Sunday, April 04, 2021

Noktah 17

LAPORAN yang disediakan jelas dan mudah difahami. Padanya,  pendapatan bawah seratus ribu setahun adalah sangat kecil tapi tidak pada syarikat ini. Dalam diam, dia akur akan kebolehan Naihara bekerja. Apatah lagi bila Encik Azmi tak puas memuji.

Dia yakin, pemerhatian dan penilaian Encik Azmi boleh diguna pakai kerana dia telah siasat latar-belakang lelaki itu dan lelaki separuh usia itu telah membuktikan segala cerita itu tepat.

Daripada cermin yang bidainya terbuka itu, dia dapat lihat wajah-wajah resah. Menanti untung nasib sendiri. Niatnya hanya untuk memiliki kembali bangunan dan syarikat kecil ini. Dia tidak kisah tentang hal lainnya. Jika dia perlu menanggung kos operasi dan kerugian sekalipun, dia akan kekalkan syarikat ini hanya kerana wanita yang dia panggil kakak.

Tapi kerana Naihara, keputusannya seperti berbolak-balik. Sedangkan selama ini tiada siapa mampu gugah teguhnya keputusan yang telah dibuat. Haq rapat pada tingkap. Dibuka lebar. Dia cucuh rokok itu dan ketika itu juga dia menerima e-mel daripada Aniq.

Haq cabut rokok daripada mulutnya. Membaca e-mel dan maklumat yang baru diterima dengan senyuman yang cukup tajam. Kiranya, keputusan dia untuk menanti kemunculan Naihara adalah tepat. Gadis itu benar-benar berbakat.

Dia matikan api rokok dan kembali duduk di kerusi. Membelek fail demi fail dan akhirnya, rekod yang berada di muka surat akhir itu menarik minatnya. Membaca maklumat peribadi Naihara, rasanya tiada apa yang menarik. Maklumat juga banyak yang tidak lengkap. Boleh jadi kerana benar-benar tiada atau sengaja dikosongkan.

Bila pembacaannya beralih pada kelulusan Naihara, dahinya berkerut sendiri. Haq usap dagu yang dihiasi dengan janggut tipis yang baru ditrim pagi tadi. Dia tertanya sendiri. Dengan kelulusan macam ni, mustahil Naihara tak mendapat tempat di mana-mana syarikat yang lebih besar. Atau mungkin di Jabatan kerajaan. Apa yang menahan gadis itu?

Semakin waktu berlalu, semakin banyak persoalan tentang gadis itu timbul dalam kepalanya.

Misteri apa yang kau sembunyikan daripada dunia, Naihara?

Jawapan pada persoalan itu akan hadir di depannya sikit waktu lagi. Dia tahu.

 

 

JAM telah melepasi sepuluh tiga puluh pagi. Naihara terus bergegas memanjat tangga hingga ke tingkat tiga dengan menahan kaki yang cukup sakit. Berdenyut tak henti-henti namun dia kebalkan semangat demi masa depan kawan-kawan. Tak sangka, silap kecilnya akan membuatkan masa depan semua orang musnah.

Segalanya buat dia tertanya, lelaki bagaimanakah yang menjadi bos baru mereka? Muncul hanya setelah lebih dua bulan dan tidakkah bersimpati dengan nasib pekerja? Hanya kerana silap kecil begini mengapa harus sampai memusnahkan periuk nasi orang?

Kad pekerja disentuh pada pintu dan pintu kaca itu ditolak perlahan. Nafas Naihara masih tercungap malah dia sedang menyeret kakinya dengan susah-payah agar tidak dikesan oleh orang. Sementelah, bila dia masuk semua mata tertumpu padanya dengan pandangan yang sangat tajam.

Kala melihat semuanya sedang mengemas barang sendiri, Naihara tekup mulut. Terkejut dengan apa yang dilihatnya sekarang. Adakah dia telah terlambat? Jam baru saja menunjukkan sepuluh empat puluh. Dia telah cuba sedaya-upaya apatah lagi malam tadi, dia langsung tak dapat lelapkan mata. Hinggakan terpaksa mengambil ubat tahan sakit, barulah matanya dapat lelap buat seketika.

“Cik Lin?” panggil Naihara dengan suara yang halus disekat oleh tekak yang kering. Wajahnya pucat. Sesekali dahinya menyeringai menahan sakit.

“Maaf, saya terlambat sikit. Boleh saya jumpa bos sekarang?” soalnya dengan nafas yang cuba didamaikan.

Azlin senyum tipis. Tak boleh nak kata ini bukan salah Naihara. Ada bahagian hati yang menuding jari pada Naihara. Jika di sini ketetapan rezeki, apa nak dikata. Tapi, dia juga yakin, rakan sekerja lain tak akan mudah terima.

Sejak awal, Naihara sering menjadi bahan cerita dengan sikapnya yang sering kali menyendiri dan begitu tertutup. Sukar didekati. Malah, bila disuruh melakukan apa saja kerja biarpun bukan tanggungjawabnya, Naihara hanya akur. Tidak membantah. Kerana itu, dia terus menjadi bahan.

“Saya tak pasti awak dibenarkan masuk atau tak sebab…”

Azlin berhenti bersuara. Dia cuba senyum biarpun birai matanya mula basah. Tidak berkata apa tapi dia tahu Naihara faham bila dia memasukkan semua barang peribadi ke dalam kotak.

“Kau tak nampak ni?!”

Naihara menoleh pada suara Sharul.

“Bos dah suruh kami kemas barang. Semua sebab kau, tahu tak? Tak boleh ke kau datang kalau setakat sakit sikit. Konon sakit, tapi elok aje kau datang,” herdik Sharul dengan wajah tak puas hati.

“Itulah dia.” Kali ini giliran Suraya pula menokok.

“Semua ni sebab kau, tahu tak? Kau ni memang bala sejak awal. Sekarang, kau nak bertanggungjawab ke bagi makan dekat kami semua. Kami ni bukan macam kau. Sebatang kara. Kami semua ada tanggungan, tahu tak?” Suara halus Suraya kali ini agak nyaring menusuk ke pendengaran Naihara.

Hatinya berdesir sendiri dan tunduk. Rasa bersalah menguasai apatah lagi dia telah membawa bala pada semua orang di sini. Yang dia rasa, cukup baik. Biarpun hampir semua mereka tidak sukakan kewujudannya.

Dia katakan menggunakan Encik Azmi bagi bekerja di sini.

“Apa yang bising ni?” Entah daripada mana, Encik Azmi muncul. Air mukanya tidak tenang seperti biasa.

“Encik Mi.” Naihara tunduk sedikit sebagai tanda hormat.

“Maaf.”

“Bukan salah awak. Saya tahu awak tak sihat.” Encik Azmi senyum.

Mendengarkan tuduhan pekerjanya pada Naihara, dia hampir saja menjerit memberitahu kebenaran tentang keadaan Naihara tapi dia juga masih ingat dia telah berjanji pada anak gadis ini sejak hari pertama.

“Encik Mi cakap bukan salah dia?” soal Sharul tak puas hati.

“Benda nak jadi. Tiada siapa boleh duga. Lagipun, malam tadi saya yang suruh Naihara datang ofis sebab tiba-tiba bos nak datang pagi ni. Kalau bukan sebab saya, dia tak jatuh sakit. Nak kira, sayalah punca semua ni. Jadi, saya minta maaf sebabkan semua ni.”

Suara Encik Azmi rendah mencari kemaafan kerana terpaksa memungkiri janji dengan pekerjanya untuk menjaga kebajikan mereka semua.

Dia lupa, dia tiada kuasa itu. Selain terima, tiada apa lagi yang mampu dilakukan. Jenuh dia memujuk, tapi Haq benar-benar seperti yang digembar-gemburkan. Itu semua bukan sekadar khabar angin, tapi satu kenyataan yang perit untuk diterima.

“Encik Mi, tak salah. Saya yang salah,” akui Naihara. Dia begitu terbeban melihat riak wajah Encik Azmi yang begitu baik padanya. Malah pada Cik Azlin juga.

Tadi, semasa dia mahu naik ke atas, dia sempat melihat mesin telah berhenti mencetak. Empat orang yang menjaga mesin tersebut diam tak berkata apa. Hanya melemparkan pandangan sedih padanya.

Bila melihat wajah-wajah kecewa di depannya, dia tahu dia perlu lakukan sesuatu biarpun memaksa dia melutut. Setidak-tidaknya, hanya dia terkorban kerana sejak dulu, dia dah biasa menjadi korban. Sekali lagi, kata-kata tentangnya menjadi nyata. Untuk ke sekian kali, dia terus menjadi punca kedukaan pada banyak hati.

“Saya betul-betul minta maaf.” Dia jatuhkan kepalanya sebagai tanda minta maaf.

Tingkahnya telah menjadi satu tabiat bila sering kali tunduk bagi melindungi diri dan menyembunyikan riak wajah. Tangannya menggigil. Dia hampir menangis namun semangat dikumpulkan kembali.

“Bagi saya peluang untuk jumpa dengan bos dan terangkan semua,” pintanya.

Dia angkat wajah dan memandang pada Encik Azmi yang tersenyum tawar. Lelaki itu menggeleng perlahan, memberi makna tiada apa lagi yang mampu dilakukan tapi dia masih mahu mencuba. Setidak-tidaknya, kali ini dia mahu berusaha menyelamatkan rakan yang lain biarpun tidak mampu menyelamatkan dirinya.

Tiada siapa yang layak terima kesan atas musibah yang dibawa olehnya. Jika dia masih tak mampu selamatkan dirinya, kali ini dia akan cuba menyelamatkan orang lain. Tiada salahnya jika dia terus mengorbankan diri yang sudah sedia lama terkorban.

Tiada beza.


...bersambung

1 comment: