Friday, March 04, 2022

SUMPAH 3

BAJUNYA masih basah dengan peluh setelah menamatkan latihan bola jaring. Perlawanan akhir akan diadakan minggu depan dan dia mahukan kemenangan. Sebagai ketua pasukan, dia tahu tugasnya agak berat. Menggalas amanat cikgu dan sekolah. Memberi semangat pada semua ahli pasukan agar terus saling bekerjasama dan saling mempercayai.

Dia bergegas balik bila keadaan langit kian kelam. Menunggang basikal dengan laju. Hanya separuh jalan sahaja, hujan turun lebat menyimbah bumi. Deen tak peduli. Malah, dia suka bermain hujan sejak dulu. Kerana itu, dia tetap mengayuh basikal dalam hujan yang lebat.

Sebaik saja tiba di rumah, hujan sedikit reda. Tapi, dia sudah basah kuyup. Deen masuk melepasi pagar yang sudah sedia terbuka. Pelik. Biasanya, ayah akan pastikan pagar sentiasa bertutup rapat biarpun tak dikunci. Deen tongkat basikal dan dia hampiri pintu yang juga tidak ditutup rapat.

“Kenapa, Roza?”

Soalan ayah, membuatkan Deen pegun di situ. Tidak dipedulikan pada tubuh yang menggigil menahan kesejukan. Suara ayah sedikit keras tapi dalam keras itu, Deen dapat rasa kesayuan yang mendalam. Apa yang dah jadi?

Deen hampiri pintu. Menjengah sedikit. Wajah suram ayah jelas di pandangan matanya.

“Maafkan saya, Erwan. Saya memang tak boleh.”

“Tapi, kenapa lepas tiga belas tahun?”

“Sebab Deen,” jawab Roza.

Deen kerut dahi bila namanya disebut oleh mama.

“Saya bertahan hanya sebab Deen. Saya nak dia besar dulu. Saya tak nak dia membesar tanpa kasih-sayang ibu. Sebab tu, saya bertahan.”

“Deen masih kanak-kanak, Roza. Dia masih perlukan kita berdua. Ibu ayah dia.” Ada keluhan pada akhir suara Erwan.

“Erwan, tolonglah faham.” Nada rayuan Roza begitu sayu.

“Walau apa pun jadi, kita masih kekal ibu ayah Deen. Semua tu tak akan ubah kenyataan yang Deen adalah anak saya dan saya ni, ibu kandung dia,” jawab Roza, mencari pengertian.

Deen mengintai ke dalam rumah. Di sisi mama, dia dapat lihat satu bagasi yang besar. Malah, ini pertama kali dia lihat mama dan ayah bertekak. Selama ini, mereka sangat bahagia. Tiada langsung prasangka buruk yang dapat menggoyahkan keluarga mereka.

Apa yang dah jadi?

Deen mahu melangkah masuk dan bertanya tapi kakinya membeku. Kedinginan yang menjalar dalam tubuhnya kian kuat menyengat. Malah, dia makin kuat menggigil dengan apa yang sedang dilihat olehnya.

Mustahil. Ini semua tak akan terjadi dalam keluarganya. Mereka sangat bahagia. Tiada angin atau taufan yang melanda. Mustahil. Tak akan. Deen menggeleng kecil. Menafi telahan jahat yang mula merasuk mindanya.

“Kenapa, Roza? Tak cukup ke apa yang saya bagi selama ni? Ya, memang kita masih menyewa dan saya masih berniaga tepi jalan. Tapi, semuanya cukup. Dan saya rasa, dah berlebih. Saya sentiasa penuhi apa saja yang awak nak sejak dulu.”

“Sebab saya tak pernah sayang awak, Erwan.”

Sebaris ayat mama buat Deen kaku. Air matanya jatuh tanpa dia sangka. Pengakuan mama seperti merenggut segalanya dalam sekelip mata.

“Saya tak pernah terima awak dalam hati saya, Erwan. Tiada langsung perasaan cinta pada awak,” tambah mama dengan penuh emosi.  Malah, ada juga esakan yang cuba ditutup.

Air mata Deen menitis perlahan. Dia ketap bibir sekuat hati. Menahan suara tangis.

“Awak sendiri dah janji, Erwan. Kalau saya masih tak bahagia dan tak cintakan awak, awak akan lepaskan saya pergi dengan orang yang saya cinta. Awak sendiri tahu, saya dah ada orang yang saya sayang sebelum keluarga saya paksa saya kahwin dengan awak. Saya dah cuba Erwan… saya dah cuba selama ini.”

Sekali lagi, jawapan mama yang panjang lebar, menambahkan beban dalam hati Deen.

“Sekarang, di usia kita yang dah melewati tiga puluhan ni, masih penting ke semua tu untuk awak, Roza?” soal Erwan. Lemah tak berdaya bila janji itu diungkit kerana dia tahu, itu adalah janjinya di awal perkahwinan mereka yang nyata diatur keluarga.

Dia juga tahu, Roza punya pilihan lain semasa berada di luar negara tapi dia benar-benar sayangkan Roza. Dan sayang itu bagai tak berpenghujung bila Deen lahir ke dunia. Dia sangkakan, perasaan Roza padanya berubah bila Deen hadir, tapi rupanya tidak.

Apakah dia kejam kerana menyekat bahagia Roza? Erwan duduk di sofa. Tunduk dan meramas rambut.

“Untuk saya, penting Erwan. Sebab dia masih tunggu saya dan saya ada tanggungjawab lain yang dah lama saya abaikan demi awak dan Deen,” jawab Roza. Menapak dan melutut di hadapan Erwan.

“Tolong saya untuk bahagia Erwan.” Air mata Roza mengalir laju.

Erwan angkat wajah. Dia renung wajah itu yang dia yakin, tak akan dapat direnungnya lagi setelah ini. Sejak dulu, dia sentiasa kalah dengan air mata wanita ini. Yang dia sayang sepenuh hati. Yang dia mahu bahagiakan. Siapa tahu, dialah punca Roza menderita.

“Kalau dah itu bahagia awak dan demi penuhi janji saya, saya lepaskan awak, Rozana. Terima kasih ada dalam hidup saya selama ni. Terima kasih berikan Erdeena pada saya dan temankan kami selama ini,” jawab Erwan, tenang dan lembut biarpun dadanya hampir pecah.

“Saya harap saya boleh bawa Deen,” ujar Roza. Nadanya jelas menandakan yang dia tak akan bawa Deen bersama.

“Tak apa. Saya faham. Deen akan bersama saya. Awak boleh datang bila-bila masa untuk ziarah dia,” balas Erwan.

Jujurnya, jika Roza mahu membawa Deen bersama, dia tak akan sekat. Tapi, kata-kata Roza jelas memberi makna sebaliknya dan untuk dia, dia begitu bersyukur bila Roza jelas melepaskan jagaan Deen padanya.

“Terima kasih, Erwan.” Roza angkat tubuh. Menghampiri bagasinya.

Dia menapak ke pintu tanpa menoleh lagi dan saat daun pintu itu terkuak, dia gamam.

“Deen?” serunya. Terkejut.

“Kenapa mama perlu pergi?”

“Maafkan mama, Deen. Mama janji mama akan datang jumpa…”

“Kalau mama pergi, mama tak akan jumpa Deen lagi dan Deen tak akan jumpa atau maafkan mama sampai Deen mati!” ujar Deen. Keras dan tegas. Memotong janji palsu mama. Air matanya jatuh bertali arus.

Tubuh yang menggigil itu bukan lagi kerana kesejukan tetapi kerana marah. Dia tahu dia sedang mengugut mama tapi jika dengan ini akan menyekat langkah mama, dia tak kisah.

“Maafkan mama, Deen. Mama tak harap Deen faham sekarang.  Tapi, satu hari Deen pasti mengerti.”

“Kalau macam tu, pergilah,” suruh Deen dengan nada yang dingin biarpun air matanya masih mengalir.

“Deen akan tinggal dengan ayah. Mulai hari ni, Deen dah tak ada mak!” tambahnya. Datar dan dingin lantas dia menapak masuk ke rumah.

“Deen?” Tangan Deen dipaut lembut. Erwan melutut di depan Deen yang akhirnya jatuh dalam pelukannya. Mengalirkan air mata yang tiada tangisan. Erwan sayu melihat Deen yang bertahan daripada esakan.

“Jangan cakap dekat mama macam tu.”

Tak berkata apa, Deen memeluk Erwan dan terus menangis. Saat itu juga, dia dapat dengar enjin kereta beradu dengan bunyi hujan yang kembali lebat. Dia sedar yang wanita itu sedang pergi meninggalkannya. Mama pergi kerana dia telah menghalau wanita itu.

Tak… dia tak maksudkan demikian. Dia hanya mahu mama bersama mereka. Dia tak mahu mama pergi.

“Mama?” serunya. Pelukan dilepaskan. Tak… dia sangat perlukan mama. Dia tak mahu berpisah dengan mama atau ayah.

“Mama!” Jeritan Deen seperti ditelan bunyi rintik hujan yang bertambah kasar.

Kereta mama berlalu laju. Dia panjat basikal dan terus mengejarnya. Dikayuh sepantas mungkin.

“Mama… Deen minta maaf. Deen tak sengaja cakap dengan mama macam tu. Mamaaaa!” Kayuhannya kian ligat. Sekuat hati. Namun, kereta yang membawa mama terus memecut. Sepertinya, mama langsung tak menoleh lagi.

“Mama!!!” Raungan dan rayuan Deen sungguh tidak dapat menyekat kepergian mama. Matanya kian kabur.

Tanpa sedar, dia melanggar bonggol yang tinggi. Basikalnya terpelanting dan tubuh kecil Deen juga melambung sebelum dia terhempas di atas jalan yang kasar dan kesat.

Deen meraung kuat. Bukan kerana rasa sakit pada lukanya tapi kerana berharap mama kembali. Sakit pada tubuhnya tak pernah dapat menandingi sakit pada hatinya.  Luka pada tubuh begitu jelas kelihatan tapi luka yang parah adalah di jiwa.

“Mama! Balik, mama. Deen salah. Deen minta ampun. Deen janji akan jadi anak yang baik. Deen akan dengar kata. Deen akan ikut apa saja yang mama cakap. Mama… balik.”

Ayat itu diulang berkali-kali tanpa dia sedar, pandangan matanya mula kelam dan segalanya gelap-gelita.


... bersambung 


PRA-PESANAN DIBUKA SEKARANG.  PESAN SEBELUM KEHABISAN STOK



No comments:

Post a Comment