MATA kuyu Haq tajam memerhatikan sebuah partition berwarna hijau lembut itu. Kakinya berhenti daripada melangkah bila dia terlihatkan sesuatu yang berjaya menarik perhatiannya.
Buat seketika, dia renung sesuatu yang
tergantung di kerusi sebelum senyumannya tersungging sinis. Bagai tak percaya. Apakah
benar dunia ini begitu kecil?
Dia terus menelefon Aniq.
“Saya dah e-mel maklumat tu semua. Bos boleh check di sana terus.” Aniq laju menjawab demi mengelak dimarahi kerana
tertidur sepanjang malam di pejabat tanpa menyiapkan kerja yang Haq arahkan.
“Tentang semalam tu, tak perlu cari.”
“Pula dah?” Dia baru nak panaskan enjin
pencarian data. Macam-macam betullah bos ni.
“Okey, bos. Berita faham.”
Haq simpan telefon. Dia pandang Encik Azmi yang
sejak tadi berkerut wajah memandang tingkah lakunya.
“Kenapa, tuan?” Encik Azmi yang berhenti di
sisi Haq turut melihat pada tempat di mana pandangan mata Haq jatuh.
Dahinya berkerut. Tak pernah pula dia tengok
Naihara gantung apa-apa pada kerusinya. Gadis itu cukup rapi orangnya. Boleh
jadi kelam-kabut semalam, buatkan Naihara terlupa.
“Maaf, tuan. Biasa dia cukup kemas orangnya. Mungkin
nak cepatlah tu sampai lupa.” Encik Azmi beri isyarat mata kepada Azlin untuk
mengalihkan selendang yang tergantung kemas pada kerusi Naihara.
Jujurnya, tak nampak buruk langsung. Orang lain
lagilah siap gantung jaketlah, baju sejuklah. Ini hanya sehelai selendang yang
sangat cantik malah, dilipat kemas.
Azlin yang cuba menyorok selendang itu di
belakang, menelan liur sendiri yang tiba-tiba saja terasa kesat bila pandangan
Haq beralih padanya. Matanya langsung tiada sinar, melainkan kedinginan
semata-mata. Jauh sekali senyuman.
“Bagi saya.” Haq hulurkan tangan.
Lambat-lambat, Azlin suakan selendang itu pada
Haq. Dia sendiri tak pernah melihat selendang itu digunakan oleh Naihara dan
entah apa yang telah menarik minat Haq. Dia yakin semua orang tertanya bila
masing-masing sedang kerutkan dahi.
Melihat
pada arah mata Haq terpaku tadi, dahi Azlin pun turut berkerut. Dah kenapa pula
Naihara gantung kain dekat partition ni?
Haq menyambut kain itu dengan tangan kanannya. Dia
renung corak dan merasai kualiti materialnya. Tidaklah dia mahu menidakkan tapi
dia yakin, tiada seorang pun yang ada di sini tahu akan kualiti serta nilai
selendang yang disangkut begitu saja di kerusi.
Dia juga sebenarnya tidak kisah. Ikut hati, dia
mahu saja buat kain buruk. Memijaknya sesuka hati tapi ada sesuatu yang buat
dia tertanya tentang kemunculan selendang ini di sini. Corak daripada jenama
antarabangsa berbentuk F itu jelas membuktikan ia milik salah seorang tetamu di
hotel semalam.
Tak sedar, dia bawa kain itu dekat dengan
hidung mancungnya dan dihirup perlahan baunya. Tidak semena-mena, dahinya
berkerut dan dia jauhkan selendang jenama FENDI itu daripada wajah. Haruman ini
tiada dalam memorinya. Haruman ini telah bercampur-baur dan sedikit pun tiada
wangian seperti helaian rambut gadis itu.
“Ada masalah ke, tuan?” soal Encik Azmi
berhati-hati.
Dia benar-benar gundah dengan cara Haq merenung
kain dan tempat Naihara. Dia tidak mahu timbul apa-apa pandangan serong di mata
Haq tentang Naihara biarpun nampak kecil. Tak adil pada Naihara jika ditendang
keluar hanya kerana sehelai selendang.
Suasana pejabat sepi. Masing-masing terpaku di
situ. Saling memandang namun tidak berani untuk bersuara biarpun sepatah kata.
“Tempat siapa ni?” soal Haq tenang. Memecahkan
hening setelah puas dia renung ruang kerja itu.
“Ini tempat Naihara. Dia bertanggungjawab untuk
design dan akaun.” Hati Encik Azmi mula tidak
sedap. Kenapalah ditanya tentang yang tak dapat hadir.
