Tuesday, January 10, 2017

Maghfirah 13

WAJAH yang sedikit merah itu dipandang lama.  Nazri lebarkan senyum.  Ikut hati, nak aje dia ajak Maghfirah kahwin esok.  Dia bimbang, jika satu hari tak mampu menahan sabar… kasih Maghfirah padanya akan bertukar pada kebencian.  Dia kenal diri sendiri.  Dia tahu tahap mana dia mampu bertahan. 
“Kita kahwin minggu ni, nak?”  soalnya tiba-tiba.
Dahi Maghfirah berkerut.  “Awak ni, soal kahwin bukan soal main-main.”
“Kalau saya main-main, saya tak ajak awak kahwin, Firah…” 
Bibir Maghfirah pecah dengan senyum.  Nampak Nazri nak merajuk.  Entah kenapa, dalam ramai-ramai anak dara dalam kampung ni, Nazri pandang dia.  Dia bukan sesiapa.  Belajar pun tak tinggi.  Nak kata pandai, tidak.  Nak kata kaya, jauh sekali.  Nak kata cantik, panggang dengan api.  Tapi, Nazri tetap pandang dia. 
“Betul.  Saya tak maksudkan awak main-mainkan saya.  Tapi, nak kahwin ni kena bersedia mental fikizal.  Saya tahu awak mampu, tapi banyak benda lagi saya kena belajar.  Nak kira, ada pasangan, wali, dua orang saksi… dah boleh kahwin dah.  Tapi, perkara ni tak semudah tu, awak.  Saya tak cakap lagi dekat ayah saya.  Awak pun mesti tak cakap lagi dekat ayah awak, betul tak?” 
Risau juga hati Maghfirah.  Apa nak dikira biarpun Nazri pilih dia jika keluarga Nazri menolak.  Keluarga orang kaya itu dikenali.  Disegani.  Mereka… apalah ada.  Entah-entah ayah pun anak tolak menyedari keadaan diri. 
“Saya dah cakap dekat ayah saya…”  Nazri tersengih lebar. 
“Sungguh?”  Mata Maghfirah sedikit bulat.  Bukan tak percaya, tapi terkejut. 
“Habis tu, ayah dengan mak awak cakap apa?” 
Pandangan mata Nazri beralih arah.  Dia lempar jauh pandangannya ke jalanraya yang sibuk.  Berjumpa dengan Maghfirah dengan susah-payah, hanya di tempat orang ramai.  Supaya tak timbul fitnah.  Itu yang Maghfirah letak sebagai syarat untuk mereka bersua mata.  Semak.  Rimas.  Tapi, kerana sayang… dia ikutkan. 
“Diorang okey.  Diorang ikut aje apa yang saya suka…”
Wajah Maghfirah yang tadinya ceria, berubah mendung sedikit.  Jawapan Nazri, tidaklah seyakin seperti pengakuan pertama.  Nazri nampak ragu-ragu.  Buatkan dia mula rasa ada halangan di dalam hubungan mereka.
“Entah kenapa, saya rasa tak sedap hati tiba-tiba…”  Senyuman terlakar pada bibir Maghfirah bila Nazri memandangnya. 
“Awak takut orang tua saya terima awak sebab terpaksa ke?” 
Bahu Maghfirah terjongket.  Jujurnya, dia sendiri masih tak sedia.  Langsung tidak.  Sementelah, dia tak akan tinggalkan ayah sendiri.  Mereka berdua hanya ada diri masing-masing.  Tiada yang lain. 
“Awak risau apa sebenarnya, Firah?”  Pertanyaan Nazri kedengaran serius.  Rasanya, bukan hanya kerana risau pada orang tua dia, tapi ada perkara lain yang berlegar dalam kepala gadis cantik ini. 
“Kita kahwin nanti, boleh tak ayah saya tinggal sama-sama dengan kita?”  soal Maghfirah jujur.
Nazri tentu mengerti akan apa yang sedang dia risaukan.
Wajah Nazri yang pada mulanya masam, kembali manis.  Dia angguk berkali-kali.  Lega.  Apa saja demi Firah.  Janji bukan kerana orang tuanya.  Maghfirah tak perlu tahu yang ayah dan maknya tak suka pada gadis ini.  Cukuplah hanya dia.  Dia yang nak hidup dengan Maghfirah.  Dia yang nak jaga Maghfirah.  Dan, dia akan bawa Maghfirah tinggal jauh daripada keluarganya. 
