Friday, March 04, 2022

SUMPAH 2

SURAT
daripada pihak universiti itu dibaca dengan senyuman yang lebar. Dia benar-benar sudah tidak sabar untuk menyarung jubah dan mortar itu. Menerima gulungan ijazah menjadi bukti kerja kerasnya beberapa tahun ini. Menyempurnakan impian diri sendiri dan yang pasti, membahagiakan ayah.

Senyuman pada bibir lelaki itu adalah sesuatu yang sangat bernilai untuknya. Tidak mampu dibayar biarpun ditabur segunung intan sekalipun. Pengorbanan ayah, akan berbalas sedikit demi sedikit biarpun dia tahu, seumur hidup tiada apa yang akan dapat dia persembahkan demi membayar segala jerih-payah ayah.

Deen menunggang motor Yamaha Egonya. Tak sabar untuk tiba di restoran. Setengah jam berlalu, dia akhirnya menongkat motosikalnya di depan restoran milik ayah yang nampaknya masih sibuk. Seperti biasa.

Tak menanti, Deen terus mengutip pinggan dan gelas kotor yang ditinggalkan oleh pelanggan. Menjinjit penuh cermat dan dihantar ke dapur.

“Eh… Deen?” tegur Pak Omar. Chef kesayangan ayah.

“Apa khabar, Pak Omar?”

“Hurm… khabar sibuk.” Lelaki yang hanya tua beberapa tahun daripada ayah itu, menjuihkan bibir.

Deen gelak dengan gurauan Pak Omar.

“Itu sebab saya datang ni. Bantu…”

“Eh, Deen…” Kak Ram juga turut sama letak pinggan dan gelas kotor di dalam singki.

“Bila sampai?”

“Dia sampai aje terus angkut pinggan mangkuk kotor tu haa,” Pak Omar menjuih ke singki yang besar itu.

“Eh… budak bertuah ni.”

Deen ketawa halus.

“Saya datang nak bantu sebab tahu masa ni semua orang sibuk. Ayah mana?”

“Dalam ofis dia. Macam ada miting.”

“Oh, mesti pasal nak buka cawangan baru, kan?” duga Deen.

“Begitulah nampaknya,” balas Kak Ram.

“Ayah setuju ke nak buka cawangan baru, Pak Omar?” soal Deen seraya bertenggek di bucu meja.

“Nampak gaya macam setuju. Dia ada cakap, Deen dah habis belajar. Deen boleh uruskan bisnes dia. Dia kata dah sampai masa dia rehat. Pak Omar pun dah penat juga sebenarnya.”

“Eh, kalau Pak Omar penat, tutup kedailah kita,” gurau Deen.

Pak Omar dan Kak Ram ketawa.

“Betullah tu. Tutup kedai, merempatlah ibu tunggal macam Kak Ram ni haa…” tambah Kak Ram pula.

Deen senyum tipis. Dia tahu kesusahan hidup Kak Ram. Malah, Pak Omar juga bukan daripada latar belakang senang. Pak Omar masih terus berkhidmat hanya kerana mahu menampung kos perubatan isteri yang sakit.

Lelaki ini cukup setia. Dia nampak dua orang lelaki yang setia. Pak Omar dan ayah. Dia juga kenal seorang wanita yang setia, iaitu Kak Ram. Kematian suami saat diri sangat memerlukan bersama tiga orang kecil. Hingga kini, wanita itu masih sendirian tanpa mahukan pengganti. Tapi, kenapa kesetiaan itu sering kali diuji dalam pelbagai cara?

“Jangan risaulah. Apa pun jadi, saya akan pastikan restoran ni tak tutup,” janjinya.

Kerana dia tahu, tak mudah untuk mereka yang telah lama bekerja dengan ayah. Untuk mendapatkan gaji seperti yang ayah bayar. Paling penting, untuk bekerja di bawah majikan yang sebaik ayah.

“Hurm… tadi kata nak jumpa Erwan.”

“Saya tolong dululah. Lagipun, kata ayah ada miting. Nanti dah siap, saya pergi jumpa ayah.” Deen senyum dan mengatur langkah keluar.  

“Kak Ram tengok, Deen senyum lain macam hari ni. Ada apa-apa ke?” usik Kak Ram yang turut sama melangkah. Bersedia untuk menghantar pesanan pelanggan.

“Saya nak konvo minggu depan. Akhirnya…” jawab Deen dengan sengih yang bertambah lebar.

“Waa… tahniah. Nanti datang sini lepas habis. Kak Ram minta Pak Omar masak sedap dan istimewa. Resipi yang tak pernah kita jual untuk makan bersama Deen. Kita kan… satu keluarga.”

Saat ini, senyuman Deen pudar. Kelopak mata terasa suam. Dia tunduk seketika. Sebelum senyum pada Kak Ram dan angguk. Ya… keluarga. Sejak dia menghadapi kehilangan dan hampir terjerumus dalam depresi yang teruk, mereka semua ini ada bersamanya.

“Terima kasih, Kak Ram,” ucap Deen.

“Terima kasih sebab membesar jadi anak yang baik dan kuat, Deen.”

Deen senyum dan terus memulakan tugas.

Semuanya tidak pernah sama. Tapi, apakah dia masih mengharapkan yang serupa? Dia sendiri tidak pasti.



... bersambung 


Pra-Pesanan dibuka.  Pesan sebelum kehabisan stok. 



1 comment:

  1. Wahhhh br bace separuh da best. Nanti tunggu gaji, akan kupinang novel ini 😚

    ReplyDelete