GAMAKNYA seluruh
kampung dah tahu yang dia dah kahwin dengan Ian. Biarlah.
Elokpun kalau tahu biarpun bukan daripada mulutnya sendiri atau daripada
sebuah majlis yang gilang-gemilang. Dia tak
mampu. Bukan orang kampung tak
tahu. Maghfirah hanya tunduk di depan
ayahnya yang sejak tadi tak bersuara. Dia
tahu, ayah nak katakan sesuatu. Kerana itu
dia sabar. Menanti dan terus menanti
setiap kata yang bakal keluar daripada mulut ayah. Apa saja, dia akan terima.
“Berapa lama ayah
nak diam macam tu?” Kepala diangkat. “Ayah buat Firah risau…” Dia dah dekat nak menangis ni.
Apatah lagi, Ian
sendiri hanya membisu. Memeluk tubuh bersandar
pada dinding sedikit jauh daripada dia dan ayah. Macam redha dan rela aje bini sendiri kena hukum. Tak ada gaya nak membela langsung.
“Ayah pernah cakap
dekat Firah, kan?” Wajah Pak Mansor
berkerut.
Sakit kepala dia
sehari dua ni. Gamaknya, kesan demam
kali lepas tak pulih sepenuhnya lagi. Atau
boleh jadi juga sebab berpanas semasa menolong Suhaimi. Boleh jadi jugak sebab dia dah tua.
“Setiap
perkahwinan itu perlu dihebahkan untuk mengelakkan benda-benda macam ni
jadilah. Sebab tu ayah cakap, kita buat
majlis kesyukuran sikit. Kita jemput
orang. Diorang nak datang atau tak, itu
hak dia. Kita hanya jemput. Tidaklah benda macam ni jadi. Mail tu sejak dulu memang tak suka kita. Apapun kita buat, dia tetap akan carik salah…”
“Sebab tu, Firah
tak nak ayah. Satu, kita tak mampu. Dua, sebab yang ayah cakap tadi. Apapun kita buat, orang tetap tak suka…”
“Betul tu,
nak. Itu sebab kebencian yang mereka dah
tanam dalam dalam diri. Dah berakar umbi
gamaknya. Tapi itu diorang, Firah…” Kesal nada Pak Mansor meminta kata-kata
anaknya.
“…kenapa kita nak
samakan diri kita dengan diorang semua. Dah
diorang begitu, tak kanlah kita nak begitu jugak? Biarlah orang baling batu, nak… kita
balinglah roti. Memang kita tak dapat
sekat orang nak benci kita. Tambah pula
miskin macam kita ni. Tapi, kita kena
buktikan yang kita hidup ni dalam agama, dalam maruah.”
Mendengarkan kata-kata
ayah, rasa sebu menyelit dalam hati Maghfirah.
Airmatanya hampir menitis tapi diseka.
Setidak-tidaknya, ini telah membuat dada dia rasa ringan. Ringan sangat dengan kisah lalu bila nyata,
semua orang dah tahu dia tak pernah salah dalam hal dia dengan Nazri dulu. Nazri yang muncul tiba-tiba. Nazri yang cuba usik dia. Dia hanya pertahankan diri. Tapi, Nazri tuduh dia yang ajak lelaki itu ke
rumah bila ayah tiada.
Dia benar-benar
lega sekarang!
“Firah tak nak
susahkan ayah. Firah tahu kita kais pagi
makan lagi…” Jari telunjuk menyentuh
birai mata yang basah. Wajah langsung
tak diangkat. Malu sebenarnya dengan
ayah.
Bukan sekali ayah
pujuk dia adakan majlis, malah Ian pun sama demi menghormati kehendak
ayah. Tapi dia yang berkeras. Dengan apa yang jadi siang tadi, memang buat
dia rasa bersalah.
“Ayah faham, Firah
memang tak selesa dengan orang kampung.
