Monday, November 18, 2013

Cinta Yang Kucari 3

HATINYA dipagut risau melihatkan Fina yang sedang mengamuk sakan.  Puas mama memujuk tapi Fina tetap berkeras.  Dia menyumpah seranah.  Buat mama menggeleng tak puas hati. 
“Kalau kata Fina tak dapat kerja tu, cari aje kerja lain.  Kerja banyak dekat Malaysia ni, kan?”  Suara Puan Laila sudah lain macam nadanya.  Marah. 


“Mama tak faham.  Masa Fina interview tu, bos dia kerek gila.  Benci Fina.  Fina tak sempat cakap apa lagi dia dah cakap, Fina tak layak kerja dengan dia.  Ada ke patut macam tu.  Fina berkeras cakap Fina mampu tapi dia tetap menggeleng.  Muka dia tak payah nak ceritalah, ma.  Geram Fina ni, tahu tak?”  Fina terus meluahkan lahar marah. 
Telinga Luth menangkap kemas setiap ayat yang terbit daripada celah bibir kakaknya.  Dia tahu Fina marah. 
“Haa… yang Si Luth tu dapat ke?” 
Dahi Luth kerut.  Aku pulak?  Tapi, dia tetap bertenang dan terus membelek Biografi Rasullah S.A.W yang baru dibeli beberapa hari lepas sewaktu menemani mama keluar membeli barang dapur. 
Boleh tak rasa nak bangga dua saat dengan Fina sebab dia dapat kerja tu tapi Fina tak dapat.  Jangan pandang dia sebelah mata.  Bibir Luth ukir senyuman tipis.  Senyuman tanda syukur dengan rezeki Tuhan. 
“Alhamdulillah… Luth dapat.” 
“Hah?”  Suara Fina terkejut hebat. 
Bibir Luth senyum tipis.  Tawar dan kelat.  Dia tahu Fina nak cakap apa.  Mesti bos itu buta sebab ambil dia kerja.  Diri sendiri tu tak sedar, dah banyak kali tukar kerja.  Ada saja tak kena. 
“Macam mana dia boleh dapat, ma?” 
“Dah rezeki adik, Fina…”  Puan Laila pun tak faham sungguh dengan sikap anak dara dia ni. 
“Tak…,” bentak Fina.  “Mama nak cakap dia dapat kerja bagus sekalipun, Fina tak kisah.  Tapi, mama jangan cakap dia adik Fina.  Fina tak suka!”  Lantas, Fina berlari memanjat tangga naik ke bilik.  Geram sungguh dia.  Sampai mati pun, dia tak nak mengadu Luth adik dia. 
Dulu, semua orang nampak Luth aje.  Luth pandai.  Luth cantik.  Luth sopan santun.  Luth pandai hormat orang tua.  Luth khatam Quran masa umur enam tahun lagi.  Luth itu, Luth ini.  Semua yang baik milik Luth dan yang jahat tu semua tala ke dia. 
“Budak ni… apalah yang tak kena?  Dah kata tak ada rezeki dekat situ, toksahlah nak mengamuk sakan dekat rumah…”  Puan Laila menggeleng.  Luth tu tak salah apa.  Nak buat macam mana kalau kata Allah kurniakan Luth tu lebih segalanya. 
Dalam tak sedar, Luth dah berdiri di belakangnya. 
“Biarlah dia, ma…” 
Puan Laila berpaling.  Wajahnya sedikit cuak.  Biarpun dia dah dapat agak Luth akan dengar tapi bila nyata Luth dengar, hati ibu mana tak tersiat.  Diluah mati mak, ditelan mati bapak.  Serba serbi tak kena.  Dua-dua anak.  Dua-dua dia sayang tapi sebenarnya dia lebihkan Fina kerana jiwa Fina kuat memberontak.  Tak macam Luth. 
“Mama dah tak tahu nak buat apa dengan dia, Luth…”  Menggeleng penuh kesal.  Rasa kalah. 
Senyuman manis koyak pada bibir Luth.  Dia paut bahu Puan Laila kemas.  “Kan Luth dah bagitahu mama tadi, biar ajelah dia tu.  Nanti dia okeylah tu…” 
Okey?  Hati Luth menggeleng sendiri.  Dia pun tak tahu akan okey ke Fina nanti.  Sejak dulu.  Bukan setahun dua tapi dah berbelas tahun.  Hanya lima tahun lepas saja tingkah Fina makin menjadi-jadi.  Sanggup jadikan dia seperti sekarang.  Tapi, hendak salahkan Fina rasa macam tak mampu.  Sudahnya dia kembali pada ketentuan takdir. 
“Lagipun, Luth ada berita baik ni… tak naklah kita sedih-sedih macam muka.  Ya ma…”  Pujukan demi pujukan pada mama tapi diri sendiri, siapa mahu pujuk? 
Ayah pun tak ada.  Out-station.  Jadi, Fina semakin tinggi tanduknya.  Puan Laila menarik tangan Luth dan terus duduk bersama di depan TV yang gelap. 
“Macam mana kerja hari pertama?”  Dia sendiri terkejut bila Luth telefon tengah hari, kata dia dapat kerja dan terus bermula.  Pelik tapi dia terima sebagai satu rezeki buat puteri keduanya. 
“Bolehlah, ma… tapi macam pelik…”  Pelik sangat.  Luth ketap bibir dan cuba mengingati perkara siang tadi.  Masa dia di pejabat.  Lepas Payed jaga. 


