Friday, March 04, 2022

SUMPAH 10

MENERIMA khabar Erdeena sudah sedar adalah satu rahmat yang tidak terkata indahnya. Namun, merenung wajah Erdeena, Kak Ram dan Pak Omar saling memandang. Air mata Kak Ram sejak tadi, tak berhenti mengalir. Pak Omar pula berusaha untuk menutup duka yang jelas timbul pada muara wajahnya. Memandang pada Deen yang hanya duduk bersandar memandang kosong pada skrin televisyen yang gelap.

Dia bukanlah orang berpelajaran, namun dia mengerti akan apa yang dikatakan oleh doktor ini sebelum mereka berdua melawat Erdeena.

“Saya hanya boleh ceritakan keadaan sebenar pada pak cik dan puan sebab saya dikhabarkan, Cik Erdeena tak ada ahli keluarga lain. Mungkin sebagai kenalan rapat, pak cik dan puan boleh bantu dia.” Suara doktor juga perlahan dan bercampur simpati.

“Sebaik saja dia sedar, dia tak tanya ayah dia dekat mana. Dia terus tanya, adakah jenazah ayahnya selamat dikebumikan dan bila saya jawab ya, dia nampak tenang dan terima semuanya. Saya beranggapan, dia akan menangis. Itu refleksi biasa pada sesiapa saja yang menerima khabar duka. Tapi, dia sebaliknya…” Doktor itu senyum tawar.

SUMPAH 9

SAAT ini, dia tatap lama wajah yang sudah sedikit berubah warnanya. Tidak lagi pucat lesi. Syukurlah tiada apa yang teruk terjadi pada Erdeena semasa kemalangan tersebut. Hanya luka dan retak pada tulang rusuk.

Senyumannya koyak. Dia bangkit dan duduk di birai katil. Perlahan-lahan, tangannya bergerak. Antara berani dan tidak, dia akhirnya menyentuh hujung jari Erdeena yang dirasakan cukup sejuk. Tak ubah seperti memegang ais. 

“Satu hari, bila saya muncul depan awak, mahukah awak maafkan saya? Boleh jadi, menghukum saya? Saya tak kisah. Asalkan awak benarkan saya ada dengan awak, Erdeena?” soal Thaqeef perlahan.

Soalan itu terus berlegar dalam kepala. Kuatkah dia untuk menerima kebencian wanita ini? Rasanya, dia tak kuat. Melainkan dia akan cuba untuk terus kuat.

“Sekarang atau satu hari nanti… saya janji untuk sentiasa ada dengan awak, Erdeena. Tidak mampu saya ganti apa yang hilang melainkan saya ganti dengan yang serba-serbi kurang.” 

SUMPAH 8

SEGALA urusan telah selesai dengan mudah. Pak Omar mengesat birai mata. Kehilangan sahabat sebaik Erwan bukan sesuatu yang mudah. Seseorang yang telah dia anggap sebagai adik sendiri.

Dan, jika baginya sudah cukup susah, bagaimana pula dengan Deen? Entah bagaimana anak gadis itu mahu hadapi kenyataan? Segalanya berubah dalam sekelip mata.

Dia pandang Ram yang begitu sugul. Ibu tunggal itu penuh semangat merancang majlis untuk meraikan hari bahagia Deen tapi berita yang dibawa angin rakus pada saat itu adalah berita duka. Pinggan yang ada di tangan, jatuh ke lantai. Berderai.

Pak Omar senyum tawar. Simpatinya jatuh melimpah. Mencari buah fikiran bagaimana hendak berdepan dengan Deen, membawa bersama berita duka itu. Dia tak tahu, apakah Deen telah tahu atau tidak. Dia masih tidak dibenarkan menziarahi secara dekat kerana Deen belum sedarkan diri.

SUMPAH 7

DI saat dia baru sahaja mahu terlelap, pintu diketuk orang. Mata kuyu yang hampir tertutup itu, kembali terbuka. Di saat dia menoleh, wajah abah muncul. Seperti biasa sejak kejadian dua hari lepas, abah masih sugul. Langsung tiada lagi riak ceria pada wajah itu.

Thaqeef bangkit dan duduk di sisi Datuk Thaha di atas sofa. Dia koyak senyum.

“Mommy tak datang hari ni?”

“Hurm… abah suruh dia rehat. Nampak penat sangat. Tak boleh tidur tu. Abah risau dia pula yang rebah,” jawab Datuk Thaha perlahan.  Dia balas senyuman anaknya, tapi senyuman itu tiada perisa.

“Abah dari bilik sebelah?”

Datuk Thaha gelengkan kepala. Dia terus mencari Thaqeef.

“Selain doa dan berharap, tiada apa yang mampu kita lakukan lagi, abah.”

SUMPAH 6

SEMALAMAN, dia masih lagi setia di atas kerusi keras itu. Tidak bergerak walau seinci. Merenung wajah yang pucat dan dipenuhi calar kecil juga besar. Tak kurang kesan lebam yang membiru. Rambut hitam itu nampak tak terurus. Bibir yang dia yakin sebelum ini merah merekah bak delima itu pucat tak berdarah. Mujurlah tiada yang teruk. Hanya mengalami retak pada tulang rusuk. Lain-lainnya baik-baik sahaja dan hanya menanti masa untuk terjaga.

Jenuh mommy dan abah memujuk, namun Thaqeef tetap kaku. Langsung tidak bersuara. Pakaian yang kotor dengan darah kering itu, masih lagi membalut tubuhnya. Dia pandang beg pakaian yang mommy berikan, namun langsung tiada kekuatan untuk bergerak.

Sepertinya, ada sesuatu yang sedang menahan langkahnya daripada pergi meninggalkan jasad kaku di depannya saat ini. Sesuatu yang dipanggil kerisauan. Keresahan. Kegusaran.

SUMPAH 5

THAQEEF senyum tipis. Berat hati nak melangkah. Pertama kali dalam hidupnya, dia akan berjauhan daripada keluarga. Daripada mommy dan abah. Paling penting, daripada sebahagian jiwanya.

“Tak boleh ke belajar kat sini aje, Qeef?” soal Rees.

“Ala… bukan lama pun. Lima enam tahun, dah habis,” balasnya.

“Lima enam tahun kau cakap tak lama? Gila kau? Kalau aku kahwin esok, aku akan ada lima orang anak nak tunggu kau balik!” Mata Taqrees terjegil dengan kata-kata Thaqeef.

Kata-kata Rees tak lain tak bukan, hanya mengundang tawa pada Thaqeef. Ya, kata-kata itu hanya dijadikan pujukan. Bukan untuk orang lain tapi untuk dirinya sendiri yang memilih untuk mengejar cita-cita dalam bidang yang dia minat. Jauh di negara orang untuk tempoh beberapa tahun.

Mommy berat hati.

SUMPAH 4

DEEN buka mata bila dirasakan ada titisan dingin mengalir melalui juring matanya. Dia bangkit dan mengesat air mata itu. Setelah sekian lama, memori perit itu kembali mengejutkannya daripada lena.

Setelah dia lelah bertarung dengan emosi sendiri yang hampir menang. Setelah dia menghabiskan terlalu banyak masa dalam dunia yang dirasakan hanya ada kesunyian dan kekesalan.

Benarkah mama pergi mengejar bahagia sendiri? Apakah dia juga menjadi sebabnya?

Dia meraup wajah. Sungguh dia tak mampu untuk terima apa yang telah terjadi. Tapi, jika dia sendiri tak dapat lupakan, bagaimana pula dengan ayah. Pernah dia lihat ayah mengalirkan air mata. Mendoakan bahagia mama biar di mana dan bersama siapa pun wanita itu berada.

Ada masa, dia mahu mengherdik kesetiaan ayah. Tapi, apalah haknya. Jika kesannya sangat kuat padanya, dia juga tahu kesan itu begitu besar pada ayah.

SUMPAH 3

BAJUNYA masih basah dengan peluh setelah menamatkan latihan bola jaring. Perlawanan akhir akan diadakan minggu depan dan dia mahukan kemenangan. Sebagai ketua pasukan, dia tahu tugasnya agak berat. Menggalas amanat cikgu dan sekolah. Memberi semangat pada semua ahli pasukan agar terus saling bekerjasama dan saling mempercayai.

Dia bergegas balik bila keadaan langit kian kelam. Menunggang basikal dengan laju. Hanya separuh jalan sahaja, hujan turun lebat menyimbah bumi. Deen tak peduli. Malah, dia suka bermain hujan sejak dulu. Kerana itu, dia tetap mengayuh basikal dalam hujan yang lebat.

Sebaik saja tiba di rumah, hujan sedikit reda. Tapi, dia sudah basah kuyup. Deen masuk melepasi pagar yang sudah sedia terbuka. Pelik. Biasanya, ayah akan pastikan pagar sentiasa bertutup rapat biarpun tak dikunci. Deen tongkat basikal dan dia hampiri pintu yang juga tidak ditutup rapat.

SUMPAH 2

SURAT
daripada pihak universiti itu dibaca dengan senyuman yang lebar. Dia benar-benar sudah tidak sabar untuk menyarung jubah dan mortar itu. Menerima gulungan ijazah menjadi bukti kerja kerasnya beberapa tahun ini. Menyempurnakan impian diri sendiri dan yang pasti, membahagiakan ayah.

Senyuman pada bibir lelaki itu adalah sesuatu yang sangat bernilai untuknya. Tidak mampu dibayar biarpun ditabur segunung intan sekalipun. Pengorbanan ayah, akan berbalas sedikit demi sedikit biarpun dia tahu, seumur hidup tiada apa yang akan dapat dia persembahkan demi membayar segala jerih-payah ayah.

Deen menunggang motor Yamaha Egonya. Tak sabar untuk tiba di restoran. Setengah jam berlalu, dia akhirnya menongkat motosikalnya di depan restoran milik ayah yang nampaknya masih sibuk. Seperti biasa.

Tak menanti, Deen terus mengutip pinggan dan gelas kotor yang ditinggalkan oleh pelanggan. Menjinjit penuh cermat dan dihantar ke dapur.

SUMPAH 1

KEHILANGAN bukanlah sesuatu yang mudah diterima. Apatah lagi, bila kehilangan itu terjadi secara tiba-tiba. Dalam keadaan kita tidak bersedia jauh sekali untuk kita mengagaknya.

Ketetapan takdir, sering bertentangan dengan kemahuan manusia. Yang diharap semuanya indah, yang menjengah buruk tak terpandang.

Manusia… mudah memujuk manusia yang lain tatkala menghadapi kehilangan. Tapi, kuatkah hati manusia itu sendiri untuk terima di saat kehilangan itu terjadi dalam hidup sendiri?

Jawapannya adalah tidak.

Kehilangan itu akan sentiasa menjadi parut yang tak akan pernah hilang. Kenyataan itu akan menjadi sangat pahit tak tertelan. Andai dikatakan parut pada jasad itu sembuh, tapi kesannya di hati tak akan pernah hilang. Malah, luka itu sehingga hari ini masih berdarah. Lebih menyakitkan bila luka itu adalah hadiah daripada orang yang paling dipercayai, disayangi dan yang sepatutnya melindungi.

SUMPAH Prolog

SUASANA sekelilingnya cukup tenang. Tiada sebarang bunyi melainkan helaan nafas halusnya sahaja. Sepertinya dia sedang berada di dunia lain. Yang begitu asing.

Mata memicing. Mencampakkan pandangan di kejauhan tatkala dia ternampak bayangan. Kakinya melangkah, cuba mendekati. Akhirnya, dia senyum. Wajah yang terbias pada pandangan mata, cukup tenang. Senyuman yang koyak pada bibir lelaki itu cukup lebar. Begitu manis.

Jika dikata hempedu itu pahit, lelaki inilah madunya.

Andai dikata sakit itu perit, lelaki inilah penawarnya.

“Ayah minta maaf pada Deen.”

“Kenapa?” soalnya sambil memaut tangan ayah dan menggenggamnya erat.

“Sebab ayah kena tinggalkan Deen sendiri.”

Tuesday, March 01, 2022

SUMPAH released.

Bismillahirrahmanirrahim.

Pada yang merindui dan sentiasa menanti, saya mempersembahkan #SUMPAH

*****


DITINGGALKAN oleh seseorang yang sangat disayangi telah memahatkan parut pada jiwa rapuh Deen. Mujurlah ayah masih bersama. Pada Deen, ayah adalah segalanya.


Sepuluh tahun… kata orang sudah terlalu lama. Rupanya, sedekad itu hanya sekelip mata. Ayah pergi kerana kecuaian manusia. Jiwa yang sedia retak, hancur berkecai. Tinggal sebatang kara, Deen tutup segala pintu. Tidak keluar jauh sekali untuk membenarkan sesiapa sahaja masuk. Perginya ayah, membawa sekali jiwanya.

Deen hidup hanya kerana masih bernyawa. Moga tiada lagi taufan hadir membawa duka. Tapi, taufan tetap datang. Cuma kali ini, membawa bahagia walaupun Thaqeef muncul entah dari mana. Jiwa yang selama ni dirasakan mati, terasa bernafas kembali.