Friday, August 04, 2017

Objection 1

SEMUANYA serba-serbi tak kena.  Itu, ini… dia yang kena terima segalanya.  Padahal, bukan salah dia pun.  Betapa dia cuba pertahankan diri, kata-kata dia tak akan dipeduli.  Segala hukuman akan jatuh ke bahunya.  Sejak dulu.  Belakang inilah  yang ada kesan jalur rotan.  Telapak tangan inilah yang berbirat.  Tapi, sekarang tak lagi.  Cuma, tiada apa yang berbeza. 
“Kenapa mak tak habis-habis nak hukum Aira, kak?”  Airmata bergenang bila soalan itu diaju pada pembantu rumahnya. 
“Airaaaaa…”  Lemah jiwa wanita itu nak jawab soalan Aira.  Dia pun tak tahu.  Dia baru aje kerja dekat sini lepas mak saudaranya berhenti kerja kerana nak berehat. 

Banyak juga cerita yang dia dengar tentang hal penghuni rumah ni.  Lebih-lebih lagi tentang nasib Aira.  Seperti susah nak percaya, tapi bila dah tengok dengan mata kepala sendiri, menggeleng jugaklah. 
Cuma, sebagai pembantu rumah… tiada apa yang boleh dilakukan melainkan mendengar luahan hati Aira dan memintanya sabar. 
“Kak Su pun tak tahu nak cakap, Aira.  Aira kena terus sabar.  Kan sebelum ni, mak long Kak Su selalu pesan dekat Aira… sabar.  Besar hikmah orang sabar ni, dik…”  Aira, dah macam adik.  Beza umur pun tak jauh beza.  Dalam rumah ni,  hanya Aira yang anggap dia seperti keluarga.
Ada masa, Aira tak kekok makan semeja dengan dia di dapur.  Aira tak berat tulang nak tolong dia siapkan makanan.  Malah, Aira sendiri panggil dia kakak.  Dia pulak jadi segan. 
“Aira sabar, kak.  Tapi, mak tak nampak ke apa yang Airin buat.  Tak kan sebab Airin adik, dia tak sihat… semuanya Aira kena tanggung.  Sejak kecik, kak.  Aira memang tak faham.  Kalau dah selalu sangat bela yang silap, benda tu akan terus berulang.  Tak akan berubah apa pun.  Itu yang Aira nak mak faham…”  Ingat lagi, macam mana penampar mak hinggap ke pipi dia setelah sekian lama dia tak makan pelempang mak. 
Hanya kerana dia ingatkan mak.  Tapi, betullah.  Airin dah dewasa.  Dia dan Airin hanya beza satu tahun.  Tak jauh beza pun.  Tapi, semua benda dia kena hadap.  Kena tanggung. 
Sampai bila mak nak biarkan Airin bebas dengan sikap sendiri?  Ini dengan dia, tak apalah.  Dia dah biasa mengalah kerana Airin itu adik.  Tapi, kalau satu hari dengan orang luar ; nak ke orang luar tu maafkan Airin begitu saja?  Sanggup ke mak nak hempap semua salah Airin pada bahu orang lain?  Melainkan dia jugak yang kena. 
“Aira rasa nak keluarlah daripada rumah ni, Kak Su…”
“Eh…” Wajah Kak Su berkerut.  Tak jadi dia nak siang ikan.  Mujur tak terbelah tangan dek pisau bahana terkejut dengan kata-kata Aira.  Tak pernah lagi Aira keluarkan kata-kata macam tu. 
“Aira tak serius, kan?” Mata Aira dipandang. 
Aira sepi.  Tiada tindakbalas melainkan hati dia mengiyakan berkali-kali.  Dia bersungguh.  Dia tekad.  Apa nak jadi, jadilah.  Biarlah dia kebulur pun, daripada duduk dalam rumah besar yang tak pernah buat dia bahagia. 
“Sebelum fikir benda tu, Aira kena ingat sesuatu.  Tuan kan tak berapa sihat sekarang.  Melainkan Aira yang sudi jaga makan pakai dia, puan dengan Airin mana sempat…”
“Kak Su kan ada…”
“Kak Su orang luar, Aira.  Tak sama dengan ahli keluar sendiri…”
Aira senyum.  Pahit.  Kenyataannya sangat berbeza.  Dia capai pisau di tangan Kak Su dan tolong Kak Su menyiang ikan. 
“Kak Su masak nasik.  Nanti mak balik, bising pulak makan tengah hari tak siap lagi.  Lagipun, Aira nak keluar pergi pasar kejap.  Banyak barang dah habis, kan?”  Saja dia tukar tajuk.  Malas nak panjangkan lagi niat dia yang memang tak akan tertunai tu. 
Gamaknya, hanya bila dah jadi mayat barulah dia boleh keluar daripada rumah ni.  Pernah dia cakap pada ayah, ayah larang.  Cakap dekat mak, mak menyinga.  Kata mak, tempat dia dalam rumah ni.  Bantu apa yang patut.  Tak payah keluar kerja.  Makan pakai pun dapat dok dalam rumah ni.
Masalahnya, hati bukan sekali terluka.  Rasanya, tak tiada tempat nak ditoreh lagi.  Semua dah penuh dengan bekas. 
“Aira nak Kak Su teman?”  Kak Su juga senyum.  Memujuk Aira dalam diam. 
“Tak apalah.  Kak Su tolong kemas rumah aje.  Nanti lepas habis barang, Aira terus balik…”
“Tapi, Aira nak keluar dengan apa?  Kereta Airin rosak.  Pagi ni, driver tuan hantarkan dia.” 
Aira diam seketika.  Itulah dia.  Mak belikan Airin kereta.  Padahal Airin dah ada pendapatan sendiri.  Dunia modelling Airin, adalah dunia yang mak banggakan.  Nak-nak bila tiap kali Airin dapat bayaran dan bawak keluarga makan di restoran mewah.  Masa tu, mak senyum sampai koyak ke telinga.  Masa tu, mulalah mak menjeling dia.  Hanya dia buat tak tahu.  Isi perut ajelah.  Habis tu, nak kerja mak tak bagi.  Nak kata apa. 
Selesai menyiram ikan, Aira basuh tangan.  Kemudian, dia tarik ikatan rambut dan dibiarkan rambut panjang itu lepas bebas.  Dia senyum pada Kak Su. 
“Aira naik grab-car ajelah.  Senang…”  Pantas dia keluarkan telefon bimbit daripada poket jeans.  Order grab-car ajelah. 
Malas nak fikir. 
Senarai barang dah ada.  Beg dah disilang pada tubuh.  Aira sarung sneakers dan terus aje keluar rumah sebaik saja kereta tiba. 
“Saya duduk belakang, ya?”  ujarnya sebaik saja pintu Axia itu terbuka. 
“Baiklah, cik…”  Pemandu lelaki itu senyum.  Muda lagi.  Air cucuk earphone ke telinga.  Dah biasa macam tu.  Escapism orang kata.  Malas nak sembang.  Janji sampai ke tempat yang dituju, sudahlah. 
Dia pandang ke arah lain.  Sesekali, jari runcing itu tak henti bergendang tanpa dia sedar, mata pemandu kian liar merenungnya daripada cermin pandang belakang.  Kepala Aira bergoyang sesekali mengikut rentak lagu. 
Dan bila dia sedar, laluan ini menyimpang daripada jalan menuju ke Giant.  Dia mula pelik.  Earphone dibuka. 
“Kita ni, tak salah jalan ke?”  soal dia.
“Kita ikut jalan lain sikit, cik.  Waze tunjuk jalan biasa tu, ada pokok tumbang…” 
Eh.  Dahi Aira berkerut.  Pulak dah.  Tak ada dengar berita pun.  Tapi, tak apalah.  Cuma, dia tak tahu pulak jalan ni boleh menuju ke Giant Kelana Jaya. 
Sepuluh minit berlalu, dada Aira mula berdetak laju.  Dia kerling wajah pemandu.  Nampak tenang.  Tapi, apa yang ada dalam kepala lelaki itu tiada siapa tahu.  Nak-nak sehari dua ni ada pulak kes tak elok berkaitan dengan pemandu grab dan uber ni.  Tak semua, tapi tidak ke kerana nila setitik rosak susu sebelanga? 
“Errr…”  Aira baru nak bersuara bila dia menjerit kuat.  Tubuhnya terdorong ke depan dan dahi dia terhantuk pada tempat duduk depan bila kereta tiba-tiba dilanggar daripada belakang. 
Aira pandang pada pemandu yang nampak tak sedarkan diri dengan wajah menyembam ke stereng.
“Eh, adik.  Adik…”  Bahu lelaki itu ditepuk kuat.  Ya Allah.  Pengsan atau dah mati ni?  Aira dekatkan tubuh ke depan.  Ditepuk lagi bahu pemandu tersebut tapi masih tiada jawapan. 
Wajah yang berkerut itu menoleh ke kiri bila pintu kereta dibuka orang.  Seorang lelaki muncul dengan wajah cemas. 
“Awak ke yang langgar kereta ni?”  Aira perasan juga lelaki ni keluar daripada Mitsubishi Triton warna hitam mati dekat belakang ni. 
“Okey ke?”  soal lelaki itu tak menjawab soalan.
Aira angguk.  Kemudian dia pandang pemandu tersebut.  “Tapi, adik ni…”  Tak sempat Aira bersuara, mata dia juga terkatup.  Dan, perkara terakhir dia sedar adalah bila tubuhnya diangkat oleh seseorang. 
Aira senyum tipis.  Lalok.

Dan, lelaki itu… tersenyum.  Cukup tajam.    

17 comments:

  1. Cerita baru..permulaan yg bagus..tertanya pulak apa jdi lps nie..x sabar tunggu next n3

    ReplyDelete
  2. Wahh..best jugak starting! Sedeh dan suspen.. tq RM! Next pls.. 😬

    ReplyDelete
  3. Ni mesti angkara silap adik dia...aira jd mangsa..sian aira...

    ReplyDelete
  4. Oh...ade maksud ke dia langgar tu...

    ReplyDelete
  5. Tiba2 teringat kat naqi 😅 alahai jgnla jd apa2 pd aira. Tqvm RM for the new story 💐🌷

    ReplyDelete
  6. Thanks RM utk n3 bru..awl3 dh saspen..kena culik ke anto spital la si aira ni

    ReplyDelete