DI saat dia baru sahaja mahu terlelap, pintu diketuk orang. Mata kuyu yang hampir tertutup itu, kembali terbuka. Di saat dia menoleh, wajah abah muncul. Seperti biasa sejak kejadian dua hari lepas, abah masih sugul. Langsung tiada lagi riak ceria pada wajah itu.
Thaqeef
bangkit dan duduk di sisi Datuk Thaha di atas sofa. Dia koyak senyum.
“Mommy
tak datang hari ni?”
“Hurm…
abah suruh dia rehat. Nampak penat sangat. Tak boleh tidur tu. Abah risau dia pula
yang rebah,” jawab Datuk Thaha perlahan. Dia balas senyuman anaknya, tapi senyuman itu
tiada perisa.
“Abah dari
bilik sebelah?”
Datuk
Thaha gelengkan kepala. Dia terus mencari Thaqeef.
“Selain doa dan berharap, tiada apa yang mampu kita lakukan lagi, abah.”
Tangan
Thaqeef singgah di atas paha Datuk Thaha.
“Abah
tahu. Mommy pun tahu. Tapi, itulah. Nak menerima itu… tak mudah.” Datuk Thaha
ketawa tapi dalam tawa itu ada sebaknya.
“Qeef
macam mana?” Datuk Thaha mengesat juring mata dan terus melebarkan senyum.
Thaqeef
tidak terus menjawab. Dia condongkan tubuh ke depan. Menongkat siku di atas paha
bersama keluhan berat.
“Sampai
bila nak tunggu?”
“Ikut
hati sampai dia sedar, abah. Tapi, Qeef tahu Qeef tak boleh. Semalam lepas abah
dan mommy balik, nurse beritahu kenalan rapat dia
nak temankan tapi nurse beri alasan tak boleh teman
bila Qeef minta tolong nurse cakap macam tu. Jujurnya,
Qeef tak berani nak hadap mata dia bila mata tu terbuka. Qeef takut,” akui Qeef,
jujur.
Dia
dapat rasa tangan abah mendarat pada bahunya. Diusap perlahan.
“Abah
faham dan abah sendiri dah usahakan apa yang terdaya. Ada yang dapat tutup,
abah cuba. Yang tak dapat, dah sedia terbuka. Sampai masa, yang salah perlu
hadap hukuman. Kalau Qeef masih tak berani nak bersua empat mata dengan dia,
biarlah dulu.”
“Qeef
takut tapi Qeef juga tak nak jadi pengecut, abah.”
Datuk
Thaha senyum. Biarpun tidak seceria biasa, tapi kali ini punya sedikit perisa.
“Abah
tak suruh Qeef jadi pengecut. Anggaplah itu membina strategi. Perang senjata ni
senang. Boleh nampak peluru dan mata pedang. Tapi, perang emosi dan perasaan ni
bukan sesuatu yang mudah, Qeef. Dua perkara ni, kita tak pernah nampak dengan
mata kasar,” ujar Datuk Thaha penuh makna.
“Lagipun,
kita masih tak dapat nak agak macam mana penerimaan dia. Daripada apa yang abah
tahu, dia pernah lalui rawatan sebab tekanan perasaan. Abah takut bila Qeef
tiba-tiba mengaku pada dia, semua tu akan mencetuskan semula tekanan tu. Nak-nak,
dia hanya ada ayah dia aje dalam hidup. Sekarang, dia dah tinggal sebatang
kara. Abah takut sakit lama dia tu berulang dan jadi lebih teruk.”
Thaqeef
diam. Sejenak, dia berfikir tentang segala kemungkinan. Ada benarnya kata abah.
Dia juga tahu tentang perkara itu. Kerana itu, dia tak boleh nak ambil risiko. Seperti
mana yang abah risaukan, dia juga risaukan perkara itu.
Dia
sendiri terkejut saat doktor mengemukakan laporan kesihatan milik Erdeena yang
terdahulu. Rekod itu masih ada di hospital ini. Sakit yang pernah Erdeena
alami, tak akan dapat diubati dengan mudah.
“Kalau
betul Qeef nak bantu dia, Qeef kena kuat. Biarlah apa aje yang mendatang, Qeef
tak boleh goyah. Qeef kena terus teguh,” nasihat Datuk Thaha lagi. Hati seorang
ayah begitu sayu melihat keadaan anak lelaki yang dahulunya begitu kukuh dan
teguh, kini mula goyah dan lemah.
“Apa
yang Qeef bakal tempuh ke depan harinya, tak mudah. Sebaik sahaja Erdeena tahu
siapa Qeef… hanya kebencian yang ada antara Qeef dan dia. Qeef sanggup hadapi
hari tu nanti?” soal Datuk Thaha lembut.
Kerana
dia dapat rasakan. Renungan mata kuyu Thaqeef pada seraut wajah pucat itu,
tidak hanya ada rasa bersalah. Tapi, perasaan seorang lelaki terhadap seorang
wanita.
“Apa
saja untuk dia, abah. Qeef akan pastikan dia bahagia walaupun itu buat Qeef
hidup dengan kebencian dia. Selamanya,” jawab Thaqeef dengan jantung yang
begitu luar biasa degupannya.
Pertemuan
mereka – abah, mommy, Rees dan juga Erdeena. Biarpun bukan dalam keadaan yang
diharapkan, jika ini kehendak takdir, dia akan dakapnya erat.
...BERSAMBUNG
PRA-PESANAN DIBUKA. PESAN SEKARANG SEBELUM KEHABISAN STOK
No comments:
Post a Comment