Sunday, April 04, 2021

Noktah 20

MATANYA merenung tanpa berkelip riak wajah tenang Naihara. Bagaikan tiada apa-apa yang terjadi. Dia nampak jelas Naihara sedang mengemas barang peribadi. Telinganya juga mendengar setiap patah kata yang diucapkan. Satu pembohongan untuk membuatkan banyak hati lega.

Siapa yang akan hargai segala pengorbanan itu? Tiada. Tiada siapa yang akan hargai. Setiap pengorbanan Naihara sekadar beralaskan kebodohan gadis itu sendiri.

Satu hari… tiada siapa yang akan hancur melainkan diri sendiri.

Cumanya, senyuman manis itu membuatkan dia terkaku seketika. Tertanya sendiri, apakah yang Naihara rasa saat ini hingga masih boleh mengoyak senyuman yang demikian?

Atau benar gadis itu dibela oleh Badli? Jika benar, kenapa Naihara melarikan diri malam tadi? Apatah lagi melihatkan pakaiannya. Pandangannya mampu mengelaskan setiap pakaian dan kualiti pakaian tersebut. Naihara tidak dibalut dengan pakaian daripada jenama mewah.

Dari hujung rambut ke hujung kaki, semua yang menutup tubuh Naihara adalah sangat biasa. Yang menampakkan gadis itu indah adalah diri sendiri.

Tapi, tidakkah di dunia ini semua orang sekadar berdrama demi menutup keburukan diri yang nyata? Antara kepalsuan dan keaslian, sudah pasti terpisah oleh satu garisan yang sangat halus. Dan, di manakah Naihara? Di bawah garis kepalsuan atau di atas paksi ketulenan?

Haq lepaskan bidai.

“Suruh semua orang tunggu dalam bilik mesyuarat sekarang, Jay. Aku datang dalam lima minit lagi.”

“Ya, bos.” Jay terus saja menapak keluar.

Tak lama, Haq pula melangkah menuju ke bilik mesyuarat. Saat dia melintasi ruang itu, dia perasan Naihara pantas tunduk dan melindungi diri di balik dinding partition itu. Tapi, dia hanya buat tidak peduli. Itu pilihan Naihara sendiri. Apatah lagi memikirkan tingkahnya.

Dia tak ubah bagai singa yang kelaparan. Dia hampir membaham Naihara tanpa belas. Entah apa yang terjadi padanya. Jika sebelum ini, tiada mana-mana perempuan mampu gugat keteguhan pendiriannya, kenapa dengan mudah dia tertarik pada Naihara?

Jika bukan kerana kata-kata Naihara, dia pasti sudah mengotorkan dirinya dengan seorang gadis yang begitu jijik.

 

 

TIADA sepasang mata pun yang berani menentang pandangannya. Dia juga dapat rasa akan keresahan masing-masing. Haq langsung tidak kisah. Jauh sekali untuk menafikan khabar angin yang telah bertiup laju tentang kedinginan sikapnya.

Haq masih berdiri di tepi tingkap. Merenung ke bawah. Melihat pada jalan raya yang mula sibuk. Dari situ, dia dapat lihat perhentian bas di mana Naihara bertemu dengan Badli semalam.

Sejak tadi, dia hanya mampu mendengar tapi tidak dapat dicerna dengan baik akan apa yang diterangkan oleh Encik Azmi.

“Saya dapat tahu The Liberty Group setuju dengan design baru untuk semua iklan syarikatnya sepanjang tahun ni?” Haq menyoal tanpa memandang.

“Ya, tuan. Betul tu. Cik Naihara baru saja…”

Haq menoleh. Encik Azmi diam. Dia kunci mulutnya setika bila tersebut nama Naihara.

“Maaf, tuan. Ya, saya baru terima e-mel tu kejap tadi. Minggu depan pihak The Liberty akan tetapkan masa untuk perbincangan lanjut tentang kontrak dan lain-lain hal,” jawab Encik Azmi.

“Boleh saya tengok design tu?” soal Haq. Bertenggek di birai dinding yang mempunyai sedikit ruang.

Sebaik saja slide itu ditayangkan, dia hanya memerhati dengan penuh minat. Biarpun padanya reka bentuk ini masih belum sampai ke tahap terbaik, tapi ideanya nampak segar.

“Berapa nilai kontrak ni?”

“Jika tiada apa-apa perubahan, nilainya dalam lima ratus ke enam ratus ribu, untuk setahun ini, tuan. Itu semua termasuk kos pemasangan papan iklan di mana-mana lebuh raya atau tempat-tempat yang dibenarkan. Itu pun kita yang buat permohonan.”

Haq jongket kening. Menarik. Pada saat telur itu berada di hujung tanduk dan terjatuh, rupanya disambut oleh bekas yang lembut. Telur itu selamat.

“Ini idea dan design milik siapa?”

“Err…” Berat hati Encik Azmi nak menjawab soalan tu kerana dia tahu, nama Naihara bagai satu sumpahan di dalam pejabat ini dan pada pendengaran Haq terutamanya.

“Cik Naihara, tuan.”

Haq sungging kan senyuman. Seperti yang telah dijangka. Dia angkat tubuh dan menapak ke kerusinya. Berdiri teguh di situ. Membayangi slide yang dipancar melalui projector.

“Cik Naihara ni, dia bertanggungjawab pada design dan juga bantu dalam menyediakan laporan akaun syarikat ni? Betul?”

Semua diam. Encik Azmi juga menyepi.

Haq rasa nak ketawa. Jika projek yang sebesar ini adalah hasil usaha Naihara, kenapa tak dia pecat aje semua orang? Hanya kekalkan Naihara saja di sini bersama Encik Azmi. Dia renung setiap wajah yang memandangnya. Dari sepasang mata ke sepasang mata yang lain.

Wajah-wajah yang sinis pada Naihara. Lidah yang lantang mengherdik. Sedangkan diri sendiri tak berikan apa-apa sumbangan. Tapi…

Haq pejamkan mata. Menarik nafas pendek dan dilepas pantas. Ini adalah keputusan gadis itu sendiri. dia juga tidak kisah jika benar syarikat ini sekadar menjadi liabiliti. Dia hanya mahu miliki semua syarikat dan bangunan ini. Itu saja. Pendapatannya lebih daripada mampu untuk mengekalkan syarikat kecil ini.

“Saya nampak design ni masih boleh ditambah baik. Bagi soft copy pada Jay nanti. Saya akan check dulu. Apa-apa, saya akan panggil Encik Azmi jumpa saya,” ujar Haq.

“Satu lagi. Saya tak kisah tentang apa saja yang tuan-tuan dengar tentang saya. Tuan-tuan boleh percaya pada khabar angin tu sebab saya tak akan nafi. Tapi, syarat kerja dengan saya mudah. Awak berbakat, awak masuk. Kalau tak, awak boleh keluar. Saya tak kisah macam mana pun, saya hanya nak tengok hasilnya. Walaupun saya tak akan ada di sini, saya ada seribu satu cara untuk pantau keadaan di sini. Saya tahu semua orang perlu hidup. Jangan buat saya menyesal dengan keputusan sendiri kerana tak tutup syarikat ni. Itu saja,” jelas Haq terang dan nyata. Dia terus berlalu keluar.

“Jay, suruh staf nama Azlin masuk,” arah Haq sebaik saja dia duduk di kerusinya.

Tak lama, Jay muncul bersama Azlin di belakangnya.

“Azlin, kan?”

Azlin nampak takut. Tidak menjawab tapi mengangguk.

“Duduk,” arah Haq.

Azlin akur.

“Saya tak nak banyak alasan. Saya cuma nak tanya, kenapa dengan maklumat peribadi staf kat sini?”

“Err… maaf, tuan. Tapi, staf yang mana, ya?” Azlin kerling Jay dan Haq silih berganti. Apa masalah dengan maklumat staf? Dia dah bagi semuanya.

“Memang setakat itu aje ke awak minta diorang isi maklumat peribadi? Kalau jadi apa-apa macam mana?” Haq tolak fail itu pada Azlin.

Sebaik saja melihat maklumat yang dimaksudkan, fahamlah dia dengan apa yang Haq maksudkan. Tapi, dia juga tak tahu. Dia hanya mengikut arahan Encik Azmi.

“Maaf, tuan. Tapi, saya hanya ikut arahan Encik Azmi.” Wajah Azlin pucat.

“Panggil Encik Azmi,” arah Haq pada Jay dan seperti biasa, Jay melangkah keluar kemas. Sempat dia mengerling pada wajah pembantu Encik Azmi. Pucat tak berdarah.

“Ya, tuan? Apa boleh saya bantu?” Encik Azmi duduk bila Haq memberi isyarat.

“Apa yang awak tahu tentang Naihara? Atau lebih tepat, apa yang awak nak sembunyikan daripada semua orang dekat sini?” tanya Haq datar.

Encik Azmi telan liur. Dia dah dapat agak perkara ini akan dibangkit. Mujurlah bukan dalam mesyuarat tadi.

“Jujurnya, tuan. Saya sendiri pun tak tahu banyak tentang dia. Yang saya tahu, dia memang layak dapat kerja di tempat yang lebih baik. Memang sebelum tu dia ada terima beberapa tawaran lain.”

“Habis tu, kenapa mesti nak kerja dekat sini? Dengan gaji dia dapat ni, tak berbaloi dengan kelulusan dan bakat yang dia ada. Setuju?”

“Betul, tuan. Saya tanya soalan yang sama juga. Dia jawab dia nak cari pengalaman dan nak waktu kerja dan lokasi yang sesuai dengan keadaan dia. Lagipun, dia baru habis belajar jadi dia tak kisah untuk mula dari bawah,” cerita Encik Azmi cuba menyembunyikan sesuatu yang diamanahkan oleh Naihara sejak awal.

“Naihara Abdullah. Lulusan Art and Design UiTM, kelas pertama. Usia dua puluh lima tahun. Mempunyai kemahiran tahap tiga penyediaan akaun. Tinggal menyewa, tiada sebarang waris.” Haq membaca segala maklumat itu hanya dengan senafas.

“Sebatang kara?”

“Tidak, tuan.”

“Tapi?” cantas Haq kerana dia jelas akan perkataan yang bakal Encik Azmi ucapkan.

Suasana bilik sepi. Encik Azmi pandang Haq. Dia tahu, Haq boleh mencari apa saja maklumat tentang Naihara tapi lelaki ini pilih untuk bertanya. Dia pandang Azlin.

“Azlin, awak keluar dulu,” arah Haq. Mengerti.

“Okey. Dah boleh cakap?” sindir Haq bila Azlin telah hilang daripada pandangan.

“Ya, tuan. Tapi, saya dah janji untuk rahsiakan hal ni daripada semua orang.”

“Semua orang yang sedang tanya awak sekarang ni, adalah majikan awak dan pemilik syarikat ni!” tekan Haq keras. Sabarnya mula menipis.

Encik Azmi telan liur.

“Dia ada seorang abang. Tapi, abang dia tu…” Berat lidah Encik Azmi untuk berbicara.

“Abang dia berstatus orang kelainan upaya, tuan. Itu aje yang dia cerita pada saya. Jadi, dia tiada waris sebab hanya dia dan abang dia saja. Tak ada sesiapa. Dia bertanggungjawab pada diri sendiri dan abang dia tu. Sebab tu dia cakap, dia terpaksa tolak banyak tawaran lain sebab kekangan masa dan jarak. Dia tak boleh tinggal lama-lama abang dia. Mana-mana kerja yang memerlukan dia out-station, semua dia tolak,” cerita Encik Azmi, jujur.

Haq berhak tahu dan Naihara berhak diberi peluang untuk terus bekerja di sini. Hanya kerana itu, dia beranikan diri membuka cerita biarpun dia telah memungkiri janji.

“Selain tu, dia tak pernah cerita apa-apa. Dia lebih banyak buat kerja. Kurang bercakap. Tak keluar makan tengah hari. Kalau pergi pun, biasa dia akan bungkus dan makan di pantri seorang diri. Dia banyak bantu orang lain buat kerja.” Tambah Encik Azmi. Dia tunduk melarikan pandangan dingin lelaki ini yang hampir membuatkan nafasnya semput.

“Awak keluar dulu,” Haq berikan arahan.

Sebaik saja Encik Azmi berlalu, Haq rapati tingkap dan dibuka luas. Rokok itu dirapatkan ke bibir tapi tidak sempat dinyalakan, tingkahnya mati bila matanya tertangkap akan susuk tubuh Naihara mendekati perhentian bas.

Dari situ juga, dia dapat lihat dengan jelas Naihara menyeret kakinya dengan menjinjit sebuah kotak, menghampiri perhentian bas.

Sejak awal, dia nampak langkah Naihara yang pincang. Tapi, gadis itu seperti tiada apa. Melangkah kemas meninggalkan dia tanpa menafikan sedikit pun akan tuduhan itu.

Ya, dia sedar itu semua tuduhan. Tapi, bila Naihara pilih untuk tidak menafikan, dia juga tidak akan menarik balik setiap kata-kata yang telah terlontar daripada mulutnya.


...bersambung

3 comments:

  1. Dah Xpnah diberi peluang utk bela diri.. sian naihara.. Thx RM 💐🌹

    ReplyDelete
  2. Lama dah blog ni sunyi sepi & bila nak sambung cerita naihara & haq ni? 😌

    ReplyDelete