Friday, March 04, 2022

SUMPAH 6

SEMALAMAN, dia masih lagi setia di atas kerusi keras itu. Tidak bergerak walau seinci. Merenung wajah yang pucat dan dipenuhi calar kecil juga besar. Tak kurang kesan lebam yang membiru. Rambut hitam itu nampak tak terurus. Bibir yang dia yakin sebelum ini merah merekah bak delima itu pucat tak berdarah. Mujurlah tiada yang teruk. Hanya mengalami retak pada tulang rusuk. Lain-lainnya baik-baik sahaja dan hanya menanti masa untuk terjaga.

Jenuh mommy dan abah memujuk, namun Thaqeef tetap kaku. Langsung tidak bersuara. Pakaian yang kotor dengan darah kering itu, masih lagi membalut tubuhnya. Dia pandang beg pakaian yang mommy berikan, namun langsung tiada kekuatan untuk bergerak.

Sepertinya, ada sesuatu yang sedang menahan langkahnya daripada pergi meninggalkan jasad kaku di depannya saat ini. Sesuatu yang dipanggil kerisauan. Keresahan. Kegusaran.

Bagaimana jika mata itu terbuka dan tiada siapa menemani?

Bagaimana andai di saat jari-jemari runcing itu bergerak, menggagau mencari sesuatu tapi tiada tangan yang menyambutnya?

Dan, bagaimana jika mata itu terbuka lantas mengalirkan air mata? Siapakah mahu menyekanya.

Siapakah mahu memeluk tubuh itu, memujuk duka?

Walaupun dirasakan, dia adalah yang paling tak layak, tapi hati degilnya tetap mahu ada di sini biarpun untuk menerima amukan.

Thaqeef rasa seperti mahu meraung. Dia meraup wajah berkali-kali. Cuba menegah air mata itu daripada gugur. Namun, esakan halus itu terlepas jua. Air matanya jatuh ke pipi. Pandangannya kabur. Wajah indah itu semakin jauh dan jauh.

Entah bila dia terlelap setelah tidak tidur hampir dua puluh empat jam. Dia buka mata bila dapat rasa ada tangan yang menyentuh bahunya. Thaqeef tegakkan belakang. Mendongak. Wajah mommy terbias depan mata. Nampak penat. Matanya bengkak.

“Thaqeef berapa lama nak macam ni?”

Dia tak dapat berikan jawapan pada soalan mommy. Sungguh. Dia juga berharap dia punya jawapan itu biarpun untuk diri sendiri. Tapi, benar. Jawapan itu tak pernah ditemui. Melainkan gelengan, tiada apa lagi yang mampu dia berikan sebagai jawapan.

“Ini…” Datin Zafeera tarik tangan Thaqeef.

“Mommy masak untuk Qeef. Makan dulu, ya. Mandi. Tukar baju. Mommy tak nak Qeef pula jatuh sakit.”

“Qeef takut, mommy,” ujarnya antara dengar dan tidak.

“Apa yang Qeef takut?” Dahi Datin Zafeera berkerut. Tak faham.

“Qeef takut nak tinggalkan dia sorang.” Mata kuyunya memandang wajah itu. Masih kaku dan sama seperti sebelum ini. Langsung tiada perubahan.

“Mommy ada. Mommy jaga dia sekejap sementara Qeef mandi dan makan.” Datin Zafeera senyum. Sayu hatinya melihat cara Thaqeef menghukum diri.

“Qeef…” Thaqeef mahu menolak bila dia dengar esakan halus mommy.

“Tolonglah, nak. Tolonglah jangan seksa diri. Jangan seksa hati mommy. Mommy dah cukup resah dengan apa yang jadi. Mommy tak boleh dah kalau apa-apa jadi pada Qeef. Kasihanlah dekat mommy, Qeef,” rayu Datin Zafeera penuh emosi.

Kali ini, Thaqeef tidak dapat lagi menolak kemahuan mommy. Apatah lagi, air mata itu mengalir lagi kerananya. Dia tak pernah sudah membuatkan air mata mommy mengalir. Jika dulu, kerana kepergiannya. Kini, kerana kedegilannya.

Tubuh mommy yang bergetar dipaut dan didakap kemas. Dia angguk di bahu mommy. Akur. Dengan berat hati, dia bangkit. Menjinjit beg yang berisi pakaian, lantas berlalu ke bilik air yang ada dalam wad itu.

Saat memandang wajahnya dalam cermin, dia hampir terkejut. Adakah ini wajahnya? Sepertinya dia telah lupa akan wajah sendiri. Hanya satu malam, semuanya telah berubah. Wajahnya yang ceria dulu, kini sudah suram. Direnggut pergi dengan begitu sahaja. Hanya dalam satu malam, tulang pipi yang selama ini sudah cukup jelas, kini semakin timbul.

Thaqeef tunduk, bertongkat pada birai singki. Mengetap bibir. Dia tak boleh menangis lagi. Dia tak akan mengikut emosi. Dia masih ada mommy, abah dan gadis itu untuk dijaga lebih daripada diri sendiri.

Yang terjadi, dia tak akan mampu mengubahnya lagi.

Yang menjadi keutamaan sekarang adalah bagaimana hendak mengajak gadis malang itu berhadapan dengan kenyataan.

Kebencian? Sudah pasti.

Kesakitan? Itu adalah peneman.

Dan, dia akan menutup segala punca duka selama mana itu dapat menyembuhkan hati yang disakiti tanpa dia sengaja.

Thaqeef melangkah keluar dari bilik air. Segak dengan jean biru gelap dan juga baju-T putih. Bersih dan segar. Hanya pada zahir. Cukuplah. Biarpun hati dan batinnya terus meraung menagih kemaafan yang belum tentu diterima. Dia duduk di birai katil.

“Hurm… dah siap dah?” soal mommy yang bagai baru tersedar daripada lamunan pendek.

Dia tahu, mommy resah. Tak kurang hebatnya seperti dia. Thaqeef koyak senyum.

“Mommy temankan Qeef makan kejap, ya? Qeef rindu betul nak makan sama-sama dengan semua orang. Tapi, buat masa ni ada mommy sorang pun, dah cukup dah,” ujarnya menahan suara sebu.

“Hurm… jom.” Mommy angkat tubuh. Berlalu ke sofa dan membuka bekas yang dibawa.

Haruman gulai lemak udang bersama pucuk ubi kayu itu menggamit memori yang telah lama berlalu. Harapannya, dia akan duduk bersama seluruh keluarga menikmati hidangan kampung kegemarannya, di rumah mereka yang sentiasa dihiasi gelak tawa dan usikan. Tapi, takdir berkehendakkan lain.

Di sini tempatnya.

Di sini dia akan menjamah masakan mommy setelah pertama kali menjejakkan kaki ke tanah air sendiri setelah sekian lama.

Sebak mencengkam dada. Tapi, Thaqeef tahan hati. Dia suap nasi ke mulut dan dikunyah perlahan.

“Sedap. Walaupun dah lama Qeef tak makan, tapi rasa ni Qeef tak pernah lupa,” pujinya, tulus.

Datin Zafeera senyum. Wajah itu dielus mesra.

“Mommy rasa macam dah tak dapat nak lawan chef kita ni,” ujar Datin Zafeera, merendah diri.

“Mana boleh lawan mahaguru,” gurau Thaqeef pula. Dia ketawa kecil dan terus menyuapkan makanan ke mulut.

Satu persatu, hinggakan licin sepinggan.

Setelah itu, Datuk Thaha muncul dengan wajah yang juga nampak penat.

“Hurm… abah nak jemput mommy balik?” soalnya.

Datuk Thaha senyum dan angguk. Ditepuk bahu anak bujangnya sekali sebelum mendekati jasad yang terbaring kaku.

“Qeef tak balik lagi malam ni?”

Thaqeef angguk.

“Maaf, abah. Qeef tak sangka macam ni sekali.”

“Tak apalah. Benda dah jadi. Tak ada siapa sangka. Tapi, macam mana Qeef nak jelaskan pada dia nanti?” Mata abah mengerling pada wajah kaku itu.

“Qeef tak tahu lagi. Entah ada kekuatan atau pun tak. Boleh jadi, Qeef hanya akan telan semuanya kalau itu boleh buat semuanya reda.”

“Benda tak semudah yang Qeef bayangkan setelah apa yang terjadi. Tapi, kalau dah itu yang Qeef mahukan, abah dan mommy hanya mampu doakan yang terbaik,” balas Datuk Thaha.

“Lagipun, semua proses dah siap. Katanya nak dikebumikan esok, lepas solat Jumaat.”

Bahu yang tidak pernah hilang rasa sarat itu, kini bertambah berat. Tapi, boleh jadi ini salah satu langkah permulaan yang mampu dia lakukan demi menebus kesilapan.

“Qeef akan bantu uruskan bagi pihak dia. Tapi, hal dengan polis…” Thaqeef meleretkan suara.

“Buat masa ni, abah dah bagi kerjasama dan tiada apa lagi yang boleh kita lakukan. Pihak polis tak boleh nak teruskan buat masa ni,” jawab Datuk Thaha.

Dia menoleh pada isterinya. Tersenyum pahit. Wanita ini, sejak dulu tabah. Langsung tidak gentar berhadapan waktu getir dan sukar sejak mereka bersama. Tapi, bila melibatkan soal anak, yang kuat itu mula goyah.

Kakinya menapak mendekati isteri. Bahu itu dipaut mesra.

“Jomlah kita balik. Abang ada miting esok. Banyak nak kena susun semula dekat ofis ni. Awak pun nampak letih.”

“Mommy balik dulu, ya. Apa-apa, Qeef telefon mommy,” janji Thaqeef lalu dia sekali lagi memeluk erat tubuh itu. Dikucup mesra kepala Datin Zafeera.

“Mommy harap, dia sedar sebelum urusan pengebumian arwah ayahnya. Mommy sedih dengan apa yang jadi. Tapi, mommy tak sampai hati bila dia sedar dan dia tak dapat tatap wajah orang yang dia sayang buat kali terakhir.” Ayat Datin Zafeera mati dengan esakan halus.

“Jangan risau, mommy. Apa pun, Qeef akan bantu dia,” ujar Thaqeef.

Dia lepaskan pelukan. Membiarkan mommy dan abah berlalu dengan langkah lemah. Dia kembali duduk di kerusi.

Wajah itu direnung lagi. Tak sedar, dia mengoyak senyum.

“Saya tahu saya silap. Saya patut dihukum. Tapi, melampaukah saya kalau saya hanya mahu dihukum oleh tangan awak, Erdeena?” soalnya perlahan.

Saat ini, dia dapat lihat ada air jernih yang mengalir perlahan melalui juring mata gadis itu. Sepertinya Erdeena sedang mendengar dengan jelas setiap bicaranya.


...BERSAMBUNG 


PRA-PESANAN DIBUKA.  PESAN SEKARANG SEBELUM KEHABISAN STOK



No comments:

Post a Comment