Sunday, April 04, 2021

Noktah 19

JIKA inilah lelaki yang akan menjadi majikan, rasanya tiada kesal yang bergayut di hati biarpun dia perlu pergi atas kesilapan yang cukup kecil. Jika ini aturan takdir dalam perjalanannya, dia tidak akan menidakkan. Sejak dulu dan sekarang. Akan datang juga pasti tiada beza.

Dia tidak lagi mahu bertemu dengan lelaki ini setelah malam tadi. Maka, meninggalkan tempat ini adalah sesuatu yang tepat untuknya. Bekerja di bawah rasa benci banyak hati, bukan sesuatu yang mudah sebelum ini. Apatah lagi bila pemilik tempat ini juga begitu membencinya. Segalanya akan jadi terlalu payah.

“Saya faham, tuan. Saya keluar dulu.”

“Cik Naihara tak jawab lagi soalan saya tadi.”

Langkah Naihara terhenti. Bila dia menoleh, lelaki itu sudah berdiri dekat dengannya. Dadanya berdetak kencang.

“Maaf, tuan. Soalan yang mana?” Dia terus cuba untuk bertenang.

“Kata sakit? Kaki?”

“Ya, tuan. Sikit aje.”

Haq tunduk. Menyelak rambut Naihara dan mendekatkan bibirnya ke telinga Naihara. Dia sedut bau yang begitu mengasyikkan.

“Atau sebab kuat sangat bersenam dengan Badli?”

“Hah?” Naihara terkejut.

“Bersenam atas katil? Atau dalam kereta?” bisik Haq lagi.

Mata Naihara mula berkaca. Jika malam tadi Badli menuduh dia melakukan perkara jijik itu dengan lelaki ini, hari ini pula berlaku sebaliknya. Tapi, seperti juga semalam. Dia tak akan mampu menafikan. Penafiannya adalah sia-sia. Lagipun, dia mahu berlalu dengan segera.

“Terima kasih, tuan,” ucap Naihara.

Dia menoleh untuk pergi tapi Haq menarik tangannya. Menahan dia daripada terus bergerak. Haq berdiri rapat di belakangnya. Memegang kedua-dua belah bahu dengan kejap dan kemas. Dia dapat rasa lelaki itu tunduk menghirup bau daripada rambutnya.

“Nampaknya, kau adalah satu ketagihan,” ujar Haq.

“Aku bagi kau peluang untuk kerja dekat sini dengan syarat kau jual diri kau pada aku.”

Kali ini, mata Naihara yang membulat mulai basah. Permintaan lelaki ini lebih gila daripada Badli.

“Maaf, tuan. Kalau diri saya bernilai, dah lama saya lelong. Tapi, saya tak ada nilai dan kebaikan. Terima kasih atas tawaran tuan.”

Naihara tolak tangan Haq daripada terus memegang bahunya dan melangkah laju hingga melepasi pintu.

Dadanya berdebar hinggakan dia sendiri dapat dengar degupan itu. Dia berdiri kaku di situ buat seketika. Mengatur nafas dan membendung rasa terhina yang membakar diri. Bertahan agar dia tidak menangis di situ.

Azlin mendekati. Dia pandang wajah yang penuh harapan itu dan mengoyak senyum.

“Macam mana?” soalnya tak sabar.

“Bos tak akan tutup kilang dan syarikat ni. Semua akan beroperasi seperti biasa,” jawab Naihara melepaskan nafas pendek.

Bisikan syukur mula kedengaran tapi dahi Azlin berkerut melihat Naihara menarik kotak kecil dari bawah meja dan mengisi beberapa barang peribadinya.

“Kenapa awak kemas barang?”

“Oh, lupa nak cakap. Saya letak jawatan.” Tangannya membuka setiap laci.

Rasanya tak banyak barang peribadi miliknya. Hanya sebuah buku nota, dua batang pen, dua pasu pokok. Dia melilau lagi dan rasanya itu saja. Lain-lain semua milik pejabat.

“Eh, saya tak percaya awak letak jawatan. Jangan-jangan awak suruh bos pecat awak dan selamatkan kami semua tak?” Suara Azlin mula keras. Menarik perhatian banyak mata yang tadinya nampak ceria dan kini mula berubah mendung.

Tak kurang juga yang tersenyum sinis.

