KAKINYA maju ke bilik yang tertera tulisan Pengarah Urusan yang selama ini kosong, tidak berpenghuni tapi hampir setiap hari dia masuk ke bilik ini, membersihkannya. Pintu diketuk sekali dan bila daun pintu dibuka dari dalam, Naihara beranikan diri untuk melangkah masuk.
Haq tidak bersuara. Diam. Hanya memerhati
langkah kaki yang nampak sedikit pincang dengan wajah yang langsung tak
diangkat. Seketika, matanya terpejam rapat. Menyedut udara sedalam-dalamnya
hingga dia dapat rasa paru-parunya mula sendat. Sebaik saja dia lepaskan helaan
nafas, dia senyum sendiri.
Ya… haruman ini yang dicari oleh derianya. Yang
tak ubah seperti bunga popi yang membuat dia ketagihan.
Debaran pada jantung Naihara kian menggila. Biarpun semangatnya pudar, hatinya kecut, sekujur tubuhnya menggigil. Dia perlu kuat demi yang lain yang masih berharap biarpun bibir masing-masing terkatup rapat.
Kakinya berhenti bila dia berjarak satu meter
dengan meja itu. Pandangannya yang masih menekur pada lantai.
“Tu… tuan, saya Nai… Naihara. Ma… af, maaf saya
terlambat sikit.” Jari-jemarinya diramas, memujuk resah yang tidak dapat
ditutup. Sendi lututnya seperti mahu terpenggal.
Haq masih menyepi. Mengisyaratkan Jay berlalu dari
bilik. Meninggalkan hanya dia dan Naihara demi mendengar pertaruhan atau boleh
jadi korban yang Naihara mahu hamparkan.
Jari-jemari kasar Haq bergerak bergendang di meja.
Membawa irama yang membuatkan hati Naihara makin kecut. Serasa mahu terus
berlari tanpa menoleh lagi.
“Saya harap tuan maafkan saya untuk kali ini. Saya
akan pastikan perkara ini tak akan berlaku lagi lain kali,” ujar Naihara dengan
kepala yang kian memberat. Kian menunduk. Langsung tidak berani angkat wajah.
Hingga dagunya menyentuh dada sendiri.
“Ya!” Haq memberi respons.
Sepatah. Cukup buat darah Naihara bagai
mengalir menongkah arus.
“Saya percaya tak akan terjadi lagi lain kali
sebab ini adalah kali terakhir Cik Naihara ada di sini,” sambung Haq.
Naihara gigit bibir. Memejamkan mata rapat. Dia
telah tahu akan keputusan ini tapi hatinya masih merintih sayu.
“Saya faham, tuan.” Nada Naihara bergetar.
“Tapi saya harap, arahan tu terpakai untuk saya
seorang sahaja sebab ini semua salah saya seorang, tuan.” Dalam takut, dia
terpaksa juga melahirkan hasratnya.
“Oh, okey. Kiranya awak nak saya kekalkan orang
lain dan buang awak seorang. Gitu?” Haq tongkat tangan bawah siku. Tersenyum
sinis.
Seperti yang dia duga, Naihara bawa syarat
untuk menjadi korban. Melihatkan Naihara angguk, Haq diam seketika. Bangkit dan
duduk birai meja, tepat di hadapan Naihara.
“Awak pernah dengar tak pepatah yang mengatakan
kerana nila setitik, rosak susu sebelanga?”
Dahi Naihara berkerut. Ya, dia faham akan
maksud di sebalik kata-kata itu. Dia mahu menafikan, tapi majikannya lebih laju
bersuara.
“Tentang gaji, jangan risau. Saya dah cakap
dekat semua orang tadi, saya akan bayar tiga bulan gaji. Bolehlah untuk
teruskan hidup sementara nak dapatkan kerja baru. Termasuk gaji awak. Saya tak
akan potong satu sen pun,” terang Haq lagi.
“Ada apa lagi yang awak nak cakap?” Sengaja dia
tekan suaranya agar dapat memancing
pandangan itu tapi hampa.
Sejak tadi, Naihara tetap tunduk. Boleh jadi
kerana begitu takut hinggakan Naihara tidak cam suaranya.
“Terima kasih, tuan,” ucap Naihara atas niat
baik majikannya. Atau sekarang dia patut panggil bekas majikan.
“Saya percaya semua yang ada dekat luar sana
perlukan kerja ni. Yang jadi, semua silap saya. Saya faham dan terima tuan nak
saya berhenti tapi saya harap tuan boleh pertimbangkan semula dan bagi peluang
untuk yang lain. Dari awal lagi saya tahu saya yang akan keluar sebab saya
masih baru dekat sini. Saya bukan pekerja tetap dan saya tak akan tuntut
apa-apa. Saya terima semuanya.”
Akhirnya, Naihara berjaya berbicara tanpa
tersekat dengan nada yang rendah, lembut dan sopan.
Haq jongket kening. Menarik.
“Betul Cik Naihara tak akan bantah keputusan
saya? Hanya dengan syarat saya bagi peluang pada yang lain?”
Jiwa Naihara bergetar setiap kali lelaki ini
menyebut namanya.
“Ya, tuan!” Dia berjaya menjawab soalan itu
biarpun getaran itu mengganggu suaranya. Apatah lagi mengenangkan nasib sendiri.
Dia tahu semua orang mempunyai tanggungjawab
besar. Dia juga sama. Tanggungjawab yang tiada siapa tahu sebenarnya. Tapi,
biarlah. Dia akan lakukan apa saja demi kelangsungan hidupnya dan Naqim. Apa
saja kerja, dia tak pernah malu untuk melakukannya asalkan tidak menyalahi
undang-undang.
“Oh sebelum tu. Lupa pula. Encik Azmi cakap
awak sakit. Tapi, nampak sihat aje. Cakap pun lancar. Dekat mana sakit tu?” soal
Haq sedikit sinis.
“Saya dah okey, tuan.” Menerima kejutan
sebegini, kesakitannya dirasakan bukan apa-apa. Diganti dengan sakit pada hati
yang sentiasa dirobek kejam.
Dia masih tak berani mengangkat wajah. Kelopak
mata dipejamkan rapat dengan bibir yang diketap sekuat hati menahan rasa sedih
yang hadir bertimpa-timpa.
“Jujurnya, saya tak perlukan pekerja yang
banyak alasan macam awak ni. Tapi, sebabkan awak suka jadi bodoh dan rela
berkorban untuk kawan-kawan dekat luar sana yang memang tak pernah suka awak
dekat sini, okey…”
Haq tepuk paha dan bangkit. Berdiri tegak. Dia
mendekati Naihara.
“…teruskan berkorban. Untuk awak tahu, tak akan
ada satu manusia pun hargai pengorbanan awak atau boleh saya cakap…” Haq
matikan langkah tepat di depan Naihara.
Dia koyak senyum senget. Diselak rambut itu
sekali lagi. Didekatkan bibirnya ke sisi wajah Naihara.
“…satu kebodohan?!” Bisiknya dengan nafas yang
hangat.
Naihara ketap bibir. Haruman ini yang tadinya dirasakan
bercampur baur, kini sudah semakin nyata. Adakah?
Naihara pejamkan mata. Tak sanggup untuk
melihat wajah di depannya kerana dia mula rasa kejadian malam tadi sedang
berulang.
Dia mula yakin, ini adalah lelaki yang sama. Kata-kata
dan caranya. Silap dia kerana tak peka sejak awal kerana rasa takut menguasai.
“Sa… saya… sa… ya, fa… faham, tuan. Terima
kasih.” Kata-kata Naihara kembali tersekat. Kepalanya kian jatuh. Tunduk hormat
dan juga sebagai tanda terima kasih.
“Lagipun, saya tahu semua orang tak suka saya,”
tambahnya.
Ada di kalangan manusia yang membencinya adalah
sesuatu yang telah lama dia lalui. Bukan baru. Jadi, tidak menjadi kudis pun
asalkan dia dapat bekerja dan mencari rezeki.
Haq kerut kening dengan kata-kata Naihara. Dia
mati-mati ingat perempuan ni tak tahu yang dirinya tak disukai. Jika tahu,
untuk apa berkorban? Tidakkah apa yang dia katakan tadi benar? Naihara seorang
yang bodoh.
“Satu lagi, saya tak simpan pekerja yang
bodoh,” selar Haq.
Naihara gigit bibir. Dia akhirnya beranikan
diri mengangkat wajah. Memandang pada lelaki di depannya sebagai tanda hormat
buat kali terakhir. Dia tak sangka, bila dipertemukan sekali lagi dengan lelaki
ini dalam keadaan yang dia tak harapkan.
Mata redupnya membulat.
...bersambung
Haih... Kat ofis pun org Xsuka.. 🥺 Thx RM 💐🌹
ReplyDelete