Haq tak membalas. Dia melangkah lebih dekat dan
membaca nama yang ditampal pada dinding partition.
“Naihara Abdullah?” soalnya lebih pada diri
sendiri.
“Ya betul. Nama dia Naihara Abdullah.”
“Fresh graduate? Atau
dah ada pengalaman kerja masa masuk sini?” Dia tongkat tangan kiri pada dinding
partition dan sebelah lagi masih memegang
selendang itu.
“Fresh graduate, tuan. Baru
kerja dua bulan. Tapi, dia sangat rajin,” jawab Encik Azmi jelas memuji.
Haq simpul senyum sinis di hujung bibir. Tiada
siapa yang nampak kerana dia masih membelakangi semua orang di depan ruang
kerja Naihara. Adakah dunia ini begitu kecil hingga dengan mudah dia temui apa
yang terlintas di hati?
Padanlah jika dia nampak gadis itu di
perhentian bas dekat dengan bangunan ni. Segala kepingan persoalan, sikit demi
sikit bercantum biarpun masih ada lompong yang sangat besar.
“Kenapa saya tak nampak dia?”
Encik Azmi telan liur. Dinihari tadi, dia dapat
pesanan daripada Naihara mengatakan tak sihat. Dia faham sementelah Naihara
bergegas ke pejabat semalam setelah dia meminta bantuan. Dia juga terdesak bila
tiba-tiba saja menerima panggilan daripada Encik Huzir.
“Dia cuti sakit hari ni, tuan.”
Haq kerut dahi seketika. Menoleh dan bertenggek
di meja Naihara sambil mengayun sebelah kaki. Matanya memandang kosong pada
Encik Azmi. Langsung tak kisah dengan perhatian beberapa pasang mata lain yang
tertumpu padanya.
Tak meninggalkan kesan langsung!
“Dia tahu tak hari ni ada miting dengan saya?” Kaki
diayun lagi. Sengaja dia biarkan tumit kasutnya berlaga dengan meja milik
Naihara dan bunyi itu membawa rasa seram pada telinga yang mendengarnya.
“Dia tahu. Tapi dia pun kerja sampai lewat
malam, malam tadi. Itu saya bagi izin dia cuti sakit,” jawab Encik Azmi jujur.
“Dia sepatutnya ada hari ni untuk tentukan
kedudukan dia dalam syarikat ni. Lagipun, dia baru dua bulan. Saya tak pasti
macam mana syarikat macam ni beroperasi. Biasanya, saya akan bagi tiga ke enam
bulan tempoh percubaan untuk mana-mana staf baru dan kalau kata dalam tempoh
tu, dia tak perform, bermakna dia
tak layak untuk kerja tu. Dekat sini, ada macam tu juga ke atau terus sign kontrak atau offer letter atau
apa-apa sajalah.”
Encik Azmi nampak sedikit resah. Malah, telapak
tangannya juga sudah mula basah.
“Dekat sini juga sama, tuan. Dia masih dalam
tempoh percubaan. Biasanya tiga bulan dan bulan ke empat dia akan diserap
sebagai staf tetap.”
“Tiga bulan sebenarnya singkat kalau nak kenal
orang. Tapi, tak apalah. Dah dia tak datang, kita anggap ajelah dia memang tak
layak kerja dekat sini,” tegas Haq lantas bangkit.
“Maaf,
tuan.” Encik Azmi laju bersuara.
“Dalam masa dua bulan ni, ini kali pertama dia
cuti dan itu pun cuti sakit.”
Haq senyum senget. Merenung sepasang demi
sepasang mata yang memandangnya hinggakan semua pandangan itu jatuh. Tunduk
mengalah.
“Kerja dengan saya, selain nazak atau mati, lain-lain
tu kena datang kerja. Okey…” Haq tepuk paha sendiri dan bangkit. Berdiri tegak
membayangi semua wajah yang nampak kecut.
Dia dapat lihat wajah-wajah yang mula pucat dan
dia senang hati untuk itu. Gamaknya, semua cerita buruk tentangnya sudah lama
sampai ke telinga pekerja di sini. Entah kenapa, hatinya ketawa gembira bila
melihat wajah-wajah menunduk dan mengalah serta ketakutan.
“Saya minta maaf, tuan,” pinta Encik Azmi.
“Tapi, semua repot, Cik Naihara dah siapkan. Ada
dalam bilik mesyuarat. Saya boleh bentangkan.”
“Kalau dia buat, dialah yang perlu bentangkan,”
jawab Haq sinis.
