SEBAIK saja
melihat ayah keluar rumah untuk ke rumah Pak Suhaimi, Maghfirah kembali ke
dapur. Tersenyum sendiri melihat Ian
yang sejak semalam tak sudah-sudah nak gelak.
Gelakkan dia sebab dulang. Tak
pasal-pasal keluar pepatah. Tapi,
pelengkap pepatah itu… hai… hati yang patah pun boleh bercantum balik.
Penawar! Mungkin benar, Tuhan hantar orang asing ini
menjadi penawar. Dia duduk di atas anak
tangga melihat Ian yang sedang mengupas kulit ubi kayu. Dia tak suruh tapi Ian yang nak buat. Nak makan bingka ubilah pulak. Pertama kali dia masak untuk orang lain
selain untuk tekak sendiri dan ayah.
Tapi, ayah
selalu cakap sedap. Malah lebih sedap
daripada arwah mak masak. Gamaknya ayah
nak ambik hati. Tak apa… kita tengok
pulak apa encik penawar ni nak cakap.
“Termenung?”
Hah? Maghfirah tegakkan badan. Dia kelatkan wajah. Sengaja.
“Kata orang,
awak tu termenung…”
“Haa
tengok. Nak kena pepatah dulang lagilah
ni…” usik Ian.
Maghfirah
mencebek lebar. Dia bangkit dan turun ke
bawah. Dicapai besen sederhana besar
untuk diletak ubi kayu yang dah siap Ian kupas.
“Ini besen. Bukan dulang.”
Ian ketawa
kecil. “Tak kanlah saya tak kenal besen
dengan dulang pulak. Awak ni la
hai…”
“Manalah tahu. Terkenan dekat dulang semalam, kan…” Maghfirah angkat tubuh dan berlalu ke
sinki.
“Saya terkenan
dekat awak aje kalau awak nak tahu…”
“Haih…” Maghfirah cekak pinggang. “Berapa kali nak cakap, jangan buat
kelakar. Tak kelakar langsung…”
“Eleh… padahal
itu nak ketawa…”
“Mana ada.” Maghfirah tekup mulut. Dia berpaling ke sinki. Macam-macam mimik muka dia buat nak
menghalang daripada tawanya berderai.
Malulah ketawa kuat-kuat. Dia
mana pernah gelak kuat-kuat.
“Cepat sikit
kupas tu. Nanti saya nak masak benda
lain lagi…”
“Eh, masak apa
lagi? Kata Pak Mansor pergi kenduri?”
“Memanglah ayah
pergi, tapi yang ada dengan saya ni nak makan apa kalau saya tak masak?” Seraya itu dia menoleh.
Ian kenyit
mata. “Terima kasih tak lupakan saya…”
“Gelilah buat
muka macam tu…”
“Eh, saya tak
kacak ke? Ini muka yang mampu mencairkan
hati mana-mana perempuan…” Kata-kata Ian
mati di situ.
Dia kerutkan
kening lebatnya sebelum melarikan pandangan.
Ya, wajah ini
mampu mencairkan hati mana-mana perempuan.
Ada yang sanggup lakukan apa saja demi cinta dia. Malah ada yang buat-buat sakit kerana nak
jumpa dia tapi perhatian dia hanya dicuri oleh sepasang mata. Hati dia hanya mampu dihuni oleh sekeping
hati itu. Hati yang begitu rapuh dah
sudah reput. Hati yang tak mampu dia
selamatkan pada akhirnya.
Hati itu… entah
dah tinggalkan dia atau dia yang buat-buat lupa akan adanya hati itu dalam
sejarah hidup dia.
“Ian?”
Entah bila,
Maghfirah sudah tercongok di depan dia.
Ian melarikan anak mata. Dia
pandang ubi yang dah siap dikupas.
“Saya dah siap
kupas. Masak sedap-sedap sikit eh. Saya naik atas kejap…” Dia terus bangkit. Membasuh tangan ala kadar dan terus memanjat
tangga ke atas.
Bahu Maghfirah
jatuh. Dia tahu masa lalu Ian masih
rapat mengekorinya. Ian tak pernah lupa
malah adanya dia, tak mungkin dapat buat Ian lupakan kisah lalu. Gamaknya, dia bukan penawar buat Ian
sedangkan dia mula rasa seluruh hati dan jiwanya kini telah menjadi milik
lelaki itu sedikit demi sedikit.
Dia tahu… Ian
ada wanita yang pernah dicintai.
June! Dia pernah dengar nama tu. Pernah atau masih, dia tak pasti.
PAK MANSOR dah
lama terlelap. Penat membantu Suhaimi
menguruskan majlis anak bongsu yang lebih muda daripada anak sendiri. Biarpun ramai orang pandang dia sinis tapi
kerana senyuman Suhaimi, dia sabar.
Kerana janji Tuhan, dia sabar.
Biarlah orang nak mengata, orang tak pernah tahu. Malah, tak pernah tanya sepatah pun.
Maghfirah letak
selimut atas kaki ayah. Ayah memang
macam ni. Kena selimut hingga paras
pinggang aje. Tidur ayah tertib. Seperti jenazah yang sedang qiam. Tenang dengan helaan nafas yang perlahan. Dahi ayah dijamah. Demam ayah dah banyak hari kebah. Harap tak datang balik. Dia risau.
Entah apa yang
ayah nampak pada Ian hinggakan ayah pinangkan Ian untuk dia? Dia nak tanya ayah, tapi kata ayah, “Satu
hari, Firah sendiri akan nampak dengan jelas…”
Entahlah. Sekarang, masih sangat samar. Apatah lagi dengan sikap Ian siang tadi… akhirnya dia perlu
mengaku yang dia sedikit cemburu.
Tuhan… Maghfirah
memandang ke atas. Kemudian tunduk
meraup wajah. Adakah hati ini kembali
mencintai? Jika ya, lindungi hati ini
Tuhan. Moga bila dilukai lagi, akan
menjadi sangat tabah.
Airmata terbit
di juring mata. Dia bangkit nak masuk ke
bilik tapi langkahnya tertahan bila terdengar suara Ian mengerang. Tanpa berfikir panjang, Maghfirah terus
menapak laju. Pintu bilik dirempuh. Lampu dipasang dan Ian didekati.
“I sayang you,
June. Jangan buat I macam ni. I mintak maaf. I salah.
June, jangan. Jangan!” Mata Ian terbuka bila dirasa ada tangan sejuk
sedang meraup wajahnya.
Bila dia buka
mata, dia nampak wajah lain. Bukan wajah
June. Mata itu nampak berkaca tapi
bibirnya nampak terkumat-kamit membaca sesuatu dan sekali lagi, tangan halus
itu melekap ke wajahnya. Diraup lembut.
Ian sambar
tangan Maghfirah. Dia angkat tubuh dan
bersandar lemah. Peluh membasahi seluruh
tubuh. Baju pagodanya lencun. Nampak jelas dada bidang. Dia tarik tangan Maghfirah. Memaksa wanita itu duduk dibirai katil usang
itu.
“Bila awak
masuk?” Wajah diraup sebaik saja tangan
Maghfirah dilepaskan.
“Saya dengar
suara awak. Macam sakit. Sakit sangat?”
Ian diam. Langsung tak pandang Maghfirah. Semakin hari, semakin terbuka aib
sendiri. Tapi, Maghfirah dan Pak Mansor
tak pernah menyoal lebih. Hanya kali
ini, Maghfirah ajukan soalan. Itu pun ‘sakit
sangat’. Nama June langsung tak meniti
pada bibir Maghfirah.
“Pak Mansor dah
tidur?”
“Ayah tidur
dah. Penat gamaknya. Awak pun, awal terlelap. Dah solat belum?”
Ian geleng. “Niat hati nak rehat aje. Kenyang sangat. Tertidur.”
Dia angkat pandangan.
“…awak mesti
terkejut, kan?”
“Sikit.” Maghfirah paksa dirinya senyum. Biarpun hati sedikit tergores mendengar igauan
Ian.
“…tapi, dah dua
tiga kali saya dengar awak macam ni. Jadi,
tak adalah terkejut sangat…” Saat ini,
airmatanya menitis ke pipi.
“Ini…” Tangan Ian naik menyentuh pipi
Maghfirah. Titisan air jernih yang
setitis itu hinggap pada jari telunjuk kasarnya.
“…kenapa?”
“Entahlah…” Terus Maghfirah ketawa. Ketawa yang dibuat-buat. Nampak janggal.
“Saya tak buat
lawak, Firah. Jangan ketawa,” tegur Ian.
Tawa Maghfirah
padam tiba-tiba. Dia tolak tangan Ian
yang mahu memegang tangannya. Bangkit dan memandang Ian.
“Awak
mimpi. Bangunlah solat dulu. Lepas tu, baru sambung tidur. Saya keluar dulu…”
“Firah…” panggil Ian dengan dada yang berdebar-debar.
“Boleh tak awak
temankan saya kejap?” Pandangan penuh
merayu dihantar.
Pada mulanya,
Maghfirah nampak tak sudi tapi demi pandangan mata mata kuyu yang begitu
memerlukan itu, dia akhirnya angguk. Kembali
dekati Ian dan duduk di birai katil.
Tanpa menanti,
Ian sandarkan kepala pada bahu Maghfirah.
“Maafkan saya,
Firah. Saya cakap dekat awak, bahu saya
ada untuk awak bersandar andai awak keseorangan. Rupanya, saya yang lebih perlukan bahu awak
untuk saya bersandar. Maafkan saya…”
Dan… Maghfirah
pejam mata bila dia rasa ada titisan airmata Ian jatuh ke tangannya. Ian menangis kerana seorang wanita bernama
June dan dia tahu, dia tiada tempat dalam hati lelaki ini.
Ian terima dia,
mungkin kerana belas. Itu yang dia
katakan pada diri demi mengelak rasa kecewa di depan hari.
...bersambung
PS : Jangan speku ^_^
Sian firah tapi lebih sedih perasaan ian...
ReplyDeleteAlaaaaa sian firah.. smpai bila ian nk terus berahsia.. firah yg byk speku ni 😅 thx RM for the update 🌹🌷💐
ReplyDeletefirah, janganla cepat sgt mengalah..go firah..akak support you, haha
ReplyDeleteMakin mengerit hati.....aduh firah, sian dia....
ReplyDeleteRisau kena tangkap basah pulak dia org ni....
Ian, tolong lepaskan kelukaan itu..sian kat Firah makan hati..Pak Mansor cptla kawenkan diorg..makin lama makin berani lak si Ian sentuh Firah..hehe
ReplyDeleteZulyati
"PS : jangan speku "
ReplyDeleteEh diaorg dah kawen ke sebenarnya kak?
-awek cun-
😭😭😭😭
ReplyDeleteHuwaaaa.... Why???
ReplyDelete