SAAT ini, dia tatap lama wajah yang sudah sedikit berubah warnanya. Tidak lagi pucat lesi. Syukurlah tiada apa yang teruk terjadi pada Erdeena semasa kemalangan tersebut. Hanya luka dan retak pada tulang rusuk.
Senyumannya
koyak. Dia bangkit dan duduk di birai katil. Perlahan-lahan, tangannya
bergerak. Antara berani dan tidak, dia akhirnya menyentuh hujung jari Erdeena
yang dirasakan cukup sejuk. Tak ubah seperti memegang ais.
“Satu
hari, bila saya muncul depan awak, mahukah awak maafkan saya? Boleh jadi,
menghukum saya? Saya tak kisah. Asalkan awak benarkan saya ada dengan awak,
Erdeena?” soal Thaqeef perlahan.
Soalan
itu terus berlegar dalam kepala. Kuatkah dia untuk menerima kebencian wanita
ini? Rasanya, dia tak kuat. Melainkan dia akan cuba untuk terus kuat.
“Sekarang atau satu hari nanti… saya janji untuk sentiasa ada dengan awak, Erdeena. Tidak mampu saya ganti apa yang hilang melainkan saya ganti dengan yang serba-serbi kurang.”
Tangannya
naik pula ke wajah indah itu. Menyentuh kesan luka yang semakin sembuh dan
mungkin akan meninggalkan parut.
Namun padanya,
keindahan wajah seorang Erdeena tidak luak sedikit pun hanya kerana parut itu. Lama
dia tatap wajah wanita ini. Biarpun tak ubah seperti mayat hidup, indahnya
ketara. Alis yang begitu panjang dan lentik. Hidung mancung dan halus.
Entah
apa yang merasuknya. Semakin ditenung, wajahnya semakin mendekat hingga
bibirnya mendarat tepat di atas dahi sejuk itu. Hanya untuk seketika, dia
angkat wajah. Rasa bersalah menguasai kerana mengambil kesempatan dalam keadaan
wanita ini tidak sedarkan diri. Tapi, ada sedikit bahagian dalam hati,
tersenyum bahagia.
Kemudian,
dia bangkit dan berlalu keluar. Sebaik sahaja pintu bilik dirapatkan, matanya
tertancap pada jururawat yang menjaga Erdeena bersembang dengan seorang lelaki
yang dia kira, telah lebih setengah abad usianya. Dia cam wajah itu. Wajah yang
setiap hari muncul demi Erdeena.
Liur
ditelan. Dia tahu abah telah pun tunduk meminta keampunan daripada lelaki yang
dia sendiri tak tahu, apakah hubungannya dengan Deen kerana dia tahu, Deen kini
sebatang kara. Kerana khilafnya.
Thaqeef
beranikan diri. Tiada guna lagi dia elak. Paling tidak, dia akan akui semuanya
pada lelaki ini biarpun bukan pada Deen.
“Kenapa
saya tak boleh nak lawat dia lagi? Kalau kata dia dah lepas bahaya?”
Thaqeef
dapat dengar suara perlahan itu hampir pada keluhan. Dia senyum pada jururawat
yang menoleh dan dia kerdipkan mata, menghantar isyarat untuk membiarkan dia
saja bersua mata dengan lelaki ini.
“Maaf.
Pak cik ni… saudara Erdeena ke?” soal Thaqeef perlahan. Dia senyum.
“Ya. Kenalan
rapat keluarganya. Kamu ni, siapa?” Pak Omar kerut dahi. Melihatkan pada mata
kuyu itu, dia bagai ternampak wajah lelaki yang dikenali sebagai Datuk Thaha.
Jangan-jangan…
dadanya berdebar. Darah mula dirasakan menggelegak. Jika benar seperti yang
ditelah, lelaki muda ini tidak layak disantuni.
“Kamu
ni, anak Datuk Thaha?” Suara Pak Omar tenggelam timbul. Cuba ditahan amarahnya.
Melihat
pada cara lelaki tua ini mengawal emosi sendiri, Thaqeef dapat agak, dia akan
terima kebencian. Tapi, dia angguk juga.
“Jadinya…”
Ayat
Pak Omar mati di situ bila Thaqeef tunduk. Mengetap bibir. Tak ubah seperti
pesalah.
Hati
Pak Omar membengkak. Dia beristighfar tanpa henti. Takut jika amarah itu
benar-benar merasuk. Apa pun jadi, dia tak akan tewas pada perasaan marahnya. Lidahnya
tak akan memaki-hamun.
Thaqeef
masih diam.
“Akhirnya,
kau muncul tanpa hantar wakil. Aku ingatkan kau ni pengecut sangat sampai biarkan
ayah kau yang datang minta maaf walaupun aku cakap, bukan pada aku, tapi pada
Erdeena,” selar Pak Omar dengan suara yang cukup tajam.
“Maaf,
pak cik…”
“Bukan
pada aku!” Nada Pak Omar keras. Laju mencaras suara Thaqeef.
Entah
kenapa, dia benar-benar hampir tewas dengan perasaan marah sendiri melihatkan
wajah tenang anak muda ini. Sementelah pula, teringat akan kata-kata Ramlah. Apakah
benar, keluarga mereka mahu menutup kesalahan dan dosa? Jika tidak, bagaimana
lelaki ini masih mampu berkeliaran dan berdiri di sini bagai tiada apa? Biarpun
setelah meragut satu nyawa?
Namun,
bila dia telek mata kuyu itu lama, ada perasaan sayu pula menyelit. Mata itu,
tidaklah dihuni penyesalan tapi lebih kepada bebanan.
“Kau
tahu apa yang kau dah buat pada Erdeena?” soal Pak Omar dalam keluhan. Dia
duduk di kerusi. Kaki tuanya sudah tidak kuat untuk menampung tubuh sendiri.
“Deen
membesar tak macam budak-budak lain. Dia lalui masa yang sukar. Dia rapat
sangat dengan ayah dia. Tak pernah berpisah. Aku tak tahu macam mana bila dia
sedar nanti, untuk dia tahu yang dia tak akan dapat tatap wajah ayah dia lagi,”
ujar Pak Omar dengan tubir mata yang mula basah.
Dada Thaqeef
sebu. Dia duduk berbeza satu kerusi daripada Pak Omar. Tidak berkata apa. Hanya
mendengar luahan lelaki ini.
“Aku
harap, kau berani untuk terima hukuman atas perbuatan kau,” pesan Pak Omar
penuh dengan makna mendalam. Dia kesat juring matanya dan menjeling tajam pada
Thaqeef.
“Tapi,
kalau benar kau mampu lepaskan diri hanya kerana undang-undang manusia, aku
harap kau tak muncul lagi depan Deen. Aku kesian kan kau. Tapi, aku lebih
bersimpati Erdeena,” tambah Pak Omar lantas bangkit dan berlalu ke bilik yang
ditunjukkan oleh jururawat tadi.
Dia
menoleh sebelum menguak pintu. Dia dapat lihat bahu sasa anak muda itu
terhinggut. Mata tuanya masih dapat menangkap titisan air mata yang jatuh ke
lantai.
Dan
dia harap, itu adalah air mata kekesalan. Kesal yang mendorong untuk lelaki ini
menyerah diri dan menerima kesan atas kesilapan sendiri. Boleh jadi, ini
sedikit sebanyak akan membuatkan hati sendat Erdeena, sedikit lapang.
...BERSAMBUNG
PRA-PESANAN DIBUKA. DAPATKAN SEGERA SEBELUM KEHABISAN STOK
No comments:
Post a Comment