Sunday, April 04, 2021

Noktah 13

MATA kuyu itu sejak tadi memerhati. Niatnya hanya untuk melihat bangunan yang pernah dimiliki oleh keluarganya dan sekarang telah kembali kepadanya setelah hampir dua puluh tahun.

Tak sangka, matanya tertancap pada seorang gadis berbaju kurung putih dengan kesan merah. Pada mulanya dia tak sedar tapi bila Jay memberitahunya, barulah dia perasan akan wajah indah itu.  

Biarpun tidak jelas, tapi dia yakin itu adalah gadis yang sama. Melihatnya ada di situ sendirian dengan mengesat pipi, dia yakin gadis itu sedang menangis. Niatnya untuk turun mendekati terbantut bila sebuah kereta yang dia kenal itu berhenti tepat di depan gadis tersebut.

Mustang Camaro kuning itu memang agak jarang ada di atas jalan raya dan nombor pendaftarannya juga sangat istimewa. Jadi, cukup mudah untuk dia kenal.

Dahi Haq berkerut seketika kemudian dia koyak senyum. Nampaknya, ada sesuatu yang sangat menarik bakal terjadi. Akhirnya, rasa ingin tahunya terbunuh begitu saja.

Dia menghubungi Aniq.

“Abaikan apa yang aku suruh kau buat kejap tadi. Siapkan maklumat yang aku nak bawa esok.” Talian mati.

Nampaknya, hubungan yang Naihara nafi dengan Badli adalah sesuatu yang tak boleh dipercayai. Dia mula yakin, dua manusia itu mempunyai hubungan yang istimewa hingga Badli sanggup mengejarnya.

Padahal, sepanjang perjalanan, dia tak mampu untuk nafi hatinya bimbang tentang keselamatan gadis itu. Risau jika diambil kesempatan dalam keadaan diri yang sedang menangis dan lemah. Rupa-rupanya, gadis itu sedang menyambung drama lain di sini.

“Nampak macam benda tak kena aje tu, bos,” tegur Jay sambil terus merenung gadis itu sedang merentap tangan sendiri. Jelas di matanya, wajah itu basah dengan air mata.

“Bos nak saya pergi tolong?”

 Haq menggeleng. Menongkat wajahnya. Memerhati.

“Cukup sekali. Dia tak ada kaitan dengan kita. Aku tak peduli apa yang Badli nak buat pada dia. Aku cuma nak tengok aje drama Badli dengan perempuan tu.”

Di depannya nampak lemah dan membenci tapi di belakangnya bertemu dengan Badli setelah dia menyuruhnya pulang. Kenapa mesti rasa begini wujud dalam hatinya? Haq mamah rahang. Rasa seperti dicurangi oleh perempuan itu.

Haq sekali lagi menghubungi Aniq.

“Cari maklumat tentang perempuan nama Naihara. Boleh cari antara koleksi perempuan yang Badli himpit.”

“Eh, tadi dah cancel, ni lain pula?” Aniq baru saja menutup komputernya.

“Dua hari,” putus Haq tanpa sempat Aniq terus membebel.

“Kau pernah rasa tak macam mana dicurangi?”

Jay hampir jatuh rahang dengan soalan Haq yang tiba-tiba. Dia pandang ke arah perhentian bas dan Haq silih berganti. Mencari logiknya soalan Haq padanya saat ini. Dia sendiri tak pernah bercinta. Dia juga tahu, Haq sama sepertinya. Lelaki ini terlalu sibuk dan fokus membina kerjaya.

“Errr…” Jay kalut mengeluarkan telefon bimbit. Menekan skrin pada aplikasi Google. Mencari apa yang Haq mahukan.

Dia kerut kening. Memandang Haq. Menelan liur. Tak tahulah perlu atau tak dia beritahu pada Haq akan keputusan pencariannya.

“Kecewa. Marah.” Jay sebut dua patah perkataan itu cukup perlahan dan dia sudah tidak berani untuk menyambungnya bila dilihat renungan Haq semakin tajam menikam.

Dua patah kata yang Jay sebutkan itu adalah apa yang sedang wujud dalam dirinya saat ini. Bukan saja itu tapi banyak lagi rasa yang dia sendiri tak pasti entah dari mana membuat kemunculan secara tiba-tiba.

Dia kepal penumbuk. Bukan untuk menumbuk Badli jauh sekali Naihara, tapi dirinya sendiri.

“Aku yakin dia ada hubungan dengan Badli. Cari tentang tu.”

“Ya, bos.”

“Tapi, bukan ke Badli dah nak bertunang dengan Aliya?”

“Ikut khabarnya, begitulah bos.”

“Naihara ni?” Haq pandang Jay.

“Dia nak jadikan perempuan simpanan ke apa?”

Mata kuyunya terus memerhati gadis itu hampir melutut di hadapan Badli. Bagaimana tangan Badli menyambut lengan wanita itu daripada membiarkan tubuh itu jatuh ke jalan.

Bagaimana gadis itu menyoroti mata Badli bagai merayu sesuatu yang membuatkan Badli kaku. Hinggalah gadis itu berlalu masuk ke dalam sebuah kereta. Gadis ini benar-benar memberi kesan yang kuat pada keegoan Badli.

Haq koyak senyum sinis. Tak sabar sungguh dia menanti sambungan kisah ini.

“Kita nak ikut GrabCar tu, bos?”

Haq geleng.

“Kau dah bagi tahu Encik Azmi?” soalnya menukar tajuk bicara.

“Dah, bos. Dia dah tahu.”

“Hurm.”  Haq pejam mata memicit pelipis yang menyengat tiba-tiba.  Meredakan rasa marah dan kecewa yang juga muncul entah daripada mana.

“Hantar aku balik. Esok kita gerak awal. Petang aku ada miting lagi.” Haq pejamkan matanya. Cuba merehatkan minda yang dibelit dengan pelbagai jalur persoalan.

Jauh di hujung pandangan yang cukup kelam, renungan itu hadir lagi. Dan, lenanya hadir begitu saja dalam perjalanan yang cukup singkat.


...bersambung

1 comment: