SYUKURLAH. Hanya itu yang nak dia ucap. Tak puas rasanya nak panjatkan rasa terima
kasih. Mati-mati dia ingat Nazri akan
menangguk dalam air yang keruh tapi kekesalan pada wajah Nazri bukan sesal yang
dibuat-buat. Nazri benar-benar
kesal. Bukan sekali kata-kata maaf
dilafazkan dan dia juga berkali-kali tekankan bahawa, dia maafkan Nazri. Maaf sesungguh-sungguhnya. Dia juga selama ini, sentiasa hidup dalam
rasa marah dan terkilan dengan apa yang dah jadi hingga Tuhan hantar suami yang
begini untuk dia kembali menjadi tabah.
Mendengarkan ceriat
Maghfirah, Pak Mansor mengucap panjang. Andai
benar semua dah selesai, hanya pada Tuhan dipanjatkan segala kemuliaan.
“Habis tu, Firah
macam mana?”
“Macam biasa
ajelah, ayah…” Senyuman itu masih
tercalit tawarnya.
“Ian?”
“Dia pun sama. Sehari dua ni, dia dah tak sebut nama
tu. Mungkin adik arwah June masih tak
maafkan Ian. Apa nak kata ayah… memang
kita salah. Kita kena minta sampai orang
bagi. Firah yakin, Ian juga dah meminta. Andai Julia tak nak bagi, apa lagi yang mampu
dikatakan. Dia jugak tahu, bukan salah
Ian sepenuhnya. Salah orang tua jugak
yang nak jadikan June tu anak yang sempurna sedangkan kita ni makhluk yang
hina. Kesempurnaan tu milik Allah dan
Rasulullah saja. Semua pendosa. Sebab tu June jadi tertekan. Dan kalau June tu mirip Julia… Firah jugak
tak boleh nak salahkan Ian kalau dia jatuh cinta…” cerita Maghfirah pada ayahnya sewaktu mereka
duduk minum petang di pangkin bawah rumah.
“Betullah
tu. Apa yang Firah cakap tu memang
betul. Kadang-kadang hati dulu yang buat
keputusan. Akal datang kemudian. Benda dah jadi. Nak tuding jari pun bukan benda boleh ubah
keadaan. Jadinya, sekarang ni Firah
macam mana dengan Ian?” Risau Pak Mansor
masih tersisa.
Kotlah buatnya
Maghfirah ni pun biarkan hati lebih dulu berbicara nak dibandingkan dengan
akal, teruklah.
“Firah dah janji
nak temankan dia. Memang tak mudah nak
hadapi doktor sakit jiwa yang jiwa sendiri pun tak tenteram…” Maghfirah ledakkan tawa tiba-tiba.
Ada masa dia nak
aje sindir Ian… Doktor Pakar ya? Dia mati-mati
ingat Ian tu doktor potong orang.
“Eh, kamu ni…
kata suami sendiri.”
“Firah gurau
ajelah ayah. Banyak sangat benda
berlaku. Firah nak juga lapangkan kepala
Firah ni…” Dia mencebek pada ayah.
“Iyalah. Macam Firah cakap. Doktor pun manusia. Tak kiralah doktor ubat orang ke, doktor ubat
jiwa orang ke. Manusia.
Nak-nak macam Ian tu. Siapalah mampu
terima bila pesakit sendiri bunuh diri depan mata. Bukan main-main. Bunuh diri.
Kalau ayah gamaknya pengsan dekat situ terus…”
Menimbang kata-kata
ayah, tidak dapat tidak… Maghfirah harus akui kebenarannya. Andai dia, mungkin dia jugak sakit jiwa. Nak dikira, Ian lagi kuat. Dia sendiri, hanya difitnah begitu, selamanya
dia kurung diri sendiri dalam rumah. Langsung
tak keluar.
Ian pulak…
lebarkan sayap. Terbang ke sana sini dan
akhirnya hingga di atas dahan hatinya.
Firah sayang abang! Eh,
malulah!
“Ni dia ada
cakap ke bila dia nak balik?”
Oh Maghfirah dah
hampir lupa. Ian ke KL awal pagi
tadi. Dia tak tanya. Bukan kerana tak peka tapi kerana
percaya. Ian perlu leraikan apa yang
masih kusut. Biar benar-benar
lepas. Biar tak terbelit lagi. Kepak yang ada perlu dikuak selebarnya.
“Nanti dia
sampailah tu. Ayah jangan risau…”
“Tapi, ayah
nampak, Firah yang risau…” Pak Mansor
gelak. Terus bangkit dan berlalu masuk ke
dapur.
Ayah ni la hai… dia
panjangkan leher ke jalan sana. Menanti dengan
penuh sabar.
DATO’ JOHARI
gamam melihat wajah lelaki yang cukup dia kenal. Lelaki yang dia ugut dulu. Lepas itu hilang tanpa khabar berita dan kini
muncul pula. Seluruh tubuhnya
menggigil. Amarah yang belum malap,
kembali menyala.
“Kau nak apa
lagi?”
Ian diam. Tunduk.
“Tak puas lagi
kau bunuh anak aku? Satu-satunya anak
yang boleh aku harapkan…”
“Habis tu, Jue
ni apa daddy?” Entah daripada mana,
Julia muncul. Memandang daddy dengan
rasa kesal.
Sampai hati
daddy.
“Hah, eloklah
Jue datang. Ini! Lelaki ni!”
Jari telunjuk Dato’ Johari diluruskan tepat ke wajah Ian.
“…yang Jue cari
selama ni. Dia yang jadi penyebab kenapa
June macam tu…”
Julia gelak. Gelak yang dibuat-buat. Tangan ditepuk
berkali-kali. Tahniah daddy. Sampai hari ni masih tak sedar diri
lagi.
“Pada Jue,
penyebab utama adalah daddy. Apa yang
daddy dah buat pada kakak sampaikan dia jadi macam tu? Sampai dia kena jumpa doktor sakit jiwa? Dan bila dia dah hampir pulih, jatuh cinta,
nak bina keluarga dengan lelaki yang dia sayang… kenapa daddy halang? Kenapa daddy?”
“Ini, nak jadi
suami June? Tak sesuai dengan June yang
serba sempurna tu, Jue!” marah Dato’
Johari.
Ian masih
diam. Rasanya belum sampai waktu untuk
dia buka mulut. Julia begitu beremosi
dan Dato’ Johari pun sama. Nazri juga
kaku.
“Anak daddy yang
sempurna tu pincang segalanya. Sebab daddy
terlalu taksub nak anak yang sempurna. Tengok,
kat mana anak sempurna daddy tu
mereput. Puas hati daddy?!”
“Julia!!!” Tangan Dato’ Johari akhirnya hinggap ke pipi
Julia.
Nafas Julia
mengah. Dato’ Johari jugak sama.
“Kau jangan hina
June. Biarpun dia dah tak ada, dia
adalah anak yang daddy harapkan. Dia yang
tak pernah bantah cakap daddy, yang ikut segala kehendak daddy…”
“Ya, dengan
ketepikan segala kehendak sendiri! Daddy
sedar tak tu? Kakak tu manusia
daddy. Bukan patung yang boleh daddy
bentuk ikut suka daddy. Ikut acuan
daddy. Kakak tu ada impian jugak. Ada tak sekali daddy tanya dia, apa dia nak
dalam hidup dia. Dia belajar apa yang
daddy suka, dia pakai apa yang daddy kat sesuai untuk dia. Dia makan apa yang lidah daddy cakap
sedap. Semuanya. Sebab tu dia jadi anak sempurna daddy dan Jue
ni jadi anak yang tak guna pada daddy. Tapi,
daddy sedar ke tidak… sebab sikap daddy tu kakak terpaksa jumpa doktor pakar
dan bila diorang jatuh cinta, kenapa daddy halang? Jadi, sebab tu bukan Doktor Ian daddy
sedangkan dia sedaya-upaya cuba selamatkan anak daddy yang gila tu sampai
sanggup terima cinta kakak tapi daddy…”
Esakan Julia mematikan kata.
Dia pandang ke
kiri. Nazri sedang menepuk bahunya perlahan.
Hati dia sakit sangat. Dia mencari
penyebabnya tapi penyebab sebenar ada depan mata!
“Sampai hati
kamu cakap kakak kamu gila, Julia?” Intonasi
Dato’ Johari mengendur. Dia terkedu
dengan kata-kata Julia tapi nak mengaku salah semudah itu, egonya begitu
tebal. Susah nak kikis.
“Habis tu nak
cakap apa? Itu hakikatnya. Hakikat yang daddy selalu nafikan yang anak
sempurna daddy tu sebenarnya gila!”
Julia terus berpaling dan menghempas pintu.
Melihatkan Julia
yang menapak pergi, Nazri terus mengekori bila Ian menghantar isyarat. Dia… biarpun pernah gagal mengawal hati
sendiri, tapi dia masih dapat baca dan tahu tindakan Julia.
Cukuplah ikut. Andai Julia tak sedia berbicara… biarkan
saja.
Dato’ Johari
terduduk di atas sofa. Pertama kali dia
dituduh dengan begitu berat. Sepertinya dia
dah lakukan kesalahan paling besar dalam dunia ni. Kesilapan yang tak boleh dimaafkan malah
undang-undang dunia pun tak boleh adili dia.
“Kamu boleh
gelak dekat aku sekarang, Ian. Aku dah
hilang dua orang anak aku…”
Ian duduk di
depan Dato’ Johari tanpa dipelawa. Dia membongkok
sikit ke depan. Tangan tua Dato’ Johari disapa.
“Tak ada bapak
yang nak tengok anak dia tak berjaya, Dato’.
Saya faham apa yang Dato’ nak. Dato’
sentiasa bangga dengan anak Dato’. Setiap
ibu bapa impikan anak yang sempurna. Yang
mendengar kata. Tak salah Dato pun. Cuma, kita ni manusia Dato’. Sejauh mana kita berusaha, yang pasti kita
terima seadaanya apa yang telah Tuhan bagi.
Kita rasa tak cukup, tapi hakikatnya itu dah memadai untuk kita. Tapi manusia Dato… sentiasa tamak. Dah bagi, nak lebih lagi. Sampai melimpah-ruah. Lagipun sekarang, Dato’ tak hilang anak
lagi. Julia masih ada. Dia dah cukup sempurna dengan cara dia. Mana yang lompong, dia akan betulkan sedikit demi
sedikit. Belum lambat, Dato’. Pintu sedang terbuka. Jangan asyik pandang yang dah tertutup tu,
Dato’,” nasihat Ian sopan.
Dato’ Johari
angkat wajah. Merenung anak muda di
depannya. Kata-kata Ian memang
mendamaikan. Mungkin kerana Ian adalah
psikiatri. Jadi, bicaranya begitu enak
didengar.
“Mungkin mudah
untuk seorang pakar sakit jiwa macam kau nak cakap, tapi aku orang biasa…”
“Syukurlah…” cantas Ian.
Dato’ Johari
kerut dahi.
Ian senyum. “Syukurlah kita masih sedar yang kita ni
orang biasa. Saya pun sama. Lagipun, saya bukan lagi pakar sakit
jiwa. Saya dah berhenti kerja lama
dah. Dan, saya pun ada masalah jiwa
lepas kejadian lalu. Saya tak duduk
setempat. Saya mengembara dan pergi
mana-mana tempat hingga saya temui, pakar yang sebenarnya. Yang dah rawat hati saya…”
“Siapa?”
Ian hanya
senyum. Pakar yang dia temui itu,
biarlah hanya dia yang tahu.
“Dan, saya
datang ni… tak ada niat lain melainkan untuk mohon ampun atas segala silap saya
pada arwah June tapi untuk Dato’ tahu… saya benar-benar cintakan June masa
tu. Tapi, takdir berkehendakkan
lain. Saya redha sekarang.”
Pengakuan Ian
buatkan Dato’ Johari mengerutkan wajah menahan tangis. Ya, seperti kata Julia, andai dia izinkan…
June pasti masih ada dan bahagia. Dan seperti
juga kata-kata Ian, takdir berkehendakkan lain.
“Aku pun salah…” akui Dato’ Johari akhirnya. Airmatanya jatuh ke pipi. Rindunya pada arwah June tak terkira. Hinggakan dia mahu bentuk Julia juga menjadi
seperti June.
“Semua orang
salah, Dato’. Yang penting cara mana
untuk kita perbetulkan kesalahan…”
“Aku tak tahu…”
“Tak, saya yakin
Dato’ tahu…” Ian senyum. Rasa seperti
sedang bekerja seperti dulu. Adakah dia
kembali layak merawat jiwa orang?
“…Julia…” tambah Ian.
Terdiam Dato’
Johari bila nama itu disebut. Dia tunduk. Menangis dan terus menangis.
Ian tarik
tangannya lepas daripada genggaman Dato’ Johari. Entahlah… dimaafkan atau tidak, dia kurang
pasti. Tak apa, seperti pesan Maghfirah…
kita pinta. Orang tak nak beri, kita tak
boleh paksa.
“Kalau gitu,
saya balik dulu, Dato’. Apa-apa hal Dato’
rasa nak berbual kosong, telefonlah saya…”
Kad lama dia diletak atas meja. Nombor
sama yang dia kembali aktifkan semula.
“Ian…”
Tak sempat Ian
sampai ke pintu, namanya diseru. Dia toleh.
“Kalau aku
izinkan Julia ganti tempat June?”
duga Dato’ Johari.
Ian senyum. Menggeleng dan menolak sopan.
“Maaf, Dato’…
saya dah ada isteri dan jiwa saya ni bukan jiwa yang besar mana untuk terima
banyak hati. Seluruh hati dan jiwa saya
dah penuh hanya dengan dia. Cuma saya
harap, Dato’ tak tutup mata lagi kali ini dengan biarkan bahagia Julia
pergi. Tak semua orang dapat peluang
kedua Dato’. Biasa kalau dapat pun,
peluang itu hanya dipersiakan. Saya harap
Dato’ faham…” Senyuman terus
melebar.
Usai memberi
salam, Ian terus menapak keluar. Sungguh…
dia tak berani untuk ke sini tapi Maghfirah yang meminta. Hanya dengan menghadapi ujian, dia akan
kuat. Bukan terus berlari dengan kaki
tangan terikat.
Sungguh jugak…
itulah pakar jiwa yang sebenarnya. Dia,
hanya bangga dengan sijil dan PhD yang tergantung pada dinding.
Dan sekarang…
tubuhnya terasa begitu ringan. Persis mahu
segera terbang menemui wanita itu. Wanita
yang membantu dia mencari Maghfirah. Yang
bermakna keampunan.
...bersambung
Terima kasih Rehan utk entry ni😚😚😚
ReplyDeleteCite sis rehan...xpenah lau xusik emosi...mmg thorbaeekk
ReplyDeletetq RM..best..
ReplyDeleteAkhirnya kau temui Maghfirah yg kau cari..
ReplyDeleteTq rm....terbaik...
ReplyDeleteTq rm....terbaik...
ReplyDeleteAlhamdulillah..tahniah Ian..u make really brave move
ReplyDeleteTqvm RM utk semua pengajaran yg dikongsi ☺🌹🌷💐
ReplyDelete