Friday, January 13, 2017

Maghfirah 21

MAJLIS kesyukuran yang memang berjalan seperti yang Ian rancangkan.  Semuanya diuruskan oleh imam.  Dia hanya bagi apa yang perlu.  Biarlah dia bagi makan orang.  Moga dalamnya dia mendapat keberkatan.  Dia dan Maghfirah.  Untuk rumahtangga yang mereka bina untuk atas dasar sayang semata tapi kerana rasa lapang dan tenang. 
Dia tahu, igauan itu masih menghantui dan Maghfirah tak putus harapan ada di sisi.  Mengejutkan saat dia lelah berlari dalam mimpinya.  Lantas wanita itu memeluk dia erat.  Cuba meredakan tubuh yang menggigil kelelahan.  Sepatah pun Maghfirah tak tanya apa yang dah jadi biarpun dah cerita sedikit.

Biarpun cara Maghfirah memandangnya penuh tanda tanya, tapi bibir itu terkatup rapat dan setiap kali dia resah, hanya pelukan yang mengganti kata-kata.  Kerana itu dia tenang, dia damai dan dia sedikit tabah. 
Pernah Maghfirah tanya… “Kenapa lari?  Kenapa tak hadapi?” 
“Sebab saya pengecut,” akuinya saat itu. 
“Saya tak salah awak.  Lelaki pun manusia.  Perasaan takut tentu ada.  Setiap manusia buat silap.  Yang penting cara nak betulkan kesilapan.  Yang pastinya, bukan dengan cara melarikan.  Awak kata saya destinasi akhir awak.  Perkara pertama, awak perlu berhenti berlari.  Pegang tangan saya.  Saya tak akan lepaskan awak sendiri.  Banyak-banyakkan istighfar.  Moga dengannya Tuhan hantar pertolongan bila kita benar-benar memerlukan…”   Nasihat Maghfirah begitu lembut menerjah pendengaran. 
Ian senyum.  Ya, dia yang pakar tapi tewas.  Entah mana pergi ilmu yang dia belajar.  Bukan sekejap tapi bertahun-tahun.  Sepertinya panas setahun dihapuskan oleh hujan sehari.  Itulah pepatah yang begitu sesuai untuk dia. 
Kerana cinta… kerana wanita…
“Ian, kan?” 
“Hah?”  Ian terkebil-kebil bila ditegur.  Dia pandang depan.  Nazri?
“Errr…yup.  Ian.  Suami Maghfirah…”  Entahlah.  Bukan dia nak mengaku begitu tapi terkeluar bahana rasa terkejut.  Tiba-tiba muncul menegur dia yang sibuk mengemas pinggan lepas habis majlis ni.  Terkejut jugaklah.
“Aku rasa kau dah kenal aku.  Mesti kau dah tahu, kan?”
Ian angguk.  Diam kembali.
“Tahniah untuk perkahwinan kau…”
“Oh, terima kasih…”  Kaku kembali.
“Kalau kau tak keberatan, boleh aku tanya satu soalan?” 
Kening Ian naik.