Azlin sempat menjeling tajam pada orang kanan bos yang nampak tenang duduk menghadap laptop tanpa menghiraukan apa-apa. Dasar tak guna!  Mahu direnung Haq dengan pandangan begitu, aura lelaki itu cukup gelap. Menakutkan. Kerana itu, dia menjeling lelaki yang dia kenal dengan nama Huzir itu. Nak-nak sewaktu lelaki itu mengarahkan mereka semua keluar dari bangunan ini.

Gila! 

Tapi, pandangan Azlin pantas beralih bila akhirnya Jay menoleh. Dia kembali fokus pada Naihara dan Encik Azmi di depannya.

“Betul ke macam tu, Naihara?” Encik Azmi memandang resah.

Naihara senyum tipis dan menggeleng. Menolak andaian yang sebenarnya tepat.

“Jangan risaulah Encik Mi, Cik Lin. Tadi, bos tanya saya betul-betul sebab dia nak bagi saya peluang lagi. Dia cakap dia faham saya kurang sihat.”

Naihara menoleh pada Azlin.

“Cik Lin ingat tak semalam saya cakap saya ada hal. Saya sebenarnya pergi ke tempat kerja baru,” cerita Naihara tapi sukar untuk Azlin dan Encik Azmi percaya.

“Oh, punyalah hitam hati. Dapat kerja tempat baru, sampai sanggup buat syarikat ni hampir tutup dan yang lain hilang kerja,” ujar Suraya dengan nada yang sinis.

Naihara senyum dan tunduk lagi.

“Maaf. Tentang tu saya betul-betul tak sengaja. Saya fikir nak bagi surat letak jawatan esok. Tak sangka jadi semua ni.”

“Hurm… tak kisahlah. Ikut sukalah nak pergi mana. Silakan tinggalkan tempat ni dan bawa segala bala tu bersama.” Sharul mencelah dan duduk melepaskan nafas lega.

Tidak dapat berkata apa, Naihara senyum tipis. Dia dah siap mengemas barang peribadinya.

“Terima kasih percaya pada saya selama ni, Encik Mi,” ucap Naihara. Dia angkat kotak dan dibawa rapat ke tubuhnya. Digenggam sedikit kemas, menutup kewalahan hati.

“Terima kasih sudi jadi kawan saya, Cik Lin.” Dia beralih pula pada Azlin.

Mata Azlin berair. Wajah Encik Azmi suram. Dia kerling beberapa orang staf lain yang sentiasa tidak senang dengan kemunculan Naihara di sini hanya kerana Naihara mampu melakukan yang lebih baik.

Ikutkan hati jahatnya, mahu saja dia racuni fikiran Haq untuk memecat pekerja ini semua kerana sejak Naihara masuk ke sini, masing-masing menjalankan kerja sekadar melepaskan batok di tangga. Cukup Naihara seorang rasanya. Serba-serbi ditonyoh pada Naihara.

“Naiharaaaa…” Azlin mengeluh panjang. Memegang lengannya.

“Cik Lin, jangan macam ni. Saya dah terima kerja baru saya. Saya tahu, semuanya akan baik-baik aje. Tak hari ni, esok. Atau mungkin satu hari yang saya sendiri tak tahu bila,” ujar Naihara penuh makna.

Sejak sekian lama, sebaris ayat itulah yang dijadikan pujukan. Semuanya akan baik-baik aje. Tapi kini,  biarpun telah lima belas tahun berlalu, dia masih menanti dan berharap ‘yang baik-baik’ itu akan muncul.

Namun hari ni, sekali lagi yang baik-baik itu begitu jauh daripadanya. Bagai langit dan bumi. Bagai panggang menjauhi api. Saat ini, dia kembali tertanya. Akan adakah ‘yang baik-baik’ itu untuknya satu hari nanti?

Dia tak tahu.

“Saya pergi dulu…”

Birai matanya mula terasa suam dan dia perlu segera berlalu sebelum titisan air mata itu jatuh ke pipi.

Tiada ucapan jumpa lagi kerana dia harap, tiada lagi pertemuan antara mereka. Sekali lagi. Dia sekali lagi perlu bermula semula. Melalui hari demi hari yang buatkan keyakinannya terhadap perkara itu semakin tebal.

Dia… tak layak untuk bahagia.


...bersambung

1 comment:

  1. Baiknya hati naihara, masih nk cover org.. Thx RM 💐🌹

    ReplyDelete