Wednesday, January 11, 2017

Maghfirah 17

PAK Mansor tenang mendengar butir bicara Maghfirah.  Tiada rasa nak menyampuk selagi Maghfirah tak minta dia bersuara.  Dia tahu, Maghfirah sedang keliru.  Masa lalu dan masa kini.  Kedua-duanya dirasa gagal. 
“Firah yakin apa yang Firah cakap ni?”  soal Pak Mansor akhirnya. 
“Erm… dia tak sayangkan Firah, yah.  Kadang-kadang Firah rasa kita yang ikat kaki tangan dia.  Tahan kepergian dia.  Tidaklah Firah salahkan pinang dia untuk Firah.  Firah tahu ayah risaukan Firah.  Tapi, kan Firah dah cakap… Firah selesa dengan ayah.  Dan, Firah jugak faham, ayah nak bagi Firah kehidupan yang terjamin.  Firah dah cakap dekat Ian, bila-bila masa dia nak pergi, Firah tak akan sekat langsung,” cerita Maghfirah jujur. 

Ayah perlu tahu.  Dia bimbang kerana dia dan ayah, Ian terkurung dalam sangkar.  Andai sangkar emas, tak apalah juga.  Ini sangkar buruk. 
“Ayah tak setuju dengan Firah.  Ayah tak nampak pun Ian tu tak sayangkan Firah.  Layanan dia pada Firah, ayah nampak dia benar-benar berusaha nak bahagiakan Firah…” 
Maghfirah mengeluh tipis bila ayah menyangkal.  Itu pandangan mata kasar.  Tapi, dia  yang merasa.  Ada masa, dia rasa Ian hanya nak ambik kesempatan atas dia.  Kerana keperluan seorang lelaki.  
“Itu apa yang ayah nampak.  Tak sama dengan apa yang Firah rasa.  Kalau betul dia nak pergi…”  Maghfirah renung dalam anak mata tua ayahnya. 
“…kita jangan halang dia, ya ayah?”  pintanya merayu.
Melihatkan genangan jernih dalam mata Maghfirah, Pak Mansor akhirnya angguk.  Baru rasa nak bahagia, diduga lagi.  Dia tahu Maghfirah masih tak yakin sepenuhnya dengan hidup, tapi tak apalah.  Seperti anaknya cakap… mereka bahagia berdua.
“Tak apalah.  Ayah nak pergi rumah Suhaimi kejap.  Katanya dia nak bagi ayah guna kereta dia tu.  Kat rumah dia pun, anak-anak tak pandang dah kereta buruk katanya…” Pak Mansor bangkit.
“…bolehlah ayah bawak Firah jalan-jalan lepas ni.”  Seloroh Pak Mansor dalam senyuman tawar.
“Ya, Firah akan jadi co-pilot ayah selamanya.”  Maghfirah juga senyum.  Kepergian ayah dihantar dengan pandangan yang kelam. 
Ayah dah usaha untuk bahagia dia.  Tapi, apa guna fikirkan bahagia sendiri sedangkan Ian tak sepenuhnya bahagia.  Ini lebih menyakitkan daripada ditinggalkan. 