Nazri senyum.  Nampak  ikhlas.  “Kau bukan orang sini, kan?  Daripada mana?  Jauh mengembara?”
Tu dia… Ian rasa nak aje dia sindir Nazri ni.  Kata satu, tapi tiga.  Gamaknya, mahu tiga puluh soalan dalam kepala Nazri untuk dia.
“Aku orang KL.  Saja mengembara.  Jauh perjalanan luas pemandangan orang kata.”
“Memang luas pemandangan, kan?”  sindir Nazri.
“Sangat luas sampai aku nampak segalanya.  Sangat luas, sampaikan aku sedar… apa yang aku ada ini sempitnya.” 
Suasana kembali sepi.  Nazri buntu.  Dia tahu Ian sindir dia.  Tapi, lantaklah.  Dia tak ada niat jahat pun.  Cemburu?  Ya, ada.  Tapi, sampai nak rampas Maghfirah… dia tak gila lagi. 
“Firah mana?”
“Oh, dia dah balik.  Letih katanya.” 
“Tak ada rezeki nak kenalkan dia dengan tunang aku…”
Oh… mulut Ian bulat.  Tunang tiba-tiba.  Gamaknya, Nazri fikir dia syak bukan-bukan tak?  Tidaklah.  Dia pandai baca Bahasa tubuh orang.  Dia juga reti tafsir riak wajah.  Tapi, alang-alang Nazri cakap tunang, eloklah. 
“Nak aku panggilkan Firah?” 
“Oh tak apa.  Aku kejap aje ni.  Apapun, tahniah sekali lagi.  Untuk Firah jugak,” ucap Nazri antara ikhlas dan tidak. 
Tangan Ian dijabat.  Dia mahu toleh belakang bila wajah Julia muncul.  Nampak sedikit tak selesa dengan keadaan kampung. 
“Eh, dah makan?”
“I tak boleh telan…” 
Ian mencebek.  Terus lap pinggan.  Bukan bagi kau makan batu sampai tak boleh nak telan.  Mengada sangat. 
“Tak apalah.  Nanti mintak mak I masak apa-apa you nak makan dekat rumah.  Tapi sebelum tu, mari I kenalkan dengan pengantin baru tu…”  Nazri menoleh semula pada Ian.
“Ian, kenalkan… tunang aku…”
Julia menjengah.  Pinggan di tangan Ian jatuh.
“June?”  Ini bukan mimpi, kan?  Ini realiti, kan?  Tangan Ian terangkat mahu menyentuh tapi tertahan.
Tak… ini mimpi.  Mimpi di siang hari. 
“June?”  soal Nazri. 
Julia juga sedang berkerut wajah. 
“June, kan?”  tanya Ian dengan mata yang merah.  Cakaplah.  Mengakulah June.  Moga saya tak terus terbeban. 
Akhirnya, bibir Julia pecah dengan senyuman lebar.  Bingo!  Pencarian dia berakhir. 
“Ya, saya June.  Doktor Muhamad Nur Furqan…” 
Ian hampir rebah namun pinggangnya dipaut erat.  Bila dia toleh, Maghfirah sedang tersenyum seperti sedang menghantar segala kekuatan padanya. 
“Tolong abang, sayang…”  pinta Ian perlahan. 
Maghfirah pejam mata.  Demi mendengarkan kata-kata Ian…



BUKAN kehendak dia, tapi dia pujuk jugak Ian untuk berdepan dengan wanita yang dikenali sebagai Julia.  Itupun dia dengar Nazri yang panggil biarpun hakikat wanita itu mengaku sebagai June.  June yang selalu Ian sebut dalam igauannya. 
Di dalam rumah dia… dia hanya bersila jauh daripada Ian dan Julia  yang nampak begitu serius berbicara.  Tak sedar, Nazri mendekati.  Juga duduk biarpun sedikit jarak.  Maghfirah langsung tak menoleh.  Dalam hati berkira-kira.  Ujian apakah lagi yang mahu tiba ni.  Tanda tanya dalam kepala dia terus muncul dan muncul tanpa henti.  Segalanya buat jantung dia bekerja lebih masa.  Apatah lagi melihatkan renungan Ian pada Julia…
Hatinya terasa sebak.  Cemburukah dia?  Gamaknya.  Setelah mendengarkan rayuan Ian tadi… abang… sayang… kenapa dia mesti semakin sedih. 
“Awak okey?” 
Maghfirah tunduk. 
“Awak marah saya lagi?”
Maghfirah geleng.  Dia benar-benar dah redha dengan segala yang pernah terjadi antara mereka.  Lagipun, namanya dah bersih.  Dia pun langsung tak burukkan Nazri. 
“Awak tahu Ian siapa sebelum ni?” 
Gelengan sekali lagi menjadi jawapan. 
“Awak tahu dia doktor sakit jiwa?” 
Diam.  Apapun dia tak tahu tentang suami sendiri.  Masa lalu tak penting pun.  Tapi, masa lalu itu juga yang sedang memintas bahagia mereka. 
“Awak tahu dia penyebab pesakit dia mati?  Bunuh diri depan dia? Dan orang tu adalah kakak pada Julia?” 
Nak aje Maghfirah jerit pada Nazri.  Dia tak tahu semua tu.  Dia hanya tahu nama June.  Yang lainnya, dia tak pernah tahu. 
“Apa yang awak nak cakap ni sebenarnya, Nazri?”  Mata Maghfirah dah merah.  Dia dah hampir menangis. 
“Dia bunuh orang, Firah…” 
Bibir diketap.  Kata-kata Ian awal-awal dulu bergema dalam kepala.  Saya bekas doktor.  Sebab saya bunuh orang. 
“Kalau June bunuh diri depan Ian, kenapa semua tu boleh jadi salah Ian pulak?  Kenapa Ian pulak yang bunuh June?  Bukan Ian yang tolak.  June yang terjun.  Kenapa mesti nak salahkan Ian?”  Sedaya-upaya dia kawal suaranya.  Walaupun sedang marah, dia perlu belajar kawal segalanya. 
“Memang bukan dia  yang tolak June tapi kerana Ian langgar etika kerja, dia tak ubah macam bunuh June.  Dia tak boleh jatuh cinta pada pesakit sendiri.  Dia tak boleh bagi harapan dan janji palsu sedangkan dia tahu keadaan June masa tu.  Lepas dah tabur semua janji, bercinta bagai nak rak… dia nak tinggalkan June.  Sebab tu June bunuh diri.  Itu pun awak kata bukan sebab Ian…” 
Sakit hati Maghfirah dengan kata-kata Nazri.  Dia pandang Nazri tajam.  Satu perkara Nazri tak sedar sebab tu Nazri begitu lancar bersuara. 
“Penyebab itu adalah sekadar penyebab, Nazri.  Tapi, ajal maut bukan urusan kita.  Awak tak tahu, tapi saya tahu.  Perkara itu dah buat Ian jadi seperti apa dia hari ni.  Awak tak akan tahu menderitanya orang-orang yang difitnah seperti kami ni hadapi dugaan, Nazri.  Awak tak akan tahu…”  Bukanlah dia nak bela Ian.  Salah tetap salah.  Tapi, kematian June bukan kerana Ian.  Ian bukan malaikat pencabut nyawa. 
Tidak! 
“Habis tu kenapa you bercinta dengan kakak I untuk akhirnya you tinggalkan dia?  Bila akhirnya you letak garisan yang hubungan  you dengan dia tak lebih sebagai pesakit dan doktor aje?  Lepas you bagi harapan pada dia?!” 
Mata Maghfirah membulat.  Nazri ternganga bila Julia menjerit kuat.  Mencekak kolar baju Ian yang tunduk sejak tadi.  Maghfirah mahu bangkit tapi Nazri menahan. 