“Termenung apa?” 
Nazri memisat mata, menghalau bayangan Maghfirah bila bahunya ditepuk sedikit kasar.  Dia melangut pandang. 
Ayah. 
“Lewat ayah balik?”  soalnya cuba berbahasa melihatkan ayah yang baru saja labuhkan duduk di depan.  Keletihan.  Kepenatan. 
“Banyak benda nak selesai.  Sawit tu nak kena tanam lain.  Yang nak kena tebang pun ada.  Tanam sekarang, dalam lima tahun nanti dapatlah hasilnya,” cerita Pak Mail. 
Nazri angguk kecil.  Diam.  Tak tahu dah nak kata apa.  Nak tuding jari pada mak sebab bukak cerita Maghfirah siang tadi, dia pun tak tahulah.  Atau diri sendiri yang semakin rindu pada wajah itu. 
“Esok hari minggu, kamu tinggal sampai hari Ahad ke?” 
“Hajatnya.  Tengoklah kalau tak ada kerja urgent…”  jawab Nazri.
“Kamu tu, urgent saja.  Orang suruh kerja dengan ayah tak nak.”  Pak Mail mula membebel.  Menggeleng kecil.  Kesal dengan kedegilan Nazri. 
“…eloklah kalau kamu tinggal sampai hari Ahad.  Nanti ikut ayah pergi kenduri kahwin.  Diorang pun dah lupa gamaknya yang ayah ni ada anak sebab jarang sangat kamu balik sini.”
Mendengarkan perkataan kenduri kahwin, hati Nazri terbersit.  “Kenduri siapa?”  Wajahnya penuh rasa ingin tahu. 
Melihatkan wajah dan mendengarkan soalan Nazri, Pak Mail memicing mata. 
“Anak Suhaimi…” 
“Pak Mi?” Rasanya itu jiran yang terdekat dengan rumah Pak Mansor. 
“Ha’ah.  Itu ajelah sorang nama Suhaimi dalam kampung yang sekangkang kera ni.  Kenapa?  Kamu ingat siapa kahwin sampai riak muka kamu kerut macam tu sekali?” selar Pak Mail. 
Nazri tunduk.  Tak tahulah nak bersyukur atau sebaliknya.  Nak kata ada peluang, pintu hati Maghfirah sudah terkatup rapat untuk dia.  Dia tahu. 
“Kamu tak payah fikirlah pasal budak tak ada harga diri tu, Nazri.  Memanglah dia tak kahwin lagi tapi ini ada orang dok cakap dekat aku, ada jantan mana pulak bapak dia bawak balik ke rumah.  Dok bergelak ketawa dengan budak perempuan yang pernah kau suka tu…”  Bicara Pak Mail mati.
Dia pandang wajah anaknya.  Kerutan pada dahi Nazri lebih teruk daripada tadi.  Lebih berlapis. 
“Jangan-jangan kamu ni bukan pernah suka dia tak?  Tapi, masih suka dia?”  tebak Pak Mail. 
Nazri diam.  Lama.  Bukan soalan itu lagi yang menarik minatnya, tapi lelaki mana yang ada dalam rumah Maghfirah tanpa ikatan perkahwinan?  Sedangkan dulu, Maghfirah begitu menjaga diri tapi sekarang…
“Lelaki daripada mana?”  soalnya.
“Entah budak luar mana entah.  Katanya Mansor jumpa dekat stesen bas.  Dibawak balik ke rumah.  Terdesak sangat nak bagi anak dia berlaki gamaknya.  Itu yang heret aje orang lalu-lalang. Janji ada.  Entah penyangak ke, perogol ke, perompak ke… eh malaslah nak fikir.”  Pak Mail bangkit nak masuk ke bilik.
“Tapi…”  Langkah Pak Mail mati.  Dia pandang lagi wajah keliru Nazri.
“Kamu jangan sesekali pergi carik lagi budak tu, Nazri.  Ingat parut dekat muka kamu tu!”  Keras suara Pak Mail mengingatkan. 
Tunduk… tiada apa yang mampu dilakukan.  Seperti jugak kali lepas.  Dia tak mampu pertahankan cintanya.  Janji dia pada Maghfirah, nyata janji yang fana.  Tak tertunai malah gadis itu disakiti dan sekarang, ada lelaki lain dalam hati Maghfirah. 





DALAM tak sedar, Ian tergelak sendiri.  Mana tak gelak bila ingat telatah Maghfirah.  Biarpun airmuka itu ketat, tapi pada dia Maghfirah memang pandai buat kelakar.  Lawak kering hingga dia tak mampu menahan tawa bila dia berkata demikian.  Betul.  Andai Maghfirah mahu, dia sudi hampar bahu dan dadanya untuk gadis itu merebahkan kepala.  Tapi, mata Maghfirah.  Mencari-cari tempat mana yang sesuai untuk dia sorokkan wajah dan akhirnya, tangan dia mencapai dulang lantas dibawa ke wajah.   Menutup seluruh wajah.  Kaku di situ. 
Hingga dia tarik dulang itu daripada terus menutup wajah yang merah seperti udang bakar itu, barulah dulang itu jatuh ke riba Maghfirah.
“Malu?”  soal Ian.
“Bukan malu…”
“Habis tu?” 
“Bukan malulah.  Tapi, kan saya dah pesan jangan buat kelakar.  Tak kelakar langsung.  Ada awak tengok saya gelak?  Ada?” 
“Tapi, saya tak buat kelakar pun…”
“Habis tu, awak gelak?”  cantas Maghfirah laju. 
“Saya gelak dengan telatah awak.  Kotya pun malu, dulang pun awak tarik buat tutup muka.”  Ian mengesot sedikit mendekati Maghfirah.  Wajahnya juga didekatkan.  Hingga gadis itu menyondongkan badan ke belakang sedikit. 
“…awak ni macam memaku dulang paku serpih.  Pernah dengar tak pepatah tu…”
“Kenapa dengan pepatah tu pulak?”  Fikiran jahat menerawang dalam kepala Maghfirah.  Jari telunjuknya lurus pada wajah Ian.
“…ooo… jadinya awak nak cakap, mengata orang… sayalah yang lebih, ya?  Gitu?” 
Tawa Ian bertambah galak.  Manalah dia tak gelak.  Kata orang buat kelakar, dia yang buat kelakar tak sedar gamaknya. 
“Saya tak terlintas macam itulah.  Sebab ada perkataan dulang.  Jadi, pepatah itu ajelah yang terlintas dalam kepala saya.  Tapi kan…”  Ian tunduk.  Tangan kasarnya merayap pada lengan Maghfirah yang ditutup dengan baju kurung kain kapas.  Fesyen zaman dulu.  boleh jadi, bahu kepunyaan arwah ibunya.  Dia tak tahu.
Hingga sampai ke pergelangan tangan, tangan Ian terhenti di situ. 

“…memaku dulang paku serpih, mencari tenang tapi terjumpa sang kekasih.” Ian angkat wajah.  Senyum tipis.  Mengerdipkan mata sekali.  Memandang Maghfirah dengan pandangan yang begitu redup dan damai.

..bersambung

7 comments:

  1. Klu dh tau org malu..napela ditegur lg.. 😅😂😂😂 thx RM for the update 🌹🌷💐

    ReplyDelete
  2. opss, haha ayat makin pandai mengayat eh Ian..huh

    ReplyDelete
  3. opss, haha ayat makin pandai mengayat eh Ian..huh

    ReplyDelete
  4. Huaaaaa, romantik ian.....cepatla kawin

    ReplyDelete
  5. Awww! Awesome��

    ReplyDelete
  6. Hui...jatuh cinta baca ayat2 cinta RM...💓💓💓💓

    ReplyDelete