DIA… cuba untuk bermesra dengan wanita itu tapi dia sendiri kaku.  Dia memang seorang yang gagal.  Apatah lagi mimpi ngeri itu sentiasa menghimpit.  Bukan dia sengaja tolak, tapi dia takut lebih dalam lagi dia lukakan hati Maghfirah.  Melihatkan cara Maghfirah menyebut nama June pun dah buat hati lelakinya sebak, apatah lagi bila tahu sejarah lalu dia. 
Dia tak nak lukakan hati Maghfirah tapi mendengarkan suara Maghfirah bersembang dengan Pak Mansor, bebannya meningkat dua kali ganda.  Dia tak patut begitu.  Tapi, bila dia cuba dekat, Maghfirah yang sering mengelak. 
Fikir, Ian… gunakan kelebihan yang pernah kau ada.  Fikir… jangan sakitkan hati perempuan yang begitu sayangkan kau!  Jangan pentingkan diri, Ian! 
Ian angkat tubuh.  Dia selak langsir lusuh itu dan menjenguk ke luar tapi sepi.  Gamaknya, Pak Mansor dah keluar dan inilah masanya.  Ian kemaskan rambut yang dah panjang.  Bila menjengah ke dapur, Maghfirah ada di sinki.  Tak masuk tengah hari lagi dah sibuk sediakan makan. 
Dia senyum.  Apa lagi yang dia nak cari?  Jodoh datang depan mata.  Dipinang orang.  Ingat senang ke bapak perempuan nak pinang lelaki sembarangan macam dia ni untuk anak sendiri? 
Dia pijak anak tangga pertama.  Terhenti di situ bila Maghfirah toleh. 
“Ada apa-apa boleh saya tolong?”  soal Maghfirah lembut.
Dahi Ian berkerut.  Aik…  macam dah lama tak dengar soalan macam tu.  Kenapa sekarang diaju pulak?  Aneh ni.
“Err… saya buat sendiri…”  Ian sengaja cakap demikian.  Sabar menanti kata balas Maghfirah.
“Ya, boleh buat sendiri sementara ada dalam rumah ni.  Nanti bila awak datang balik sebagai tetamu, tetamu tak dibenarkan buat kerja dalam rumah ni..”  Maghfirah terus sambung kerja.
Langsung tak menoleh lagi.  Malah, riaknya lebih tenang.  Biarpun tak dingin seperti mula-mula Ian jejak kaki ke sini, tapi dah lain. 
Ya… itu ayat yang sedikit berbeza biarpun mempunyai makna yang serupa.  Makna kata, dia dah jadi orang luar dalam sekelip mata bagi Maghfirah?  Gitu?  Kaki Ian menapak laju.  Dia hampiri Maghfirah di sinki.  Kedua belah tangan mengepung Maghfirah di tengah.
“Kenapa tiba-tiba saya jadik orang luar pulak?”
“Hah?”  Maghfirah mahu menoleh tapi dia tahan.  Ian berada terlalu dekat dengan dia.  Kalau dia berpaling, mereka boleh bercium gamaknya. 
“Saya pegang pisau ni…”
“Kalau dah takdir saya mati di tangan…” 
“Ya Tuhan…” 
Ian dan Maghfirah menoleh ke pintu dapur yang ternganga lebar.  Pisau lepas daripada tangan Maghfirah.  Dia cuba berganjak tapi tubuh Ian masih mengepung dia hinggakan antara mereka begitu terhimpit. 
“Betul kan aku cakap…”  Wajah Pak Mail menyinga. 
Mata Maghfirah terkebil-kebil sendiri.  Dia tolak dada bidang Ian menjauh.  Saat ini, hanya wajah ayah yang dia cari.  Mana ayah?  Kisah lalu seperti berulang kembali.  Sama.  Tak berubah langsung.  Yang lain adalah lelaki di sisinya kerana lelaki yang dulu, ada di luar sana.  Memandang dia dengan mata yang berkaca. 
“Haaa… tak percaya lagi kau, Nazri?”  marah Pak Mail. 
Nazri palingkan wajah ke kanan.  Tak mampu nak lihat.  Semalam, dia juga nampak Maghfirah berpeluk sakan dekat pangkin.  Biarpun dalam gelap, dia tahu itu Maghfirah dengan lelaki ini. 
“Apa lagi kamu buat ni, Maghfirah?  Ayah kamu mana?”  Salah seorang orang kampung menyoal. 
Birai mata Maghfirah dah basah.  Ian juga diam tak berkata apa.  Dia sendiri kelu.  Ayat apa yang mahu dia muntahkan?  Jika dulu dia jauh daripada Nazri pun orang tak ambik kisah langsung dengan penjelasannya, sekarang… dia dan Ian begitu rapat.  Malah hampir melekap.  Mesti tiada lagi ruang untuk dia  pertahankan diri. 
Mata Ian tak lepas memandang seorang lelaki yang ada dengan beberapa orang lain.  Wajah masing-masing menyinga tapi yang seorang itulah yang paling bengis.  Memandang dia macam nak tembus dibuatnya.   Inilah orang kaya Mail ni.  Dia kenal pun masa ke surau beberapa kali.  Dah itu… Ian senyum senget pada Nazri. 
Tenang… Ian hulurkan salam tapi tangannya tak bersambut.  Tapi, dia tak kisah.  Dia pernah dilayan lebih teruk daripada ni.  Tapi, satu yang menarik.  Pipi kiri itu masih jelas parutnya.  Nyata, memang benar apa yang dia dengar.  Maghfirah hampir dikhianati dan gadis ini mempertahankan diri. 
“Dulu kau dah salah.  Sekarang ni kau ulang lagi.  Dasar perempuan murah!” Kuat suara mengherdik Maghfirah yang nampak pucat. 
Ayah mana?  Ayah tak patut keluar.  Itu yang hati dia jeritkan.  Dia pandang Ian mencari jawapan pada wajah tenang lelaki itu.  Langsung tak berbekas kerutan.  Macam mana Ian boleh begitu tenang dalam keadaan macam ni? 
“Berapa kali kau nak berkhalwat, Maghfirah?  Aku dah dengar banyak cerita orang kampung.  Tapi katanya, bapak kau ada bersama.  Ini, mana bapak kau?  Tinggalkan kau berdua?  Gamaknya Mansor ni memang suka jual anak!”
Mata Maghfirah terpejam rapat.  Hinaan kali ini lebih padu.  Lebih menyakitkan.  Lebih membunuh. 
“Sabar, pak cik.  Bagi saya terangkan dulu…” Sedaya-upaya Ian memujuk.  Tak betah dia melihat wajah menahan tangis gadis di sisinya. 
“Sabar apa lagi.   Satu kampung ni jadi saksi…”
“Pak cik…” Ian nak bersuara tapi Maghfirah menahan. 
Mata Maghfirah merenung Ian.  Ada Nazri di depan mata, dia tak berapa kuat.  Dia raa nak aje dimaki hamun Nazri.  Tapi, dia tahan.  Seperti mana dulu, kali ini juga dia sabar. 
“Ingat saya pesan, dah terlalu lama awak berusaha daki tempat tinggi.  Keletihan.  Sampai masa, turun ke tempat rendah adalah lebih baik,” pujuk Ian.  Perlahan-lahan, tangannya meraba lengan Magfirah. 
Melurut lengan halus gadis itu hingga tiba di tangan, jari-jemari mereka bersulam sesama sendiri.  Bukan sebelah tangan, malah kedua-duanya.  Langsung tak dihirau pada mata yang memandang.
Alang-alang dia nak bantu Maghfirah turun daripada tempat tinggi itu, biarlah dia pegang tangan ini agar Maghfirah tak tersungkur.  Biarpun dia tahu, dia tak sepatutnya begini.  Tapi, harus bagaimana lagi? 
“Awak dah sedia?”  soal Ian perlahan.
Maghfirah kaku tak bagi jawapan kerana dia tahu, kata-katanya tak akan diterima-pakai.  Tapi, bila tangan kasar Ian naik memeluk bahunya, dia berasa sedikit kuat.  Rasa dilindungi.  Seperti tumbuh benteng yang akan pertahankan dia daripada apa-apa serangan. 
“Demi Allah yang maha melihat segala apanya, saya suami Maghfirah yang sah.  Dia isteri saya yang sah mengikut hukum syarak…”
“Tipu!”  Tak semena Nazri menjerit.  Dia menggeleng bagai tak percaya.  Semudah itu Maghfirah menjadi isteri pada lelaki yang hanya datang bersanggah selama dua tiga bulan?  Gila!
“Kau jangan tipu?  Firah tak akan buat benda bukan-bukan…”
“Yup.  Kau betul.  Sebab dia tak akan buat benda bukan-bukan seperti mana yang kau pernah tuduh dia dulu, dia kahwin dengan aku…” tempelak Ian.
Wajah masing-masing kaget.  Suasana sepi seketika.  Maghfirah hanya tunduk.  Mengiyakan tidak, menafi juga jauh sekali. 
“Boleh percaya ke?  Amboii… tak puas asmaradana tiba-tiba bila dah kantoi, jadi laki bini pulak, ya?”  Pak Mail masih marah rupanya. 
“Boleh, Mail.  Aku yang nikahkan diorang…” 
Ian lempar pandangan keluar rumah.  Semua orang turut menoleh.  Imam surau, Pak Suhaimi dan Pak Mansor muncul.  Riak Pak Mansor jelas kecewa.  Kecewa kerana orang kampung masih tak berubah. 
“Imam pun sama subahat ke apa?”
“Eh, subahat apa pulak.  Borang diorang ada lagi dekat pejabat aku dekat surau tu kalau kau nak tengok.  Suhaimi dengan anak dia jadi saksi.  Mansor sendiri walikan.  Kau tu, mana nak tahu.  Surau pun setahun sekali aje kau jejak.  Ini datang rumah orang, tuduh bukan-bukan…”
Pak Mail nampak terkulat-kulat tapi dia masih tak kalah.  “Eleh, mam.  Kalau betul, kenapa tak uar-uarkan?”
“Masalahnya, kau tu nak terima ke kalau ada berita baik tentang keluarga Mansor ni?  Lagi satu, diorang buat semampunya.  Dah laki bini di tak mampu nak ada majlis segala, aku nak kata apa.  Perkahwinan ni yang wajibnya ada pasangan, wali, saksi dan akad aje, Mail.  Kau kena ingat tu.  Tak semua orang mampu buat majlis gilang-gemilang macam kau tunangkan Nazri dengan Firah dulu.  Tapi, tak berjodoh jugak.  Dah, macam ni jodoh diorang… tak boleh ke kita doakan aje.  Aku tak kata Mansor betul sebab senyap-senyap nikahkan anak dia.  Tapi, sebab aku tahu orang kampung benci dia, sebab tu aku nikahkan jugak budak berdua ni.  Kau tu jangan pandang orang macam kau ajelah yang tinggi ilmu agama, Mail.  Tak baik,”  bebel Imam lantas menoleh pergi.
“Aku pergi minum air rumah kau ajelah, Suhaimi.”  Ingat tadi datang sebab nak raikan Maghfirah kerana dia tahu, anak ni pandai masak.  Dah ada keramaian lain pulak. 
Eloklah.  Dia pun dah lama geram dekat Mail dengan orang kampung ni.  Mentang-mentang Mail tu kaya-raya, sanggup jadi lembu cucuk hidung segala. 
“Mail, aku mintak maaf,” pinta Pak Mansor perlahan. 
“…jemputlah masuk minum dulu,” ajaknya sopan.  Tapi, Pak Mail hanya berlalu dan pergi. 
Yang tinggal hanya Nazri.  Tunduk membisu. 
“Bila awak nikah, Firah?”  soalnya terus pada Maghfirah.  Lantaklah Ian lempar pandangan amaran pada dia pun.  Dia rela bertumbuk saat ini.  Katalah apa saja.
“Dah dekat dua minggu.  Suami saya sendiri ke surau dan cakap dengan imam.  Memandangkan kami berdua tak ada harta, dia pun hanya bayar mas kahwin dan upah imam… yang lainnya tak penting lagi untuk kami,” jawab Maghfirah jujur. 

Kerana itu ayah kerap ajak Ian ke surau tempoh hari.  Dia pun tak tahu sebenarnya.  Bila dia tahu, segalanya dah sedia.  Cuma… dia pandang Ian.  Mereka sedang bermula sebagai kawan kerana dia tahu, dalam hati lelaki yang menjadi suaminya adalah wanita lain.  

...bersambung

19 comments:

  1. Alhamdulillah....moga bhgia cpat mjelma

    ReplyDelete
  2. wah..episod Ian memikat hati Firah la pulak lps ni..sian Firah..

    Zulyati

    ReplyDelete
  3. ohmaiiii..patutle lain mcm je bace ep2 sblm niii..wahhhh

    ReplyDelete
  4. nopeee, firahhh..laki hang tu ..aku dok agak dah
    cis, ian ni senyap2 ja dia noh

    ReplyDelete
  5. Hmmm......hati ian memang ada cinta utk firahke?

    ReplyDelete
  6. Nk lg kak...marathon jom mlm ni..hihi

    ReplyDelete
  7. patutle pak mansor berani tinggalkan depa berdua2an...dah halal...suspen .......

    ReplyDelete
  8. Saspen je....udah halal upanya...

    ReplyDelete
  9. Saspen je....udah halal upanya...

    ReplyDelete
  10. Ooo hahaha tipah tertipu rupanye.. patutla pak mansor biar diorang berdua dlm rumah.. hehe br fhm maksud "jgn speku" 😅😂 tqvm RM for the update 🌹🌷💐

    ReplyDelete
  11. Homai... dah nikah gupahnya.... hehehe, padan mukan Nazri dn bapanya..ambik ko... tq RM dah update

    ReplyDelete