Tuesday, September 24, 2024

RAPUH 16

 

MELIHAT darah merah yang mengalir daripada luka di badan abangnya, membuatkan Fuzah kaku.  Sekujur tubuhnya menggeletar.  Dia kehilangan seluruh tenaga.  Tak mampu digerakkan walau sebatang jari.  Air mata terus mengalir walau tanpa tangis. 

“Fuz?”  Serunya antara dengar dan tidak.  Masih terpaku di situ.  Tanpa berbuat apa. 

Pandangan mereka bertaut.  Tetapi, mata abangnya sudah tidak bercahaya.  Hanya ada air mata yang masih mengalir.  Tiada juga suara.  Hinggalah dia terdengar suara yang gamat.  Walau tubuhnya disapa seseorang,  pandangan itu masih melekat pada raut abangnya yang dikerumuni pasukan beruniform. 

Dia masih merenung kosong walaupun dibawa pergi.  Entah bila dia sudah berada di hospital, dia tak pasti.  Yang dia sedar, hanyalah setelah mendengar raungan mama.  Seperti menerima tamparan yang maha dasyat.  Dia toleh.  Mama ada dalam pelukan ayah.  Dia bangkit, mendekati walau dilarang oleh pengasuhnya. 

RAPUH 15

 


SATU
yang Luth sedari, di saat mereka turun ke lobi, tiada sepasang mata pun yang berani memandang mereka.  Dia tahu, mereka semua takut memandang Fuzah.  Luth hanya tenang berjalan di sisi wanita itu.  Kala itu, Puan Zana sudah sedia menanti di depan lobi.  Berdiri di sisi sebuah kereta mewah.  Tidak dia sangka dalam hidupnya yang sejak sekian lama hanya meminjam kereta kak longnya, dia akan dapat memandu Mercedes G-Wagon ini.  Dia simpan senyum dalam hati bila teringatkan kata-kata kak long.

“Hati-hati,” pesan Zana seraya menyerahkan kunci itu kepada Luth.

“Baik, puan…”

Belum sempat Luth buka pintu, Zana lebih dahulu membuka pintu tempat duduk belakang.  Fuzah mendekati ibu saudaranya. 

“Ada maklumat dah, mak su?”  Soalnya. 

RAPUH 14

 

SEKALI ketukan, tiada bersambut.  Dua kali, juga sama.  Kali ketiga, dia kuatkan ketukan bersama salam.  Barulah dia dapat dengar ada suara halus sayup-sayup memintanya masuk. 

Luth menolak pintu kaca tersebut dan menapak pada wanita yang sedang memandangnya.  Wajah itu sedikit berkerut, nampak seperti terganggu.  Dia dapat lihat tangan wanita itu sedang bersedia membelek helaian baharu laporan di depan mata. 

“Puan Zana minta saya jumpa cik puan,” akuinya kerana dia tahu, wanita ini pastilah sudah sedar akan kehadirannya. 

“Ya, saya tahu.  Jemput duduk,” pelawanya.

Luth tarik kerusi dan dilabuhkan duduk.  Dia hanya duduk tegak dan kaku, memerhatikan wanita itu di hadapannya. Kali lepas, dia begitu rapat dengan wanita ini.  Malah, dia sendiri telah mencempung tubuh terkulai tidak bermaya itu masuk ke wad kecemasan.  Haruman rambut itu masih dia ingat dengan jelas. Apabila duduk berhadapan begini, dia jadi perasan kepada perkara lain yang tidak dapat dia teliti dengan betul tika pertemuan pertama mereka.  Dia tidak perasan akan alis yang begitu lebat.  Hidung yang mancung terletak.  Kening yang jelas terbentuk indah. 

RAPUH 13

 

DALAM hatinya, Luth sudah dapat rasakan sesuatu bila mendengar derap tapak kasut itu yang kian mendekati dan saat dia panggung kepala, wajah yang dia cam itu muncul depan mata. Tersenyum tipis. Biarpun tidak dapat dirasakan kemesraan, tetapi, riaknya tidaklah sekeras kali yang lepas.

Luth pantas angkat tubuh.  Berdiri tegak.  Mata kuyunya tenang memandang wajah di depan. 

“Encik Muhamad Luth bin Luthfi, kan?”  soal Zana.

“Ya…saya, puan…” 

“Cam saya?” 

“Ya, puan…”  Luth angguk sekali. 

Mana mungkin dia lupa. Suara yang sama ini telah memberi pesanan berbaur ugutan padanya.

“Ikut saya dulu.  Saya brief sikit tentang tugas awak sebelum saya bawa awak jumpa cik puan.” 

RAPUH 12

 

SETIAP senarai aset yang bakal dicairkan itu diteliti.  Rasanya lebih lima puluh peratus demi menampung kos kerugian yang dihadapi demi mengelakkan pelabur menarik diri.  Banyak juga aset yang dia miliki tanpa pengetahuan ayah.  Perancangan masa depan untuk dirinya satu hari nanti.  Bukan hanya dia tapi di dalam rancangan yang belum pasti itu, ada mama dan mak su bersama. 

“Berapa lama akan ambil masa ni?”  soalnya pada Azim. Peguamnya. 

“Saya baru siapkan senarai dan harga mengikut market untuk saya buat permohonan lelong.  Ada sesetengah tu, saya dah ada buyer.  Saya anggarkan dalam masa dua ke tiga bulan, cik puan,” jawab Azim.

“Tapi, cik puan tak rasa banyak sangat ke?” 

“Banyak. Tapi, saya tak ada pilihan sebelum semua orang hilang keyakinan pada saya.  Saya perlu buat sesuatu.  Kalau awak duduk di tempat saya ini, awak sendiri tahu… semua ni tak mudah,” jawab Fuzah dengan mata yang tak lepas merenung senarai.

RAPUH 11

 

WAJAH Luth suram.  Panggilan yang dia jawab tadi awalnya mengujakan.  Menjadi salah seorang pekerja Mahazera Group dengan tawaran gaji yang begitu, siapa yang tak mahu.  Dia yakin yang dia akan berjaya.  Kerana dia telah lakukan yang terbaik. Tetapi apakah semua ini?  Otaknya susah nak mencerna. 

“Kenapa muka kelat, Luth?  Tadi kata Mahazera Group call.  Bukan berita baik ke?”  tegur Kak Long sambil mengupas limau dan dihulur pada umi. 

“Ya, memang daripada Mahazera.  Luth lepas interview tu tapi…”  Luth lepaskan keluhan berat. 

Berkali-kali dia pujuk hati agar terima segala ketentuan.  Bukan rezekinya.  Duduk dilabuhkan di sisi umi.  Menatap wajah umi dan kak long silih berganti.

“Kenapa, Luth?”  Umi bersuara.  Resah. 

RAPUH 10

 

G-WAGON hitam itu berhenti di depan lobi bangunan. Fuzah keluar dan terus masuk ke dalam bangunan. Saat dia melintas, tiada seorang pun yang berani mengangkat wajah mereka.  Seperti selalu, tak pernah dia endah. Walaupun pasti ada yang tertanya, kenapa dia memandu sendiri. Bukan Anas. 

Sebaik sahaja lif tiba di tingkat 21, Fuzah terus masuk ke pejabat sendiri.   Di tingkat ini hanya ada pejabatnya, pejabat mak su, bilik Pengurus Besar, bilik untuk Anas dan bilik mesyuarat. 

Lima tingkat lagi; 16 sehingga 20 adalah kegunaan pekerjanya dan tingkat yang lain pula telah disewakan.

Dadanya sesak.  Kepalanya sarat.  Dia benar-benar mahu membawa mama lari dan menerima rawatan yang sepatutnya mama terima sejak sekian lama. Tetapi, mampukah dia hadapi amukan ayah?  Bagaimana jika dia pergi, ayah melepaskan segala amukan pada mak su dan yang lain-lain? 

RAPUH 9

 

UCAPAN syukur tak lepas daripada bibir Luth.  Terkejut dan gembira, bergaul sebati.  Usai mengimamkan subuh tadi, dia sekadar rebahkan tubuh sebelum keluar untuk mencari rezeki.  Di saat dia menyemak e-melnya, ternyata ada panggilan temu duga.  Malah daripada syarikat besar yang menjadi impian ramai orang. 

Gaji dan kemudahan yang ditawarkan sangat menarik. 

Luth bingkas bangun.  Mendapatkan umi yang ada di dapur.

“Umi,” seru Luth dengan suara yang sedikit kuat. 

“Kenapa, Luth?”  Umi yang sedang membasuh beras, mengerutkan dahi.  Terpaksalah dia lap tangan apabila Luth menunjukkan telefon itu padanya. 

“Apa bising sangat dinihari ni, Luth?”  Kak long yang baru sahaja keluar daripada bilik air, turut menegur.

RAPUH 8

 


AWAL pagi lagi, Fuzah sudah siapkan mamanya.  Malah, saat ini dia sedang menyikat rambut mama.  Dia masih teringat, kali terakhir mama menyikat rambutnya adalah lebih lima belas tahun dahulu.  Bagai baru semalam semua itu terjadi.  Masih terasa elusan tangan mama pada helaian rambutnya.  Kerana inilah satu-satu milik mama yang diwarisi olehnya. 

Rambut panjang lurus.  Hitam dan berkilat. 

“Mama pelik… awal betul Fuz pergi sekolah.  Dia sarapan tak tadi?”  soal mama seraya merenung mata Fuzah di dalam cermin. 

“Dah.  Dia kata kena pergi awal sebab ada aktiviti sekolah.  Dia tak sempat sarapan dekat rumah tapi dia bawa bekal.  Mak cik Ros dah bekalkan dia,” jawab Fuzah lembut. 

Friday, August 02, 2024

RAPUH 7

SESEKALI, mata Zana mengerling pada Fuzah yang sedang duduk di meja kerja.  Sebaik sahaja kakak iparnya terlena dan diangkat ke katil, Fuzah berlalu ke bilik sendiri, menyeret langkah yang lemah.

Kala itu, dia sendiri tak mampu ungkapkan walau sepatah kata.  Tidak hanya Fuzah, tetapi, dia juga dengar dengan jelas akan setiap bicara yang kakak iparnya ucapkan.  Nak dikira, ayat itu seringkali dihamburkan.  Cuma, hanya kali ini, Fuzah bagai membentak. Setelah bertahun lamanya, Fuzah akui dirinya sebagai seorang pembunuh.  Kali ini juga, dia lihat Fuzah menangis teresak. 

Semasa dia letakkan segelas air dan ubat tahan sakit itu di atas meja Fuzah, telefonnya bergetar.  Zana cepat-cepat berlalu keluar.  Ditutup pintu biarpun tidak rapat.  Memerhati Fuzah yang begitu tekun membelek kerja.  Berkali dipaksa rehat pun, anak saudaranya itu hanya buat tidak peduli.  Malah, luka kesan kaca yang dicampak oleh mamanya sekadar dirawat biasa sahaja.  Belum lagi dikira dengan kesan luka akibat cakaran di bahu dan belakangnya.  Tak terkira juga kesan lebamnya. 

Thursday, August 01, 2024

RAPUH 6

SEPERTI yang ditelah, Doktor Hanan pasti akan mencadangkan untuk Anas menerima rawatan lanjut di klinik milik lelaki itu.  Bagi memastikan tiada kecederaan yang lebih serius.  Fuzah hanya mampu bersetuju.  Dia mengharapkan tiada yang lebih buruk berlaku kepada Anas.  Pemuda ini adalah harapan keluarganya. 

“Apa-apa, uncle beritahu saya terus, ya?  Lagi satu, tolong jangan sampai ayah tahu,” pinta Fuzah. 

Walaupun Doktor Hanan adalah antara orang yang setia dengan ayahnya, tetapi dia tahu, lelaki ini masih ada rasa empati.  Sejak dulu, dia tahu Doktor Hanan bersimpati pada dirinya.  Pandangan lelaki itu sentiasa penuh dengan kebimbangan.

“Luka kepala Fuzah tu pun kena check juga.”

“Tak apa.  Sikit aje ni.  Kejap lagi saya minta mak su cuci dan letak ubat.  Yang penting sekarang, pastikan Anas tak apa-apa.  Nanti dah selesai, uncle beritahu saya.  Saya hantar orang untuk jemput dia.  Dalam keadaan macam itu, dia tak boleh nak balik rumah sendiri.”

Wednesday, July 31, 2024

RAPUH 5

LANGKAHNYA teratur.  Walaupun, sejak di muka pintu, dia dah dapat mendengar suara keras ayah.  Mahfuzah hentikan langkah.  Membuka beg tangan dan mencari gincu.  Dicalit pada bibir pucatnya.  Kemudian, disapu pemerah pipi. 

Dia berjalan masuk ke ruang tamu itu dan pandangan matanya jatuh pada Anas sedang mengerekot menahan kesakitan.  Darah merah sedang mengalir daripada bibir dan lukanya. 

Hati Fuzah tenggelam ke dasar.  Namun, dia pilih untuk tenang.  Tiada perasaan yang ditunjukkan melainkan pandangan kosong semata.  Dia hampiri ayah dan beberapa orang lain yang ada bersama.  Anas mengerang kesakitan dan saat melihatnya, air mata Anas terus meleleh.  Pandangan matanya jelas meminta bantuan. 

Fuzah alihkan pandangan. 

“Ayah,” serunya bila mendekati Tan Sri Zain. 

Tuesday, July 30, 2024

RAPUH 4

LUTH kalut apabila dia membuka mata dan melihat katil yang sudah kosong.  Malah, selimutnya sudah dilipat elok.  Dia bingkas bangun, mahu mencari namun belum sempat dia menyelak langsir tersebut, wajah seorang wanita lain terlebih dahulu muncul di depannya.  Tubuhnya kaku melihat renungan dingin wanita itu padanya. 

“Siapa nama awak?”  soal wanita itu, perlahan.

“Luth…” 

Zana jongket kening sebelah. Melihat pada cara wanita ini, Luth mengerti akan apa yang dimahukan.

“Muhamad Luth.” 

Zana angguk beberapa kali. 

“Pertama sekali, saya nak ucapkan terima kasih sebab dah bantu bos saya.  Keduanya, saya harap awak tiada sebarang recording atau apa-apa jenis bentuk bahan yang boleh disebarkan kepada public. 

Dahi Luth berkerut lebat.  Tidak memahami apa yang sedang berlaku.  Otaknya terbelit dengan ayat yang dituturkan.  Recording? Bahan yang boleh disebarkan?

Monday, July 29, 2024

RAPUH 3

MUJURLAH jalan tidak sesak.  Kurang lima belas minit, kereta berhenti tepat di lobi Mandarin Oriental.  Luth menoleh pada pelanggan tak diundang di tempat duduk belakang, yang sejak tadi diam tak berkutik. 

“Cik, dah sampai.  Sekejap ya… saya bukakan pintu.” Luth buka tali pinggang keledar.  Dia membuka pintu dan berlalu ke belakang. 

Dia membuka pintu di sebelah penumpangnya. Kelihatan, wanita itu masih terlena. 

“Cik, kita dah sampai,” ujar Luth, sopan. 

Dia kerut dahi bila tiada tindak tindak balas. 

“Cik…”  Luth beranikan diri menyentuh bahu wanita itu dengan hujung jari telunjuknya.

“Cik?”  panggilnya buat ke sekian kali. 

Friday, July 26, 2024

RAPUH 2

SEBAIK sahaja dia tiba di lobi pejabat, pemandunya sudah sedia menanti. Namun, wajah itu sedikit suram.  Nampak takut dan kecut.  Dahinya berkerut lebat.  Fuzah rapati.  Pintu tidak dibuka seperti biasa.  Dia tidak kisah sebenarnya.  Andai perlu, dia boleh buka sendiri.  Tetapi, dia tidak pernah dididik untuk lakukan sesuatu yang bukan tugasnya.  Dia telah diasuh untuk letakkan benteng yang tinggi antara dirinya dan sesuatu yang bukan tempatnya. 

“Maaf, cik puan.”  Suara Anas menyapa telinga.

