KEHILANGAN bukanlah sesuatu yang mudah diterima. Apatah lagi, bila kehilangan itu terjadi secara tiba-tiba. Dalam keadaan kita tidak bersedia jauh sekali untuk kita mengagaknya.
Ketetapan
takdir, sering bertentangan dengan kemahuan manusia. Yang diharap semuanya
indah, yang menjengah buruk tak terpandang.
Manusia…
mudah memujuk manusia yang lain tatkala menghadapi kehilangan. Tapi, kuatkah
hati manusia itu sendiri untuk terima di saat kehilangan itu terjadi dalam
hidup sendiri?
Jawapannya
adalah tidak.
Kehilangan itu akan sentiasa menjadi parut yang tak akan pernah hilang. Kenyataan itu akan menjadi sangat pahit tak tertelan. Andai dikatakan parut pada jasad itu sembuh, tapi kesannya di hati tak akan pernah hilang. Malah, luka itu sehingga hari ini masih berdarah. Lebih menyakitkan bila luka itu adalah hadiah daripada orang yang paling dipercayai, disayangi dan yang sepatutnya melindungi.
Tiada
sayang berbaki. Melainkan rasa benci.
Sepuluh
tahun, bukan masa yang singkat tapi segalanya bagai baru semalam terjadi. Sesaat
pun, dia tak pernah lupa akan keperitan yang dilalui saat itu.
Dia
usap parut pada lutut dan sikunya. Seiring masa berlalu, luka itu juga sudah
lama sembuh. Langsung tidak lagi berasa sakit. Namun, kesan pedih itu masih tak
pernah meninggalkan perasaannya.
Pengkhianatan
itu, tak mungkin akan dia maafkan.
“Deen?”
Suara
lelaki itu menyeru lembut. Dia rasa telapak tangan suam itu hinggap pada
bahunya.
“Ya,
ayah.” Deen mendongak. Dikoyak senyum lebar. Dia jatuhkan kaki yang sejak tadi
rapat ke dada.
“Ayah
ketuk pintu banyak kali. Deen buat apa sampai tak sedar ayah masuk bilik?” soal
Erwan seraya duduk di birai katil anaknya. Memandang pada Deen yang ada di atas
kerusi.
“Oh,
Deen kemas-kemas…”
Mata
Deen mengerling pada meja belajarnya yang semak bersama senyuman yang sedikit
janggal.
“Kut
ya pun kemas, takkan sampai tak dengar ayah ketuk pintu? Ayah panggil pun tak
menyahut. Sampaikan ayah cuit bahu, baru Deen toleh? Kenapa? Ada masalah? Nak
kongsi dengan ayah?”
Erwan
nampak buku-buku dan nota yang bersepah berserta dengan komputer riba yang
terbuka. Tapi, di sebalik lamunan dalam dan senyuman aneh itu, dia dapat rasa
kenangan memilukan itu hadir lagi mengetuk memori anak kesayangannya. Apatah
lagi hari ini adalah tarikh keramat yang sama sepuluh tahun dulu.
“Tak
ada apalah, ayah,” nafi Deen.
“Ayah
kan tahu… Deen best student.” Dia sengih, cuba menolak syak
wasangka yang jelas berlumur pada wajah ayah.
“Ayah
tahu tu. Ayah bangga. Dah graduate dah. Tapi, ayah dapat rasa,
Deen tak seronok sebab hal lain. Ada masalah dengan kawan-kawan ke? Sayang nak
tinggal kawan-kawan belajar?”
“Pun
bukan.” Deen masih menafi.
“Ayah
sendiri tahu, Deen bukan ada kawan pun…” selanya. Deen toleh pada skrin
komputer riba yang sudah gelap. Dia tongkat dagu sambil jari-jemari
menggerakkan tetikus.
Skrin
komputer riba itu kembali cerah. Gambar dirinya dan ayah terpampang jelas. Gambar
di saat dia berusia tujuh belas tahun. Mendapat keputusan SPM yang cemerlang. Saat
itu, ayah lebih gembira daripada dirinya sendiri.
Mata
Erwan beralih arah. Senyumnya kian lebar. Gambar itu tak pernah berubah sejak
dia hadiahkan komputer riba itu kepada Deen.
“Habis
tu, kenapa monyok? Ke... rindu pakwe? Sebab tu tak nak kongsi dengan ayah? Malu,
ya?” usik Erwan dalam soalan. Dia senyum tipis.
“Eh,
ayah ni…” Deen kerut dahi. Menjeling tajam pada wajah ayah.
Kawan
pun tak ada, apatah lagi teman lelaki. Bukan ayah tak tahu. Tapi, sengaja aje
ayah nak mengusik.
“Jangan
nak tuduh Deen ada pakwe, ya? Kawan perempuan pun ada seorang dua aje. Inikan
kawan lelaki,” bantah Deen perlahan.
Tak
selesa bila ayah bercerita tentang lelaki dengannya. Sejak dulu, bukan ayah tak
tahu sikapnya. Dia tak pernah percayakan sesiapa. Tak kiralah lelaki atau
perempuan. Hanya seorang lelaki yang dia percayai dan lelaki itu adalah ayah. Hanya
seorang sahaja wanita yang dia percaya dan wanita itu adalah dirinya sendiri.
“Mana
ada ayah tuduh.” Erwan menafi, lembut.
“Ayah
cuma tanya. Kalau tak ada, tak apalah. Tapi, pada ayah tak salah pun kalau Deen
ada pasangan sekarang. Deen dah sampai usia tu. Ayah tak halang. Ayah tahu Deen
pandai jaga diri. Paling penting, Deen bahagia. Itu yang utama pada ayah.”
“Deen
dah bahagia dengan ayah. Ayah pun lelaki apa…” Deen paut kaki dan bersila di
atas kerusi. Dia putarkan kerusi itu beberapa kali.
Melihatkan
tingkah Deen, Erwan tak boleh tidak untuk ketawa. Budak bertuah ni. Pada usia
dua puluh dua tahun, Deen masih lagi punya sifat keanak-anakan
bila bersamanya. Ketawa dan ada kala merajuk yang begitu sukar nak
dipujuk. Tapi, inilah satu-satunya
penawar hati yang lara.
“Memanglah
ayah lelaki. Deen bahagia dengan ayah. Sebab ayah dah janji, apa pun jadi, ayah
akan bahagiakan satu-satunya anak ayah. Tapi, ayah dan lelaki lain dalam hidup
Deen ada tempat yang berbeza. Ada tugas, tujuan dan cara berbeza. Deen dah
cukup dewasa untuk faham maksud ayah, kan?”
Ada
masanya, Erwan menjadi gusar. Sejak dulu, Deen begitu berpaut padanya. Tidaklah
dia mahu menafi malah dia bersyukur kerana pada Deen, dia adalah
segala-galanya. Namun, dia bimbang jika usianya tidak panjang dan dia perlu
kembali bila Tuhan menuntut kepulangannya, bagaimanakah Deen mahu hadapi
kehilangan.
Sekali
lagi. Kerana dia tahu, luka lama Deen tak pernah pulih. Deen masih belum dapat menerima
dengan baik biar berkali-kali dia memujuk. Berbuih mulutnya memujuk, berbuih
juga mulut Deen mengiakan.
Tapi,
hakikat di sebalik penerimaan itu, dia nampak dengan jelas.
“Deen
muda lagilah, ayah. Katalah apa saja. Deen dah cukup ada ayah seorang. Deen tak
perlukan sesiapa melainkan ayah seorang.”
“Tak
boleh macam tu, Deen…” Erwan hampir mengeluh.
“Sampai
masa, bila ayah pergi... ayah nak Deen ada teman yang boleh jaga Deen. Yang
temankan Deen supaya tak sunyi.”
“Ayah!”
Nada Deen keras menyekat suara ayahnya. Wajahnya berkerut menahan satu perasaan
yang tak dapat dia gambarkan dengan kata-kata saat ini.
“Deen
tak suka ayah cakap macam tu.” Matanya sedikit berair. Deen mula mamah rahang.
“Deen
dah cakap. Deen tak perlukan sesiapa. Deen perlukan ayah aje. Deen tak nak ada
kawan tak kisahlah lelaki atau perempuan. Deen…”
“Erdeenaaaaa…”
Nada ayah panjang, menyeru namanya.
Bibir
Deen terkunci rapat tiba-tiba. Dadanya berdegup kencang. Apatah lagi bila ayah
tarik kerusi dan memaut erat tangannya yang sudah mula seram-sejuk.
“Ayah
tak akan selamanya dapat ada dengan Deen. Selama mana Tuhan bagi ayah hidup,
maka ayah akan ada dengan Deen. Bila ayah dah tak ada, ayah harap ada seseorang
yang boleh temankan Deen.”
“Kalau
gitu, Deen akan minta Tuhan ambil nyawa Deen dulu sebelum ayah!” Pintas Deen,
lebih tegas.
“Erdeena!”
Suara Erwan keras.
Bahunya
terasa tegang dengan kata-kata Deen. Matanya basah tapi melihat senyuman Deen,
bahu yang tadinya tegang mula kendur. Dia raup wajah. Perasaan resah sebagai
seorang ayah kembali menghantui.
Deen
lebarkan senyum. Cairan pada tubir mata, mula mengalir. Jatuh ke pipi. Dia
tunduk. Memeluk tubuh ayah. Erat.
“Deen
tak tahu macam mana ayah nak teruskan hidup jika Deen pergi dulu. Tapi, ayah
sendiri tahu… Deen tak boleh teruskan bila tanpa ayah. Cukuplah sekali… Deen
tak kuat nak terima lagi,” luahnya.
Cukup
sampai di situ. Kerana ayah lebih memahami daripada dirinya sendiri.
“Walaupun
dah sepuluh tahun?” tanya Erwan.
“Selamanya,”
balas Deen dengan cukup perlahan. Cuba memujuk hati yang kembali merusuh.
Entah
kenapa, sejak akhir-akhir ini rasa ngilu di hati angkara ditinggalkan seorang
wanita bernama ibu kembali menyengat. Dia yakin, segalanya telah sembuh. Biarpun
dia tak lupa, tapi itu semua tak beri kesan lagi dalam hidupnya.
Deen
angkat wajah. Merenung wajah ayah yang nampak berkerut menahan sebak.
“Ayah
tak boleh tinggalkan Deen,” bisik Deen perlahan. Suara itu benar-benar meminta.
“Ayah
tak akan. Seinci pun tak akan berganjak daripada Deen.” Air mata Deen disapu.
“Tapi,
jika tiba masanya ayah perlu pergi, yakinlah pada ayah. Tuhan akan hantar
pengganti untuk Deen. Masa tu, Deen hanya perlu terima dengan lapang dada. Seperti
mana ayah sentiasa pesan pada Deen untuk sentiasa terima apa yang dah jadi pada
kita. Itu pilihan dia dan ini pilihan kita,” nasihat Erwan lembut.
Deen
kembali memeluk tubuh ayah. Air matanya masih mengalir setelah sekian lama.
Menerima…
ya.
Melupakan…
tidak.
Memaafkan…
jauh sekali.
ingatkan deen tu lelaki 😠haih baru bab 1 dah sedih
ReplyDelete