DEEN buka mata bila dirasakan ada titisan dingin mengalir melalui juring matanya. Dia bangkit dan mengesat air mata itu. Setelah sekian lama, memori perit itu kembali mengejutkannya daripada lena.
Setelah
dia lelah bertarung dengan emosi sendiri yang hampir menang. Setelah dia
menghabiskan terlalu banyak masa dalam dunia yang dirasakan hanya ada kesunyian
dan kekesalan.
Benarkah
mama pergi mengejar bahagia sendiri? Apakah dia juga menjadi sebabnya?
Dia
meraup wajah. Sungguh dia tak mampu untuk terima apa yang telah terjadi. Tapi,
jika dia sendiri tak dapat lupakan, bagaimana pula dengan ayah. Pernah dia
lihat ayah mengalirkan air mata. Mendoakan bahagia mama biar di mana dan
bersama siapa pun wanita itu berada.
Ada masa, dia mahu mengherdik kesetiaan ayah. Tapi, apalah haknya. Jika kesannya sangat kuat padanya, dia juga tahu kesan itu begitu besar pada ayah.
“Deen?
Erdeena?”
“Ya,
ayah?” sahut Deen. Membuka pintu sambil
memisat mata.
“Eh,
ayah ingat dah siap. Hari ni Deen konvo. Dah nak jam tujuh ni. Bila
nak siap? Nanti lambat,” tegur Erwan.
“Tuhan…”
Deen menutup pintu dan terus bergegas ke bilik air. Mujurlah dia telah siapkan
semua pakaiannya malam tadi.
Hampir
setengah jam, Deen keluar daripada bilik dengan mengenakan baju kurung moden
yang mengikut bentuk tubuhnya bersama rambut yang dilepas bebas dan masih ada
kesan basah kerana tak sempat dikeringkan dengan baik.
“Jom,
ayah,” ajaknya seraya menyarung kasut.
“Cepat-cepat.”
Erwan masuk ke perut kereta. Pintu pagar automatik itu terbuka dan mereka terus
berlalu.
Perjalanan
ke universiti akan mengambil masa setengah jam dan itu pun jika tiada
kesesakan. Dia perlu tiba awal dan jika lewat, pihak urus setia tidak akan
membenarkan mereka masuk.
“Ayah,
mesti kita dah tak boleh nak masuk bila sampai nanti…” Deen meluah perasaan
yang sebu.
“Sempat
ni. Jangan risaulah.” Erwan memegang tangan Deen yang sejuk. Dia senyum tipis.
“Biasanya
Deen bangun awal. Kenapa hari penting macam ni, Deen boleh bangun lambat? Ayah
tadi saja sembang dengan Pak Omar lepas balik dari surau. Ingatkan Deen dah
siap.”
Riak
resah Deen tadi berganti dengan suram. Dia tunduk. Dia menyalahkan memori itu yang
masih ke mengejarnya hingga ke dalam mimpi. Deen ketap bibir. Tak mahu memberi
jawapan pada ayah.
“Ayah,
laju sikit,” desak Deen.
“Eh,
dah laju dah ni. Dah lebih daripada kelajuan yang ditetapkan dah,” jawab Erwan.
“Laju
sikit lagi.” Deen sudah tidak senang duduk. Dia benar-benar mahu naik ke pentas
di saat namanya dipanggil dan saat itu, ayah memandangnya kerana dia punya
kejutan kepada ayah.
Anugerah
istimewa itu adalah miliknya dan dia tahu, ayah akan bangga melihat momen itu. Dia
mahu senyum pada ayah. Dia mahu ayah senyum padanya. Dia mahu abadikan memori
ini sebagai yang terindah bersama ayah.
“Ayah!”
seru Deen bila Erwan menghentikan kereta.
“Kenapa
ayah berhenti?”
“Deen…
itu kan lampu merah. Budak bertuah ni. Dia yang bangun lambat,” tegur Erwan.
Jari-jemari
Deen kian terasa dingin. Sebaik saja nombor pada lampu trafik itu menunjukkan
angka lima dan semakin menurun, Deen mendesak ayahnya menekan minyak.
Di
saat lampu baru sesaat bertukar hijau, Erwan menekan pedal minyak. Dia senyum
melihat kegelisahan anak perempuannya.
“Lain
kali Deen bawa kereta sendiri, bila lampu isyarat bertukar hijau tunggu sekejap
dua tiga saat. Bukan apa takut kereta dari haluan lain…”
Bang!
Ayat
Erwan tak sempat dihabiskan. Deen keliru mendengar dentuman itu. Dia tak tahu
apa yang telah terjadi. Dia hanya dapat rasakan SUV milik ayah bergolek
beberapa kali sebelum berhenti dan dunia mereka bagai terbalik.
Dia
buka mata. Menoleh pada ayah yang terlindung sedikit di sebalik airbag yang keluar. Deen cuba angkat tangan tapi tak
berdaya. Baju kurung putihnya bertukar warna. Baju kemeja biru laut ayah juga
sama. Dia angkat mata. Memandang ayah yang menoleh padanya.
Bibir
ayah senyum lebar.
“Deen…”
Sepatah
nama itu disebut oleh ayah sebelum senyuman itu terhenti.
Deen
hanya mampu mengalirkan air mata bila dia tahu sesuatu telah terjadi dan orang
ramai yang menghampiri kereta mereka langsung tidak dapat mematahkan
renungannya pada wajah ayah.
...bersambung
PRA-PESANAN DIBUKA SEKARANG. PESAN SEBELUM KEHABISAN STOK
No comments:
Post a Comment