Friday, March 04, 2022

SUMPAH 10

MENERIMA khabar Erdeena sudah sedar adalah satu rahmat yang tidak terkata indahnya. Namun, merenung wajah Erdeena, Kak Ram dan Pak Omar saling memandang. Air mata Kak Ram sejak tadi, tak berhenti mengalir. Pak Omar pula berusaha untuk menutup duka yang jelas timbul pada muara wajahnya. Memandang pada Deen yang hanya duduk bersandar memandang kosong pada skrin televisyen yang gelap.

Dia bukanlah orang berpelajaran, namun dia mengerti akan apa yang dikatakan oleh doktor ini sebelum mereka berdua melawat Erdeena.

“Saya hanya boleh ceritakan keadaan sebenar pada pak cik dan puan sebab saya dikhabarkan, Cik Erdeena tak ada ahli keluarga lain. Mungkin sebagai kenalan rapat, pak cik dan puan boleh bantu dia.” Suara doktor juga perlahan dan bercampur simpati.

“Sebaik saja dia sedar, dia tak tanya ayah dia dekat mana. Dia terus tanya, adakah jenazah ayahnya selamat dikebumikan dan bila saya jawab ya, dia nampak tenang dan terima semuanya. Saya beranggapan, dia akan menangis. Itu refleksi biasa pada sesiapa saja yang menerima khabar duka. Tapi, dia sebaliknya…” Doktor itu senyum tawar.

“Dia tak menangis dan tak tunjukkan apa-apa perasaan. Dia hanya angguk dan ucap terima kasih. Saya ada baca rekod perubatan dia satu ketika dulu di mana dia hampir jatuh dalam depresi dan kali ini juga, saya risau sesuatu yang sama terjadi. Saya nak buat ujian untuk lihat dia alami post-trauma akan apa yang jadi tapi, dia tolak. Jadinya, saya harap pak cik dan puan dapat tengokkan dia. Dapatkan rawatan segera kalau ada yang tak kena. Fizikal dan tubuhnya sihat. Organ dalaman juga tiada masalah. Tulang rusuk yang retak tu pun akan beransur pulih. Cuma, kat sini…” Doktor mengetuk jari pada sisi kepala.

“Saya risau emosi dia sebenarnya tengah sakit.”

Pak Omar diam. Kak Ram angguk. Jujurnya, mereka sendiri tidak tahu apa yang harus dilakukan. Memujuk Erdeena menjalani ujian untuk mengetahui tahap PTSD itu adalah sesuatu yang agak mustahil. Tapi, mendengarkan pendengaran doktor, sudah cukup membuatkan mereka bimbang.

Kak Ram pandang Pak Omar. Dia angguk kecil bila Pak Omar mengisyaratkan dia mendekati. Kak Ram duduk di kerusi. Dia menyeru nama Deen sekali tapi tiada tindak balas. Diseru buat kali kedua dan ketiga, masih sama. Hinggalah dia menyapa tangan sejuk itu, barulah Deen menoleh. Tiada riak terkejut melainkan hanya senyuman tipis yang nampak begitu kosong.

“Doktor cakap Deen dah boleh makan apa saja. Deen ada rasa nak makan apa-apa tak?” soal Kak Ram, lembut. Menahan sayu.

“Nanti saya beritahu,” balas Deen senada. Dia angkat wajah dan memandang Pak Omar pula.

“Pak Omar tak buka restoran hari ni?” soalnya.

“Hurm… Pak Omar rasa penat sikit. Kita rehatlah dua tiga hari. Deen keluar hospital nanti, baru kita bincang macam mana, ya?” jawab Pak Omar resah.

Maka, benarlah kata-kata doktor. Penerimaan Deen akan apa yang terjadi, cukup luar biasa. Atau boleh dia kata, menakutkan. Air wajah itu tenang tak terusik. Nadanya juga sekata tanpa ada irama sumbang.

“Nanti dah keluar hospital, Deen nak tak tinggal dengan Kak Ram?” tanya Kak Ram.

Mata Deen rendah. Membalas pandangan Kak Ram. Dia senyum dan geleng.

“Terima kasih sebab ingat pada saya. Tapi, saya selesa dekat rumah sendiri. Lagipun, saya dah dewasa. Kak Ram jangan risau, ya?”

Jawapan Deen, membawa kerutan pada wajah Kak Ram. Dia pandang Pak Omar yang mengangguk padanya. Jawapan Deen benar-benar merisaukan. Tapi, dia tak boleh nak paksa. Andai ada masa, dia akan terus menemani Deen. Dia tak akan biarkan anak gadis ini hanyut sendiri.

“Dengar kata, keluarga lelaki tu yang bantu uruskan jenazah arwah ayah. Pak Omar ada jumpa diorang?”

“Hurm… ada dua kali.” Dia tidak tipu. Sekali dengan Datuk Thaha dan sekali dengan Thaqeef sendiri.

“Ada apa yang diorang pesan pada Pak Omar?” Nada Deen masih sama. Tenang dan datar.

Diorang minta maaf. Diorang kesal,” jawab Pak Omar.

Deen menyepi. Tunduk memandang jari-jemari sendiri yang masih penuh dengan calar segar.

“Kalau Deen dah sedia nak jumpa diorang, Pak Omar boleh beritahu…”

“Saya tak akan jumpa sesiapa sahaja dalam keluarga tu, Pak Omar.” Jawapan Deen kali ini, sedikit keras walaupun dalam senyuman.

“Kenapa? Pak Omar rasa, elok Deen jumpa dia. Dengar apa yang dia nak cakap. Mungkin apa yang jadi ni, bukan kehendak dia juga, Deen,” pujuk Pak Omar.

Deen sungging kan senyuman tipis pada hujung bibirnya. Ya, dia boleh jumpa dengan mereka semua tapi bersyarat.

“Kalau gitu, Pak Omar minta dia bawa semula ayah pada saya. Masa tu, saya akan jumpa dia dan saya akan anggap ini semua tak pernah berlaku biarpun dalam mimpi.”

Pak Omar gamam dengan permintaan Deen. Sedangkan Deen tahu, yang pergi itu tak akan kembali. Yang mati, tak mungkin bernyawa kembali. Dia tahu, Deen letak syarat demikian hanya kerana tidak mampu memaafkan keluarga itu biar apa pun terjadi.

“Jangan macam ni, Deen.”

“Habis tu, saya harus macam mana, Pak Omar? Maafkan dia dan lupakan semuanya?” tempelak Deen.

Pak Omar mula kehilangan kata.

“Saya tak tahu siapa dia tapi saya tahu yang keluarganya bukan orang sembarangan. Siapalah saya pada orang sepertinya dan kalau betul dia datang jumpa saya, saya akan hukum dia ikut cara saya!” tegas Erdeena.

Pak Omar dan Kak Ram pandang wajah Deen yang nampak cukup tenang. Mata itu juga kering tanpa sebarang gelodak air mata. Malah, Deen sedang tersenyum.

“Saya takut saya akan cabut nyawa dia dan saya tak kisah kalau saya masuk penjara kalau itu dapat balas semua perbuatan dia!” Kali ini, ucapan Deen lebih pada ugutan.

Suasana bilik itu sepi. Langsung tidak kedengaran apa biarpun sekadar helaan nafas. Semuanya senyap-sunyi bagai tidak berpenghuni.

“Janji dengan saya, Pak Omar… jangan biarkan dia jumpa saya atau saya jumpa dengan dia. Kesudahan antara kami tak akan mudah,” pinta Deen, separa merayu.  

Dengan berat hati, Pak Omar angguk. Air matanya mengalir lesu. Kak Ram pula, sejak tadi menahan esakan.

“Terima kasih,” ucap Deen dalam senyuman. 

“Untuk segalanya.”

Sebaik saja Pak Omar dan Kak Ram berlalu, air mata Deen bercucuran. Tanpa tangis. Namun, sebak yang membanting dada tidak mampu dia gambarkan hanya dengan tangisan.

Kenapa mesti semua ini terjadi padanya?

Kenapa setiap yang dia sayangi, pergi meninggalkannya begitu saja?

Gamaknya, dia tidak pernah menjadi anak yang baik. Kerana itu, Tuhan ambil ayah dengan tiba-tiba. Seperti mana wanita itu meninggalkannya satu waktu dulu.

Jika dulu, ayah ada.

Kini… dia sebatang kara. 


...BERSAMBUNG

PRA-PESANAN DIBUKA.  DAPATKAN SEKARANG SEBELUM KEHABISAN STOK



No comments:

Post a Comment