Thursday, August 17, 2017

Objection 9

DIA baru saja sampai pagi di Kuala Lumpur setelah hampir dua bulan tak pulang.  Dia balik ke sini pun, kerana Zariq yang beria minta dia kembali.  Katanya, ingin ke Itali dalam masa terdekat.  Eloklah kalau betul Zariq dah sedia.  Tapi, yang anehnya secara tiba-tiba. Itu yang menjadi tanda tanya. 
Kakinya laju meniti anak tangga menuju ke meja makan.  Kejap lagi dia ada mesyuarat dengan agensi pelancongan dekat sini yang nak tahu tentang rahsia kejayaan dia membina perniagaan di negara orang.  Rasanya tak susah mana untuk dia memandangkan arwah uminya berasal daripada Thailand.  Cuma dapat taraf penduduk tetap di sini aje.  Asas yang dia ada adalah peninggalan umi.  Selebihnya itulah dia usahakan sendiri setelah umi dan ayah pergi. 

Rumah besar ini, menjadi tempat tinggal Zariq.  Bukan niat nak biarkan Zariq sendiri, tapi dia ada urusan di sana.  Demi Zariq. 
“Assalamualaikum, pak long…”  Dia labuhkan duduk di kerusi.  Tersenyum manis pada pak long.  Penjaga rumahnya.  Malah, dia dah anggap seperti ayah sendiri.  Pak long ada dalam rumah ni, waktu itu dia masih bayi. 
Masih setia berbakti pada keluarganya. 
“Mak long mana?  Marilah makan sama,” ajaknya sopan.
“Bancuh air.  Itu haa… muncul dah.  Panjang umur mak long kamu tu…”  gurau pak long.
 “Kenapa?  Kalau saya pendek umur, abang nak carik ganti ke?” 
“Eh, mestilah.  Buat teman sakit demam…”  usik pak long lagi. 
Dia hanya ketawa nak-nak bila mak long tarik muka.  “Ala, mak long.  Pak long gurau ajelah.  Mak long kan cinta mati dia.  Hanya mati yang akan memisahkan kita.  Kan, pak long?”  Mata dikenyit.
Lelaki, haruslah sokong kaum sendiri.  Apa lagi.  Makin panjang muncung mak long tapi tak lama, bila wanita tua itu senyum sambil menyenduk nasi ke pinggannya.
“Mak long tak kisah kalau pak long nak carik lain sekarang.  Dah senja sangat ni, mak long bahagia ada anak dua orang.  Ada jodoh, Fiq kahwin.  Ada rezeki, dapat anak.  Mak long tak cara dah ke pak long.  Orang dah sibuk dengan cucu…” 
“Amboi, awak… berangan dapat cucu, terus buang saya?”  Giliran pak long pula tarik muka. 
“Haa… pak long jangan risau.  Fiq lambat lagi kahwin.  Lambat lagilah dapat cucu tu.  Jadinya, masa yang ada memang untuk pak long ajelah…”  Terus dia ketawa.   Pak long juga.
Lagi-lagi, mak long yang terkena. 
Mendengar angan mak long, hati dia bagai digeletek.  Seluruh hidup hanya untuk Zariq.  Mana sempat dia dekati mana-mana perempuan.  Yang datang menyerah diri pun, dia tak terima.  Ini nak memburu sendiri?  Lagilah tidak. 
“Amboi, mak long tak masak dah masakan yang kamu suka tu, baru kamu tahu…”
Dia angkat tangan.  Surrender.  “Itu bahaya, pak long.  Terpaksalah Fiq tukar pihak pulak…” 
Tawa mereka bertiga bersahutan.  Tapi, tak lama bila Zariq muncul entah daripada mana.  Awal pagi tadi dia sampai rumah, tak perasan pulak Audi S5 merah milik Zariq tu ada ke tak.  Penat sangat.  Ingatkan Zariq ada dekat rumah.  Dia malas nak kejutkan sesiapa.  Atau Zariq baru keluar pagi ni?
Tapi, wajah itu terlalu muram.  Dah tak macam Zariq.  Biasa kalau nampak dia, Zariq akan melompat suka.  Mulalah bercerita itu ini tanpa henti.  Dahinya berkerut.
“Riq?”  Sudu diletak.  Dia bangkit mendekati Zariq yang sepertinya tak nampak kehadiran dia dalam rumah besar ini. 
“Riq?”  Bahu Zariq ditepuk semasa Zariq nak naik ke atas.
Barulah adiknya itu menoleh.  Memandang dia lama, “Eh, abang…”  dan, Zariq bagaikan baru sedar diri. 
Apa tak kena ni?  Dia pandang pak long dengan mak long.  Wajah itu bagai sedang mengatakan sesuatu yang dia tak faham. 
“Abang bila sampai?” 
“Errr… tengah malam tadi.  Tapi, abang mati-mati ingat Riq…”
“Riq penat.  Riq naik rehat dulu, ya?  Nanti kita sembang…”  Bahu abangnya diramas sekali dan Zariq melangkah lemah menuju ke bilik sendiri.
Dia kembali ke meja makan.  “Apa tak kena dengan Zariq?”  Pelik sangat.  Tak pernah-pernah dia nampak Zariq macam tu.
Dua bulan lepas, masa Zariq datang ke Phuket, di resort tu… Zariq ceria.  Malah, sempat disiapkan beberapa keping lukisan termasuk lukisan masa dia sedang berenang.  Tapi sekarang…
“Dia macam bukan adik Fiq,” komen dia.
Mak long dan pak long saling memandang.  Kemudian, dua pasang mata itu merenungnya. 
“Sebenarnya, mak long berkeras nak Fiq balik bukan sebab Zariq nak pergi Itali tapi atas sebab yang dah Fiq nampak sendiri…” 
“Fiq tak faham, mak long…”  Selera dia patah riuk.  Fikiran dia hanya ada Zariq. 
Dia dan Zariq bezanya sepuluh tahun.  Zariq lahir bila keluarganya dah kukuh bertapak.  Biarpun goyah seketika setelah umi dan ayah pergi, dia korbankan masa, kehidupan dan kebebasannya serta masa muda demi amanah arwah orang tua untuk lihat Zariq bahagia. 
“Masa dia pergi Phuket dua bulan lepas tu, dia ada cakap dekat Fiq tentang sorang perempuan?” 
Perempuan?  Wajah tampan itu berkerut lebat.  Cuba digali kembali ingatan. Akhirnya, dia angguk. 
“Zariq sanggup tangguh pergi Itali sebab perempuan tu.”  Masih ingat lagi jawapan Zariq bila dia tanya, kenapa ditangguh peluang ke Itali. 
“Perempuan tu tinggalkan dia dan malukan dia, Fiq…”
“Hah?  Fiq tak salah dengar, kan?  Mak long?  Pak long?”  Dia rasa nak ketawa aje dengan cerita mak long.   Ni majalah kelakar edisi mana ni? 
“Ini cerita betul yang pak long mintak mak long rahsiakan dulu daripada Fiq sampailah Fiq balik sini.  Tapi, pak long ingat Fiq boleh balik segera.  Mana tahu,  Fiq banyak kerja dekat sana…” 
“Mak long minta maaf, Fiq…”
“Okey, kejap…”  Tangannya dah terangkat.  Sungguh ni.  Dia bingung sangat!  
Adik dia ditinggalkan oleh sorang perempuan dan dimalukan oleh perempuan tu?  Lepas tu jadi macam sekarang?   Adik aku?  Huh.  Rasanya, dia dah didik Zariq agar menjadi begitu kental.  Kerana mereka hanya berdua.  Tiada saudara-mara lain.  Tapi, ini yang jadi?  Dia ketawa seketika tapi terhenti bila teringat wajah Zariq seketika tadi.   
“Apa perempuan tu dah buat?”
“Dalam seminggu aje dia balik daripada Phuket, tak lama lepas tu Zariq kata dia dah berhenti belajar.  Dia kata dah sampai masa dia ke Itali.  Dia nak tunggu Fiq balik dulu.  Kita semua berat hati nak biar dia sorang-sorang dekat negara orang tapi kita pun tahu, itu memang cita-cita dia.  Jadi, pak long memang suka.  Tak lama lepas tu, pak long dapat tahu daripada cakap-cakap orang, Zariq dimalukan depan orang ramai.  Perempuan tu mintak Zariq melutut tapi dia tetap tinggalkan Zariq.  Dengan alasan, Zariq tak boleh bagi dia apa yang dia nak.  Lepas tu, Zariq berubah.  Ada masa dia tak balik…”
“Dah tu, kenapa pak long tak cakap dekat Fiq awal-awal?”  Dia hempas pinggan.  Pinggan kaca itu terbelah dua.  Birainya terguris hujung jari.  Tapi, itu langsung tak menyakitkan.
Yang begitu perit adalah apa yang dah jadi pada Zariq.  Tuhan… kenapalah aku tak ada masa dia lalui saat-saat sukar. 
“Pak long mintak maaf, Fiq.  Zariq tak nak Fiq tahu.  Dia kata dia akan okey.   Dia tak nak Fiq risau.  Dia tak nak Fiq nampak dia macam tu sebab dia tahu Fiq akan kecewa.”
Mak long dah menitiskan airmata.  Dia pandang mata mak long dan pak long.  Wajah tua itu penuh kekesalan.  Tangan pak long dipegang erat.  Dia tunduk.  Salah dia terlepas laku di depan kedua orang tua ini malah di depan rezeki. 
“Fiq mintak maaf.  Fiq tak patut tinggikan suara pada pak long dengan mak long.  Tapi, mak long dan pak long tahu, betapa pentingnya Zariq pada Fiq…”  Dia ketap rahang.
Siapakah perempuan yang sanggup permainkan hati adiknya?  Malah, sanggup menginjak dan menghina maruah Zariq.  Kononnya Zariq anak yatim-piatu yang tiada apa?
Tahukah kau, Zariq tak pernah menunjukkan kekayaan sendiri.  Tak pernah berbangga dengan harta yang ada.  Biarpun dia belikan sebuah Audi dan sebuah motorsikal berkuasa besar pada Zariq, adik dia jarang guna.  Lebih selesa naik bas katanya.  Boleh berangan.  Boleh berehat.  Boleh memerhatikan orang.  Zariq adalah pencinta seni.  Zariq sukakan alam semulajadi.  Suka pada keindahan. 
Tak boleh ke kau nampak keikhlasan Zariq?  Tak cukupkah semua itu?  Kau akan dilayan persis puteri.  Tapi… suara hatinya membentak. 
“Fiq akan carik perempuan tak guna tu, pak long…”  Kerusi jati itu dicapak kasar ke kabinet kaca.  Hingga pecah berderai cerminnya.  Kunci kereta dicapai dan terus masuk ke dalam perut Hummer. 
“Fiq?  Tunggu dulu, Fiq…”  laung mak long bila kereta itu mula bergerak.
“Fiq?”  Giliran pak long pula menjerit.
“Zafiq!”  Tapi, sepertinya dah terlambat bila kereta itu sudah berlalu pergi. 



POTRET wajah Aira direnyuk sekuat hati.  Dia tahu, Zariq terlalu sayangkan  perempuan ini.  Yang lain semua telah habis dibakar.  Ingatannya pada Zariq tak akan hilang selamanya.  Malah, makin mengejar dia dari hari ke hari.  Apatah lagi bila ternampak wajah Aira satu hari itu.  Tersenyum lebar seperti tiada apa yang berlaku.  Sedangkan dia… 
Zafiq campak lukisan itu ke dinding. 
“Arghhhhh!!!”  Dia meraung sekuat hati.  Bilik yang menjadi tempat Zariq menyimpan segala lukisannya ini, rasa nak dibakar.  Tapi, dia tak mampu. 
Malah, gambar-gambar Aira dan juga potret wajahnya… masih elok tersimpan dalam lipatan kanvas malah yang masih setia di atas stand lukisan itu adalah wajah Aira yang masih belum sudah sepenuhnya. 
“Apa yang perempuan ni bagi kau sampaikan kau belot abang, Zariq?  Apa?”  Laungan Zafiq bergema lagi.  Dia terduduk.  Merenung wajah hitam putih milik Aira yang Zariq abadikan menjadi lukisan. 
“Apa abang tak buat untuk kau sampai kau sanggup buat abang macam ni?  Abang dah korbankan segalanya untuk kau tapi kau, korbankan segalanya untuk perempuan tak guna tu?”  Zafiq rasa dia dah gila.  Berbicara sendiri.  Dia ramas rambut yang dah panjang.  Rasa nak carik wajah Aira. 

Sungguh!  Setiap kali raut dan tawa Zariq melintas dalam kepala, dia memang boleh jadi gila!   Dan Aira… kalau begitu membenci Zariq, kenapa Aira luahkan rasa rindu?  Apa yang ada dalam hati kau, Aira?  

19 comments:

  1. RASE MCM ADE KAITAN DGN AILEEN JER

    ReplyDelete
  2. hang salah orang wei. Aira tu baik, yang jahatnya si Airin. satgi hang tau cita sebenar mesti hang menyesal

    ReplyDelete
  3. Haish, zafiq ni cubalh siasat dlu sapa yg buat zariq jd cmtu..x pasal aira yg jd mangsa..

    ReplyDelete
  4. Nie mesti aileen buat ceritA bkn2 cian aira..harap2 dpt jumpa ngan zariq blk

    ReplyDelete
  5. ehhh..salah org ni bang oii..! ewah, mandai je haku..huhuh

    ReplyDelete
  6. confirm salah org ni...sian Aira

    ReplyDelete
  7. Betul la tekaan sblm ni salah orang.... ada ni sama mcm cite hurt yang kisah nya juga RM ambil dri cite korea...cite objections ni dari thai....apa la Zafiq ni... Ni semua slh Airinn... kan ke bab sblm ada bgth airin nk kenal dgn Zariq... Aira terlalu ikut kata airin jd kenalah la tggjwb juga...

    ReplyDelete
  8. waaa!!! zafiq,ko da salah org. kesian aira

    ReplyDelete
  9. Mat airin pnye kerja! Bongoks betol..eh geram nye lah...

    ReplyDelete
  10. kipidap rehan...xkisah la sama cm cerita thai ke korea ke...bkn semua org dpt tgk cita tu,...sekurangnye karya rehan ni boleh hiburkan pembaca..
    #sayaxtengokpunceritatu

    ReplyDelete
  11. Wah.... X sabar nak tunggu sambungannya.. Apa yang buat zariq jadi macam tu... Curious betul ni...

    ReplyDelete
  12. Rase cam airin je yang buat zariq.... harap2 zafiq x kesal kemudian hari...

    ReplyDelete
  13. Salah faham ni..bkn aira buat zariq

    ReplyDelete
  14. Bukan salah aira...airin tu yang nak kat zariq ...

    ReplyDelete
  15. Makin semangat nk tahu nii

    ReplyDelete
  16. Si zariq sukakan airen ke?ingtkn suka kat aira

    ReplyDelete
  17. Hampeh!!! Dh tentula airin yg malukan zariq.. mslhnye cmn zafiq blh dpt info sbnr klu dia cuma agak based on gmbr2 aira je.. mana pergi 1kpg gmbr airin tu? Adoiiiii... siannye aira. Apa sbnrnya jd pd zariq? airin pon Xtau apa jd pd zariq so bknla airin yg bunuh ke..smpai nk tuduh aira sbg punca whatever happened to zariq 🤔 thx RM for the update 🌹🌷

    ReplyDelete