Monday, January 09, 2017

Maghfirah 12

PUNGGUNG dilabuhkan.  Letih sangat memandu.  Biarpun dah biasa tapi setelah mengharungi hari-hari yang sibuk di Bandar, siapalah tak penat.  Nak sampai kampung ni bukannya dekat jugak. 
Nazri sandarkan kepala ke badan sofa kulit itu.  Memejamkan mata rapat.  Harap nak lelap untuk seketika tapi harapannya hampa bila pehanya ditepuk orang.  Kelopak mata yang berat diangkat terpaksa.  Wajah mak terbias di mata. 
“Tak dengar pun sampai.  Balik naik apa?” 

“Keretalah, mak.  Tak kan naik kereta api pulak…”  Bibir Nazri herot.  Mak ni pun, tak pernah dia buang tebiat naik kereta api atau bas.  Apa guna ada kereta kalau tak nak guna. 
“Yalah, dah senyap aje.  Salam pun tidak…”
“Ri dah bagi salam tadi.  Tapi senyap aje.  Tengok pintu terbukak.  Itu yang terus naik.  Lagipun, letih sangat ni, mak.  Banyak kerja betul. Ini pun sempat balik sebab ada projek dekat Raub.  Itu yang nekad balik ke sini.  Dapat rehat sehari dua pun cukuplah.  Makan masakan mak…”  Nazri senyum. 
Mak Siah juga senyum.  Pandai aje budak ni beli jiwa dia.  haih…
“Dah kalau penat, masuklah rehat.  Tidur dekat sini tak selesa…” 
“Kejap aje.  Nak lelap aje.  Bukan nak tidur.  Tapi, mak… ayah mana.  Tak nampak pun.”  Sempat juga dia cari ayah tadi, tapi kereta pun tak ada. 
Sah-sah memang tak adalah tu. 
“Ayah, macam biasalah.  Pergi Jerantut gamaknya uruskan sawit dia tu.” 
“Banyak lagi ke sawit ayah, mak?” 
“Bilalah nak habis.  Ayah baru tanam pulak yang baru.  Dia tak cakap dekat kamu ke?” 
Nazri geleng.  Sejak dia tegaskan yang dia tak nak kerja dengan ayah, jarang sangat dia ambik tahu tentang urusan ladang dan kilang sawit ayah.  Malaslah dia.  Hidup di kampung, tak kena dengan jiwa dia.  Sekarang pun, dia dah jarang balik.  Malas! 
“Ri balik ni, sorang lagi ke?”  Mak Siah tersenyum-senyum.
Dahi Nazri berkerut.  Dah kenapa pulak mak tanya soalan ni.  “Bukan Ri biasa balik sorang aje ke?  Bila masa Ri ada adik-beradik lain?” 
“Lor, buat-buat tak faham pulak dia…” 
Lama Nazri pandang wajah maknya yang tersipu.  Lama-lama dia mengeluh sendiri bila faham akan apa yang mak maksudkan.
“Kan Ri dah cakap, Ri tak sedia lagi…”
“Sampai bila?  Dah dekat umur tiga puluh dah.”
“Tapi, belum lagi, kan?” 
Mak Siah buat muka.  Ada aje jawapannya.  “Kalau bukan sekarang, bila lagi.  Ri dah stabil.  Ada kerja sendiri.  Kalau tak kerja pun, semua harga ayah tu… kalau bukan untuk Ri, untuk siapa lagi.  Nak bela anak bini lebih daripada cukup.  Boleh bermewah lagi.” 
“Mak, bukan sebab tu…”  Nazri ketap bibir.  Membuang pandang ke tengah ruang tamu yang serba mewah. 
Entah bila ayah besarkan lagi rumah.  Perabot pun nampak baru. 
Bila mak sebut soal nikah kahwin, dalam kepalanya hanya satu yang tergambar.  Kekesalan.  Malah, wajah itu tak pernah lepas bergayut di matanya.  Suara itu tak pernah tak ganggu pendengaran dia. 
Tapi, semuanya terjadi dalam sekelip mata.  Mereka dah jadi orang asing.
“Jangan cakap Ri dok harapkan lagi…” 
“Mak…”  Nazri mencelah.  Tahu sangat apa yang mak dia nak cakap. 
Biarpun Nazri menafi, tapi hati seorang ibu yakin dengan apa yang dia rasa.  Nazri memang masih sayang pada Maghfirah gamaknya.  Sebab tu, Nazri masih seorang diri sampai kini biarpun perkara itu dah terlalu lama berlalu. 
“Benda dah lama jadi, Ri.  Ri tak lupa lagi ke?” 
“Lupa apa ni, mak?”  Nazri buat tak mengerti.
“Jangan ingat mak tak tahu, Ri…”
“Ya, Ri tahu mak tahu.  Tapi, jangan salah faham.  Kadang-kadang aje Ri teringat.  Bukan sebab dia Ri masih bujang.  Belum ada jodoh.  Nanti, adalah tu.  Mak jangan risau sangat.  Ri masuk bilik dululah.  Nak rehat.  Kot ayah balik, mak kejutlah buatnya Ri tertidur terus ke…”  Nazri bangkit. 
Tangan maknya digenggam sesaat sebelum dia berlalu ke dalam bilik. 
Daun pintu dirapatkan.  Dia berjalan ke bilik air.  Kemeja dibuka.  Wajah dibasuh berkali-kali.  Dan, dia pandang wajah sendiri di dalam cermin.  Dia toleh ke kanan.  Parut itu masih ada.  Biarpun dah tak jelas mana, tapi masih ada.  Parut yang tak akan hilang.  Parut yang membawa kekesalan yang bukan sedikit. 
Firah… saya rindu awak! 
Telahan mak, tepat! 


RALIT Maghfirah memerhati Ian yang sedang merumput di kebun.  Pandai ke?  Itu yang buat dia tertanya pada mulanya tapi melihatkan cara Ian yang tak kekok langsung, dia tertanya… betulkah lelaki ini seorang doktor dulu?  Atau Ian memang orang kampung tapi saja cakap diri doktor untuk buat dia kagum?  Begitu?
Tak… dia tak kagum dengan semua tu.  Dia hanya kagum dengan lelaki yang bertanggungjawab. 
“Berapa lama nak pandang saya?” 
“Hah?  Saya pandang?”  Maghfirah terpinga-pinga.  Buat muka tak bersalah bila disergah.
“Habis tu, tak pandang ke?”
“Eh, mana ada…”  Yakin, Maghfirah menafi. 
“Saya baru aje datang ni, nak ajak awak minum…” 
Ian simpan senyum bila Maghfirah kemain menafi.  Selalu macam tu kalau kantoi renung dia.  Ian bawak cangkul dan disandar pada tepi tangga. 
“Pak Mansor tidur lagi ke?” 
Maghfirah angguk.  “Ayah tak sihat…” 
“Kalau gitu, biarlah dia rehat.  Malam karang, kalau tak okey lagi… saya bawak dia pergi kliniklah…”
“Nak pergi dengan apa?”  Ian ni buat-buat lupa ke apa.  Kereta sebelum tu pun, milik Pak Suhaimi.  Bukan milik ayah.  Sejak Ian datang, kereta tu memang dah dipulangkan lepas Ian betulkan tempoh hari. 
“Oh, ya tak yalah…”  Mulalah dia rasa nak kena ada kereta ni. 
“Maaflah.  Saya pun mengembara tanpa ada harta.  Diri sendiri ajelah harta saya tapi itu pun dah jadi hak orang.”  Mata dikenyit.
Maghfirah mencebek lebar.  Tak payah buat kelakar.  Tak lucu langsung! 
“Cepatlah.  Dah lewat petang ni.  Ayah ajak awak berjemaah…”
“Yalah.  Saya masuk ikut dapur…”  Langkah dihayun ke pintu dapur yang dah sedia ternganga lebar. 
Tangan kaki dibasuh bersih.  Ian duduk bersila.  Di situ dah terhidang sedikit makanan.  Bibirnya senyum sendiri saat meneguk teh o panas.  Andai nak dikira dulu dan sekarang, segalanya berbeza.  Tapi, perjalanan dia yang begitu panjang dan jauh telah menjadikan dia sedar, dia insan tak punya apa. 
Jadinya, setiap rezeki yang ada depan mata dia terima dengan hati dan dada yang lapang.  Tak akan merungut lagi seperti mana yang pernah dia lakukan satu waktu dulu.  Sudahlah tidak bersyukur, hati pun masih merasa tak cukup. 
“Saya dah siapkan baju awak kalau awak nak mandi terus lepas minum…”  Maghfirah muncul di ambang pintu. 
Ian melangut pandang.  Tersenyum pada gadis itu.  Mengangguk tipis demi rasa terima kasihnya atas kebajikan yang dijaga oleh dua beranak itu. 
“Pak Mansor tak bangun lagi?”  Hati Ian dibalut risau. 
“Dah bangun dah.  Kejap lagi ayah turun…”  Maghfirah hilang seketika dan muncul dengan memimpin tangan Pak Mansor. 
Ian bangkit.  Tapi, Pak Mansor larang.  “Minum dulu.  Jangan dok risau sangat.  Bila dah tua ni, biasalah.  Tak sakit itu, sakit ini.  Sengal-sengal tu, perkara biasa…”  Pak Mansor turut labuhkan duduk di depan Ian. 
“Macam mana kehidupan dekat sini sekarang?  Ada rasa nak pindah ke Bandar ke?  Manalah tahu, nak carik kerja sesuai dekat sana?  Bina kehidupan lebih baik?”  Perkara ini pernah dia tanya pada Ian malah pada Maghfirah sendiri, tapi Ian diam.  Hanya Maghfirah yang menolak. 
Dia faham.  Ian anak muda yang bebas jiwanya. 
Burung yang sentiasa terbang bebas di awan biru tanpa dipagari apa-apa, mungkin sukar untuk berjinak di dalam sangkar yang tak seberapa ini.  Andai Ian nak pergi, dia akan akan restui setiap langkah anak muda ini.  Asalkan jumpa apa yang dicari.  Asalkan sentiasa ingat pada Tuhan. 
“Saya okey aje dekat kampung.  Sebelum ni pun, ceruk kampung mana saya tak masuk.  Semua saya redah.  Ini dah kira sangat selesa dah untuk saya.  Jangan risau sangat tentang saya,” pujuk Ian perlahan. 
Birai cawan dibawa rapat ke bibir.  Dihirup sopan.  Bila dia angkat mata, Maghfirah sudah duduk di sisi Pak Mansor.  Merenung ayahnya penuh risau. 
“Ayah tak sihat lagi, kita pergi klinik nanti, ya?” 
“Eh kamu ni.  Nak pergi dengan apa.  Kita bukan ada kenderaan.  Kan kereta Suhaimi tu, ayah dah hantar…”
Ian ketap bibir.  Rasa nak gelak.  Jawapan anak dengan ayah sama ajelah.  Haih…
“Saya boleh pergi pinjam kereta Pak Suhaimi kejap.  Kalau dah memerlukan, rasanya Pak Suhaimi akan bantu…”  ujar Ian pula. 
Pak Mansor memandang anak muda di depannya.  Angguk perlahan.  Ya, setelah dipulaukan… hanya Suhaimi yang masih sudi berbicara dengan dia.  Hanya Suhaimi yang masih sudi membantu mana yang mampu kerana dia tahu, Suhaimi pun tidaklah senang mana walaupun tidak sesusah dia. 
“Jangan risau.  Ayah okey.  Dah makin okey…”  Sayu hati Pak Mansor melihat kegusaran hati Maghfirah.  Bahu anaknya disentuh.  Pak Mansor angkat tubuh. 
“Ayah mandi dulu.  Ayah tunggu kamu berdua berjemaah…”  Pak Mansor terus menapak ke atas. 
Menghantar langkah ayah pergi, mata Maghfirah berair.  Langkah ayah dah tak segagah dulu.  Adakah kerana ayah rasa diri tak sihat, sebab itu ayah pinang Ian untuk dia?  Risau tiada orang menjaganya? 
“Kan ayah awak cakap dia okey.  Jangan risau sangat, Firah.  Kalau awak risau, lagi buat ayah awak susah hati.  Lagi dia rasa sakit.” 
“Ada pulak macam tu?”  bantah Maghfirah seraya menoleh pada Ian.  Kerutan jelas terentang tanda tak setuju dengan kata-kata Ian.
“Yup.  Memang macam tu.  Itu memang psikologi manusia, Firah.  Bila semua orang dok risau, tubuh dan minda kita akan automatic berasa lemah.  Contohnya, orang sakit.  Bila dia sakit biasa… dia telan ubat, sihat semula… dia boleh teruskan aktiviti macam biasa biarpun sakit tu masih berbaki.  Cuba sekali dia didiagnosis dengan penyakit kritikal.  Emosi dan tubuh akan tafsir yang bukan-bukan.  Semangat akan down.  Konsep dia sama aje dengan keadaan ayah awak sekarang,” cerita Ian serius. 
Dahi Maghfirah yang berkerut tadinya, mula beransur licin.  Dia mencebek tapi terpaksa juga diiyakan.  Dia lupa, lelaki di depan dia adalah bekas doktor.  Yang dia tak tahu, macam mana boleh jadi ‘bekas’.  Dia pun tak sempat tanya lanjut.  Atau mungkin tak sampai hati nak tanya dengan kata-kata Ian tempoh hari. 
“Tapi, saya takut jadi apa-apa dekat ayah.  Kalau ayah tak ada, saya tinggal sorang.  Pada siapa saya nak bermanja…”  Wajah ayu itu kembali sugul. 
Haiya… dia dah cakap dia akan jadi penawar pada sakit hati Maghfirah dan sekarang, soalan yang hampir sama pula Maghfirah aju.
“Maghfirah?”  panggil Ian.
Maghfirah menoleh. 
“Ini…”  Ini tepuk bahu bidangnya yang nampak kukuh dan sasa.  “…ini ada untuk jadi tempat awak bermanja.”  Mata dikenyit.

Maghfirah telan liur.  Wajahnya terasa bahang.  

...bersambung

14 comments:

  1. wowww..cpt2 la menikah ian-firah oiii...hihi

    ReplyDelete
  2. Hahahaha, Ian ni..nuat laak tak beragak la..huhu, kesian firah kena bahan je..

    ReplyDelete
  3. Lame lg ke derang nk bersatu..risau plak makin byk yg mengata ni..

    ReplyDelete
  4. Cepatlah kawen, risau ni takut pak mansor bye2..mcm2 ulah timbul nanti

    ReplyDelete
  5. Haip..kawen dulu 😅😎😆 tqvm RM for the update 🌹🌷💐

    ReplyDelete
  6. Cepatlah kawin ian+firah..
    nnt ada org ketiga bakal menagih kasih huhu

    ReplyDelete
  7. Suwit nye awak....A shoulder to cry on

    ReplyDelete