THAQEEF senyum tipis. Berat hati nak melangkah. Pertama kali dalam hidupnya, dia akan berjauhan daripada keluarga. Daripada mommy dan abah. Paling penting, daripada sebahagian jiwanya.
“Tak
boleh ke belajar kat sini aje, Qeef?” soal Rees.
“Ala…
bukan lama pun. Lima enam tahun, dah habis,” balasnya.
“Lima
enam tahun kau cakap tak lama? Gila kau? Kalau aku kahwin esok, aku akan ada
lima orang anak nak tunggu kau balik!” Mata Taqrees terjegil dengan kata-kata Thaqeef.
Kata-kata
Rees tak lain tak bukan, hanya mengundang tawa pada Thaqeef. Ya, kata-kata itu
hanya dijadikan pujukan. Bukan untuk orang lain tapi untuk dirinya sendiri yang
memilih untuk mengejar cita-cita dalam bidang yang dia minat. Jauh di negara
orang untuk tempoh beberapa tahun.
Mommy berat hati.
Abah
bangga.
Rees? Langsung
tak izinkan.
Mereka
bersama sejak dalam kandungan. Tuhan ciptakan mereka untuk sehati sejiwa. Sekalipun
sejak kecil, mereka tak pernah bermasam muka. Jauh sekali untuk bergaduh. Malah,
Rees adalah partner in
crime nya. Mereka
saling menutup kelemahan masing-masing. Saling mengakui salah bila berlaku
kesilapan hinggakan mommy dan abah mengalah atau boleh jadi, keduanya dihukum.
Mereka
tak pernah dipisahkan dan mereka tak pernah berpisah. Tapi, yang memisahkan
mereka hari ini adalah minat. Rees akan ambil alih perniagaan abah. Dia lebih
suka pada bidang masakan dan cita-citanya besar, menjadi chef terkenal dan
memiliki rangkaian restoran sendiri.
Gamaknya,
cita-cita ini wujud bila dia selalu memasakkan sesuatu untuk Rees bila mommy
dan abah sibuk di awal mereka mahu membina kehidupan. Apa saja yang dimasak,
Rees akan makan tanpa rungutan. Walaupun rasanya masin tak tertelan.
Daripada
situ, dia bertekad hari demi hari untuk belajar memasak agar Rees dapat makan
yang sedap sahaja dari air tangannya. Mereka berdua adalah anak yang berdikari.
“Nanti
aku balik, aku boleh masak apa saja yang kau nak makan,” sela Thaqeef dengan
senyuman pendek.
“Aku
lebih rela makan maggi aje kalau lapar tengah malam daripada berjauhan daripada
kau,” balas Rees pula.
Matanya
nampak berair.
Thaqeef
tak berkata apa. Dia tarik tubuh abangnya dan dipeluk erat. Air matanya
bergayut pada kelopak. Semakin erat pelukan, semakin berat langkahnya. Dia
lihat mommy yang menitiskan air mata dalam pelukan abah.
“Aku
akan rindukan kau. Lebih daripada aku rindukan makwe aku,” ujar Thaqeef.
“Masalahnya,
kau tak ada makwe,” ujar Rees pula.
Thaqeef
ketawa. Pelukan mereka lerai. Dia pandang mata lelaki itu dan merenungnya
dalam.
“Aku
pergi tak lama. Nanti tak sibuk, kau datang jenguk aku. Cari makwe sekarang. Tapi,
jangan kahwin dulu. Aku tak izinkan.”
“Kalau
dah jodoh?” soal Rees.
“Tak
ke mana,” sela Thaqeef, tenang.
Mereka
kerutkan kening seketika sebelum ledakkan tawa. Pelukan bertaut lagi dan kali
ini, tautan pelukan itu bertambah erat bila mommy dan abah ikut serta.
Dia…
akan rindukan mereka ini.
Dan
dia juga tahu… lima tahun ini akan berlalu dengan pantas.
HARI
INI, dia kembali dalam keadaan yang cukup berbeza. Dia pandang kemeja yang
masih merah dengan darah. Malah, darah pada kulitnya juga sudah mula kering. Jika
dulu, dia pergi dihantar oleh senyuman, hari ini dia kembali disambut air mata.
Segalanya berbeza. Semuanya sudah tidak serupa.
Air
matanya hampir menitis tapi dia tahan hati. Dia tak boleh menangis. Semuanya
telah terjadi. Tiada apa yang mampu dia lakukan. Beban kesilapan ini hanya
boleh diringankan dengan kemaafan. Andai tidak, dia selamanya akan hidup dalam
derita. Derita menanggung rasa berdosa.
Bibir
diketap sekuat hati. Hingga dia dapat rasa darah daripada luka kesan gigitan
sendiri. Dia telah memujuk hati. Agar kuat berdepan dengan kenyataan. Tapi
kenapa? Saat dia berdiri di hadapan pintu ini, kekuatannya mula goyah.
Thaqeef
pandang kertas di tangan. Jawapan yang dihulurkan oleh jururawat yang bertugas
pada soalannya. Mangsa yang menjadi korban. Mangsa yang kehilangan. Mangsa yang
dia tahu akan membencinya.
“Erdeena
binti Erwan.” Bibirnya menyebut perlahan sebaris nama yang ditulis oleh
jururawat itu tadi.
Matanya
merenung pintu bilik wad. Kakinya berat. Sepertinya telah terpasak padu dalam
bumi. Tangannya memegang tombol pintu dan bila dia tolak daun pintu...
...BERSAMBUNG
PRA-PESANAN DIBUKA. PESAN SEKARANG SEBELUM KEHABISAN STOK
No comments:
Post a Comment