Sunday, April 04, 2021

NOKTAH 12


MATANYA terbuntang luas dengan nafas yang tercungap-cungap. Naihara bangkit dari duduk. Tak sangka. Dia hanya duduk termangu dengan mata yang terbuka namun memori itu masih berjaya merusuh dalam hati dan mindanya. Dia bangkit dan memegang palang, menumpang kekuatan.

Sungguh… segalanya bagai nyata. Air matanya menitis perlahan saat dia cuba membendung helaan nafas dalam ruangan dada yang dirasakan cukup sempit dan sendat. Sakitnya sudah lama tiada tapi parutnya masih begitu nyata.

Naihara labuhkan duduk semula. Meraup wajah dan menutup mata seketika. Saat itu, mata kuyu dan rambut panjang itu muncul. Dia masih dapat dengar dengan jelas nafas lelah setelah mengheretnya ke daratan. Dia masih dapat rasa hangatnya telapak tangan kasar itu menyentuh pipinya dan juga titisan air dari rambut panjang yang basah itu. Dia masih ingat dengan jelas bagaimana lelaki itu mendukung tubuh lemahnya dan membawa dia pergi. Dengan bisikan yang kini sudah semakin sayup meninggalkan memorinya.

Naihara tunduk lama hinggakan ada kaki yang berdiri di depannya saat ini. Dia telah agak kemunculan lelaki ini biarpun dia tidak menanti. Semuanya adalah di luar kawalan.

“Lelaki gila tu campak kau tepi jalan ke?” sindir Badli.

“Kenapa kau ada kat sini? Aku terkejut juga bila Auntie share lokasi kau.” Dia duduk di sisi Naihara.

“Takkanlah lepas dia dah kerjakan kau, dia biar aje kau kat tepi jalan macam anjing kurap?” Tuduhan Badli semakin pedas.

Tapi, Naihara masih tidak membuka mulut.

“Tapi, untuk kau tahu, aku memang tak kisah nak ambil sisa dia asalkan sisa tu macam kau ni. Aku akan baik pulih untuk aku guna,” sambung Badli dengan nada bisikan.

Mulut Naihara kian terkatup rapat. Dia terus membiarkan Badli membuat andaian sendiri kerana dia tahu, apa saja tak akan mampu menidakkan setiap tanggapan orang padanya.

Segala penghinaan telah dia terima sejak dulu. Kali ini juga sama. Dia terima dengan lapang dada. Asalkan, tiada lagi masalah muncul antara mereka. Dia benar-benar mahu bersendirian dan pergi jauh daripada semua ini.

Dia ada di sini hanya kerana ugutan mama. Bagaimana dia sanggup berpisah dengan Naqim. Tak akan!  Dia telah berikrar untuk menjaga Naqim hingga salah seorang daripada mereka menghembuskan nafas terakhir.

“Haish, diam? Takkanlah dia kerjakan kau sampai putus lidah pula.” Badli terus mengherdik dan itu langsung tak berbekas di hati Naihara.

Naihara bangkit tiba-tiba. Berdiri menghadap Badli yang masih duduk.

“Saya minta maaf tuan, sebab Datuk Budi dah salah faham. Tuan boleh bagi tahu Datuk Budi yang salah faham antara kita dah selesai. Saya bersalah. Maafkan saya sekali lagi sebab dah buat tuan datang ke sini. Saya harap semuanya berakhir dekat sini aje,” ujar Naihara lembut dan perlahan.

Dia mahu berlalu bila Badli menyentap lengannya kasar. Dahi Naihara berkerut lebat. Dia renung wajah Badli dengan pandangan tak percaya. Apa lagi yang lelaki ini mahukan? Tidakkah sejak dulu, Badli mahu dia merayu sebuah kemaafan biarpun tanpa apa-apa kesalahan? Badli suka menang dan dia sentiasa berikan kelebihan itu pada lelaki ini kerana dia sedar siapa dirinya.

Jika dulu dia bergantung harap pada ayah lelaki ini, tapi segalanya telah lepas lebih sepuluh tahun lalu. Dia dipanggil kembali ke rumah itu hanyalah untuk dijatuhkan hukuman. Bukan untuk diadili. Sejak dia lihat wajah kecewa Uncle Budi, dia berlalu tanpa menoleh dan tekad tak akan hidup tanpa dapat dikesan.

Malam ini, benar-benar adalah kesilapan sendiri kerana dia masih berharap semuanya masih mampu dibetulkan. Siapa sangka, segalanya menjadi lebih teruk.

“Maaf, tuan. Harap tuan dapat lepaskan tangan saya. Tugas saya untuk minta maaf pada tuan dan saya dah minta maaf.”

“Kenapa kau minta maaf?” soal Badli dengan memamah rahang.

“Saya tak tahu apa salah saya tapi saya akan terus minta maaf,” balas Naihara tanpa ada niat untuk menyindir tapi jika dengan cara ini Badli melepaskannya, dia rela tunduk malah mungkin melutut.

“Atau tuan nak saya melutut seperti mana pernah tuan suruh dulu?” Kali ini ya, nadanya kedengaran sedikit sinis.

“Kau!” Badli kehilangan kata.

Badli nampak sinar kebencian dalam mata Naihara saat ini. Malah, dia tertangkap akan senyum sinis halus yang Naihara sungging kan. Cengkaman tangannya kian kejap. Apatah lagi bila teringat akan kata-kata Haq padanya. Sementelah melihat Naihara berada di tepi jalan dengan rambut yang sedikit kusut.

Kesan air itu masih jelas biarpun sudah sedikit pudar. Wajah Naihara sudah kembali seperti sedia kala. Tiada lagi alat solek yang mengotori wajah yang sedia indah terletak.

“Betul ke dia campak kau tepi jalan lepas dia dah puas kerjakan kau?” Kening Badli terjongket tinggi. Nadanya berbaur marah.

Soalan itu bukan sekadar penghinaan tapi dia benar-benar mahukan jawapan. Hatinya membara menanti jawapan.

Naihara tunduk dan senyum sendiri. Kemudian, dia pandang mata Badli. Dia benar-benar penat. Dia perlukan rehat. Dia kelaparan. Saat ini, dia hanya perlukan tidur.

“Ya.” Perlahan dan tenang, Naihara akui tuduhan Badli.

Sedangkan dia sendiri tak tahu siapakah lelaki yang meminta dia untuk terus sedar diri. Dunia mereka dan dunianya cukup berbeza. Lelaki itu memintanya kembali ke tempat asal walaupun itu adalah loji kumbahan yang busuk.

Dia sedar. Kerana itu, dia mahu kembali ke dunianya. Busuk dan menjijikkan tapi ada anak syurga yang sedang menanti. Yang menjadikan tempat busuk dan jijik itu wangi dan suci.

“Berapa dia bayar?”

Naihara telan liur. Badli semakin melampaui batas.

“Kalau percuma sekalipun, tak ada kaitan dengan tuan!” Nafas Naihara mula berubah kasar. Nadanya mula keras.

“Eh kau ni kan, dasar tak ada harga. Kau tahu tak, pelacur tepi jalan pun letak harga. Kau pula percuma!”

“Dan apa masalahnya dengan kau kalau aku bagi diri aku pada dia secara percuma?” jerit Naihara. Dia rentap tangannya daripada terus berada dalam genggaman Badli.

“Sebab kau berhutang pada aku dan keluarga aku!” balas Badli tak kalah. Jujurnya, dia terkejut dengan kata-kata Naihara tapi hatinya tersenyum.

Segalanya cukup mengujakan bila Naihara kembali cuba melawannya seperti satu waktu dulu. Semangat gadis ini sukar dipatahkan sejak dulu. Hinggalah kejadian dengan Risya dulu, Naihara bagaikan hidup tapi tidak mempunyai jiwa.

“Bukan saja hutang duit yang abah aku bagi untuk kau belajar tapi hutang nyawa. Kau hampir ragut nyawa Risya dulu. Kau cuba lemaskan dia!  Kau cemburu dengan dia. Kau nak jadi anak abah aku. Kau nak hidup senang. Nak ganti tempat Batrisya. Kau ingat bila Batrisya mati, abah aku akan ambil kau jadi anak dia, kan?!”

Badli sengaja mengungkit kejadian itu kerana dia tahu, di situlah bermulanya titik kelemahan Naihara.

Selepas kejadian itu, Naihara tidak lagi kisah ditolak-tarik. Langsung tidak pertahankan diri. Hanya tunduk, meminta maaf biarpun bukan silap sendiri. Jika jatuh ditolak, Naihara bangkit lantas meminta maaf. Hingga Naihara hampir melutut di depannya satu waktu dulu.

Bibir Naihara terketar-ketar mendengarkan kata-kata Badli. Ya, peristiwa itu tak pernah dia lupa dan masih menjadi igauannya. Setiap waktu mimpi ngeri itu sentiasa menghambatnya. Jika dulu di dalam lena, kini pada saat dia terjaga. Malah, pada hari yang sama dia telah dibuang tanpa simpati sedikit pun.

“Aku tahu sampai hari ni semua orang salahkan aku dalam kes tu. Tapi kau sendiri tahukan yang aku tak reti berenang dan adik kau tu perenang sekolah. Macam mana aku boleh lemaskan dia kalau aku sendiri tak pandai berenang? Tapi, siapa yang nak dengar cerita aku masa tu? Siapa yang nak berdiri di sebelah aku?” soal Naihara dengan kerlingan pada Badli.

Tidak tajam. Sekadar jelingan yang penuh sindiran. Penuh penyesalan.  Penuh kekecewaan.

“Tak ada siapa yang bagi peluang untuk aku terangkan keadaan sebenar sebab kedudukan aku sangat hina pada mata semua orang. Dan kalau kau percaya yang aku nak bunuh adik kau, teruskan percaya, Badli. Urusan antara kita dah lama tamat lepas kejadian tu dan aku tak lagi terima bantuan abah kau sejak hari tu. Segala apa yang aku terima dulu, dia dah halalkan dan itu pun bukan urusan kau!” bentak Naihara. Air matanya menitis laju.

Bukan tanda dia bersedih tapi kerana dia sudah begitu muak berhadapan dengan lelaki ini dan tuduhan gilanya. Dia sudah tak berdaya untuk berhadapan dan menyerah pada lelaki seperti Badli.

“Kau boleh cakap apa saja. Kau boleh tuduh aku nak ambil tempat Batrisya. Nak jadi puteri dalam keluarga kau. Kau katalah apa saja. Kenyataan yang kau pernah nampak dan masih nampak, aku masih bersusah-payah macam dulu,” tambah Naihara dengan lebih bengis.

Dia letih. Dia penat ditolak ke sana sini.

“Kalau kata kau datang sini sebab abah kau paksa, jangan Badli. Kau tak pernah ada rasa bersalah tu pun sejak dulu. Jadi, jangan rasa bersalah sekarang. Segala kesalahan, biarlah aku yang terima. Cuma satu aku mohon…”

Naihara cuba jatuhkan lutut namun Badli pantas menahan.

Naihara mendongak. Biarpun dia tak sepenuhnya melutut, dia masih rendahkan tubuhnya berdepan dengan lelaki ini.

“Anggap ajelah aku tak pernah wujud dalam dunia ni, Badli. Jangan cari aku. Aku janji, aku tak akan muncul lagi depan semua orang seperti mana aku hilang sepuluh tahun lepas. Aku janji.” Kala ini, air mata Naihara laju menuruni juring mata.

Meminta dan merayu.

“Maafkan aku, Badli,” pinta Naihara sekali lagi.

“Naihara.” Lidah Badli kelu. Tak mampu untuk dia meneruskan kata, melihatkan cara Naihara merayu.

Jika dulu, Naihara tunduk dan hanya perkataan maaf yang terbit dari celah bibirnya, itu sudah cukup buat dia puas.

Hari ini, bila rayuan itu masih sama tapi setiap kata-katanya berbeza, kenapa dia masih merasa tidak cukup? Kenapa telinganya masih mahu mendengar suara lunak itu merayu? Kenapa dia masih mahu mata bundar yang basah itu terus merenung?

Kala itu, sebuah kereta berhenti tepat di depan perhentian bas tersebut. Melihatkan Badli yang diam tak berkata apa, Naihara terus berlalu masuk ke dalam perut kereta. Dia lega, sesungguhnya lega kerana Badli tidak lagi memaksanya.

Dia pejamkan mata membuang saki baki air matanya. Esok akan lebih baik, Naihara. Segalanya akan pulih seperti sedia kala. Kau kekal dalam dunia dan hidup kau tanpa mereka semua.


...bersambung


1 comment: