Tuesday, August 22, 2017

Objection 11

BARU nak memanjat dua anak tangga itu, Aira jatuh terjelepuk.  Selipar dia licin.  Dia mengaduh sendiri.  Airnya tumpah.  Dahlah hujan begitu lebat.  Baju dia hanya ada yang ini.  Yang lain semua tak kering lagi.  Aira cuba bangun tapi dia kembali terduduk.  Buku lalinya perit.  Sekali lagi dia cuba bangkit, masih tak berjaya.  Bukan kerana buku laki itu saja tapi dia benar-benar keletihan. 
Seluruh tubuhnya sakit.  Seperti dihempap batang balak.  Akhirnya, Aira rebahkan badan di atas tanah.  Membiarkan hujan membasuh rasa sakitnya.  Menyentuh wajahnya.  Menyembunyikan tangisannya.  Dia buka mata bila dirasakan air itu tidak lagi menyapa wajah dan tubuhnya. 
Lelaki itu muncul.  Memayungi dia. 

“Air belum penuh.”  Aira bangkit.  Duduk bersimpuh.  Tak larat nak bangkit.  Katalah apa saja.  Paksalah dia buat apa pun, dia memang tak berdaya.  Kalau dia cakap nak tadah air hujan, sah-sah lelaki ni mengamuk lagi! 
“… aku dah tak larat.” 
“Yang kau bodoh sangat pergi angkut air dalam hujan tu, kenapa?  Kau rasa kau kebal?  Tak jatuh sakit?” 
“Habis tu, kau suruh aku penuhkan tempayan tu.  Kalau tak penuh, kau tumpahkan semua.  Kau suruh aku penuhkan balik.  Kau ingat aku larat ke nak buat benda sama berkali-kali?  Kau tahu tak aku daripada semalam tak makan?  Kau tahu tak, aku hanya minum air sungai tu aje?  Kau tahu tak?”  Aira raup wajah.  Dia dah mula menangis lagi. 
Dia betul-betul terseksa.  Jika beginilah keadaannya, makin teruk dan tak terjangka… dia lebih rela jadi hamba mama dan Airin.  Setidak-tidaknya, dia dapat makan tepat pada masanya.  Dia ada katil sendiri.  Dia ada pakaian yang boleh ditukar.  Dia tak akan merungut lagi.  Dia akan bersyukur biar bagaimana terukpun mama dan Airin melayan dia.  Dia tak akan sebut lagi tentang impian dia.  Tak akan cakap sepatah pun untuk tinggalkan rumah tu. 
“Bangun!”  Zafiq mengarah. 
“Aku tak larat.”
“Bangun!!”  Arahan Zafiq makin keras. 
Aira angkat muka.  “Aku dah cakap, aku tak larat.  Biar aje aku dekat sini.  Kau balik rumah kau sana!  Jangan ganggu aku!  Lagipun, kau tahu yang aku tak akan dapat lepaskan diri daripada sini.  Kau nak takut apa?”  marah Aira dengan nada yang sebak.  Dia terus membatu di situ.
“Aira, hari hujan… haiwan berbisa banyak.  Baik kau bangun!”  Zafiq makin hilang sabar.   Buatnya tiba-tiba kena sengat jengking ke, dipatuk ular ke… satu hal pulak. 
“Biar aku kena sengat pun.  Kau peduli apa?  Patut kau suka tengok aku terseksa macam ni, kan?  Kau memang harap aku mati, kan?” 
“Gila!”  marah Zafiq.  Sabar dia kian menipis.  Sikit lagi nak koyak ni.  Dia mencangkung dan menarik lengan Aira.
“Kan aku dah cakap, kalau kau nak mati pun… aku akan seksa kau cukup-cukup!” 
Aira menoleh.  Dadanya turun naik.  Ringan tangan dia nak cakar wajah lelaki ini.  Biar turut sama merasa, pedihnya layanan yang dia terima.
“Bangun, Aira!”  Zafiq bangkit.  Ditarik Aira agar turut sama bangkit tapi bila perempuan itu terus membantu, Zafiq tiada pilihan. 
Dia tunduk dan terus mencempung tubuh Aira ke dalam pelukannya.  Rontaan Aira langsung tak beri kesan pada tenaganya.  Pintu bilik itu ditendang dan Aira dihempas di atas katil. 
“Kan aku dah cakap biarkan aku!”  marah Aira.  Sakit belakang dia. 
“Biarkan kau?  Hey… kau tak rasa ke apa yang kau buat tu macam nak tarik perhatian aku?  Nak mintak simpati aku?  Seronok, kan?  Aku peluk kau?  Kau sukalah kan lelaki layan macam macam tu?  Sentuh kau sana-sini…”
“Hey, berapa kali aku nak cakap… Zariq atau sesiapa saja tak pernah sentuh aku.  Kau aje yang…”
“Aku buat apa?”  Zafiq rapatkan wajahnya ke wajah Aira.  “Aku buat apa, Aira?  Kau tak rasa aku cuba selamatkan kau ke tadi?  Aku terdesak peluk kau?  Kau ingat aku hadap sangat nak sentuh perempuan macam kau?  Bekas orang?  Come on…”  Terus Zafiq jarakkan tubuh mereka. 
Mengibas baju yang sedikit lembab.  Dia tarik bangku kayu dan labuhkan duduk di situ.  Sesekali dia mendongak, ada air menitis daripada atap.  Bukan satu tempat, malah beberapa tempat. 
“Kau memang sengaja buat aku sakit hati, kan?”
“Kalau ya, kau nak buat apa?”
Aira diam seketika.  “Apapun jadi, aku tetap tak mengaku salah…”
“Tak apa.  Aku ada cara nak buat kau mengaku satu hari nanti.  Tapi, buat masa sekarang, nah…”  Zafiq letak beg plastik yang Nazri siapkan tadi. 
“Banduan dalam penjara pun, dapat makan.  Aku tak kejam macam kau.  Kau kata kau lapar, kan?  Pergilah masak sendiri…”  arah Zafiq sinis. 
“Lagi satu, baju koyak kau tu…”  Ingat lagi dia yang rentap baju Aira.  Dahlah koyak, basah pulak.  Dua helai lagi pun dia nampak tersidai di luar.  Gamaknya, Aira tak sempat nak angkat kerana sibuk mengambil air daripada anak sungai. 
“Tukar!”  suruh Zafiq sambil membuka baju-Tnya dan dicampak ke riba Aira.  Membiarkan tubuhnya hanya dibalut singlet putih.  Kemudian, terus saja dia keluar daripada situ. 
Seperti sebelum ini juga, tanpa menoleh lagi. 
Aira genggam baju tersebut erat.  Bau lelaki itu menyengat.  Bukan bau busuk tapi bau seorang lelaki.  Baju-T putih itu dipandang lama.  Seperti merenung abang pada Zariq.  Dan kau Zariq, mana kau pergi?  Kenapa tak muncul dan katakan kebenaran?  Bukan aku yang kau cinta, Zariq.  Bukan aku yang sakiti kau. 
Aira rebahkan tubuh setelah menukar baju.  Besar dan menggelebeh.  Tapi, tak kisahlah.  Cukuplah untuk melindungi dia daripada kesejukan bila selimut dia juga tak kering. 



KEMURUNGAN Zariq semakin menjadi-jadi.  Biarpun jauh dia bawa Zariq dan Nazri ke Phuket.  Malah, ke pulau milik arwah umi.  Di mana ada sebuah rumah kayu yang di bina.  Cantik senibinanya.  Menghadap lautan dan dikelilingi pepohon nan hijau.  Dia tenang di sini.  Malah, Zariq juga suka.  Tapi sekarang, segalanya berbeza.  Ke mana saja, Zariq tetap begitu.  Termenung dan ada masanya Zariq bercakap sendiri.  Menangis dan ketawa.
Tuhan… Zafiq raup wajah.  Dia pandang Nazri. 
“Yie, abang ada kerja dekat resort kejap.  Nak kena sign dokumen sikit.  Kau tengok-tengokkan Zariq.  Jangan biarkan dia lepas daripada pandangan kau sesaat pun…” 
“Yalah, bang.  Yie tengok dia.  Abang pergilah.  Jangan risau.  Apa-apahal, Yie terus call abang.”
Berat hati nak tinggalkan Zariq.  Tapi, apa nak kata dia ada tanggungjawab lain pada pekerjanya.  Malah, ada yang dah bekerja sejak zaman umi dan abah lagi.  Mana boleh dia abaikan semua itu.  Sementelah pulak, dia baru saja membuka ladang perternakan tiram bagi penghasilan mutiara.  Malah, ada pelabur daripada Sabah juga datang. 
Zafiq berjalan ke jeti bila mana Rahim sudah sedia menanti bila Nazri datang berlari padanya.
“Abang!”  Laungan Nazri menghentikan langkahnya. 
Wajah Zafiq cemas.  “Kenapa, Yie?” 
“Abang Zariq carik abang.  Dia mengamuk tak jumpa abang…”
“Tuhan…”  Zafiq pandang Rahim yang dah bersedia di dalam bot.  “Im, kau tolong urus semua kat ofis.  Semua dokumen yang aku nak kena sign, kau bawak sini nanti.  Team daripada Sabah datang tu, kau handle ajelah.  Zariq tak sihat…” 
“Yalah, bos…” 
Zafiq terus berlari.  Sebaik tiba di rumah, Zariq sedang menangis sambil menggenggam rambut.  Nampak takut.  Nampak sakit. 
“Abang jangan tinggalkan Riq.  Abang jangan…” 
Zafiq dekati adiknya.  Melutut di depan Zariq.  Memeluk tubuh kurus itu erat.  Dia hampir menangis.
“Abang jangan tinggalkan Riq.  Aira jangan tinggalkan saya.  Abang jangan tinggalkan Riq.  Aira, jangan tinggalkan saya…”  Berpuluh kali, Zariq hanya ulang ayat yang sama. 
Airmata Zafiq gugur.  Pelukan mereka terlerai.  Zariq berlari ke pintu tapi sayang bila dahi itu terhantuk dinding.  Dang! 
Dan, Zariq rebah tak sedarkan diri dengan dahi yang mula mengalirkan darah.  Waktu ini, hati Zafiq lebih lagi berdarah. 



MATA Zafiq terbuka.  Peluh kecil merenik pada dahi dan seluruh dadanya.  Dia pandang kiri.  Tingkap itu terbuka dan terkatup berkali-kali ditolak angin yang garang.  Dia bangkit dan menutup tingkap itu rapat.  Duduk dibirai katil. 
Kau tak nak abang tinggalkan kau tapi kau… Zafiq mendongak.  Memandang siling dan terlintas akan sesuatu.  Dia bangkit dan menyarung  jaket ke tubuh.  Lampu suluh juga dicapai.  Setelah itu dia terus keluar bersama sekaki payung menuju ke pondok.
Aira!  Hati dia mula berlagu bimbang.  Dia lupa langsung tentang Aira dan atap pondok yang bocor.  Langkah kaki dipercepatkan dan bila dia tiba, dua keping atap sudah terbang entah ke mana.
Zafiq kalut.  “Aira?”  panggilnya kuat seraya mengetuk pintu.  Tak guna!  Perempuan ni kunci daripada dalam. 
“Aira, bukak pintu ni?”  arah Zafiq bersama ketukan bertalu-talu. 
“Aira?”  Suaranya makin kuat.  Kali ini dia tak mahu lagi menanti.  Sekali tendang aje, pintu itu terkuak lebar. 
Terbersit hati melihat Aira yang sedang mengerekot di bucu dinding.  Di mana hanya tempat itu masih sedikit kering.  Tapi, perempuan ini masih boleh lena.  Seluruh tempat sudah lencun.  Malah, pakaian putih milik dia yang dia campak pada Aira tadi juga nampak basah.  Anak baju Aira nampak jelas di matanya.  Zafiq pejam mata seketika.  Dia buka mata semula dan satu perkara dia perasan.  Aira memeluk plastik yang dia bawa.  Dia cepat-cepat membuka jaketnya dan membalut tubuh Aira.  Setelah itu, pipi perempuan itu ditepuk.
“Aira?  Bangun…” 
Tiada sahutan.
“Aira?”  Kali ini, dia tepuk pipi Aira sedikit kuat.   Barulah gadis itu angkat kelopak mata.  Merenung tepat padanya dengan pandangan yang begitu sayu.
“Kenapa kau tak panggil aku?” 
Aira kemam bibir seketika.  “Aku ada hak ke?” 
Wajah Zafiq berubah.  Dia telan liur sendiri.  Terasa disindir tapi ini bukan masa untuk mengamuk.  Dia dongak ke atas.  Hujan makin mencurah.  Angin juga makin kuat.  Rasanya, hingga ke pagi ni kalau mengikut pengalaman dia. 
“Jom…” 
“Mana?” 
“Ikut ajelah…”  Suara Zafiq sedikit meninggi. 
Aira betulkan duduk.  Dia masih memeluk plastik itu.  Zafiq merengus kasar. 
“Letak plastik tu kat sini…”
“Tak nak.  Ini makanan aku.  Nanti, kalau aku buang, kau suruh aku kutip.  Kau suruh aku makan yang ni aje.  Kali ni, aku simpan…”
“Aira…”
“Aku nak masak esok.  Aku pun tak suka bazirkan makanan macam kau jugak.  Aku sayang rezeki ni…”
“Aira!”  Zafiq menjerkah bila melihat Aira yang langsung tak hiraukan panggilan dia.  Suara itu teresak-esak. 
“Tinggal aje.  Kat rumah tu banyak lagi.  Biar aje dekat situ.  Jom…”  Zafiq bangkit.  Dihulurkan tangan pada Aira tapi teragak-agak gadis itu mahu menyambutnya.
“Aira, jangan buat aku hilang sabar.  Kau tengok atas tu.  Kau nak duduk sini sorang-sorang?”  marah Zafiq lagi.
Dia paut lengan Aira dan memaksa gadis itu bangkit.  Saat Aira berdiri, jaketnya jatuh.  Mata Zafiq sekali lagi terpaku tepat pada Aira dan dia pantas menoleh ke lain. 
“Kutip jaket tu, Aira.  Pakai!”  arahnya.

Seperti lembu dicucuk hidung, Aira sarung jaket besar itu ke tubuh.  Membiarkan lelaki ini menggenggam tangannya dan mengikut saja.  Dan, bila sesekali angin bertiup kencang, Aira rasa tangan kasar itu menjalar, memeluk bahunya.  Erat dan makin rapat.  Kepalanya jatuh pada bahu yang tidak sepatutnya.  Dia mula rasa selamat. 

22 comments:

  1. Aduh...sape potong bawang ni...sayang ke Zafiq kat Aira ni....

    ReplyDelete
  2. Nak lg boleh.. Hihi best nyaa

    ReplyDelete
  3. dik rehan....
    zariq dh tiada yer....
    pergi berjumpa kekasih abadi kn.

    ReplyDelete
  4. Allahu... BERTABAHLAH AIRA. Sesungguhnya, Allah menguji kekuatan iman hamba Nya.
    Azzna

    ReplyDelete
  5. Zariq ni dah meninggal ka actually? Omg. Serious wonder. Btw thanks sis sebab update. I've been waiting

    ReplyDelete
  6. Zafiq baik kan...dia datang tolong aira...cuma dendam sahaja yang menjadikan dia seperti itu..

    ReplyDelete
  7. Ya Allah..dugaan utk zafiq n aira

    ReplyDelete
  8. Nk tau camne Zariq 'pergi'...terkesan sgt kena tinggal ngn si airin nih! Jahat sungguh la pempan tu...

    ReplyDelete
  9. nak lg sis....tolong...tolong...

    ReplyDelete
  10. nak lg sis....tolong...tolong...

    ReplyDelete
  11. Sian aira..bila la salah fhm ni nk terlerai...tq sis rehan

    ReplyDelete
  12. Siannye aira... blh pulak zafiq tu terlupa kat dia... klu lg lama cmn la nasib aira! Thx RM for the update 🌹🌷

    ReplyDelete
  13. Zariq dh mati ke?harap zafiq akn jatuh cinta kt aira lps ni

    ReplyDelete