Tapi, kita pun tak boleh nak sekat kebencian orang, Firah. Semua tu bukan dalam kehendak dan kawalan
kita. Firah sabar selama ni, ayah rasa
itu dah satu rahmat untuk ayah. Biarpun masa
tu, ayah risau Firah akan tertekan sampai sakit jiwa, atau Firah lari daripada
rumah tinggalkan ayah sorang-sorang. Tapi
tak… Firah tabah hidup dengan ayah seperti tak ada apa-apa berlaku. Itu dah satu rahmat, Firah. Kepercayaan yang ayah bagi pada Firah, tak
pernah Firah persiakan. Itu adalah satu
hadiah untuk ayah. Sebab nanti bila ayah
mati, nak mengadap Rabbul Jalil, ayah tak kesal nak jawab bila Tuhan persoalkan
tanggungjawab ayah pada satu-satunya anak yang diamanahkan. Sekarang, tanggungjawab ayah dah lepas. Semua yang menyakitkan dah lepas. Kalau Firah rasa bersalah, ayah maafkan. Tapi, dengar nasihat ayah. Kal ini aje ayah paksa Firah…”
Maghfirah panggung
pandangan. Nampaknya ayah berkeras nak
adakan majlis setelah segalanya pecah terburai.
“Kamu
fikirlah. Ayah nak masuk rehat kejap…” Pak Mansor langsung bangkit. Dia benar-benar rasa tak sedap badan.
Melihatkan ayah
yang dah hilang di balik pintu bilik, dia tunduk. Masih mahu menolak. Tanpa sedar, ada tangan mendarat pada
bahunya. Meramasnya lembut. Bila dia toleh, memang lelaki ini. Tersenyum tipis dengan riak yang tenang.
“Kita buat, ya?” pujuk Ian.
“Sikit pun,
jadilah. Tak nak buat dekat rumah, kita mintak
tolong Imam uruskan dekat surau. Bagi makan
fakir miskin, lagi elok. Dekat kampung
ni, rasanya ramai jugak yang lebih susah daripada kita. Yang ada anak ramai tapi pendapatan tak
seberapa. Kita ajak yang macam tu. Moga dengannya kita lebih sedar, yang bukan
kita aje yang paling susah. Tapi, ramai
lagi. Hrmm?” Lembut Ian bersuara.
Dia nak Maghfirah
lepaskan segala kemarahan yang terbuku di hati selama ini. Dan dia yakin, Nazri tak akan masuk dekat
lagi. Pak Mail jugak sama. Orang kampung akan tutup mulut. Akan berhenti bercakap.
“Saya bukan tak
nak tapi saya tahu, ayah tak ada duit…”
“Duit bukan
masalah, Firah. Pada saya duit boleh
cari, tapi ketenangan dan bahagia… mana kita nak beli kalau ada duit berguni
pun. Dan sekarang, ketenangan dan
bahagia pada saya adalah awak dan ayah…”
pujuk Ian lagi.
“Tapi…”
“Ini…”
Tak sempat
Maghfirah menolak, Ian menolak buku Tabung Haji milik Maghfirah. Buku bank yang Maghfirah sendiri pun hampir
lupa sebab bukan ada simpanan pun.
“Mana awak dapat
buku bank saya ni? Bukan ada duit pun…”
“Bukak dulu…” suruh Ian seraya membelek buku bank tersebut
dan diletak atas tangan Maghfirah.
“Ini semua duit
simpanan saya. Saya dah keluarkan dan
transfer ke akaun bank awak.”
Tangan Maghfirah
menggigil menyambut huluran Ian. Matanya
bulat sedikit melihat jumlah simpanan Ian.
Bukan sikit. Banyak. Tak kan semua ini Ian nak bagi dia? Habis tu, apa yang tinggal untuk diri
sendiri?
“Kita buat majlis
kita dengan duit ni. Bukanlah nak
perabih semua duit tu. Tidak. Kita buat apa yang awak nak. Tak kanlah awak tak teringin nak pakai baju
cantik sikit. Paling tidak, ada gambar
kenangan walaupun hanya kita berdua dengan ayah. Tak kan tak ada dalam bucket list awak?” Ian pandang wajah isterinya mencari
jawapan.
Bila melihat
Maghfirah tak menjawab, dia tahu… jawapannya adalah ada. Semua itu impian setiap wanita. Malah, dia sebagai lelaki pun ada impian
begitu. Cuma, tak apalah tiada majlis
hebat pun. Semuanya dah berlalu.
“Awak nak bagi
semua ni dekat saya?”
Ian kerdipkan
mata. “Ini aje yang mampu saya bagi
untuk awak, Firah buat sementara ni. Saya
tak ada harta lain. Itu pun saya rasa
sikit sangat dengan apa yang Pak Mansor dan awak buat untuk saya. Layanan keluarga awak, jangan kata macam
hotel lima bintang, tapi berbaris bintang di langit pun tak cukup untuk saya
bagi…” Sempat lagi dia mengayat.
Bibir Maghfirah
nampak mencebek. Heh. Rasa nak meraung sekarang jugak tapi di
tahan.
“Jadi sekarang,
saya memang tak ada satu sen pun. Awak kena
bela saya. Saya dah lah tak kerja. Saya ingat nak nak cari kerja dekat pekan
nanti. Tengok dulu sampai mana awak
mampu bela saya. Jangan risau, saya tak
mintak makan percuma. Saya tolong awak
kemas rumah ke, kebun ke, memandangkan saya bukan lagi tetamu dalam rumah
ni. Jaid, saya boleh buat kerja, kan?” gurau Ian tapi wajah Maghfirah masih
begitu.
Ian mengeluh
tipis. Pipi mulus itu dielus
perlahan.
Apa lagi tak kena
ni, sayang? Nak aje dia tanya, tapi
lidahnya mengeras. Hanya mata yang
begitu rakus melahap setiap inci wajah Maghfirah.
“Kalau tak nak
buat jugak, anggap ajelah kita buat doa selamat untuk arwah ibu awak, ya?”
“Tak…” Maghfirah nafi.
Ian redupkan
pandangan. Apa yang tak? Dia mati-mati ingat Maghfirah tak nak buat
majlis. Tapi, tiba-tiba tak pulak. Tangan yang tadi sedang merayap di wajah
isteri jatuh pula memegang tangan Maghfirah.
“Kalau semua awak
bagi saya, apa yang tinggal untuk awak?”
Ian senyum
lebar. Paling lebar hinggakan mata
kuyunya terkatup rapat. Hei… mata mana
mata? Senyum lebar sangat!
“Awak…” jawapan Ian yang sepatah itu…
Maghfirah ketap
bibir. Pertama kalinya, airmata dia
jatuh menitis. Airmatanya bahagia. Airmata syukur. Airmata terima kasih kerana telah Tuhan
hantarkan lelaki ini untuk dia. Entah daripada
datang datangnya… dia pun tak tahu.
Melihatkan airmata
yang jatuh ke pipi, Ian seka perlahan. Dia
dekatkan wajahnya lantas pipi putih itu dikucup buat pertama kalinya. Hangat.
Ya, sejak dia kenal Maghfirah, hati yang sentiasa dingin dan beku, rasa
kembali hangat dan mencair.
Sebelah tangan
memaut pinggang isteri rapat dan bila dia mahu beralih arah tingkahnya mati.
“Perlu ke ayah
masuk tidur semula ni, Firah?” tegur Pak
Mansor.
Maghfirah pantas
menolak tubuh Ian menjauh. Dia sapu
wajahnya dan terus bangkit.
“Entah Ian ni,
ayah. Tak sopan langsung!” bebelnya menyembunyikan rasa malu yang
bertingkat-tingkat tingginya. Terus masuk
ke bilik.
Ian garu kepala
bila Pak Mansor ketawa.
“Kamu dengan
Firah, okey ke?” soal Pak Mansor setelah
tawanya reda dan dia yakin, Ian faham apa yang cuba dia sampaikan.
Ian geleng
menjawab maksud soalan Pak Mansor. “Saya
tak tahu sama ada dia atau pun saya yang perlukan masa,” jawabnya jujur.
“Jangan leka
sangat, Ian. Masa ni makin laju. Lebih laju daripada kita. Sedar tak sedar, rupanya dah banyak kita
terlepas,” nasihat Pak Mansor sambil menepuk bahu Ian.
“Ayah nak solat
Isyak dekat surau ni kalau kamu nak ikut?”
Tapi, dia tahu Ian tak nak ikut.
Sebaik saja Pak
Mansor lepasi ambang pintu, Ian dekati pintu bilik Maghfirah. Dia tak pernah masuk bilik ni. Dia dan Maghfirah putuskan untuk menjadi
kawan dan dia hormati keputusan Maghfirah tapi rasanya, itu lebih pada
keputusan dan kehendak dia kerana dia tahu perasaan Maghfirah padanya.
Baru nak diketuk,
Maghfirah lebih dulu membuka pintu. Ian menyepi. Maghfirah gelisah. Hanya memandang wajah lelaki ini penuh tanda
tanya.
“Awak dah bagi
saya duit tu, awak tak boleh ambik balik…”
KOtlah tiba-tiba Ian menyesal bagi duit lebih lima puluh ribu tu untuk
dia. Dia baru rancang macam-macam
ni. Mulut aje tak nak, tapi hati rasa
teruja jugak.
“Boleh saya masuk?”
Maghfirah lebarkan
pintu. Ian terus masuk dan duduk di
birai katil. Diusap perlahan tilam nipis
itu.
“Kita nak tukar
katil baru tak?” soal Ian tiba-tiba.
“Kenapa? Elok aje saya tidur. Berpuluh tahun dah, tak runtuh lagi…”
Ya… Ian selak
sikit alasnya. Ini kayu jati. Kukuh.
Sampai dia mati pun, kayu ni akan elok lagi.
“Tilam, mungkin?” Keningnya naik.
“Saya suka tilam
tu. Kata ayah, mak saya tidur dekat
tilam tu…”
Okey… patutlah
nampak usang sangat. Tapi, nak cakap
secara terang, karang sentap pulak bini dia.
“Saya ada masalah
sikit tidur tilam nipis macam ni…” Padahal sebelum ni, tidur beralas bumi,
berbumbung langit pun tak kisah.
“Dah sejak bila
pulak saya suruh awak tidur bilik ni.
Sebab tu jugak saya suruh awak tidur dengan ayah. Tilam ayah kan tebal sikit. Pergilah sana, jangan kacau bilik saya. Saya suka macam ni je. Saya selesa untuk diri saya…” Maghfirah menepuk bantal. Ditepis bahu Ian agar balik ke bilik.
“Lagipun, bukan
awak jenis tidur mana-mana aje ke?”
cebek Maghfirah. Jangan cakap,
Ian tipu sudah. Konon jenis tak kisah
tidur mana-mana. Tapi, tilam nipis dah
bising.
“Sebab masa tu
saya bujang, Firah…”
Maghfirah telan
liur melihat pada kelakuan Ian yang pelik tiba-tiba.
“Tapi, saya ada
isteri sekarang,” tambah Ian lebih serius.
Tingkah Maghfirah
mati. Terus merenung Ian tanpa berkata
apa.
...bersambung
1st comment.♡...
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDelete❤❤❤❤❤❤❤❤❤
ReplyDeleteauwwww... melting!
ReplyDelete����������
ReplyDeleteOmmma....
ReplyDeleteHahahah..hihihi...best
ReplyDeletehebakkkk ....
ReplyDeleteSentiasa terbaik la RM...TQ UPDATE...👍👍👍👍
ReplyDeleteDah pulakkkk Ian ekkk...😄😄😄😄
ReplyDeleteOoo....ini kisahnya, firah ni polos laa
ReplyDeletehaaaa.jawab firaj jawab..ko nak kata apa?
ReplyDeletecomel yer... IAN dan Maghfirah :)
ReplyDeleteomaigadddd....cairrrrr sangatttt
ReplyDeleteAlahai 😂😂😂
ReplyDeleteOh.sweet..ingat berairmata..
ReplyDeleteOMO2.. suke2
ReplyDeleteWAITING FOR THE NEXT ENTRY
ReplyDeletejangan sampai terlepas...masa makin laju...dengar nasihat ayah tu ian...
ReplyDeletemelting... tak sabar tunggu next entry... syabas kak rehan <3
ReplyDeleteCair....
ReplyDeleteAlahai firah... payahnya nk bg faham 😅😂😂😂 thx RM for the update 🌹🌷💐
ReplyDeleteHohoho... love is in the air♥️♥️♥️♥️
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteDone marathon! Terbaiklah RM. Thumbs up! Trima kasih RM update smp 8 bab..berbunga2 hati kite, seronok depa dh kawen yeayyy!
ReplyDelete💙💚❤💖💘💓Love in progress
ReplyDelete💙💚❤💖💘💓Love in progress
ReplyDeleteAwesome...
ReplyDelete😘😘😘😘
ReplyDelete