“Doktor sakit jiwa apa you ni, Ian?  You langgar etika you sebagai doktor.  Atau pun you yang sakit jiwa sekarang ni?!  You yang gila!  Tapi, kakak I yang jadi mangsa…” 
Ian tolak tangan Julia.  Dia hanya tahu June ada adik tapi tak pernah tengok adik June.  Nyata, memang kembar biarpun bukan.  Kerana itu, pertama kali tadi dia benar-benar fikirkan June.  Rupanya, dah lama Julia mencari.  Keciknya dunia.  Sejauh-jauh tempat dia mengembara, di sini juga mereka berjumpa. 
“Silap I hanya satu, Julia.  I jatuh cinta pada pesakit sendiri.  I benar-benar berjanji dan I memang nak tunaikan.  Tapi, apakan daya… semua tu hanya rancangan.  Dan, rancangan itu terhalang oleh keluarga dia yang berada.  Yang ada perancangan lebih untuk dia sedangkan I ni… apalah sangat kalau jadi doktor sakit jiwa.  Tak jamin June bahagia.  I benar-benar cintakan kakak you, Julia.  I nampak semangat dia nak pulih.  I nampak dia tertekan dengan apa yang dah keluarga you aturkan untuk dia…”  Ian gelak kecil.
Patutnya dia tak boleh dedah masalah pesakit.  Tapi, itu dulu.  Sekarang, dia bukan lagi Doktor Muhamad Nur Furqan yang dimaksudkan.  Dia hanya hamba Allah yang berdosa.  Yang mencari ketenangan dan keampunan dan semua itu… dia pandang wajah isteri. 
Ya… itu wajah ketenangan.  Senyuman terlakar tapi pahit.  Dia tahu, Maghfirah akan kecewa.  Sekali lagi, dia rosakkan hati yang mencintai dia. 
“…selama dengan June, I sendiri happy.  Kadang-kadang dia yang banyak courage I dalam tak sedar.  Sebab I manusia biasa, Julia yang susah nak kawal hati bila jatuh cinta.  Andai kerana itu you kata I salah, I terima segala caci-maki you…”
Kata-kata Ian meresap dalam kepala.  Daddy.  Hanya sepatah kata itu yang bermain dalam kepala Julia.  Patut dia dah agak.  Daddylah puncanya. 
“Tapi, kenapa you tak tahan dia…”
“I tak sempat.  I tak habis cakap lagi.  I nak cakap, yang dia perlu terima rawatan dengan doktor lain.  I nak hubungan kami bukan atas dasar tu.  Tapi, dia…”  Ian tak sanggup lagi membuka pekung di dada sendiri. 
Sakitnya masih terasa.  Bagaimana dia nampak darah merah yang keluar daripada kepala June.  Macam mana dia kaku di situ tanpa berbuat apa-apa. 
Lidah Julia mengeras.  Dia tunduk.  Airmatanya jatuh tak terseka.  Jadi, daddy semua punca.  Kakak tu gila sebab daddy yang gila kuasa.  Kakak tu sakit jiwa sebab daddy yang sakit jiwa! 
Julia bingkas bangun.  Dia renung Ian yang masih tunduk.  “Jadinya, you lari daripada semua benda, letak jawatan, sampai tak boleh kesan… sebab you pengecut…”  tuduh Julia.
“Ya… I dah puas jadi pengecut.  I dah letih berlari.  I akan hadapi dan hari tu adalah hari ini.”  Ian angkat wajah.
Julia masih menitiskan airmata biarpun tiada tangisan. 
“I masih rasa you penyebabnya, Ian.  You yang rosakkan kerjaya sendiri.  You tolak kakak I ke jalan macam tu.  Dan I, tak mudah nak doakan you bahagia dengan hidup you sekarang…” 
Hidup yang dia maksudkan adalah Maghfirah.  Apatah lagi melihat pada cara Nazri memandang Maghfirah, dia tahu… itulah orangnya.  Atau adakah dia akan jadi gila seperti kakaknya?
Maghfirah bangkit dan bersimpuh di sisi Ian.  Bahu Ian disapa.  Sebelah tangan lagi mengusap tangan kasar Ian.  Dia senyum biarpun hati begitu luluh dengan segala rahsia yang terbongkar sudahnya. 
“Awak kena sedar… doktor pakar sakit jiwa adalah manusia biasa.  Bila doktor perubatan yang sakit pun, dia akan jumpa doktor lain.  Cerita awak lebih kurang sama aje, Ian…”  Suara Maghfirah sedikit kuat.
Dia nak Julia dan Nazri dengar juga.  Kesannya pada Ian bukan sikit.  Hanya dia yang tahu.  Tidur Ian tak pernah lena pun. 
“Sepakar mana pun kita, urusan hati adalah milik Allah.  Tak salah awak jatuh cinta pada pesakit.  Elok jugak akhirnya jadi macam tu dan hikmahnya, awak mengembara mencari keampunan Tuhan.  Awak mengembara dan sedar, kerdilnya awak.  Awak bukan sesiapa tanpa bantuan Allah biarpun awak ada sijil yang bersusun tergantung di dinding.  Andai tidak, mungkin kita selalu mendongak langit.  Sudahnya kita lupa yang kaki kita di bumi sebenarnya…” 
Airmata Maghfirah jatuh akhirnya.  Melalui pipi dan jatuh ke bibir.  Dia pandang pada Julia.  Senyum.  Faham andai Julia menyumpah hidupnya dengan Ian.  Julia yang kehilangan.  Mereka rasa tapi sedalam mana rasa tu, pasti Julia yang lebih terasa.
“…kaki yang sentiasa berlari mengejar keindahan pelangi tanpa melihat ke bawah.  Akhirnya, larian kita terhenti… kita tersadung pada akar yang berselirat.  Akar yang kita panggil ujian Tuhan.  Bila kita tersembam, barulah kita mula nak kembali merangkak dengan tangan yang menggapai ke udara menyebut tidak lain dan tidak bukan… Ya Allah… Engkaulah yang berkuasa ke atas aku,” tambah Maghfirah cuba mengimbangi bicara dan esakan. 
 “Mungkin suami saya lupa, Julia.  Lupa sebelum ni dia hamba Allah.  Mungkin dia lupa dan megah diri seketika.   Dia terlalu teruja dengan dunia.  Dia terlalu tenggelam dalam cinta sesama manusia hingga akhirnya Tuhan tarik segala nikmat itu dalam sekelip mata.  Kerana itu dia bukan sesiapa sekarang.  Dia hanya Muhamad Nur Furqan, suami saya.  Dia tiada apa…”  Tidak lagi dapat menahan sebak, Maghfirah lepaskan segala yang terbuku dalam hati.
Julia dan Nazri sepertinya terngadah sendiri.  Julia kembali terduduk.  Nazri kelu tunduk ke lantai.  Menggenggam tangan sendiri.  Dia silap lepaskan wanita sehebat Maghfirah.  Kerana itu gamaknya, hati dia masih pada Maghfirah hingga kini.  Wanita ini begitu bijak menjaga diri malah tutur bicaranya seperti embunan pagi yang menyejukkan hati yang panas.  Menenangkan jiwa yang sentiasa merusuh. 
Tanpa memikirkan Julia dan Nazri, Ian dakap tubuh Maghfirah erat.  Ketetapan Tuhan padanya tidak pernah silap.  Maghfirah adalah bukti yang nyata.
“Maafkan abang sebab lukakan hati Firah tanpa sengaja, sayang…”
“Syhhhh…”  Maghfirah tepuk belakang Ian perlahan.  Tak ubah seperti sedang memujuk anak kecil yang sedang menangis ketakutan.
“…Firah harap, malam abang akan menjadi malam yang tenang setelah ini.” 

Dan, pelukan itu bertaut lama.  


...bersambung

PS : Nak abih dah... ^_^

13 comments:

  1. Cerita Rehat semuanya indah2 belaka.Terima kasih utk ingatan kpd pembaca2 tentang kasih sayang Allah kpd hamba2Nya.

    ReplyDelete
  2. Alaaa, sayangnya nak abis dah....it's really maghfirah...brilliant cik RM

    ReplyDelete
  3. Firah penyejuk hati Ian..kata2nya menusuk kalbu..semoga tidur Ian lena selepas ini..terbaik RM..

    Zulyati

    ReplyDelete
  4. Hanya 👍🏻 Yang bisa akk sampaikan...

    ReplyDelete
  5. InsyaAllah Ian...tenang tu hanya Allah yg boleh bagi...

    ReplyDelete
  6. Betul sgt kata2 firah tu.. 😔😟 thx RM for the update 🌹🌷💐

    ReplyDelete