Sunday, April 04, 2021

NOKTAH 11


SEMILIR angin malam membuatkan Naihara memeluk tubuh sendiri. Kedinginan kian terasa. Dia masih diam biarpun suara di hujung talian terus-menerus mengherdiknya.

“Eh, dah pekak ke?”

“Saya dengar.” Hanya itu yang mampu dia ucapkan waktu itu.

“Kau buat Badli marah lagi, ya? Kenapa dia mesti masuk semula dalam keadaan macam tu? Kau sejak dulu memang suka buat orang marah. Memang suka kacau majlis orang. Kan aku dah pesan, jangan buat hal. Tak boleh ke kau makan aje senyap-senyap, lepas tu pergi? Susah sangat ke? Kenapa mesti kau nak orang sedar dengan kehadiran kau? Tak boleh ke kau hidup diam-diam sendiri tanpa menyusahkan orang? Kenapa sejak dulu, kau mesti jadi punca semua masalah? Kenapa mesti kau jadi punca orang lain bertelagah?”

Mendengarkan soalan yang dibaca dalam senafas itu, birai mata Naihara kembali terasa suam. Sejak dulu, dia tak pernah diberi hak untuk membela diri. Segala yang terjadi adalah salahnya. Apa saja, dia adalah punca. Jika dulu dia tak diberi waktu biarpun sesaat mempertahankan diri, sekarang juga dia akan pilih untuk mendiamkan diri kerana dia tahu, dia tak akan pernah menang.

“Saya minta maaf,” pintanya perlahan.

“Senang kau cakap maaf. Kau tahu tak sekarang ni Budi tengah mengamuk dekat Badli. Berapa kali kau nak buat aku menyesal sebab wujudnya kau dalam dunia ni?” soal Afidah, keras.

“Saya minta maaf.” Sekali lagi, dia hanya ucapkan maaf. Menekup mulut menahan esakan.

“Maaf… maaf…” Afidah menggumam menahan geram.

“Kau ingat ya, Naihara. Kau pahat dekat kepala otak kau tu yang kau tu memang punca orang berpecah-belah. Sekarang ni, apa kau nak buat? Budi tak sudah-sudah mengamuk dekat Badli suruh pergi minta maaf dengan kau. Aku ingatkan Badli yang hantar kau tapi kenapa kau berlagak sangat, tolak niat baik dia? Kau rasa kau bidadari ke? Cantik sangat? Kau sedar lagi kan diri kau siapa? Kau tahu kan taraf kau dekat mana aje? Kalau kata Badli nak pijak kau sekalipun, kau memang layak dipijak. Kau tu lebih busuk daripada alas kaki, tahu?!”

Bibir diketap kuat. Kepalanya menjadi berat hinggakan dia sekadar tunduk hingga dagu hampir mencecah dada. Hati Naihara yang tadinya kembali timbul ke permukaan hanya kerana pujukan sendiri, kini kembali tenggelam jauh ke dasar. Rasa sebu menikam dada. Liur ditelan tanpa henti bagi menyembunyikan rasa sayu.

Setiap kali dia berjaya berpaut pada dahan semangat yang dirasakan agak kukuh, setiap kali itu, semangat itu dicantas orang.

“Maaf.” Kali ini, hanya sepatah kata yang mampu dia ucapkan bila rengkungnya benar-benar terasa sakit. Serasa mahu pecah.

“Sekarang ni, kau cakap kau dekat mana. Budi suruh Badli pergi jemput kau sekarang. Kau nak aku maafkan kau, kan? Kau nak aku terima maaf kau, kan? Tak cukup dulu kau buat Risya lemas? Atau mungkin perlu aku cakap yang kau dah lupa apa bala yang kau dah bawa pada abang kau sendiri sampai keadaan dia tak macam manusia?”

Tuduhan mama dengan nada yang cukup tajam mengelar hatinya berkali-kali. Naihara terpempan. Tentang Risya, mama sendiri tahu siapa mangsa keadaan tapi tentang apa yang terjadi pada Naqim, benarkah itu silapnya? Jika benar kerana kecuaiannya, dia sedang terima segala pembalasan tanpa sedikit pun rungutan.

 “Ingat… kau tak buat macam aku suruh, aku akan pastikan kau tak akan jumpa abang kau selamanya!” Talian terus mati.

Akhirnya, tangisnya berbentuk juga, menghiasi heningnya malam. Jika selama ini sekadar air mata, kali ini alunan suara halus itu kedengaran begitu gemeresik. Dengan berat hati, Naihara kirimkan lokasi kedudukannya.

Dia mahu meraung. Persoalan yang sama terus menyesakkan kepala.

Adakah benar anak sepertinya tidak disayangi jauh sekali untuk hidup?

Adakah benar anak sepertinya telah menjadi punca duka orang yang dia sayang?

 

 

TAK CUKUP dengan kata-kata, kaki tangan mama tak henti-henti hinggap pada tubuhnya. Tak. Dia tak tahu. Dia telah menjaga Naqim sedaya-upayanya. Dia telah berikan segalanya. Dia juga telah dihentikan sekolah. Tapi, apalah yang dia berdaya dengan usianya hanya sepuluh tahun waktu itu. Dia menjerit sekuat hati meminta pertolongan tapi mama tetap berkurung di dalam bilik.

Ayah pula hilang entah ke mana. Bila segala keadaan telah menjadi terlalu lambat, barulah mama bertindak dan Naqim sudah tidak dapat dipulihkan. Bahang panas telah memberi kesan teruk pada otak Naqim. Abang kembarnya itu kini tak ubah seperti kanak-kanak berusia tiga tahun.

“Kenapa kau biar dia berak merata-rata ni, Naihara?!” Suara mama menjerit kuat bila dapat hidu bau busuk sebaik saja dia masuk ke rumah.

Rumah sunyi. Hanya kelibat Naqim yang sedang menyorok di bucu dinding. Ketakutan. Waktu ini, Afidah sudah tidak mampu menahan amarahnya setelah dia begitu bersabar dengan karenah Naqim. Tangannya mencari sasaran hinggakan tangisan Naqim didengari di luar.

Naihara yang baru tiba dengan menjinjit sebungkus nasi terus menerpa pada mama. Cuba menahan tapi dengan kudrat yang tak seberapa, senang saja tubuhnya ditolak.

“Jangan, mama. Jangan buat Naqim.”

Hey, Naihara!  Kau tengok tu. Tengok!” Telunjuk Afidah lurus pada Naqim yang sedang menangis dengan pakaian dan seluar yang kotor kesan najis.

“Kau nampak dia macam manusia ke?”

“Mama…” Naihara kehilangan kata.

Bukan sekali mama mengatakan Naqim tidak lagi berupa manusia dan segalanya terlalu payah untuk ditelan. Dia juga sama. Tapi, dia tak mampu untuk buang satu-satunya keluarga yang dia ada bila ayah juga sudah begitu jarang pulang setelah Naqim disahkan alami kecacatan otak.

Mama keluar bekerja tanpa menghiraukan mereka dan dia terus bertahan menjaga serta melayan karenah Naqim tanpa dihiraukan makan minum mereka.

Ada masa, mama tidak pulang berhari-hari dan ayah sehingga kini masih belum muncul. Matanya terus basah. Menyeret lutut dan memeluk kaki mama. Meminta belas.

“Naqim tak sengaja, mama.”

“Ya, aku tahu dia tak tahu apa-apa sebab dia dah jadi bebal, jadi bodoh, menyusahkan orang. Kenapa masa dia kena tu dia tak terus mampus? Lepas tu nak menyusahkan aku.  Kau tahu tak semua ni salah kau? Kau yang tak jaga dia elok-elok. Kau yang sebabkan abang kau tu jadi macam tu!  Sebab tu ayah kau sendiri dah tinggalkan kau tak balik-balik sampai ke hari ni!” jerit Afidah tanpa dapat menahan rasa benci yang begitu meluap-luap.

“Ya, mama. Nai salah. Nai minta maaf. Tapi, jangan pukul abang. Nai cuci rumah ni, mama. Mama jangan marah, ya?” pintanya cuba mencari simpati di mata mama tapi tiada.

Pandangan mama padanya hanyalah kebencian.

“Aku memang marah dan marah aku pada kau berdua tak pernah padam!”

Afidah mencapai rotan yang tergantung pada dinding dan diayunkan pada tubuh Naihara.

Hanya sekali rotan itu hinggap di belakangnya, Naihara merangkak masuk ke bawah meja. Afidah menukar haluan. Mencari sasaran dan rotan itu hingga di belakang Naqim pula.

Naqim menangis tak berdaya. Saat itu, Naihara hanya memandang. Memeluk tubuh sendiri. Ketakutan. Pedih di kulitnya masih terasa segar tapi melihat Naqim dipukul, air matanya jatuh berjuraian.

Silapnya hanya meninggalkan Naqim seketika untuk membeli sebungkus nasi. Itu saja dan dia tak sangka Naqim membuat ‘onar’ kecil.

“Jangan, mama.”

“Oh, jangan. Kau keluar. Selagi kau tak keluar, selagi tu aku pukul abang kau!”  

Naihara menggeleng. Tapi, mamanya sudah tidak mampu mendengar setiap rayuan.

“Sini kau, Naihara!  Kalau tak aku pukul abang kau sampai dia mampus!” Kali ini, rotan itu diangkat tinggi dan akhirnya hinggap di atas belakang Naihara yang memeluk dan melindungi tubuh kurus Naqim.

Tiada lagi kedengaran suara tangis melainkan air mata itu saja yang mengalir dengan memeluk Naqim seerat mungkin. Sejak itu, setiap kali dia mengelak, mama hanya mengugut untuk memukul Naqim. Tanpa pilihan, Naihara serahkan belakangnya menjadi bahan amukan mama kerana dia tahu, mama mengalami tekanan perasaan dengan kehadiran mereka berdua.

Dia tidak sedar, bila darah merah mula mengalir daripada luka dirotan. Sepertinya, tubuhnya sudah menjadi begitu kalis pada rotan dan amukan mama. Hingga akhirnya, dia mampu senyum pada Naqim biarpun rotan itu sedang hinggap pada belakangnya.

Setiap kali, luka itu akan baik dengan sendirinya dan meninggal parut yang tak akan hilang. Bukan hanya di belakang tapi pada seluruh tubuh, kecuali pada wajah.

Dia tiada destinasi lain nak dituju, tiada sesiapa yang boleh dijadikan tempat mengadu. Apatah lagi dengan ugutan mama. Dia takut. Ayah tidak pernah kembali lagi. Mama terus menderita bersama mereka dan dia, hanya ada Naqim untuk dia teruskan sisa hidup.

Bersama kesakitan dan keperitan.

Ditemani emosi yang sedikit demi sedikit memamah jiwanya.

Tiada langsung rasa bahagia.

Yang berbaki hanyalah jasad yang masih bernyawa.


...bersambung

1 comment:

  1. Aduhaiiiii, teruknya kna dera ms kecik 😭 Thx RM 💐🌹

    ReplyDelete