“Kenapa?”  Permohonan maaf Anas kedengaran asing.  Lelaki ini jenis tak banyak bicara dan jarang melakukan kesilapan. 

“Baru sekejap tadi sebelum cik puan turun, engine kereta mati.  Saya dah pergi servis minggu lepas cuma tak pasti apa masalahnya lagi.  Saya dah cuba hidupkan tapi tetap tak boleh.  Maaf, cik puan.  Saya tahu cik puan nak cepat.”  Suara Anas kian gugup. 

RAPUH 1


KEDUA-DUA
belah siku ditongkat atas meja. Tangan kanan naik memicit pelipis.  Pandangan mata mula terasa kabur.  Sejak kebelakangan ini, rasa pening semakin giat hadir menemani hari-hari yang terlalu sibuk. Laporan setebal setengah inci itu ditolak ke hadapan.  Belakang tubuh bersandar pada kerusi. Mata dipejam.  Nafas panjang dihela berkali-kali. 

Suasana bilik hening. Tiada siapa berani bersuara. Hanya tunduk menanti patah bicara dan arahan seterusnya daripada wanita yang sedang duduk di kerusi eksekutif berwarna hitam itu, berpejam mata.

“Kenapa boleh jadi macam ini?” Suara lunaknya memecahkan kesunyian.

Matanya masih terpejam.  Memasang telinga. Tetapi, jawapan masih tidak kedengaran. Antara mereka, masih ditemani hening. Perlahan-lahan kelopak mata diangkat.  Memandang tepat ke hadapan.  Tidak dipakukan mata pada sesiapa.  Cuba membendung rasa berbalam yang masih belum mahu hilang. 

Thursday, May 23, 2024

Anak Perempuan Dato' Pengarah - Released

Kata orang, masa akan mengubati segalanya.  Kerana itu, sehingga kini Tiani masih berharap waktu itu tiba. Kejadian itu benar-benar meninggalkan parut kekal pada jiwanya.  Dia terus membalut resah dan gundah dengan senyuman dan tawa kerana tidak mahu mereka yang disayangi turut sama menderita.       

Namun, dia sendiri tak pernah menduga apabila Tuhan menghantar seseorang yang mendengar biarpun dia tidak bersuara.  Yang melihat dengan jelas walau dia terus bersembunyi.  Yang memahami biarpun tak pernah dia luahkan rahsia hati.   


“Eh… kenapa ni, awak?” – Lukman

“Maaf… tapi tolong.  Selamatkan saya…”  - Tiani


Ketenangan Lukman terganggu.  Tak pernah disangka, dalam perjalanan hidup yang mana dia tak pernah kisah tentang cinta, seorang wanita asing tiba-tiba sahaja jatuh ke dalam pelukan.  Dia ingin menolak.  Tapi, merasakan tubuh halus itu menggigil ketakutan dan melihatkan airmata daripada mata redup itu mengalir lesu, Lukman relakan diri.

Friday, February 23, 2024

Yang Tertinggal 5 (end)

Hari ini adalah hari terakhir.  Benda seronok dan membahagiakan memang selalunya seketika.  Yang kekal, hanyalah di akhirat sana.  

Perjalanan kami daripada hotel ke airport Srinagar, lancar.  Aku dah beritahu, airport ini adalah airport army dan ceritanya masih tak berubah daripada awal penceritaan.  Kami kena turun ke check-point pertama dalam cuaca sangat sejuk dan hujan.  Masa ini, aku dah tak pakai thermal.  Jadi, gigi aku clicking aje tak henti-henti.  Bagusnya setelah lalui proses scanning bag, aku perasan, zip beg aku dikunci dengan cable-tie tebal.  Security nya aku harus puji.  Tak perlulah aku pad lock lagi sebab aku lupa nak pad lock masa tu.  

Yang Tertinggal 4

Tak silap aku hari ini hari ke-5 kot.  Aku lupa hari sepanjang di sana. Yang aku ingat, hanya tarikh.  Kenalah ingat, nanti terlepas hari balik pula.  Dah jadi pendatang di Kashmir aku ini.  Aku suka di situ sebab cantik dan segalanya murah.  Cuma, aku tak boleh nak tengok askar berkeliaran tu.  Aku takut.  

Hari ini, misi sebenar bermula.  Farhan ada beritahu, 18 Februari 2024, dijangka bermula salji yang sangat lebat.  Tahun ini, salji turun lambat.  Siapa yang datang bulan Januari, semua hampa.  Mestilah datang nak tengok salji sebab di negara kita, tak ada.  

Demi zat Allah yang telah memberi kepintaran kepada manusia sejagat, maka benarlah.  Salju itu sedang menanti kami di danau yang penuh kerinduan.  

Yang Tertinggal 3

Hari yang memenatkan semalam tu, rupanya hilang bila aku bangkit pagi ni. Rasanya, sebab tilamnya yang ada heater.  Rasa macam bertungku.  Selesa dan nyaman tidur.  Juga rasa macam ada di sauna. Ada ketika berpeluh.  

Hari baru tiba lagi.  

Hari ini, kami akan ke Pahalgam.  Harapnya, terubatlah sikit kecewa semalam tak dapat nak naik ke puncak Gulmarg.  Nak diceritakan memang tak ada rezeki.  Pastilah Tuhan akan ganti yang lebih baik. Kali ini, aku ingat berapa jauh Pahalgam daripada Srinagar.  98km, melalui lebuh raya dan juga jalan biasa. Mengambil masa dua jam lebih juga.

Sama seperti jalan ke Gulmarg, ke Palhagam juga cantik.  Cuma tiada melalui lereng gunung-ganang. Sepanjang perjalanan, aku melihat sungai yang sangat indah.  

Air yang mengalir itu nampak tenang kehijauan. Tiada langsung ternoda.  Boleh jadi kerana ia adalah kaki gunung.  Jauh dari hiruk pikuk kota tapi bunyi hon itu tak pernah tak ada (yang ini aku dah lama reda)

Thursday, February 22, 2024

Yang Tertinggal 2

Aku rancang nak tulis dalam beberapa bahagian cerita ni.  Anggap ajelah baca cerpen yang berdasarkan kisah benar.  

Misi sebenar sedang bermula.  Kami akan ke Golmarg.  Sebuah pergunungan yang diliputi salji.  Kan dah beritahu, misi kami adalah menjejaki salju di danau rindu.  Tapi, rindu itu mencair.  Aku tak berjaya sampai di danau dan rindu sekadar dihembus sepi.  

Sebelum itu, aku cerita kejadian awal pagi itu.  

Jam 8.30 aku turun ke lobby hotel.  Seperti biasa, memang tak puas aku pandang ruang lobby ni sebab cantik.  Nampak exotic.  Selain suka menulis dan membaca, aku suka seni.  Konon.  

Sarapan dia, masih tak boleh nak makan sangat sebab capati/tosei ni bukan selera aku sejak sekian lama.  Maka, aku capai 2 biji telur rebus.  Cukup dah tu.  Travel pun, makan kena jaga.  Gittew.  

Wednesday, February 21, 2024

Yang Tertinggal 1

Kata orang, tak kenal maka tak cinta.  Dari mata jatuh ke hati.  Anehnya bila aku rasa semua tu tidak lagi sama.  Kerana pendirian aku telah berubah.   Yang tidak kenal pun boleh untuk jatuh cinta.  Tak perlu melihat terus ke mata, juga boleh jatuh tepat di tengah hati.  Dan, jangan salah faham.  Bukan pada ciptaan Allah yang dinamakan manusia.  Namun, pada alam yang diciptakan oleh Pencipta manusia. 

Boleh jadi kerana terlalu penat dengan urusan menulis yang aku rasa tak pernah berhenti sejak 2011, aku pernah umumkan pada semua yang aku akan berehat seketika.  Namun, menjadi penulis ini rupanya tidak ada masa untuk berehat.  Memikirkan cara mana untuk aku berehat sedangkan otak tak pernah berhenti bekerja, mencerna dan mengerah idea… ada baiknya jika aku terus tulis sahaja ceritanya.  

Hinggalah pada satu hari… aku pujuk diri.  

Rehatlah seketika.