya
jatuh setitis. Bukan kerana rasa rindu atau kasih. Rasa marah, benci dan dendam
yang dirasakan hampir hilang, kembali bugar dalam dada. Dia ingatkan rasa ini
telah tiada. Siapa sangka, rasa itu hanya lelap seketika. Dan kini, telah
dikejutkan.
Senyuman sinis terjungkit kemas pada hujung
bibir.
Apakah permainan takdir kali ini?
Adakah kerana mahu dia membalas segalanya tanpa
mengalah?
Jika itulah ketentuan pertemuan kali ini, yang
terkepung di dalam dada selama lebih sedekad ini, akan dibebaskan. Pastinya
tiada siapa dapat menahannya lagi.
Termasuk dirinya sendiri.
Dia akan bebaskan segalanya.
...
PRA-TEMPAH SEKARANG DENGAN HARGA MENARIK
No comments:
Post a Comment