ADA orang datang?  Call ke?”  Itulah soalan Payed pada dia setelah lelaki itu buka mata. 
“Tak ada, bos…”  Luth menggeleng dua kali.  Matanya memandang Payed yang sedang menggeliat ke kiri dan kanan. 
Senyuman sinis Payed naik.  Dia capai mug kopi di depan mata.  Baru seteguk, dia terus menyeringai.  Macam panas sangat. 
“Sejuk dah air ni, err…”
“Luth,” sela Luth. 
“Okey, Luth… air dah sejuk…”  Payed letak mug tersebut di depan Luth. 
Dalam hati Luth menjawab sendiri.  Manalah tak sejuk.  Dekat dua jam juga dia jadi penjaga pada bos dia. 
“Nak saya buat lain ke?” 
Payed menggeleng.  “I dah cukup tidur dah.  You boleh keluar dulu.  Tempat dah ada, kan?” 
Suasana sepi seketika.  Luth tak menjawab.  Dia hanya jatuhkan kepala mengangguk.  Tempat dia memang dah tersedia tapi kenapa di depan bilik bos?  Nak ditanya tapi takut pulak.  Itu tempat pembantu peribadi tapi dia ni lain. 
By the way, Encik Payed… boleh saya tanya satu lagi soalan…” 
Payed memandang Luth yang nampak takut-takut hendak bersuara. Keningnya naik memberi laluan pada Luth agar meneruskan kata. 
“Saya ni memang diterima bekerja di sini, kan?”  Dia masih ragu-ragu.  Semudah itu dapat kerja.  Tak payah temuduga lebih-lebih.  Buatnya prank, naya dia. 
“Tak…”  Payed menggeleng.  “I tak prank you.  You memang dapat kerja ni.  You keluar dulu sebab petang ni I nak you ikut I ke satu tempat,” arah Payed tenang. 
Kakinya melangkah ke kerusi eskekutif yang berdiri gagah.  Baru saja labuhkan duduk, Luth dah berdiri tepat di depannya. 
Ada apa lagi, Luth?”  soal Payed buat-buat ramah. 
Kenapalah payah sangat perempuan ni nak keluar?  Orang bagi kerja salah, reject karang lagilah tak boleh.  Buatnya lama-lama dia di depan perempuan secantik ini, ada jugak berakhir dekat sofa sana
“Err… tak ada apa.”  Luth ketap bibir.  Dia capai fail hitam miliknya di atas meja.  Tadi tertinggal.  Bergegas buat air untuk bos tapi haram, tak minum pun.  “Fail saya…”  Seulas senyum diukir tipis sebelum berpaling. 
“Luth…” 
Tapi, langkah dia mati bila suara Payed memanggil.  Terus Luth berpaling dengan pandangan yang penuh tanda tanya. 
“Thanks temankan I tidur tadi…”  Bibir Payed senyum senget. 
Luth kerutkan wajah.  Kalau kata orang lain dengar perkataan ayat Payed ni, boleh buat orang salah sangka.  Naya dia.  Difitnah sia-sia aje nanti.
“Err… sama-sama…”  Lidah dia kelu hendak bersuara.  Memang kelu dah.  Cukuplah dua patah ayat itu. 
Dia terus menapak keluar. 



