Sunday, April 04, 2021

Noktah 15

DIA hanya berusia lima belas tahun waktu itu. Dia benar-benar tidak berdaya. Saat mendengar mama menjadikan dia yatim-piatu dalam sekelip mata, Naihara pujuk hati. Mama punya alasan tersendiri. Namun, kemunculan Risya telah mengucar-ngacirkan fikirannya saat itu. Mama senyum mendekatinya.

“Terima kasih datang jumpa mak cik, Naihara. Mak cik harap Naihara dapat hidup baik-baik, ya?” Pipi Naihara diusap mesra.

Saat ini, Naihara angguk. Air matanya jatuh. Bagai terharu dengan harapan yang mama hulurkan. Setelah membuang dirinya begitu saja, mama memujuk dengan ayat yang cukup kejam. Panggilan mak cik itu bagai tak dapat dia terima. Setelah itu, mama berlalu melayani tetamu. Meninggalkan dia dan Batrisya.

Naihara tunduk mengelap pipi setelah kelibat mama hilang daripada pandangan mata.

“Kenapa aku tak tahu pun kau anak yatim? Patutlah aku dengar kau selalu tak balik. Duduk aje asrama,” tegur Batrisya.

“Hurm.” sahut Naihara menahan sebak.

“Kiranya kau datang ni sebab tahu mak cik kau kahwin dengan orang kaya ke macam mana? Nak menumpang senang? Lagipun, kenapa kau tak pernah cakap dia mak cik kau?” tuduh Batrisya.

“Jangan tuduh aku macam tu, Risya. Aku sendiri tak tahu ma…”

Naihara telan liur. Hampir saja dia menyebut mama.

“Aku pun baru tahu dia kahwin dengan abah kau. Itu pun abah kau yang jemput aku dua hari lepas. Sebab tu aku datang. Aku tak pernah terniat nak tumpang kesenangan keluarga kau. Lagipun, aku datang sebab aku teringat budi abah kau yang dah bagi bantuan persekolahan pada aku. Itu aje,” jawab Naihara tegas.

“Oh, kiranya betullah. Kau menumpang kekayaan aku hanya sebab mak cik kau kahwin dengan abah aku?”

“Tak adil kau tuduh aku macam tu. Sedangkan aku tak pernah terniat nak tumpang ma…”

Sekali lagi dia hampir memanggil mama.

“...mak cik aku. Aku cuma nak raikan hari bahagia dia. Cukup aku tahu dia hidup dengan baik. Aku yakin dia mesti layan kau dengan baik, kan?”

“Mestilah. Dia layan aku macam anak kandung dia. Tak ada yang kurang. Sejak dulu. Dia cakap dia tak pernah ada anak dan tak akan ada anak. Dia hanya anggap aku dan Badli macam anak sendiri. Dia tak perlukan anak lain,” jawab Batrisya bongkak.

Hati Naihara karam. Kata-kata Risya begitu sukar untuk dia cerna tapi dengan apa yang terjadi, dia perlu percaya. Risya tidak mengadakan cerita. Semua ini adalah kenyataan yang perit untuk dia terima.

Layanan mama pada Risya tak perlu dibuktikan dengan kata-kata kerana setiap tindak-tanduk mama begitu jelas berbicara. Layanan yang tak pernah dia terima. Paling tidak, dalam masa dia telah mampu mengingat.

“Jangan ingat dia mak cik kau, kau boleh nak menumpang harta aku!”

Kali ini, Naihara senyum tipis.

“Pembetulan, Risya. Bukan harta kau. Tapi, abah kau. Kau hanya bertuah sebab lahir atas dulang emas. Kau tak pernah dapatkan satu sen pun dengan usaha kau sendiri. Jadi, kau tak boleh tuduh aku macam tu.” Hatinya terasa membara dengan tuduhan Batrisya.

Bukan sekali Risya mengherdiknya. Kali ini dia benar-benar tidak mampu menahan. Jika sebelum ini dia hanya mampu telan tapi tidak hari ini. Dia mahu Batrisya tahu, dia juga ada harga diri. Dia punya rasa. Dia ada hati yang sering menangis kerana kata-kata yang dilontarkan.

Apatah lagi setelah mama dengan kejam menyingkirkannya sebagai seorang anak. Tak reda lagi kesedihan itu, kini hadir pula Risya menoreh hati yang sudah tiada tempat untuk dilukai.

“Kalaulah aku tahu apa yang akan jadi malam ni, aku tak akan jejak kaki langsung ke sini, Risya,” tambah Naihara dengan cukup perlahan sambil menjatuhkan kepala. Menekur pandangan pada maruah dan air muka yang bagaikan ada di kaki Batrisya.

Dahi Risya berkerut dengan jawapan Naihara. Selama ini di sekolah, Naihara lebih banyak diam. Tidak berkawan dan sentiasa menyendiri. Banyak waktu dihabiskan di perpustakaan jika ada masa lapang. Hanya keluar pada hari minggu dan itu pun entah ke mana tujuannya.

“Kalau dah itu kata kau, aku terima. Tapi, kenyataannya aku adalah salah seorang pewaris abah aku. Itu kau kena tahu.” Risya sengaja menyelak rambutnya hingga hinggap pada wajah Naihara.

“Oh, ya. Jangan lupa makan sebelum balik. Aku tahu, kau mesti belum makan. Atau perlu ke aku panggil orang gaji aku untuk bungkuskan untuk kau? Buat makan esok? Lusa?” Kening Batrisya terjongket sebelah. Mengejek.

Naihara telan liur. Seleranya dah lama patah riuk. Dia hanya perlu pergi saja dari situ.

“Terima kasih atas niat baik kau, Risya. Tapi, aku dah kenyang. Aku dah terima semuanya daripada mak cik. Aku balik dulu.” Begitu susah dia sebut perkataan mak cik. Jika dulu, mama janjikan panggilan itu hanya di depan orang tapi kini, mama melarang langsung.

Naihara mahu berlalu dan tak semena-mena, Batrisya jatuh ke dalam kolam dan saat dia mahu menarik Batrisya, dia juga turut sama terjatuh. Bila ada tangan menarik tangan Batrisya, dia pula sekadar dibiarkan tenggelam.

Rasa cemasnya muncul hingga dia tidak mampu berdiri melainkan dia hanya nampak kelibat manusia yang ada atas permukaan air melihat saja dia tenggelam ke dasar yang boleh jadi agak cetek. Rasa takutnya membuatkan dia lemas.

Saat itu, dia lebih rela nyawanya dicabut dari jasad. Penolakan mama tak mampu dia hadap biarpun bibir mengatakan rela kerana mama telah berkali-kali mengakui yang kewujudan dia begitu menyusahkan.


...bersambung

1 comment:

  1. Kecik2 dh berlagak risya tu..huh..😤 Thx RM 💐🌹

    ReplyDelete