RAHSIA. Biarlah terus menjadi rahsia. Dia tak akan cakap pada sesiapa melainkan
hanya diri sendiri saja yang tahu. Tidak
pada Pak Mansor, jauh sekali pada Maghfirah.
Sementelah pulak mereka tak bertanya.
Dia pun tak ada sebab nak bercerita.
Aib yang dah Tuhan tutup cantik, mana mungkin dia sendiri nak
bukak.
Tapi, gilakah
dia bila begitu berani menerima ‘pinangan’ Pak Mansor untuk gadis sebaik
Maghfirah? Tidakkah dia sedar dirinya
siapa? Masih berani bermain dengan hati
wanita? Ian raup wajah.
Tidak…
Jawapan yang dia
dapat adalah daripada Tuhan. Dia sujud
dalam solatnya. Lama. Dia mencari jawapan. Adakah di sini titik pertemuan untuk sebuah
kehidupan baru? Adakah Maghfirah
destinasinya?
Dia tak sesekali
berani untuk cuba miliki Maghfirah semberono aje.
Kerana itu juga
dia pujuk gadis malang itu. Tapi,
Maghfirah tidak semalang dia. Dia lagi
malang. Malang yang orang beriman akan
gelarkannya sebagai ujian. Hanya manusia
jahil sepertinya merasa diri malang.
“Ian?” Daun pintu terkuak.
Ian toleh. Wajah Pak Mansor muncul. Tersenyum seperti biasa tapi nampak tak
berapa sihat.
“Kamu berkurung
aje. Kenapa?” Pak Mansor risau sebenarnya. Bimbang andai Ian tak sihat ke? Atau lebih teruk lagi, Ian mula kesal dengan
keputusan sendiri.
Keputusan
tentang Maghfirah! Andai benar, masih
tak terlambat. Ian berhak bahagia. Dia pun tak pernah paksa. Orang tak hendak, apa nak kata.
Kaki Pak Mansor
menapak masuk. Duduk dibirai katil usang
itu. Tersenyum pada anak muda ini.
“Kamu tak
sihat?” Lutut Ian ditepuk perlahan.
Ian geleng. Senyumnya pecah.
“Firah
mana?”
“Dekat
kebun…”
Ian angguk. Kemudian tunduk. Memandang jari-jemari sendiri yang begitu kasar
dan kesat.
“Boleh pak cik
tanya kamu sikit?” Melihatkan keadaan
Ian, Pak Mansor yakin memang Ian ada
masalah. Kerana itu dia sengaja ajukan
soalan.
“Ya, pak
cik…” Mata kembali memandang wajah Pak
Mansor. Sabar menanti soalan yang bakal
diaju.
“Firah kata kamu
kerja doktor?”
Senyuman Ian
menjawab segalanya.
“Lepas tu
sekarang, dah tak kerja ke?”
Ian angguk
pula. Soalan Pak Mansor temui
jawapan. Tapi, hati tuanya masih punya
banyak soalan.
“Tak rasa
sayang? Kan kerja doktor tu bagus. Bantu orang.
Pahala tu, Ian…”
Mendengarkan
kata-kata Pak Mansor, Ian bangkit mendekati jendela yang terkuak lebar. Daripada situ, nampak Maghfirah yang sedang
merumput di kebun yang hanya sekangkang kera itu. Mengundang senyuman pada bibirnya. Rajin sungguh. Tak pernah sekali pun dia nampak Maghfirah
diam. Kalau malam, lipat kainlah. Lap lantailah.
“Kerja tu memang
bagus, pak cik. Tapi, saya yang tak
bagus. Sebab tu saya berhenti…”
“Pak cik tak
faham…”
Ian toleh.
Punggung bertenggek di bingkai jendela.
Terlalu banyak yang perlu dia huraikan agar Pak Mansor faham. Tapi, dia mahu hapuskan segala yang lama demi
menerima yang baru. Jadi, lebih baik dia
mendiamkan diri.
“Panjang
ceritanya. Kalau saya cerita pun, belum
tentu saya mampu buat pak cik faham.
Cukuplah pak cik tahu, saya ni bekas doktor. Sekarang, saya tak kerja. Saya cuma mengembara.”
Nafas berat Pak
Mansor lepas juga. Dia memandang
dinding. Ian tak nak cakap, dia juga tak
boleh nak paksa.
“Kalau gitu, tak
apalah. Ada masanya, rahsia ni elok kita
telan sendiri. Barulah dinamakan
rahsia. Kalau cakap dekat orang, tak
jadi rahsia dah,” seloroh Pak Mansor.
Dia
bangkit. Dah sedia nak berlalu. “Malam ni, jomlah kita ke surau. Ada tahlil.
Dah banyak hari jugak pak cik tak ke surau sejak kamu ada…”
Rasa bersalah
menusuk ke hati. Haih… datang ni
susahkan orange jelah kau, Ian!
“Saya ni,
susahkan pak cik dengan Firah, kan?”
“Tidaklah,” nafi
Pak Mansor. “Tetamu bawak rezeki. Tak sangka pulak tetamu pak cik ni bawak
jodoh.” Mata tua Pak Mansor hampir
terkatup bahana senyum yang sangat lebar.
Senyum lega seorang ayah.
Ian garu
kepala. Terkena dia!
Sebaik saja Pak
Mansor berlalu, Ian kembali memandang ke bawah.
Saat ini, mata Maghfirah sedang memandang dia. Senyuman Ian koyak.
Hatinya masih
resah! Betulkah keputusan dia ni? Atau dia masih cuba berlari? Lari daripada kisah lalu?
DIA bukan tak
nak ada di barisan hadapan, tapi sebagai orang luar dalam kampung ini, eloklah
dia beri kesempatan untuk penduduk setempat yang rata-ratanya orang tua untuk
ada di saf hadapan. Kerana itu dia ada
di barisan kedua paling belakang. Usai
tahlil, dia bangkit dan beransur ke serambi surau. Di situ, juadah disediakan.
Daripada jauh,
dia nampak Pak Mansor sedang bersembang dengan pak imam. Entah apa yang dibicarakan. Hati dia tertanya juga. Tapi, tak lama. Bila telinga dia menangkap suara yang
berbisik di belakangnya. Ian kakukan
tubuh. Langsung tak angkat muka.
“Kau tahu, ada
orang cakap dekat aku Maghfirah anak Mansor tu, bawak balik jantan ke
rumah. Ada dekat rumah dia
sekarang…”
“Sungguh?” Suara bertanya lebih teruja.
“Eh, mahu tak
sungguh. Yang aku pelik, Mansor boleh
pulak datang tunjuk muka dekat surau ni.
Dia tak tahu ke satu kampung dah pulaukan dia. Lepas anak dia malukan kampung, dia boleh
buat muka tembok. Apa jenis bapaklah
Mansor ni. Buat tak tahu aje ada jantan
dalam rumah sendiri. Dia tu ada anak
perempuan…” Kata-kata itu berakhir dengan keluhan berat.
“Eh, saudara dia
tak?”
“Saudara
apa? Mansor mana ada saudara lain. Diorang tu dua beranak itu aje.”
“Kalau gitu,
tetamu sementaralah tu. Bukan tak tahu,
Mansor tu kan rajin tolong orang. Satu
rumah, tak semestinya satu bilik…”
“Eh, kau jangan
cakap…” Suara tadi meningkah keras. “…rumah Mansor tu bukan besar mana. Kalau bukan satu bilik pun, Mansor tu sedar
ke buatnya lelaki tu merayap masuk bilik anak dia tengah-tengah malam?” Bengis suara itu menyoal.
“Erm… boleh jadi
jugak…” Yang mendengar, mula membuat
kesimpulan.
Ian simpan
senyum sinis. Ikut hati dia, dia hayun
penumbuk. Tapi, nanti kesian dekat Pak
Mansor dan Maghfirah. Jadi, dia pujuk
sabar.
“Dulu dengan
Nazri anak orang kaya Mail tu. Sekali,
dia ajak Nazri pergi rumah dia masa bapak dia tak ada. Lepas tu, dia tuduh Nazri. Susah betul perempuan nak cepat senang
ni. Perangkap aje anak orang kaya…”
“Eh, bukan masa
tu lepas diorang bertunang ke? Apa hal
pulak Maghfirah nak perangkap tunang sendiri?”
Sekali lagi, kata-kata itu bertelingkah.
Ian terus
memasang telinga. Sesekali dia pandang
ke depan. Bimbang Pak Mansor menghampiri
lantas terdengar. Pasti luka lama yang
tak pernah sembuh itu kembali digenangi darah bahana tajamnya lidah
manusia.
“Eh kau ni, Badrul! Aku cakap semua kau nak pangkah! Aku tahulah.
Perempuan macam Maghfirah tu.
Petang tadi baru aku nampak diorang main mata dekat tingkap…”
“Kau pergi intai
ke?”
Lelaki itu
berdeham panjang. “Aku tak nak dia buat
benda sama dua kali!”
Kepala Ian mahu
menoleh bila perbualan itu kembali dihiasi sepi. Patutnya dia dah agak. Orang akan memandang. Orang akan mencari kesilapan. Apatah lagi bila di situlah ada
bekasnya. Dan, bila dia menoleh, wajah
dua orang itu terbias di mata. Dia koyak
senyum biarpun senyumnya langsung tak berbalas.
Satu yang pasti…
segalanya perlu dilakukan dengan segera.
GAMAKNYA, Ian
ada dengar perkara bukan-bukan semasa di surau.
Kerana itu lelaki itu nampak begitu diam. Hanya duduk di kerusi rotan lusuh itu tanpa
berbuat apa. Pak Mansor kerling
Maghfirah yang baru saja siap melipat kain.
Kening tuanya terangkat. Bahu
Maghfirah terjongket.
Masing-masing
dibadai tanda tanya.
“Ayah nak Firah
tanya dia ke?”
Pak Mansor
diam. Tak beri jawapan. Maghfirah bangkit. Kain diletak di atas meja tepi dinding. Dia kemudiannya mendekati Ian. Duduk dilabuhkan. Memandang ke depan.
“Saya rasa awak
ada dengar berita buruk masa dekat surau, kan?”
“Hah? Apa?”
Ian terkebil-kebil bila disoal tiba-tiba. Entah bila Maghfirah ada di sisinya, tak
tahulah. Tiba-tiba aje seperti soalan
itu menderu laju.
Maghfirah
toleh. “Ada dengar berita buruk pasal
saya dekat surau?” Soalan sama berulang
biarpun dengan ayat berbeza. Maksudnya
sama.
“Eh… kenapa
tanya soalan macam tu?”
Maghfirah
menyepi.
“Sebab saya diam
macam ni?” tebak Ian lagi.
Bibir Maghfirah
masih terkatup rapat.
“Maghfirah,
jangan salah faham. Kalau ada berita
buruk pun, pasal saya. Bukan pasal
awak…” Nampak sangat Maghfirah sedang
fikir bukan-bukan. Itu yang Ian nampak
sekarang.
“Jujurnya, saya
bukan tak nak percaya…” Senyuman senget
Maghfirah terukir. “…tapi, susah nak
percaya dengan jawapan awak tu,” tegasnya lagi.
Dahi Ian
berkerut.
“Orang tak akan
bercerita tentang awak sebab diorang tak kenal awak. Nama pun tak tahu. Kisah lalu awak macam mana, tak ada siapa
tahu.” Nafas Maghfirah sepertinya
terhenti dua saat.
Ian senyum dan melarikan
pandangan. Ya, tiada siapa yang tahu
kisah lalu dia. Maghfirah sendiri pun
tak tahu asal usulnya. Tapi, menonong
aje terima dia? Mulalah buat dia rasa
Maghfirah terima dia kerana Pak Mansor. Terpaksa
terima secara tepatnya.
“Saya ni, satu
kampung kenal.”
Ian angkat muka
bila Maghfirah kembali bersuara. Air
muka Maghfirah keruh.
“Boleh jadi,
kampung sebelah pun tahu tentang saya dan kisah lalu saya. Nama saya selalu di sebut-sebut. Tapi, sedihnya bila segalanya tentang
keburukan. Tanpa ada seorang pun datang
pada saya dan tanya kisah sebenar…”
“Jadinya,
diorang pun tak kenal awaklah kalau gitu…”
Lidah Maghfirah
kelu bila Ian mencantas. Perlahan-lahan
dia angguk. Memang. Tiada siapa kenal dia melainkan ayah. Tapi, semua berlagak seperti kenal dia luar
dan dalam.
“Memang,
Firah. Memang saya dengar orang cerita
buruk bukan saja tentang awak dan Pak Mansor, tapi tentang kita. Kita… awak, Pak Mansor dan saya…” Telapak tangan Ian hinggap pada dada
sendiri.
“Memang diorang
tak tahu nama saya. Tapi, diorang dah
tahu saya. Tahu setakat untuk sebarkan
cerita buruk, Firah. Itulah manusia yang
berhati iblis. Fitnah dan umpat jadi
makanan rohani diorang. Susah,
Firah. Susah untuk kita tunggu walaupun
seorang yang hadir depan kita, pegang tangan kita, pandang dalam anak mata kita
dan tanya kita… apa dah jadi sebenarnya.
Ceritalah. Aku sudi dengar. Aku tak percaya sebelah pihak. Aku tak sokong mana-mana. Tapi, kebenaran perlu ditegakkan. Yang teraniaya perlu diadili sebaik-baiknya.” Ian senyum kelat sebaik saja Maghfirah turut
mementang pandangan matanya.
Mendengarkan kata-kata
Ian, Maghfirah sepertinya terhantuk kuat pada tembok batu yang begitu
kukuh. Sepertinya Ian mengerti hati
kecilnya yang selalu menjerit. Itulah yang
mahu dia katakan. Itulah yang dia
harapkan. Tapi…
“Susah, kan?” tambah Ian sepatah.
Saat ini, anak
mata kuyu lelaki itu berkaca-kaca. Yang
bukan lagi mahu pecah tapi dah sumbing sebenarnya. Maghfirah boleh nampak dengan jelas. Apa dah jadi pada Ian? Adakah ujian Ian sehebat ujian dia? Atau lebih lagi?
“Betul tak, awak
rasa susah sangat berharap agar satu hari ada yang datang bertanya macam tu?” Ian cantas renungan Maghfirah padanya.
Perlahan-lahan,
gadis itu tunduk ke lantai. Apa lagi
yang nak dia akui, bila segalanya telah dapat Ian baca dengan jelas.
Ian berdeham
kasar. Menghalau sebu yang sedang
mencengkam dada. Dia hanya mengemaskan
simpuh, di depan Ian. Sepertinya sedang
menanti dakwaan demi dakwaan dibaca pada dia.
“Sebab semua
orang nak jadi hakim, Firah. Semua orang
hanya tahu jatuhkan hukuman kerana pandangan mata kasar semata. Dunia hari ini, adalah dunia yang punyai hati
yang mati. Sesekali, bila saya rasa
kecewa sangat dengan dunia, saya cakap dekat diri. Aku mampu teruskan hidup dengan bersemangat
kerana caci-maki orang. Aku hidup di
dunia ni, kerana pahala yang aku dapat daripada fitnah orang kerana aku tahu,
andai nak hitung kebaikan dan pahala aku, aku memang tak layak hidup atas muka
bumi Tuhan. Aku hidup ni kerana ujian Tuhan.
Kerana Dia tak pernah lupa aku dan cara Tuhan ingatkan aku agar melalui
ujian setelah begitu lama aku leka dengan nikmat dunia yang sementara.”
Nasihat Ian…
Airmata Maghfirah
jatuh setitis. Dia menoleh pada ayah
yang tersenyum tipis sambil mengangguk. Dia
faham maksud ayah. Ian adalah orangnya. Untuk dia.
Wajah ditoleh pada Ian.
Pandangan lelaki
itu nampak begitu lembut dan syahdu. Senyuman
tipis yang koyak pada bibir lelaki itu… seperti embunan pagi yang menyejukkan
hati yang sentiasa membara.
“Hati saya sakit
bila ingatkan apa dah jadi…” Maghfirah
yakin, memang Ian dengar perkara bukan-bukan tentang dia tapi dia lebih lagi
yakin, Ian tak pernah percaya akan perkara itu.
Cuma ia sedikit mengganggu.
“Firah?” panggil Ian, memancing pandangan Maghfirah
agar terus lekat padanya.
“Erm…”
“Ini…” Ian tepuk dada beberapa kali. “…penawarnya.”
...bersambung
huhu, penawar eh. nice
ReplyDeletekeep that energy Ian..haha
Terbaik!!!
ReplyDeleteWaaa... Terbaik sgt2..
ReplyDeleteHuhu...ayt Ian...deeppppp...
ReplyDeleteAwanJingga
Oh!! Ttbe rase diri mcm firah..menitis air mata..huhu
ReplyDeleteTq update...rindu cerita ian n maghfirah...terbaik....mcm saya pula jadi Maghfirah
ReplyDeletesedihnyaaa...
ReplyDeleteberbaloi tunggu.
tenkiu RM utk update..terimalah Ian sebagai penawarnya Maghfirah..
ReplyDeleteSayu pulak hati ni 😢😢 tqvm RM for the update 🌹🌷💐
ReplyDeleteMendalam ayat Ian
ReplyDeletedeep sgt tu..
ReplyDelete