Wednesday, January 11, 2017

Maghfirah 16

AIR muka Pak Mail bengis.  Dia renung Nazri tajam.  Dan, dia juga tahu Nazri buat-buat tak tahu akan renungan dia.  Orang dah pesan awal-awal, dia pergi carik jugak perempuan tu, dah kenapa?  Habis semua orang dok datang berbisik dekat telinga dia, Nazri ludah jilat balik.  Mengemis pada Maghfirah dekat kenduri Suhaimi semalam. 
“Ayah nak cakap apa?”  Nazri balas renungan ayahnya.
“Rasanya kamu dah tahu apa yang ayah nak cakap ni.”
Nazri sengih sendiri.  Dia pandang mak yang hanya diam.  Ya, dia memang tahu angin apa yang sedang bertiup sekarang.  Mungkin semakin kencang.  Tapi, lantaklah.  Dia tak buat salah apapun sekarang.  Jika dulu, memang dia salah tapi semalam tu… dia hanya bertanya khabar.  Salah ke?

“Kan mak dah pesan…”
“Ri tak buat apapun, mak.  Terserempak.  Bukan Ri sengaja…”
“Habis tu tak boleh basuh tangan dekat depan…” herdik Pak Mail.
“Kan Ri dah cakap, air tak ada.  Kalau tak, Ri pun tak rajin nak pergi sampai belakang…”
“Bukan sebab kamu memang nampak dia?”  Suara Pak Mail kian meninggi.  Biarpun dipujuk  isteri, marahnya tak surut. 
“Kalau Ri nampak dia, yah… rasanya Ri akan jauhkan diri…”  akui Nazri perlahan.
“Kenapa pulak?  Kamu salah apa pada dia?” 
Mendengarkan soalan ayah, Nazri diam lagi.  Tunduk menekur ke permaidani.  Soalan apalah yang ayah tanya ni.  Sedangkan ayah tahu segala apa yang terjadi.  Sepatah pun dia tak sorok daripada ayah akan kejadian malang tu. 
“Ri rasa nak gerak balik malam nilah, mak…”  Tak betah dia nak duduk di rumah yang sentiasa membahang dengan amukan ayah dan bebelan mak. 
Elok kalau dia tak balik.  Semuanya serba tak kena. 
“Haa… panas punggunglah tu, perempuan yang kau suka tu ada jantan lain!”  Sekali lagi Pak Mail mengherdik.
Nazri pandang ayahnya dengan dahi yang berkerut.  Semua orang bercakap perkara yang sama malah Maghfirah sendiri tak nafi walaupun sepotong ayat.  Makna kata, benarlah segalanya.  Sejak bila Maghfirah begitu berubah?
“Susah Ri nak percaya Maghfirah buat perangai macam tu, yah.  Melainkan orang tu betul-betul perlukan bantuan…”
“Eh, Nazri.  Orang kampung ni ada mata, ada telinga.   Boleh tengok, boleh dengar.  Kalau orang tumpang pun, tak kanlah berbulan…”
“Berbulan?”  Lamanya.  Terkejut dia mendengar kata-kata ayah.  Nazri toleh pada mak.  “Betul ke mak?” 
“Tidaklah lama mana, tapi dah dekat dua bulan tak.  Entahlah.  Mak pun tak ambik tahu sangat orang dok cerita…”
“Awak tu, apa yang awak ambik tahu.  Anak awak yang seorang ini ajelah.  Yang lain semua awak abaikan.  Yang sakit telinga, saya nilah…”  Amukan Pak Mail beralih pada isteri.
Suasana kembali diam.  Nazri sedang berkira-kira sendiri.  Perlu ke dia ke rumah Maghfirah dan melihatnya dengan mata kepala sendiri?  Dia kenal orang kampung.  Dia juga arif dengan sikap ayah.  Tak semua yang diluah, boleh diterima.  Kebanyakannya tak boleh pakai.  Orang kampung jugak sama.  Mereka akan memihak pada yang berkuasa.  Yang berkuasa dalam kampung ini adalah ayah. 
“Ri nak keluar kejap, mak…”  Tanpa menanti mak dan ayahnya menjawab, Nazri terus berlalu ke pintu besar.
Panggilan dan larangan ayah langsung tak mampu menahan rasa  ingin tahu dalam hatinya.  Jika dulu dia pernah tinggalkan Maghfirah terkulat-kulat menahan tohmahan sendiri, kali ini dia akan buktikan pada Maghfirah.  Dia dah berubah.  Dia dah berani.  Dia akan pertahankan Maghfirah. 



LANGIT terang.  Biarpun tiada bintang, tapi udara mala mini nyaman.  Rasa resah cuba didamaikan mengikut rentak elusan angin.   Usai menghidang makan malam, dia terus keluar.  Tak berselera nak jamah makanan bersama dengan ayah dan Ian.  Biarlah mereka berdua.  Boleh jadi, Ian lebih selesa meluah dengan ayah andai nak dibandingkan dengan dia yang sepertinya, tiada tempat langsung dalam hati lelaki itu.
Pada mulanya, dia tidak kisah akan semua itu.  Janji ayah pilih dan ayah bahagia, dia akan terima.  Tapi sekarang, dia baru sedar.  Ada rasa tamak dalam dirinya yang sudah pandai mengadu-domba.  Itu tak cukup, ini tak kena dan semuanya kerana Ian. 
Sesekali, dia tertanya lagi… tepatkah keputusan yang telah dia buat tempoh hari?  Inikah kehendak hati?  Tapi sayang tiada berjawapan kerana satu yang pasti, ini semua kehendak takdir.  Kerana itu dia paksa dirinya terima. 
Segalanya! 
Kesakitan.
Keresahan.
Kekesalan.
Perlahan-lahan, Maghfirah rebahkan tubuh di atas pangkin bawah rumah.  Ditarik sedikit kaki agar bengkok.  Ditutup kaki hingga pinggang dengan sehelai kain batik.  Mengelak daripada digigit nyamuk dan rasa sejuk. 
Mata dikatup perlahan.  Wajah Nazri datang.  Dia tolak pergi.  Hinaan orang kampung bergema dalam kepala, dia telan sendiri.  Kemudian, wajah Ian muncul entah daripada mana.  Hanya tetamu pada mulanya tapi sekarang, dah jadi sebahagian penghuni teratak buruk dia.  Malah, paling menyakitkan… menghuni hati dia yang dah lama dia kunci.
Mana Ian jumpa anak kunci?! 
Pelik! 
Saat merenung daripada dekat wajah lelaki itu semalam dan sakitnya hati bila mendengar Ian dikata orang, dia tahu dia benar-benar jatuh kasih pada lelaki itu.  Tapi, hati Ian hati yang tak mudah untuk dihuni dan dia tak berani nak mengetuknya.  Bagaimana jika ada penghuni lain yang membuka pintu?  Saat itu, mampukah dia berlalu pergi dengan hati yang redha?  Atau dia akan terduduk di situ, mengemis ruang yang mungkin tiada tersisa? 
Tangan Maghfirah menyentuh juring mata.  Ada air jernih yang mengalir.  Sejak akhir-akhir ini, jiwa dia kembali hidup gamaknya.  Kerana itu begitu mudah dia tersentuh. 
“Kenapa Firah tak makan?” 
Maghfirah kakukan tubuh bila dengar suara ayah menegur.  Ayah sedang duduk di belakangnya.  Ayah yang sedang menyentuh kepala yang dia tutup dengan tuala. 
“Ayah mintak maaf sebab paksa Firah pergi kenduri semalam.  Ayah pun tak perasan makhluk Allah yang satu tu ada…” 
Tanpa mampu dikawal, Maghfirah terlepas esakan.  Dia ketap bibir.  Tangan ayah terhenti daripada terus membelai kepalanya.  Dia rasa ayah semakin rapat mengesot mendekatinya. 
“Ayah tahu Firah dah tak dendam apa-apa dengan dia.  Tapi, bila tengok Firah sedih macam ni, hati ayah tak senang.  Lagilah ayah rasa bersalah…” 
“Firah okey, ayah.  Jangan risau,” sahut Maghfirah akhirnya. 
Pak Mansor senyum.  Biarpun tak lega mana, tapi setidak-tidaknya Maghfirah menyahut.  Bukan terus jadi patung cendana seperti dulu. 
“Tapi, Pak Mi tanya ayah… Firah tak teringin ke ada majlis macam tu paling tidak nanti-nanti…” 
“Firah tak perlukan semua tu, ayah.”
“Tapi, majlis macam tu kan nanti untuk orang tahu kalau kata Firah kahwin nanti…”
“Biarlah, ayah.  Firah memang tak perlukan semua tu.  Apapun kita buat, orang tetap akan cari salah kita.  Firah dah letih nak laung pada dunia tentang segalanya.  Sampai masa Firah diam.  Cukuplah ayah aje tahu.  Yang lain, Firah tak perlukan…” 
Pak Mansor telan liur.  Sakit dadanya.  Begitu sekali Maghfirah kecewa dengan dunia.  Dia menoleh ke kanan.  Tersenyum lagi. 
“Kalau gitu, rehatlah.  Tapi, jangan lama-lama berembun.  Nanti Firah demam…” 
“Erm… tapi, boleh ayah tepuk bahu Firah?  Firah nak tidur atas riba ayah.  Sehari dua ni, Firah rasa kepala Firah berat sangat.  Macam-macam benda ada dalam kepala…”  pinta Maghfirah memujuk. 
Mata dipejam bila dia rasa ada tangan mengangkat kepalanya.  Tangan suam itu begitu lembut mengusap rambut panjangnya.  Mengusap bahunya hingga akhirnya dia benar-benar terlena.  Lena yang tak dipaksa seperti malam-malam sebelumnya. 



MATA Maghfirah bulat sebaik saja dia buka mata bahana kaki yang ngilu digigit nyamuk.  Sukar  untuk dia percaya, riba yang menjadi alas kepalanya semalam, tangan yang menepuk bahunya dan pinggang yang dia peluk adalah milik Ian.  Bukan milik ayah.  Serta-merta wajahnya pucat. 
Hari masih lagi gelap.  Gamaknya belum subuh.  Apa ke gila Ian datang tidur dengan dia atas pangkin bawah rumah ni?  Buatnya orang nampak?  Apa dia nak jawab nanti?  Maghfirah cuba bangkit tapi tangan kekar itu menahan. 
“Nak masuk dalam rumah dah ke?”  Ian menyoal tanpa membuka mata. 
“Kenapa awak ada dekat sini?” 
“Tak kan saya nak biar awak lena sorang-sorang dekat sini?  Kena culik nanti, macam mana?” Ian juga tak kalah dengan soalan.  Dia buka kata.  Mengantuknya. 
“Habis tu, patut awak kejut saya malam tadi lagi…”
Pegangan pada lengan Maghfirah dilonggarkan tapi masih lagi dia genggam biarpun tak seerat tadi.  Kedua belah kaki dilunjur.  Kebas segala urat bila semalaman bersila, menampung berat kepala Maghfirah tanpa dapat bergerak sedikit pun.  Ini baru dapat menggeliat.  Membetulkan urat. 
“Saya nampak awak penat sangat.  Awak lena sangat.  Saya tak sampai hati nak kejut…” 
Maghfirah tunduk.  Rasa bersalah pula.  Dahlah orang tu tidur duduk sebab kau.  Tak berterima kasih langsung. 
“Kalau awak nak tidur sini, tidurlah.  Saya nak naik dah…”  Kaki dilunjur ke bawah.  Maghfirah sarung selipar dan terus masuk ikut pintu dapur. 
Dia tahu Ian mengikut langkahnya.  Tak menanti dia terus panjat anak tangga dan baru nak tutup pintu bilik, tangan kasar Ian menahan.  Dahi Maghfirah berkerut. 
“Saya nak lelap kejap.  Sejam lagi baru orang azan Subuh.  Saya betul-betul letih,” ujarnya sambil menolak pintu namun, kudrat Ian tak mampu ditandingi. 
“…awak pergilah masuk bilik sana.  Ayah pun lelap dekat luar…”
“Kalau saya nak masuk bilik ni?”  duga Ian.
Wajah Maghfirah masam.  “Tak elok buat perangai macam ni walaupun orang tak tengok…”
“Apa salahnya.  Awak jugak cakap, tak ada orang tengok.  Ini antara kita.  Kalau awak tak cakap dekat orang, saya pun rahsiakan benda ni… tak ada orang tahu,” pujuk Ian perlahan.  Tangannya digagahkan sedikit menolak pintu yang ditahan kuat. 
Dia simpan senyum.  Wajah Maghfirah pucat. 
“Kenapa, Firah?  Sedangkan awak layan saya dengan baik.  Bagi bahu, riba, tangan… tak kan saya tak boleh mintak lebih?”
Maghfirah masih diam.  Terkejut satu hal, terpanar dah jadi dua hal.  Hingga dia kelu seribu Bahasa. 
“Boleh ya, Firah...” Kali ini bila Ian tolak pintu, ianya terbuka lebar tanpa ada yang menahan. 
Maghfirah sedang menyerah.  Terpaksa yang pastinya.
“Awak tak rela, kan?”  tanya Ian lemah.  “Kenapa?” 
“Sebab Tuhan tahu isi hati saya.  Hati yang tak pernah sesiapa mengerti,” jawab Maghfirah dan bila dia berpaling, dia juga tahu… Ian menapak pergi.  Menjauhi dia. 

Airmata dia menitis lagi.  

...bersambung

10 comments: