Sunday, April 04, 2021

Noktah 14

AKHIRNYA, Melihat Naqim yang pisatkan mata berkali-kali dan merengek kerana tak suka tidurnya diganggu, Naihara kembali senyum. Jam sudah menginjak ke angka sebelas malam.

“Kenapa ambil Qim lambat? Qim takut Nai tak balik dah. Qim takut Nai tinggalkan Qim lagi.” Suara Naqim kedengaran sayu.

Mata Naihara mula bergenang. Perkataan lagi yang Naqim ucapkan sedikit sebanyak membuatkan hatinya menangis sendiri.

“Nai banyak kerja. Nai kerja, cari duit untuk bawa Qim jalan-jalan nanti,” pujuknya.

Naqim angguk dan senyum. Memeluk Naihara erat. Jasad Naqim berubah seiring waktu tapi sikap dan pemikiran Naqim kekal di situ.

Naihara senyum pada Kak Nor.

“Maaf, kak. Lambat. Terima kasih,” ucapnya lembut.

“Sama-sama.” Kak Nor senyum lembut.

“Dia tak banyak karenah. Kak Nor larang, dia tak buat. Kak Nor suruh, dia buat. Tengok kain orang upah jahit tu…” Bibir Kak Nor menjuih pada sebakul kain.

“…Naqim yang kemaskan. Betul tak, Qim?” soal Kak Nor pada Naqim.

Wow! Qim dah pandai lipat kain? Lepas ni, Nai basuh, Qim boleh lipatkan.” Naihara teruja dengan berita yang baru saja menyapa telinganya.

Naqim sengih, garu kepala. Malu bila dipuji.

“Ibu bagi upah.” Dia seluk poket seluar tracknya dan menghulurkan not RM10 pada Naihara.

“Eh, jangan ambil. Kena tolong ikhlas.” Naihara melarang tapi Kak Nor menggeleng perlahan.

“Dia buat kerja. Kak Nor upahlah. Bukan dia aje. Anak bujang Kak Nor dua orang tu pun Kak Nor upah kemas dapur. Lagipun, Abang Mus dapat gaji dan adalah duit ekstra dia cakap. Tak apalah,” pujuk Kak Nor bila Naihara mula nampak terbeban.

“Kak Nor baik sangat dengan kami berdua. Saya harap satu hari nanti saya mampu balas segalanya. Buat masa ni, saya hanya mampu balas dengan doa.”

“Doa pun dah cukup sangat dah. Jangan risaulah pasal tu. Kak Nor suka Naihara. Suka Naqim. Anak-anak Kak Nor pun suka dia. Ni lambat sangat balik, banyak kerja ke?” Kak Nor laju menukar hala perbualan. Tak mahu Naihara terus rasa bersalah.

“Eh, yang baju tu kotor, kenapa?” Baru Kak Nor perasan baju putih Naihara kini berwarna merah. Dia mula risau.

“Tumpah air. Cuai.” Naihara sengih dan mengipas baju yang dah kering.

“Haih budak bertuah ni. Terkejut Kak Nor tadi. Ini dah makan ke belum?”

Kali ini, Naihara hanya geleng.

“Mari masuk. Kak Nor masak banyak hari ni. Budak-budak nak makan.”

“Tak apalah, kak. Saya rasa nak tidur aje ni.” Matanya mungkin dah merah waktu ini.

“Kalau gitu, kejap. Kak Nor bungkus. Esok pagi, panaskan. Makan dulu sebelum pergi kerja. Macam mana sibuk pun, kesihatan tu kenalah jaga. Awak ada tanggungjawab lain,” pesan Kak Nor, peka dengan keadaan Naihara.

“Yalah, kak.”

Tak sampai lima minit, Kak Nor kembali dengan dua bekas pakai buang.

“Tak basi ke esok ni, kak?” Risau pula dia. Rumahnya bukan ada peti ais pun.

“Tak basi. Kak Nor dah panas baru kejap tadi sebelum awak sampai.”

“Terima kasih,” ucap Naihara sebelum dia memimpin tangan Naqim dan melintas jalan, ke rumah sewa yang bertentangan dengan rumah teres Kak Nor.

Tiba saja di rumah, Naihara terus duduk. Mengurut buku lali yang menyengat setelah dia cuba tahan kerana tak mahu mewujudkan rasa bimbang Kak Nor. Dia terseliuh sewaktu berlari daripada Badli. Kulit di kawasan itu juga sudah mula merah.

Dahi Naihara berkerut bila dia menekan bahagian yang sakit. Harap esok tak teruk. Mahu dituam dengan ais, rumahnya tiada peti ais. Melainkan bertahan, tiada apa lagi yang mampu dia lakukan kala ini.

“Kaki Nai. Kenapa?”

Tak sedar, Naqim sudah duduk di depannya. Dengan dahi berkerut. Jika dulu, Naqim hanya tahu erti takut dan lapar, kini pandangan Naqim sudah berbalut dengan perasaan baru yang dia cam sebagai simpati.

Anak yang dikatakan bodoh dan tak berupa manusia ini punya rasa belas tapi tidak pula pada manusia yang katanya sempurna dan bijak.

“Nai jatuh tadi. Nak balik cepat. Takut Qim risau. Sikit aje. Tak apalah,” jawabnya perlahan.

Telapak tangan Naqim hinggap pada tempat yang sakit. Dingin. Biarpun Naqim sedikit tinggi berbanding dengannya, tapi susuk tubuh Naqim kurus. Kesan pemakanan yang tidak seimbang sejak dulu dan ini juga adalah salahnya.

Air matanya hampir jatuh tapi Naqim cepat-cepat mengesat birai mata dia.

“Nai sakit. Nai menangis.”

“Nai tak sakit. Nai nangis sebab rindu dekat Qim.” Dia paut tubuh itu dan didakap erat. Digigit bibir sekuat hati agar tangisnya terhenti setakat itu.

Sumpahan mama benar-benar memberi kesan. Katalah apa saja tentang dirinya, herdiklah, hinalah semahunya. Tapi, dia tak berdaya jika mama mengatakan dia punca kesengsaraan Naqim.

“Nai nangis. Qim sedih.” Sepatah demi sepatah Naqim bersuara.

“Tak, Qim. Nai tak nangis. Qim jangan sedih.” Pelukan dieratkan dan dia dapat rasa Naqim juga memeluknya seperti bimbang dia pergi lagi.

Dia pernah pergi satu waktu dulu kerana tuntutan dan kewajipannya mencari ilmu tapi dia tak pernah putus melawat Naqim. Cuma setelah dia berusia dua puluh tiga tahun dan mampu mengimbangi antara pengajian dan kerja sambilannya, dia berkeras untuk menjaga Naqim di rumah ini. Dia tahu, perpisahan selama dua belas tahun itu memberi kesan yang kuat pada Naqim.

“Nai jangan tinggalkan Qim lagi. Qim takut.”

“Tak, Qim. Nai hanya tinggalkan Qim bila Nai mati,” janji Naihara.

Dia tolak bahu Naqim. Senyuman koyak. Tipis tapi cukup manis. Memaknakan janji.

“Maaf Nai balik lambat hari ni. Lepas ni Nai balik awal, ya.” Suaranya lembut memujuk.

Naqim angguk. Mengesat pipi adiknya.

“Dah, jom tidur.” Naihara bangkit dan cuba berdiri tapi wajahnya menyeringai menahan buku lali yang berdenyut.

Naqim yang melihat wajah Naihara berkerut, menarik Naihara agar duduk. Dia bangkit mengambil toto dan dihampar pada tempat biasa yang menjadi tempat tidur Naihara.

“Nai, sini.” Dia tepuk bantal tersebut dan tanpa menanti, Naihara rebahkan tubuh. Mengiring menghadap Naqim.

“Nai jangan nangis. Qim sedih. Nai lepas ni tak payah kerja. Qim kerja. Qim dapat upah.” Dia letak duit RM10 tadi di atas telapak tangan Naihara.

“Qim jaga Nai.” Saat ini, tangan Naqim menepuk bahunya perlahan. Seperti mengulitnya agar lena.

Bagai memujuknya setelah apa yang dilaluinya hari ini. Air mata Naihara jatuh melalui batang hidung lantas menuruni juring mata. Dia renung Naqim yang masih tersenyum. Menepuk bahunya sebelum mengusap rambutnya.

“Qim jaga Nai, ya?” pujuk Naqim.

Naihara hanya angguk. Tidak mampu lagi berkata apa melainkan bertahan agar tangisnya tidak bertukar kasar dengan pujukan dan belaian Naqim pada rambutnya.

Itulah yang sepatutnya. Naqim yang sepatutnya menjaganya. Tapi, apakan daya. Aturan berkehendakkan lain. Dia genggam tangan Naqim. Andai mama tidak mahukannya, dia tak kisah. Dia akan pergi jauh ke hujung dunia agar bayangnya tidak terbias pada mata itu. Dia hanya harap mama terima dan berikan kehidupan terbaik buat Naqim. Kerana dia tak mampu berikan keselesaan pada insan istimewa seperti Naqim.

Dia masih ingat bagaimana Naqim menjerit memanggil mama, yang akhirnya hanya menghadiahkan tamparan.

Belaian itu masih terasa. Suara Naqim bernyanyi perlahan. Lirik dan lagu yang dia sendiri tak tahu apakah ia. Yang pasti, segalanya berjaya memujuk rawan hati. Entah bila, dia akhirnya dijemput lena setelah lelah kekejaman melawan dunia.


...bersambung

2 comments: