KERESAHAN Azman
tak usah diucapkan dengan perkataan.
Semuanya dah jelas tergambar.
Hampir dua hari Aira tak balik rumah.
Tak pernah pulak budak ni buat perangai.
Dia benar-benar syak sesuatu telah berlaku pada Aira tapi nak report
polis, masih tak cukup empat puluh lapan jam.
Malah, Airin dan isterinya melarang.
Tak nak keluarga dapat malu kerana ada anak yang lari daripada rumah.
Tuhan… mereka ni
sedar ke tidak, Aira mungkin dalam bahaya.
Mungkin diculik. Taip, tiada pula
mana-mana panggilan masuk meminta tebusan.
Aneh. Apa dah jadi ni. Aira tak dapat dikesan langsung.
“Abang tak payah
dok buat muka macam itulah depan saya…”
Maria menegur suaminya. Daripada
semalam, dah habis-habis dengan muka macam tu.
Sakit pulak hati.
“Aira tu dah
dewasalah, abang. Dia boleh pergi mana
aje yang dia suka. Nak risau
kenapa?” Nasiblah dia tak hempas pinggan
nasik. Nak makan pun tak seleralah.
Apatah lagi
sejak tadi dia tengok Azman hanya pandang nasik putih itu.
“Aira tu manalah
pernah keluar tanpa bagitahu kita, Maria.
Awak pun tahu budak tu perangai dia macam mana. Nak pergi mana-mana mesti mintak izin. Mesti cakap dekat kita. Ini tiba-tiba aje senyap. Abang tak kira. Esok pagi abang nak pergi buat report…” tegas Azman.
“Eh, abang ni…”
“Tak payahlah
buat report ayah…” Airin yang muncul
tiba-tiba menyampuk. Terus duduk di sisi
Maria. Mengucup pipi wanita itu seketika
sebelum menyenduk nasi.
Seharian tak
sempat makan. Sibuk dengan meeting
projek baru majalah pelancongan. Harap
sangat dia dapat. Dia begitu teruja dah
ni.
“Kenapa Airin
cakap macam tu? Airin tahu ke Aira ada
dekat mana?”
“Aira pernah cakap dia rindu dekat kawan lama
dia…”
“Kawan
lama?” Maria dan Azman menyoal hampir serentak.
Senyuman Airin
mekar seketika apabila Maria memandang padanya.
Jujurnya dia pun tak tahu tapi dia macam dapat agak sesuatu.
“Dulu masa
sekolah, Aira tu ada sorang kawan lelaki.
Rapat sangat. Sambung belajar pun
dekat universiti yang sama. Tapi, lelaki
tu hilang tiba-tiba. Masa tu, Aira
memang sedih sangat. Rasanya sekarang
lelaki itu dah muncul kot…” Pandai aje
dia meneka.
Tapi,
kemungkinan itu ada. Bukan sekali dia
nampak Aira pandang gambar Zariq. Naik
menyampah dia. Pernah juga Aira tanya
dia, manalah Zariq menghilang. Boleh
jadi dah sampai Itali. Berbahagia di
sana setelah dapat tunaikan impian nak menjadi pelukis handalan.
“Ayah tak pernah
tahu pun tentang Zariq tu?”
“Kak Su mesti
tahu, kan?” Airin pandang pada Kak Su yang
baru saja bawa pinggan lauk tambah.
Dia yakin
sangat. Kak Su adalah satu-satunya yang
jadi tempat Aira meluah rasa. Tipulah
kalau Aira tak pernah sebut tentang Zariq.
“Betul,
Su?” soal Maria. Keras.
“Err…” Kak Su letak pinggan atas meja. Terkejut satu hal dengan soalan Airin. Tiba-tiba nak libatkan dia.
Aneh. Padahal dia dah cakap, Aira hanya keluar
sehelai sepinggang. Nak pergi beli
barang dapur. Tapi, tiba-tiba hilang. Telefon tak dapat. Semuanya tak dapat dikesan. Patut hari kejadian itu terus buat report,
tapi dua beranak ini sibuk nak halang.
“Kau dengar tak,
Su?” sergah Maria.
“Err… ya,
puan. Aira adalah cakap sikit tentang
budak lelaki tu. Tapi, kata Aira diorang
kawan aje. Kawan baik. Zariq tu bercinta dengan orang lain. Jadinya, tak mungkin Aira ikut Zariq tu,
puan…” Pandai pulak Kak Su
mengagak.
Tapi,
logiklah. Bukan pakwe pun sampai Aira
nak ikut. Kalau kata betul Zariq tu
muncul, tak kanlah sampai dua hari Aira tak balik rumah.
“Orang lain tu,
siapa?” Azman menaruh minat.
“Aira tak pernah
bagitahu pulak…”
“Haa… dengar tu,
bang. Budak Aira tu suka Zariq. Tapi, Zariq suka orang lain. Gamaknya, bila Zariq dah ada ajak dia pergi… itu yang dia senyap-senyap pergi.”
“Awak ni
Maria…” Azman jegilkan mata. Senang-senang tuduh Aira macam tu. “Awak jangan cakap macam abang tak kenal
Aira tu macam mana. Abang tak kira, esok
abang nak pergi buat report.” Terus dia
bangkit meninggalkan nasi yang langsung tak luak.
Mana boleh makan
bila anak daranya hilang tanpa khabar.
Yang anehnya, langsung tak dapat dikesan.
“Tapi, ma…
serius. Rin memang rasa dia ikut pakwe
dia. Mungkin dia rasa nak lari daripada
rumah ni. Bila peluang dah ada, dia
cabutlah…” Airin pula menambah. Menuduh kakaknya.
Kak Su kerut
kening. Memanglah Aira ada cakap nak
keluar daripada rumah ni. Keluar dengan
izin. Bukan melarikan diri. Bukan jenis Aira. Tapi… Kak Su pandang Airin sekilas sebelum
berlalu ke dapur.
Aira banyak
berkongsi dengannya. Hanya berkongsi dan
hanya simpan sendiri.
AIR yang ada
dalam tempayan itu sejuknya mencucuk tulang.
Tapi, segar. Lepas dua hari, baru
dia dapat mandi dengan elok. Elok ke? Bolehlah daripada tak mandi langsung. Lelaki gila itu sediakan segalanya untuk
dia. Sampai ke anak baju. Biarpun saiznya sedikit besar,
lantaklah. Janji boleh tukar. Nak dikira malu, memang malu tapi dia
terdesak. Elok saja dia buat tak tahu.
Pintu bilik air
yang beratap rimbunan pohon hutan dan langit itu ditutup. Aira senyum sendiri melihat lelaki yang menghulurkan
dia air itu sedang membelah kayu. Rasa
macam hidup zaman bila entah. Dah lama
dia tak buat semua tu melainkan zaman sekolah dulu bila pergi berkhemah kadet
polis sekali dengan… ingatan Aira berlari ke belakang. Kenapalah sekarang, kerap sangat nama Zariq
muncul dalam kepala dia.
Apa saja yang
dia nampak sekarang, semuanya mengimbau memori bersama lelaki itu. Yang begitu pentingkan diri sendiri. Memang itulah yang dia rasa tentang Zariq. Dia begitu sayangkan Zariq tapi kenapa Zariq
pergi tinggalkan dia terkontang-kanting sendiri menghabiskan sisa-sisa
pengajian? Perjalanan hidupnya setelah
itu berubah. Dia dah kurang ketawa. Malah, ada impian yang pergi bersama
Zariq.
Kerana itu dia
ada di rumah itu. Diikat kaki
tangan. Kalau Zariq ada, tentu Zariq
akan bakar semangat dia untuk terbang bebas mengejar cita-cita sendiri. Perlahan-lahan, lelaki bisu itu
didekati. Aira cuba beranikan diri. Dia perlu tahu dia ada dekat mana
sekarang. Dia perlu pergi walau apapun
jadi. Dia tak akan terus jadi mangsa
lelaki kejam itu. Apapun jadi, dia tak
akan menyerah kalah.
Sehingga dia
tahu apa silap dia, dia akan terus teguh berdiri. Hunuslah apa saja. Dia akan berusaha untuk hidup.
“Nama kau ni,
siapa?”
Lelaki itu
menoleh. Menepuk dada sendiri. Aira angguk.
Gamaknya, boleh dengar tapi tak boleh bercakap.
“Na… ma…” ulang Aira.
Lelaki itu
pandang Aira lama sebelum alihkan mata dan terus memotong kayu. Aira duduk di atas bongkah kayu sedikit jauh
daripada lelaki itu. Dia senyum sendiri. Nak marah pada budak ini pun, tak ada
guna. Dah tentu dia hanya ikut
arahan.
“Kita dekat mana
ni, sebenarnya?” Soalan itu, Aira tahu
tak akan berjawapan. Tapi, saja nak
tanya. Sedapkan hati sendiri yang dia
masih ada dekat dengan keluarga.
“Kau ni umur
berapa? Nampak lagi muda daripada
aku…”
Barulah lelaki
itu menoleh. Angguk. Aira kerut kening. Tak faham.
Dia lagi muda ke, aku lagi muda. Argh… sudah. Seperti bercakap dengan tiang. Tapi, hati dia tercuit juga.
“Aku rasa, aku
lagi tua daripada kau. Kau boleh panggil
aku kakak…” suruh Aira.
Lelaki itu
senyum dan angguk. Aira juga ukir senyum
lebar tanpa sedar. Setelah dua hari,
baru pertama kali rasa dilayan seperti manusia.
“Mari kakak
tolong…” Melihat lelaki itu angkat
bongkah kayu yang sedikit besar, Aira cuba nak angkat tapi dihalang. Perbuatan lelaki itu dan bahasa isyaratnya
susah untuk Aira faham.
“Alaa… kakak dah
biasa buat kerja berat…” Dia angkat juga
kayu itu tanpa dapat dihalang oleh lelaki itu.
“Okey. Ni kakak nak tanya. Kalau nak makan lagi, kena buat kerja ke
macam mana?” Jujurnya, perut dia
lapar. Makanan semalam dah ditelan oleh
jembalang tu.
“Dapat sesuap
pun jadilah,” pujuk Aira. Waktu ini,
mata dia berair. Apa yang ayah makan?
Mama dan Airin mesti bising kalau orang lain buat jus pagi-pagi. Pahitlah, masamlah. Hanya air tangan dia yang mama dan Airin
minum.
Hari ini, dia
perlu mengemis demi sedikit makanan.
“Boleh,
ya?” pujuk Aira tapi lelaki itu nampak
menikus tiba-tiba.
“Kau nak pujuk
Nazri bawak kau pergi mana?”
Soalan itu, buat
Aira kejung. Dia menoleh dan lelaki
berwajah bengis itu muncul entah daripada mana.
“Saya…”
“Jangan cakap
kau nak balik? Jawapan kau tu, tak laku
dekat sini…” jawab lelaki itu laju.
Aira ketap
bibir. Dia tunduk. Nak masuk ke dalam bilik yang dah masuk dua
hari jadi tempat dia tidur.
“Kau nak pergi
mana? Aku tak habis cakap lagi…”
“Nak masuk. Nyamuk!”
Memang banyak nyamuk. Sejak
semalam, tak sudah-sudah dia tepuk kulit sendiri. Lama-lama bukan mati sebab kena seksa atau
kebulu, tapi sebab denggi. Walaupun tak
nampak pulak nyamuk aedes. Tapi, kulit
dia pedih.
“Oh, nyamuk
sikit dah tak boleh tuan puteri ni.
Banyak cantik muka kau…”
“Aku memang
cantik! Yang kau tak puas hati tu,
kenapa?” jerkah Aira.
Nazri
terdiam. Lelaki itu juga. Gamam.
Mata Aira merah. Tapi, pada
tubirnya ada airmata. Kata-kata Aira
kali ini, dia harus iyakan. Memang Aira
cantik. Tiada siapa mampu nafi.
Dia dekati
Aira. Tuala yang membelit bahu Aira
sejak tadi, direntap hingga gadis itu jatuh terduduk di atas tanah. Tubuh yang baru dibersihkan kembali
kotor. Malah, pakaian yang baru dia
tukar juga, kotor!
Hati Aira
menjerit. Dia angkat wajah, merenung
tajam lelaki itu.
“Apa guna kau
bagi aku tukar baju kalau kau nak kotorkan balik?!” tempik Aira nyaring.
Lelaki itu
mencangkung di depan Aira… tersengih tajam.
“Sebab aku nak kau tahu… sebersih mana pun kau bersihkan diri kau, kau
tetap tak akan dapat basuh kekotoran yang dah kau buat pada aku!” gumam lelaki bengis itu tepat di depan wajah
Aira.
Dia terus
menapak masuk ke dalam pondok. Menutup
pintu sekuat hati.
Aira
bangkit. Memandang lelaki depan
dia. Nazri nama budak ni. Dia senyum.
Menghantar isyarat yang dia okey.
Dia akan terus okey. Tapi,
airmata dia jatuh juga. Aira pandang
Nazri.
“Nazri,
ya?”
Nazri diam. Tak
angguk, tak nafi.
“Kalau kakak
tolong kau buat kerja, kau boleh bagi kakak makanan sikit? Kalau ada beras, kakak boleh masak
sendiri. Tak ada lauk pun, tak apalah. Janji, nasik…”
Wajah Nazri
berkerut. Aira tahu apa yang Nazri nak
tanya. Nasik tengah hari tadi. Malas nak jawab, Aira hanya senyum bila Nazri
tunjukkan sesuatu. Pantas dia dekati
bungkusan itu dan bila dia buka ikatannya, dia rasa nak meraung melihat plastik
beras. Cepat-cepat dia bangkit ke tempat
dapur kayu. Periuk lusuh sederhana itu
dicapai. Cepat-cepat dia isikan
beras. Nak dijerang.
Tapi, baru nak
melangkah ke tempayan, kakinya tersadung.
Beras berterabur. Aira pandang
tinggi. Wajah lelaki bengis itu tersenyum. Jahat.
“Kau tumpahkan
beras, Aira. Kau memang suka buang semua
yang berharga, kan?” Lelaki itu
mencangkung depan Aira yang sedang membetulkan duduknya.
Wajah Aira
berkerut. Rasanya, lutut dia luka. Tempat yang sama.
“Kau tahu apa
hukuman kau sebab suka menyakitkan hati aku dengan rosakkan apa saja yang aku
sayang?” Kening tebalnya
terjongket.
“Kau tak boleh
makan, Aira. Tapi, kalau kau nak jugak,
kau kutip ajelah beras ni. Kau
masaklah. Kat sini, tak ada orang gaji
yang nak penuhi kehendak kau.”
“Tapi, beras ni
dah kotor…” Aira pandang beras yang
tumpah.
“Sebab tu aku
suruh kau makan yang ni aje kalau kau lapar sangat. Sebab, sekotor-kotor beras ni, bila dah
basuh… boleh bersih. Tapi, sekotor-kotor
kau… aku tak fikir kau ni jenis yang boleh dibasuh,” sindir lelaki itu.
Dia bangkit dan
mahu berlalu tapi suara Aira mematikan tingkahnya.
“Kau tu siapa
nak hina aku bersih atau kotor? Kau
ingat apa yang kau buat dekat aku ni, bersih?
Suci?” Airmata Aira jatuh
berjejeran. Tanpa tangisan. Dia geram sebenarnya. Tak sudah-sudah lelaki ini menghina dia.
Wajah tampan itu
menoleh. Menggenggam penumbuk. Ikut hati dia, mahu saja dia layangkan buku
lima dia pada wajah cantik Aira tapi dia bukan jenis sakiti perempuan dengan
buku lima. Banyak cara lagi untuk terus
buat Aira menderita.
“Aku kenal kau,
Aira. Aku kenal dengan baik perempuan
macam kau. Tapi, tak apa. Selagi kau dekat sini, aku akan pastikan
kekotoran yang ada pada kau tu hilang sikit demi sikit. Masa masih panjang, Aira. Jangan tergesa-gesa…” Senyuman sengetnya terjongket tajam. Sebelum dia berlalu pergi tanpa menoleh
lagi.
Saat matanya
memandang pandangan Nazri, Aira senyum sambil mengesat pipi yang basah. Pandangan Nazri tersimpan simpati.
“Kakak okey…”
Kata-kata itu, adalah untuk dirinya sendiri.
Dia okey. Cuma, airmata dia mengalir.
siapa laki nie Zariq ke??
ReplyDeleteGrrrr.. Geramnya dgb laki tu... Haish..Sabar aira sbb sabar itu indah... 💗
ReplyDeleteSapa sebenarnya lelaki ni?
ReplyDeleteHuhuhu....sanggup suruh aira kutip beras kotor tu...
ReplyDeleteEncik penculik, tlgla bgtau aira nape dia diculik. Mustahil aira Xknal klu itu zariq. Abg zariq kot..? Mungkin zariq menghilang sbb airin menipu fitnah aira bkn2.. thx RM for the update 🌹🌷
ReplyDeleteKuatkan aty aira...xpe ada masa akn jelas semua persoalan...
ReplyDeleteHish.....geramnya....
ReplyDeleteCita ni mcm drama thai...defendant of love..tgk la bestt
ReplyDeleteGeram plak dgn si penculik ni, ada kaitan dgn zariq kah? Kalau zariq, camne aira tak kenal...dan adakah ni juga pakatan airin dgn penculik...misterinya
ReplyDeleteAdie
mesti lelaki ni ada kena mngena dgn zariq..
ReplyDeleteGeramnyaaaaaa
ReplyDeleteZariq..
ReplyDeleteGerammmmmm betul la...
ReplyDeletegerammmnya dngn jantan tu...siapa dia haaaa....
ReplyDeleteLelaki ni mesti ada kaitan dgn Zariq.... zariq dh mati kot
ReplyDeleteLebih Geram dekat makcik Maria. APA pnya Mak la. Airin skali. Haiyooo. Kesian aira spa la pnculik tuh. Nak tahu knpa makcik Maria n airin layan aira mcam tuh.
ReplyDeleteapa dah jadi niiii.knapa x boleh teka
ReplyDeleteKenapa nk sakiti aira
ReplyDeleteSiapakah dia???
Aira ader kisah silam ke ngan mamat ni..
ReplyDelete