Encik Azmi kehilangan kata. Dia dah pujuk Naihara
untuk hadir tapi mendengarkan suara Naihara, simpatinya tumpah. Dia hanya mahu
buat tak tahu tapi tak sangka, begini pula yang terjadi. Hanya kerana sehelai
selendang.
“Mesyuarat tak akan mula selagi dia tak datang.
Dan, kalau dia tak datang, saya akan tutup syarikat dan kilang ni. Semua yang
bekerja di sini, secara automatik akan diberhentikan,” putus Haq tanpa rasa
bersalah.
Haq terus berlalu ke dalam bilik yang tertera
papan tanda Pengarah Urusan. Tak sedar, dia senyum tipis. Kenangan lalu yang
cukup indah, hadir menerpa. Di ruang yang sempit andai nak dibandingkan dengan
ruang pejabatnya di menara sepuluh tingkat sana, sepertinya jauh panggang
daripada api. Tapi di sini, ada kenangan yang membuatkan hatinya tenang.
Kenangan lama antara dia dan kakaknya yang
tersayang.
Atau boleh jadi juga akan ada kenangan baru
yang bakal dia cipta dengan gadis yang dia yakin, akan muncul walaupun dalam
keadaan perlu menyeret jasad sendiri.
Selendang di tangan, dipandang lama. Renungan
itu hadir lagi menikam hatinya. Mata kuyu yang sejak tadi tertutup rapat, kini
terbuka bila bunyi ketukan pada pintu. Haq menoleh ke pintu dan bersedia
menyambut tetamu yang ada di muka pintu.
“Maafkan saya, tuan.” Suara itu menyapa. Ada
rasa tidak puas hati tersirat di sebalik kata-kata maaf itu.
Dia bangkit dan bersandar pada meja. Menyeluk
poket seluar. Menanti kata-kata yang sudah dapat dia agak. Nampaknya, Naihara
yang dikatakan ini tidaklah disukai semua kecuali Encik Azmi yang selama ini
menguruskan syarikat kecil ni.
“Nama saya Sharul, tuan. Saya betul-betul minta
maaf tapi kami semua sebulat suara dan yakin, tak berbaloi untuk tuan hukum
kami semua yang dah lama bekerja di sini hanya sebab salah Naihara.” Ayat yang
Sharul ucapkan lancar. Dipersetujui oleh yang lain.
Sebelah kening Haq terjongket. Dia menyentuh
rambutnya yang dirasakan berjuntaian jatuh di birai telinga. Rimas tapi dia
suka dengan rambut panjangnya sejak dulu. Haq simpan senyum. Tak sangka,
Naihara bukan saja pandai buat dia rasa tak selesa, tapi berjaya juga timbulkan
perasaan tu pada semua pekerja di sini.
“Okeylah. Kalau dah macam tu, saya bagi peluang
sekali aje lagi.” Tiga patah kata di hujung ayat itu, ditekan sedikit. Menggambarkan
yang dia benar-benar bersungguh.
“Suruh dia datang dalam masa satu jam. Kalau
tak, saya tak akan batalkan niat saya untuk tutup terus syarikat ni. Lagipun,
saya dah siasat. Hasil daripada syarikat ni tak banyak mana dan merosot tahun
demi tahun. Jujurnya, saya tak nampak kenapa perlu dikekalkan. Cuma, rasa nak
bagi peluang tu ada tapi kalau macam ni sikap salah seorang pekerja yang
dikatakan rajin tu, maka saya tak akan teragak-agak untuk tutup. Oh, ya… jangan
salah faham…” Haq senyum. Menampaknya gigi taringnya. Senyum yang tidak
bersadur ketulusan. Sebaliknya menimbulkan rasa kecut di hati yang memandangnya.
“Saya tak buang pekerja. Saya tutup syarikat ni.
Beza tu. Kalau kata dia lambat lima minit pun, semua akan tanggung kesannya. Tak
ada kompromi,” tambah Haq.
“Tuan-tuan semua boleh keluar dulu,” tegas Haq.
Dan, dia sendiri tak sabar untuk menanti
kemunculan Naihara kerana dia tahu, Naihara yang dinanti dengan Naihara yang
dibantu semalam adalah orang yang sama.
...bersambung
Gila kejam..huhu 😅 Thx RM 💐🌹
ReplyDeleten 2007, I have seen the discount broker gone through lots, lots of changes, from trade commissions, to online trade platform, to new research and trading tools.
ReplyDeleteThere is noticeably a bunch to know about this. I assume you made various nice points in features also.
gnegative ion generator reviews consumer reports
air purifier made in germany
meat purifier