APA
lagi yang perlu dia katakan. Pertuduhan
telah dibaca. Dia, yang dikatakan
pesalah tak mahu menerimanya. Tak akan
mengaku salah sampai bila-bila. Tapi, pendakwaraya-juri-hakim
adalah orang yang sama; tetap memaksa dia terima bulat-bulat semua tuduhan dan
menjalani hukuman. Nak bela diri sendiri
juga, dia tak layak. Mahkamah Zafiq,
adalah mahkamah gila. Dakwaan Zafiq
adalah dakwaan tak berasas dan penilaian Zafiq sebagai juri adalah penilaian
berat sebelah.
Aira
memeluk lutut di tepi katil. Melentokkan
kepalanya atas lulut, memejamkan mata. Dia
cuba tenangkan dirinya.
Berlagu
perlahan. Bagai mendodoi diri
sendiri. Dia mahu kembali lena. Moga nanti bila dia jaga, ini semua
mimpi. Akan ada ayah yang tersenyum
padanya, juga Kak Su yang suka melayan celoteh dia. Sesekali terdengar jeritan Airin memanggil
dia atau boleh jadi juga arahan keras mama yang mengarah itu ini.
Semuanya
bersatu menjadi satu lagu yang indah. Tapi,
kenapa yang dirasakan indah ini tetap membuatkan dia nak meraung? Aira buka mata. Airmata dia jatuh setitis. Tak.
Ini bukan mimpi. Ini kenyataan yang perlu dia terima setelah sebulan
berlalu. Aira senyum. Disapu pipi dan mendongak bila pintu bilik
dibuka.
Wajah
Nazri muncul. Berkerut sana-sini.
“Kakak
okey…” Serentak itu, airmata dia jatuh
lagi. Berkali pun dia katakan dia
baik-baik saja, berkali itu jugalah dia menipu diri sendiri.
Hati
dia begitu terluka dengan Zariq malah lebih lagi terluka dengan Zafiq. Bila dia memikirkan layanan Zafiq pada dia
malam tadi, dia rasa nak berterima kasih.
Tapi tadi… Aira pejam mata.
Hampir saja diri dia ditakluki oleh Zafiq. Tapi, mujurlah akhirnya Zafiq sendiri
berhenti. Menjauh daripada dia. Seperti begitu jijik sedangkan bahu inilah
yang Zafiq usap malam tadi.
“Zafiq
pergi mana, Yie?”
Tiada
reaksi, Nazri hanya tunjuk isyarat untuk Aira makan. Dengan semangat yang begitu lemah, Aira
angkat tubuh. Pakaian Zafiq masih
membalut tubuhnya malah jaket juga.
Sesekali, sempat dia menoleh ke jendela.
“Kakak
rasa nak berjalan tepi laut lepas ni.
Boleh tak?” Dia pandang Nazri dan
anak muda itu angguk dalam senyuman.
Sekali
lagi Nazri tunjuk isyarat makan.
Aira
ketawa kecil dan angguk. “Iyalah. Jom, makan…”
Dia kalah dengan kepolosan Nazri.
Sebaik
saja tiba di meja makan, semuanya dah terhidang biarpun masih lauk yang
sama. Nasik, sardine dan telur dadar
serta hirisan timun. Semua ni dah cukup
membuka selera dia. Aira duduk. Memandang Nazri yang berdiri.
“Kenapa
kau tak duduk?”
Nazri
geleng. Zafiq hanya berpesan untuk pastikan Aira makan dan lepas itu,
hantar semula Aira ke pondok yang dah siap dibaiki. Sepagian dia berada di pondok dan masakan
ini… bukan dia yang sediakan.
“Kau
yang masak?” Nampak sedap.
Nazri
geleng.
“Zafiq?”
Nazri
diam dan itu tandanya telahan dia betul.
Aira
tolak pinggan nasik. Bukanlah dia syak
Zafiq akan racun dia tapi entahlah.
Selera dia hilang tiba-tiba. Dia
tak nak berhutang apa-apa dengan Zafiq.
Dia nekad, dia akan usahakan segalanya sendiri.
Biar
satu hari nanti, Zafiq yang tunduk demi rasa bersalah pada aku! Itu tekad Aira.
Dia
terus bangkit. Berlalu ke pintu yang
terbuka lebar. Sempat dia campak jaket
milik Zafiq di kerusi. Baju-T milik
lelaki itu juga dah kering.
Nazri
menahan langkahnya. Memaksa Aira makan.
“Kakak
nak balik pondok, Yie. Kau tahu,
kan. Sini bukan tempat kakak. Kakak dah biasa duduk dekat pondok tu. Lagipun, ada beras semalam. Kakak masak sendiri. Tapi, kalau betul kau nak tolong kakak, ada
satu benda kau boleh tolong.” Aira senyum
pada Nazri yang berkerut kening.
Rasa
hati nak berjalan di gigian pantai di mana airnya begitu jernih,
terbantut. Dia terus berjalan ke pondok
yang seperti dilanggar garuda. Kuat
sungguh angin malam tadi hingga segalanya punah ranah. Dia tunduk mengutip besen dan gelas. Kemudian mengintai dalam tempayan yang
seingatnya, baru berisi separuh petang semalam.
Fuh…
syukurlah. Zafiq tak buat gila. Baru nak cedok air itu untuk diminum, mata
Aira tertancap pada beberapa botol air mineral yang masih baru. Dia tegakkan badan. Mencapai botol tersebut dan memandang
sekeliling.
Gamaknya,
Nazri yang letak. Dia senyum. Yang tak sempurna itu, lebih sempurna
sikapnya berbanding yang begitu sempurna seperti Zafiq. Aira duduk.
Air itu diteguk perlahan. Hingga
separuh botol. Dia kemudiannya masuk ke
bilik. Di atas katil ada beberapa helai
baju dan seluar. Masih elok
lipatannya. Ada juga tanda harga.
Dia
capai baju tersebut dan diletak ke tubuh.
Buat pertama kali, hati dia rasa gembira. Tak ubah seperti kanak-kanak kecil mendapat
pakaian baru daripada ibu ayah. Sehingga
membuatkan dia menari sendiri. Kemudian,
tertawa dan mencium baju itu lama. Biarpun
pada akhirnya, ada juga airmata yang mengalir.
DARIPADA
jendela yang ternganga itu, mata kuyunya dapat melihat tindak-tanduk Aira. Tak ubah seperti kera dapat bunga. Tapi, dia sendiri tak sedar ada bunga tawa
yang bertunas pada hujung bibirnya.
Kejap lagi, dia perlu ke resort.
Ada urusan di pejabat. Malah, ada
pelancong daripada Malaysia yang akan datang menginap di resortnya. Untuk menemuramah tentang rahsia kejayaan
dia. Temuramah yang pernah terkandas bertahun
dulu.
Kata
Rahim, bukan orang yang sama. Argh…
malas nak fikir. Sama atau tidak,
jawapannya tiada beza. Dia hanya mahu
berikan yang terbaik buat tetamunya.
Tambah pulak yang datang daripada tanah air sendiri.
Entah
nak cakap dekat Aira atau tidak. Dia
akan bawa Nazri bersama. Seperti kali
lepas, Aira akan bersendiri. Lepas apa
yang jadi malam tadi, dia bimbang kejadian sama berulang. Tapi dia juga yakin, semangat Aira tak mudah
lentur. Kerana itu, marahnya kerap
membara bila memandang wajah jelita itu.
Susah betul nak buat Aira tersungkur!
Semangat Aira setiap kali pun, bagai diseru-seru.
Malah
rambut Aira… argh… Zafiq pejam matanya rapat.
Cuba dihalau bayangan Aira. Pagi
tadi, dia hanya nak ajak Aira makan.
Tapi, lidah Aira begitu tajam. Amarahnya
mencanak. Hingga dia hampir hilang
kawalan. Lelaki mana mampu bertahan
melihat perempuan yang sebegitu indah di depan mata? Nak-nak lelaki normal macam dia. Dalam suasana yang begitu mendorong ke arah
itu pulak tu.
Leher
putih Aira, rambut hitam pekatnya, bibir yang nampak sedikit pecah
merekah. Ada masanya, tengah bibir itu
nampak berdarah. Satu yang dia
perasan. Telapak tangan Aira tak
selembut yang disangka. Rasanya, sama
kesat dengan telapak tangannya. Tak
kanlah baru sebulan dia suruh buat kerja berat, kulit Aira berubah?
Nasiblah
tadi, kebencian pada Aira menahan segala perbuatan gilanya. Jika tidak, dia tak akan maafkan diri
sendiri. Zafiq kembali memandang Aira
yang masih merenung baju itu. Tak lama,
nampak Aira nak buka baju… pantas Zafiq menoleh. Tak sanggup nak pandang dan dia terus berlalu
tanpa menoleh lagi.
Kau
kena baik-baik aje, Aira. Apapun jadi,
kau kena baik-baik aje…
Sampai
di jeti, Nazri dah sedia menanti. Dia
turun ke bot. Duduk di sebelah Nazri
yang akan memacu bot laju ini ke destinasi.
“Kenapa,
Yie?” tanya Zafiq bila Nazri sejak tadi
pandang dia. Bukan nak gerak pun. Dah lewat ni.
“Kenapa tak gerak lagi?”
Nazri
memberi isyarat yang Aira tak sentuh langsung makanan yang disediakan. Dahi Zafiq terus berkerut. Rasa nak aje dia panjat semula jeti dan
mencari Aira. Nak dicekik perempuan tak
sedar diri tu. Dia sediakan semua tu
sebab dia masih manusia yang ada hati dan belas kasihan. Nak-nak dengan keadaan Aira semalam. Tapi, memang dia tak patut buat baik.
Tak
guna betul!
“Ikut
dialah, Yie. Kalau dia tak nak makan,
biar dia kebulur. Kita jangan balik seminggu. Biar dia sekor-sekor. Tengok apa jadi!” marah Zafiq sendiri.
Dia
arahkan Nazri bangun. Tempat pemandu bot
bertukar tubuh. Setelah itu, bot terus
bergerak laju membelah lautan yang membiru.
Hatinya
sakit!
Zariq
telah pertaruhkan cinta pada orang yang sia-sia.
SALAM
berjabat. Dah hampir dua minggu tak
tengok muka pekerja sendiri. Rahimlah
yang paling kesian. Uruskan segalanya
bagi pihak dia. Di sini, ada pekerja
tempatan dan ada juga yang dia bawa daripada Malaysia. Membuka peluang pekerjaan.
Daun
pintu ditolak. Zafiq terus ke meja. Rahim dan Nazri mengikut dan duduk di
depannya. Beberapa fail terus
dicapai. Dibuka. Dibaca.
Ditandatangi. Satu demi satu
fail, hingga siap semuanya. Zafiq tolak
fail itu pada Rahim.
“Ada
apa yang perlu aku tahu, Im?”
“Semuanya
dalam kawalan, bos. Tapi, ribut semalam
ada rosakkan taman kesayangan bos tu.”
Dahi
Zafiq terentang kerutan. “Taman batu
karang?” Kalau kesayangan, itulah tempat
paling dia suka.
Rahim
angguk perlahan.
“Banyak?” Wajah Zafiq sedikit resah. Dia sayangkan keaslian hidupan laut itu.
“Banyak
jugak, bos. Saya dah mintak orang tutup
untuk hari ni. Mungkin seminggu jugak tu
baru sempat kita baik pulih…”
Fuh…
Zafiq picit kepala. Bertambah lagi kerja
dia. Ingatkan dalam seminggu ni, nak
balik ke Malaysia, ziarah mak long dengan pak long. Dah tentu-tentu orang tua itu rindukan
dia.
“Ladang
tiram?”
“Tak
kena, bos…”
Zafiq
angguk. Syukurlah. “Taman batu karang tu, tak boleh repair cepat
sikit?” Itu antara tarikan di sini. Tumbuhan laut semulajadi. Mereka hanya jaga dan rawatnya saja. Biasanya, pelancong paling ramai tertumpu di
situ pada yang tak berani ke laut dalam.
“Bos
kena tengok sendiri. Daripada apa saya nampak,
memang akan ambik masa tu. Bos nak tinggal
sini ke berapa hari? Kalau nak, saya
bawak bos tengok petang ni.”
“Hurm,
bolehlah petang ni.” Zafiq menggendang
meja sambil mengusap jambang dan misainya yang belum sempat dirapikan.
“Yang
orang majalah mana dari Malaysia tu, bila sampai?”
“Dalam
perjalanan bos. Trafik sikit daripada
airport…”
Zafiq
hanya mengangguk. Dia kerling Nazri yang
nampak resah sejak tadi. Dia tahu, Nazri risaukan Aira ditinggalkan
sendirian. Malah, sepanjang perjalanan
dalam bot tadi, Nazri memang tak sudah menoleh ke belakang. Macamlah Aira tu boleh terbang ikut mereka.
Dia
pula, hanya bimbang ribut melanda lagi mendengarkan ramalan kaji cuaca untuk
hari ini. Huh. Tak sedar, Zafiq mengeluh. Patut dia suruh Aira duduk dalam rumah
dia. Pondok yang hidup segan mati tak
mahu itu, tak mungkin dapat bertahan untuk kali kedua jika badai melanda lagi
malam nanti.
“Bos?” panggil Rahim.
“Ya,
Im? Kau cakap apa?” Dia terlalu sibuk memikirkan Aira. Tak dengar pulak suara Rahim menyoal.
Mulut
Rahim pecah dengan sengih. “Saya tak
tanya apa-apa pun. Tapi, bos mengeluh
tadi, kenapa? Ada masalah?”
“Err…
tak ada. Kau siapkan bilik Nazri. Aku guna bilik aku aje. Petang nanti jangan lupa bawak aku tengok taman
yang rosak tu…” Zafiq terus
bangkit. Menarik jaket yang malam
tadinya membalut tubuh Aira.
Belum
sempat dia sarung ke tubuh, dia pandang jaket itu lama. Tak sedar, tangannya membawanya dekat ke
hidung. Dihirup baunya. Mulanya bimbang berbau busuk tapi tak. Ini bahu Aira. Bau seorang wanita bernama Aira. Cukup kuat menusuk dalam rongga
tubuhnya. Tak sedar, dia senyum
tipis. Wangi…
Melihatkan
sikap Zafiq, Rahim kerutkan kening pada Nazri.
Tak faham dia. Dia memang syak
sesuatu. Bos sedang simpan perempuan
dekat pulau itu. Kerana itu Zafiq minta
dia bawakan pakaian perempuan sebulan lepas dan dia hanya boleh sampai ke
jeti. Tapi, siapa? Bos mana rapat dengan mana-mana
perempuan. Tambah pulak lepas kes Zariq,
bos langsung tak pernah senyum. Banyak
bersendiri kalau bukan sebab kerja. Ini
tiba-tiba boleh senyum. Ajaib ni. bertahun dah bibir itu dilanda musim
dingin. Cukup kaku. Sekarang, nampaknya musim sedang
berubah.
“Jaket
tu berbau ke, bos? Saya hantar dry
cleaning kejap. Nak?” pelawa Rahim
mematikan renungan Zafiq. Sarkastik.
“Eh,
elok aje. Aku baru pakai semalam
ni…” Zafiq menggeleng tak puas hati pada
Rahim. Adalah tu nak buat spekulasi
apa-apa.
“Lagi
satu, Im. Untuk interview ni, aku ada
syarat…”
Wajah
Rahim berkerut. Syarat pulak? Hari tu tak cakap apa-apa pun. Tapi, dia hanya mampu angguk. Biasanya, syarat Zafiq tak keterlaluan. Cuma pelik!
Tq RM utk entry ni...Selamat Hari Raya Korban dear
ReplyDeleteNi airin ke yg nk interview zafiq ni...nnt tmbh menggedikla
ReplyDeletec airin ni..nyampesss..tq sis rehan
Wahh...best nyaa..x sabar next entry..hari2 buka kot ada yg baru
ReplyDeleteHehe, tq kak.. Apa jadi eh lepas ni.. I guess ...., xtau nk teka apa.. Unexpected as always
ReplyDeleteTq Rehan...terlerai rindu aira n zafiq..selamat hari raya aidil adha...
ReplyDeleteAduhhh..mcm airin je yg nk dtg nih!!! Harap2 la si zafiq ni sedar salah dia! Huhu
ReplyDeleteTq RM!
Happy merdeka day!
Eid adha..
Tq tq RM...BEST...dh mulai rasa sesuatu la terrr...si zafiq tu
ReplyDeleteBerapa lama lagi yek zafiq nk simpan aira.. apa yg airin buat pada zariq yek...
ReplyDeleteanyway tq RM tuk entry baru.. jgn segan2 masukkn yg next 😀
Ini betul2 penawar rindu. Tq RM
ReplyDeleteDlam hati ada suka
ReplyDeletebenci, menyampah, dendam dengan Aira tapi dalam hati hanya kau yang tahu. aishhh esok2 dah tau cite sebenar mesti zafiq menyesal tak sudah ni.
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteAkhirnya...setelah sekian lama menunggu...
ReplyDeleteHarap2 bila dgr nama airin nti zafiq teringat yg aira ada sebut zariq bercinta dgn adiknya, airin.. thx RM for the update 🌹🌷
ReplyDeleteReporter mane tu nk dtg?bakal penyelamat aira ke?
ReplyDelete