“LUTHFIYA…” 
Kepalanya tertoleh pada Puan Laila yang sedang memerhati.  “Dah dua kali mama tanya apa yang peliknya?” 
Tawa halus Luth terhambur.  Rasa malu pulak tertangkap dek mama dia berangan.  Bukan berangan.  Cuma teringat hal siang tadi dekat pejabat.  Tempat kerja barunya.  Tempat kerja pertama. 
Sorry, mama…”  Lengan Puan Laila dipaut manja.  Rambut yang jatuh ke pipi sesekali ditolak ke belakang telinga. 
Dalam rumah tiada siapa yang kisah tentang keadaan dia.  Hanya Fina yang selalu mengejek dan mengherdik tapi dia dah tak ambil hati.  Dah lali. 
“Luth ingatkan bos tu tadi.  Rasa macam gatal pulak, ma.  Geli pulak bila Luth fikir…”  Luth mencebek sikit bila mengingatkan tentang Payed. 
Kalaulah dia tahu bos dia semuda tu, dia sanggup cari kerja lain yang bosnya lagi tua.  Dia takut dengan anak-anak muda ni.  Tengok saja cara Payed pandang dia dan cara bercakap dengan dia, Luth bukan jahil nak nilai pandangan seorang lelaki pada seorang perempuan. 
“Boleh tak nak resign aje, ma?”  Padahalnya offer letter tak sign lagi tu.  Petang tadi dia baru sempat turun ke HR untuk isi borang yang diminta. 
Di situ pun ada yang tersalah sebut nama dia.  Mujurlah dia betulkan siap tunjuk IC bagai.  Kalau tak sia-sia aje kerja kerah kudrat tapi tak bergaji.  Macam manalah diorang boleh taip nama Luthfina.  Gerun dia nak sebut nama tu. 
Hesy…”  Puan Laila mencebek sikit.  “Baru sehari kerja dah nak berhenti.  Kenapa pulak?”
Luth hanya sengih menggaru kepala.  Tak menjawab.  Alasan dia tak konkrit mana untuk diberi pada mama.  Elok-elok dapat kerja, nak berhenti.  Masa tak ada, tercari-cari. 
“Muda ke bos tu?” 
Luth angguk.  “Lebih kurang Luth aje kot, ma.  Tak pun, tua dalam tiga empat tahun gitu ajelah…” 
Puan Laila angguk mengerti.  Dia kenal siapa Luth.  Tak seperti Fina.  Pergaulan Luth terhad sejak dulu.  Apatah lagi dengan lelaki.  Ada masanya jiran-jiran pun tak tahu Luth ada dalam rumah ni sebab tak pernah nampak.  Ada yang ingatkan Luth ke luar negara. 
“Eloklah muda.  Kalau kata dia suka Luth atau Luth suka dia, tak ada halangan.  Kalau tua ni merenyam lagi susah, Luth.  Nak-nak yang gendut, ada bini tiga dah.  Sorang lagi nak cukup kuota, lagilah Luth tak tahan.”  Saja Puan Laila nak usik Luth dengan wajah serius. 
Dalam hati dah ketawa galak melihatkan wajah Luth cuak. 
“Mama ni…Luth nak kerja aje pun.  Tak pernah fikir sampai tahap tu.”  Dia labuhkan duduk di atas sofa.  Mencapai remote dan mencari menontoh rancangan Halaqah di TV9. 
“Mama gurau aje…”  Puan Laila turut sama melabuhkan duduk di sisi Luth.  Mengerling pada sisi wajah anaknya.  Memang cantik.  Saling tak tumpah. 
“Cumanya, mama tak harap Luth berhenti kerja gitu aje sebab bos muda tu.  Biarlah.  Luth buat kerja yang disuruh.  Selagi tak bertentangan dengan Islam dan prisip hidup Luth, ikutkan.  Kalau tak, ayah pun mampu lagi bagi makan kita anak-beranak.” 
Mendengarkan mama berkata demikian, Luth terus lentokkan kepala pada bahu Puan Laila.  Mama sangat memahami.  Mama yang sentiasa mengerti. 
“Sayanglah mama…” 
“Sayang Luth jugaklah,” balas Puan Laila. 
Mereka sama-sama ketawa.  Bahagia.  Tapi, ada mata jahat memerhati.  Mereka tak tahu.  Renungan tajam dan berbaur racun daripada mata bulat Fina mencipta seribu satu rasa.  Semua hak dia, Luth rampas.  Semuanya.  Semua! 
Terus dia melangkah ke pintu.  Dihempas pintu sekuat hati sampaikan Luth dan Puan Laila berpaling ke atas.  Kemudian saling merenung.
“Kenapa?”  soal Puan Laila. 
Luth geleng.  Dia pun tak tahu.  Puan Laila tolak tangan Luth dan terus bangkit menuju ke bilik Fina.  Luth hela nafas.  Nafas kecewa.  Tapi, siapalah dia untuk meminta lebih.  Biarlah. 
Dia kembali merenung kaca TV.  Rasa sepi bila ayah tak ada.  Kalau ada ayah, ada juga teman berbual.  Masa mama banyak pada Fina.  Dia faham.  Dia tak tamak. 
Saat dia pejamkan mata, seraut wajah terlayar di depan mata.  Teringat petang tadi terkial-kial dia ikut Payed keluar.  Ingatkan ke mana tapi jumpa awek.  Buang karan betul.  Dia kemain penat dengan kalkulator bagai.  Kotlah nak pergi site ke. 
Tapi, sebaris ayat Payed memang buat dia nak berhenti kerja biarpun sehari baru masuk.  Biar pecah rekod Malaysia.  Kalau tak fikirkan kata-kata mama tadi, dia dah tak pergi dah esok.  Surrender dia. 
“Ini salah satu portfolio you, tahu.  Teman I mana-mana aje I pergi.  Tapi...”  Payed dekatkan bibir pada sisi wajah Luth.  “...kalau kata you tak nak buat kerja ni, you have to stay close to me.” 


Haih... kenapa portfolio macam ni pun ada?  Ke dia dah salah dapat jawatan ni?

~~>bersambung

22 comments:

  1. takkan tak tau lagi...dekat letter of offer tak sebut nam ajawatan ke...alahai kesian luth macammana la dia nak hadapi bos macamtu...adakah payed akan berubah ...adakah fina akan marah bila dia tau suposednya dia yang sepatutnya dekat tempat luth tu...wah banyaknya persoalan saya..apapun i enjoyed this story. thanks RM for this on this orange monday

    ReplyDelete
  2. salah jawatan ler tu.... guane ni cik writer? next pleaseeee

    ReplyDelete
  3. mmg dah salah jawatan pun Luth..

    ReplyDelete
  4. Hadoi.. apolahs.. blh plk salah jawatan cenggini..tp, tetap best.. x sabar nk thu ap jd dkt luth dgn payed..

    ReplyDelete
  5. Sian luth..slh jwtn..tp biar dpt kt luth dr dpt kt fina

    ReplyDelete
  6. nk hadap payed tu..aduh sengsara btul

    ReplyDelete
  7. Tok sabar doh nie..nik baco crito niee

    ReplyDelete
  8. Semakin tak sabar nak baca smbungan ni....yg mana satu suka kat luth nnt ni...payed ke palee?

    ReplyDelete
  9. bestx3...........nak lagi dan lagi. :)

    ReplyDelete
  10. Best....fighting RM!!!
    -kaka-

    ReplyDelete
  11. hikhik..sian kt luth..dpt si payed plak..playboy xhengat..

    ReplyDelete
  12. emm..memang salah jawatan kan??
    alahai cian luth....

    ReplyDelete
  13. Hahaha.sah salah jawatan ni..dah la tertukar cv...mesti luth jadi PA payed kan...

    ReplyDelete
  14. kecian la plak kat fina sbb xdpat keje.. tp dah dia jhat padan muka

    ReplyDelete
  15. La...sygnya jawatan akauntan tu..luth ni pnyabar btol..klo aq dh lma mgadu kt parents spya x lbihkan si fina tu

    ReplyDelete
  16. macam pelik pulak kerja luth ni ngan payed..adakah payed ambil kesempatan keatas luth yg mmg sah begitu naif ..tidak kah HR kasi job description utknya...

    ReplyDelete
  17. MMG DH SLH DH NIE...JENUH LA NK BTLKN SEMULA

    ReplyDelete