Wednesday, June 14, 2017

Usah Kau Tangiskan 14

WAJAH Fiqri dipandang.  Lama.  Berdiri tegak di depan pagar tinggi ini, langkah kaki dia seperti tak kuat.  Dia pernah tekad untuk tak kembali, tapi hari ini… dia berdiri di depan pintu rumah besar ini.  Rasa tak yakinnya menebal.  Ini pun dia pilih masa yang Melisa tak ada.  Lantaklah nak pergi mana pun.  Bukan dia kisah. 
Kata Uncle Fahri, daddy tak sihat.  Makin merosot kesihatannya. 
“Kau kena yakin, Qim.  Kita dah ada depan rumah kau ni…”  pujuk Fiqri melihatkan Taqim yang nampak lemah tiba-tiba. 
Liur ditelan berkali-kali.  Rengkung yang kering, terasa perit.  Pedih.  Taqim angguk.  Sirat kata, setiap pengorbanan… ada ganjarannya.  Setiap kesabaran, memang ada pahala mengiringi. 

“Dah sepuluh tahun, Qim.  Inilah masanya…”  Tangan Fiqri memeluk bahu Taqim kemas.  Memberikan sedikit semangat. 
“Aku memang tak kuat…”  akui Taqim tiba-tiba bila Fiqri cuba mendorong dia mendekati pagar.   “… tapi, aku akan cuba kuat.”  Loceng ditekan. 
Tak lama, pagar tinggi itu terbuka secara automatik.  Sebaik saja pagar itu terkuak lebar, wajah Mak cik Azi muncul.  Memicing pandangan mata tuanya sebelum menghampiri.  Saat melihat wajah Taqim, mata tuanya basah.  Air jernih itu bercucuran tak terseka.  Tanpa mampu berkata apa.  Hanya esakan yang menjadi bicara.  Dek rasa terkejut dan terharu. 
Baru semalam Dato’ Mustapha sebut tentang Taqim.  Malah, tak pernah lekang daripada mulut sejak dihalau anak ini keluar dulu. 
“Mak cik,” seru Taqim perlahan. “Ingat saya?” 
Mak cik Muna angguk berkali-kali.  Masakan tak ingat.  Dia bekerja dengan keluarga ini sejak Taqim dalam kandungan lagi.  Dia yang asuh anak ini bila arwah Datin Muna sibuk. 
“Kenapa baru sekarang balik, nak?”  soal Mak cik Azi akhirnya.
“Maaf, mak cik.  Saya tersesat.  Jalan yang saya lalu selama ni, terlalu banyak simpang untuk saya pilih.  Bila dah pilih, jalan tu pulak bengkang-bengkok.  Sekarang, baru saya jumpa jalan lurus ke rumah ni,” jawab Taqim penuh makna.
Mak cik Azi angguk lagi.  Mengesat airmatanya.  Dan terus masuk ke dalam rumah.  Berita baik ini, tak sabar nak diberitahu pada Dato’ Mustapha. 
“Qim?” 
Seruan itu membawa Taqim memandang pada pemandu daddy.  Suami Mak cik Azi. 
“Pak cik Hussin sihat?”  Tangan tua itu disalami dan tubuh tuanya dipaut erat.  Hanya dengan pekerja pun, dia dah begini sebak, macam mana bila pertemuannya dengan daddy nanti? 
Tuhan… kuatkan hati dan jiwa aku! 
Taqim memandang pada Fiqri yang masih setia di sisi.  Tersenyum lebar biarpun senyuman itu sedikit meresahkan.  Andai Fiqri sendiri nampak resah, dia apatah lagi. 
“Dia… tak ada, kan?  Pak cik?” 
Mengerti dengan dia yang Taqim maksudkan, Pak cik Husin senyum dan  menggeleng.  Rupanya, Taqim begitu larut dalam kejadian itu.  Tangan Taqim dicapai.  Ditarik untuk masuk ke dalam rumah.
“Dato’ tak sihat, Taqim…”  Suara Mak cik Azi memecahkan sepi ruang tamu banglo mewah ini.
Taqim kerut dahi.  Memandang pada Mak cik Azi yang ada di depan anak tangga. 
“Sejak pagi, terbaring aje.  Mak cik ingat dia ada turun bawah.  Ini dah dekat nak berbuka.  Risau pulak mak cik dengan keadaan Dato’ ni…”  Terkejut juga dia tadi.  Ingatkan Dato’ Mustapha turun.
Tengah hari tadi dia hanya nampak Melisa yang turun.  Keluar bersama kawan-kawannya.  Ada lelaki dan perempuan.  Dia malas nak ambik tahu. Bukan tak pernah dia bersuara, tapi niat baiknya disalaherti.  Apa nak kata.  Dia hanya orang gaji.  Sedangkan dia tegur demi kebaikan. 
“Qim berbuka dekat sini ke?” 
Taqim pandang Fiqri.  Bila Fiqri senyum, dia angguk.  Alang-alang.  Ini dah dekat nak berbuka. 
“Puasa ni, daddy berbuka sorang aje ke?”
Tak menjawab, Mak cik Azi dan suaminya saling memandang sebelum kedua-duanya tertunduk.  Mengiyakan soalan Taqim. 
Jadi, mana pergi Melisa?  Itu soalan yang dia mahu tanya tapi tak jadi nak diluahkan.  Taqim telan amarahnya.  Dimamah lumat supaya tak terluah.  Biar tenggelam jauh ke dasar diri.  Dia ukir senyum. 
“Mak cik masak apa?  Qim rindu sangat dengan masakan mak cik…” 
“Adalah sikit-sikit.  Kalau Qim cakap nak datang…” 
“Qim tak plan nak berbuka dekat sini, mak cik.  Rasanya, rumah ni tak pernah alu-alukan Qim tapi entahlah… tempat jatuh lagi dikenang.  Ini pulak tempat Qim dilahirkan.  Dibesarkan….”  Malah menjadi tempat dia dipukul dan dihina dengan begitu teruk sekali.  Namun, kata-kata ini hanya mampu dibisikan oleh hati. 
Dia lebarkan senyum.  Hilang bicara sebenarnya.  Kekok pun ya.  Dia nak datang jumpa daddy, tapi bila dikata daddy tengah berehat, malas dia nak kacau.  Lagipun, dia tak nak bertembung dengan Melisa.  Nanti, sabar dia rabak.  Masa tu, tak terjahit nanti. 
“Qim tak nak naik tengok daddy?”  soal Pak cik Husin tiba-tiba.
“Hah?”  Wajah Taqim agak terpinga-pinga.  Dia mendongak ke atas. 
Tak nampak pun mana-mana pintu bilik.  Tapi, dekat bilik daddy itu menyimpan satu kisah pilu yang menyakitkan.  Macam mana dia nak masuk ke bilik tu?  Berat kakinya nak masuk ke dalam rumah ni pun, sukar nak angkat.  Nak masuk ke bilik itu, lagilah. 
“Biarlah dulu, pak cik.  Daddy tengah rehat.  Qim duduk situ ajelah…”  Bibirnya menjuih pada kerusi di ruang tamu.  Biasanya untuk tetamu. 
“Kenapa tak duduk sana?”  Pak cik Husin luruskan jari pada ruang keluarga.  Dulu, ruang itu sentiasa terisi.  Tapi sekarang, sepi. 
“Tak apalah, pak cik…”  tolak Taqim sopan.  Sungguh.  Dia rasa dirinya sekadar tetamu.  Bukan penghuni rumah besar ini. 
Dia tarik Fiqri duduk di ruang tamu.  Memandang TV yang gelap.  Melingas sekeliling tanpa henti.  Tiada apa yang berubah.  Semuanya masih sama.  Tiada satu habuk pun yang tersisa.  Seperti dulu juga, kebersihan rumah ini dijaga rapi.  Tapi, suramnya begitu terasa.
“Betul kau tak nak naik, Qim?” 
“Tak payahlah, Fiq. Aku okey aje. Lepas berbuka, kita baliklah…” 
Fiqri diam.  Menimbang pelbagai perkara dan kemungkinan.  Rasanya sekarang, dia perlu biarkan Taqim sendiri.  Sepuluh tahun bukan waktu yang singkat.  Dah tentu punyai pelbagai perkara yang mahu disuarakan.
“Aku rasa aku kena baliklah, Qim…” 
Dahi Taqim berkerut.  Dah kenapa pulak Fiqri tiba-tiba ni.  Tak guna betul! 
“Mama aku sebenarnya tadi pesan berbuka dekat rumah.  Nak keluar, dia suruh keluar lepas terawih.  Kau tahulah, aku tak masuk kerja hari ni.  Nanti papa aku ungkit lagi.  Kau tahulah dia tu macam mana….”  Sengaja dia mencari alasan.  Sebenarnya, dia dah bagitahu papa, lepas tengah hari dia tak masuk pejabat.  Nak temankan Taqim. 
Cuma, masa ini Taqim perlu sendiri.  Taqim kuat malah lebih kuat daripada dia.  Biarpun sejuta Melisa muncul, dia tahu Taqim mampu hadapi.
“Fiq, kalau kau pergi… aku ikut.”  Taqim bangkit.  Tangan Fiqri menahan. 
“Kau kuat sebenarnya, Qim.  Kalau bukan sebab kau sendiri kuat dan rasa nak balik sini… aku paksa pun kau tak akan balik.  Kau tak akan masuk.  Tapi, sebab diri kau sendiri.  Dah sampai masa kau selesaikan semuanya,” bisik Fiqri dalam senyuman sebelum salam mereka berjabat.
Taqim kaku melihat Fiqri berlalu dan bila saja kelibat Fiqri hilang, kakinya dibawa ke tangga.  Meniti perlahan anak tangga itu hingga ke pintu bilik sendiri.  Sebaik saja pintu dikuak, airmata dia seperti nak jatuh.  Semua masih sama.  Tiada yang berubah.  Koleksi robot transformer milik dia masih gagah berdiri di situ.  Malah, koleksi superhero Marvel dan DC juga ada.  Malah, tidak berhabuk sikit pun. 
Taqim mencangkung.  Merenung harta karun dia lama dengan senyuman yang kian lebar. 
“Mak cik Azi tak pernah tak bersihkan bilik ni…”
Taqim tersentak demi menerima teguran tersebut.  Dia angkat tubuh dan menoleh.  Mata bertentang mata.  Panahan mata tua itu, dah tewaskan panahan mata Sirat.  Hingga dia gamam tak terkata.  Membisu seribu Bahasa.  Daddy mendekati.  Nampak langkah daddy berat.  Sesekali, daddy batuk dan memegang dada sendiri.  Sebaik saja daddy hampiri dan berdiri dalam jarak satu meter dengannya, Taqim tunduk. 
Dadanya sebu sangat.  Andai dia bersuara, airmata yang akan jadi pembuka bicara.  Bibir diketap.  Kuat.  Tangan digenggam kemas.  Menahan rasa sakit yang entah daripada datangnya.  Tempikan daddy, hayunan kayu golf daddy… semuanya bagai sedang terjadi.
“Qim?”  seru Dato’ Mustapha lembut.  Tangan tuanya naik menyentuh bahu lebar Taqim. 
“Daddy mintak maaf, nak…”
Sebaik saja ucapan itu mendarat ke pendengaran Taqim, airmatanya jatuh tak terseka.  Rindunya dia dengan suara ni.  Sungguh.  Tak tipu. 
Taqim tunduk dan terus tunduk.  Teresak-esak hinggakan bahu sasanya terhinggut.  Manjanya dia saat ini.  Setelah hampir sepuluh tahun, dia rindu dengan panggilan anak.  Dia rindu nak panggil daddy. 
“Daddy mintak maaf, Qim…”  Kali ini, Dato’Mustapha menarik tubuh anaknya dan dipeluk erat. 
Airmata tuanya jatuh.  Kenapalah dia begitu jahil menilai saat itu?  Dibutakan rasa kasih sayang fana hingga mengorbankan kasih sayang mereka selama ini? 
“Qim…”  Nafas Mustaqim sesak.  Tubuhnya sedikit bongkok, menyamai ketinggian daddy.  Perlahan-lahan, dia angkat tangan yang berat untuk membalas pelukan daddy, namun tiada dayanya. 
Tangan sasanya jatuh terkulai.  Hanya dibiarkan saja daddy terus memeluk tubuhnya erat.  Pelbagai soalan yang bermain dalam kepala. 
Kenapa daddy sanggup menghalau dia pergi?
Kenapa dijatuhkan hukuman tanpa mendengar sebarang penjelasan?
Penjenayah sekalipun, diadili sebaik-baiknya.  Dibawa ke depan hakim malah ada peguambela biarpun ada juga pendakwaraya.  Tapi dia, bukan penjenayah.  Dia satu-satunya anak tunggal daddy.  Tapi, kenapa? 
“Daddy tahu, mesti Qim nak tanya daddy macam-macam, kan?” 
Taqim angguk dibahu daddy.  Paling penting dia nak tahu.  Kenapa daddy masih simpan perempuan tu dalam hidup daddy?  Bukanlah dia nak bandingkan dengan arwah mummy.  Langsung tak terbanding.  Beza bagai langit dan kerak bumi.  Tapi, tiada langsung kebaikan yang dia nampak dalam diri Melisa. 
“Qim cuma nak tahu…”  Bicara Taqim mati bila pesanan Sirat mencelah.
“Kita tak tahu apa baiknya Melisa.  Boleh jadi, ada kebaikan yang hanya daddy awak nampak tapi kita, tak boleh nak nampak.  Anggap ajelah macam tu.  Dengan itu, hati marah awak akan rasa tenang sikit.  Lagipun, nak persoalkan perkara yang dah jadi, tak ubah seperti mempersoalkan takdir.  Anggap ajelah itu sebahagian daripada perjalanan awak yang berliku…” 
Ya… bukan kerana anggapan itu.  Tapi kerana nasihat dan dorongan Siratul.  Itu yang buat marahnya reda.  Taqim tolak bahu daddy.  Merenung mata basah itu lama.  Daddy nampak pucat.  Nak ditanya, seperti kata Siratul… perkara dah lama berlalu.  Dia patut lupakan. 
“Daddy nampak tak sihat?  Dah pergi hospital?” 
Senyuman pada bibir Dato’ Mustapha mekar.  Setelah sekian lama kuncup dibadai hujan, akhirnya senyuman itu mampu bertunas bila disimbah matahari yang terik memancar. 
“Daddy okey.  Sakit-sakit orang tua… biasalah…” 
Taqim senyum.  Tak tahu nak kata apa lagi. 
“Qim berbuka dengan daddy, ya?”
“Insyaallah, daddy…” 
“Mari kita duduk sana…”  Tangan Taqim ditarik ke ruang rehat keluarga.  Ada bean-bag kesukaaan Taqim yang masih di situ. 
Sebaik saja Taqim labuhkan duduk di atas bean-bag tersebut, dia senyum sendiri.  Seperti baru beli tapi dia tahu, ini hartanya yang lama.  Dia angkat wajah memandang daddy yang duduk di atas kerusi malas depan dia. 
“Qim tak nak uruskan sungguh projek tu?” 
Taqim geleng perlahan.  Teringat pertemuan daddy di pejabat Kuca tempoh hari.  Dia memang tak nak terlibat apa-apa dengan syarikat daddy.  Dia mampu sendiri biarpun sekadar projek kecil.  Tak apalah.  Janji ada.  Itu pun dah cukup mewah.  
“Elok daddy bagi aje dekat Kuca.  Qim dah ada beberapa kerja lain…”  jawabnya sopan tak nak lukakan hati daddy.
“Boleh jadi, itu projek mega akhir syarikat daddy…”  Dato’ Mustapha terbatuk kecil.  Dia mengusap dadanya perlahan.  Sesekali, menoleh ke pintu.  Lama. 
Dia tahu, Melisa dah keluar sejak tengah hari.  Tanpa pesan.  Sejak sepuluh tahun begitulah.  Tiada yang berubah.  Menjadikan dia terus memikul beban yang begitu berat.  Suami dan ayah yang gagal. 
“Sampai bila?”  tanya Taqim tiba-tiba.  Dia tahu apa yang bermain dalam kepala daddy.  Melisa! 
“Tak lama dah…”  jawab Dato’ Mustapha penuh makna.
Taqim kerut kening.  Tak mengerti.  Lama dia renung wajah tua daddy.  Nak diberitahu tentang niat dia untuk sunting Siratul, seperti tak kena masa. 
“Yang Qim bila lagi nak bina keluarga sendiri?  Umur dah berapa?” 
Tawa kecil Taqim lepas.  Daddy, masuk seperti dulu.  Masih pandai menduga apa yang bermain dalam jiwa.  Tapi, kena tidak saat itu?  Saat dia difitnah oleh Melisa?  Kenapa daddy pilih untuk percaya akan fitnah itu? 
Tuhan… Taqim istighfar tanpa henti.  Sukarnya untuk aku lepaskan semua ini. 
“Ada calon ke?  Nak daddy pergi pinang?”  usik Dato’ Mustapha melihat senyuman anak bujangnya. 
Taqim angguk kecil.  “Ada tu ada… tapi, orang biasa aje daddy.  Tak ada pendidikan, tak ada pangkat, jauh sekali harta.  Tapi, kematangan dan kesopanan dia… pada Qim itu adalah harta yang tak ternilai…” 
“Daddy tak pernah fikir akan tentang apa-apa kriteria menantu daddy.  Ikut Qim.  Janji Qim suka dan bahagia dengan dia, daddy terima seadanya.  Lagipun, Qim sendiri dah ada harta.  Berkongsilah dengan dia…” 
Jawapan daddy, buat Taqim berasa lega.  Jujurnya, jika daddy meningkah, dia juga tak kisah.  Tapi, Siratul pasti akan berasa resah.  Kerana itu, dia mahu daddy izinkan. 
“Qim dah dewasa.  Segala apa yang Qim buat, daddy yakin Qim boleh fikir baik buruk.  Termasuk urusan jodoh.  Daddy tiada hak nak usik tentang perempuan macam mana yang Qim pilih.  Sedangkan daddy pun…”  Suara Dato’ Mustapha hilang.  Dia telan luahan hatinya sendiri. 
Sedangkan dia pun, silap memilih isteri.  Sejak akhir-akhir ini, rasa rindu pada arwah isterinya yang pertama, iaitu ibu pada Taqim semakin membuak-buak.  Rasa tak mampu lagi dia tatang. 
Mengerti dengan rasa bersalah daddy, Taqim mengesot dan bersila tepat di sisi daddy.  Tangan tua itu diraih dan digenggam erat.  Dia mendongak dan lebarkan senyum. 
“Pesan Siratul pada Qim… boleh jadi kita tak nampak dan tak tahu apa-apa tentang kebaikan akan setiapa apa yang orang lain pilih.  Tapi, orang itu saja  yang nampak.  Gamaknya, Qim pandang Melisa selama ni dengan benci… kerana itu Qim nampak semuanya keburukan.  Qim tak memandang dengan pandangan daddy.  Hanya daddy yang tahu baiknya dia kerana itu daddy pilih dia…” 
Nasihat Mustaqim… mata Dato’ Mustapha berlinangan dengan air jernih.  Dia balas genggaman tangan Mustaqim. 
“Jadi, nama dia Siratul?” 
Taqim angguk. 
“Biarpun daddy tak jumpa dia lagi, daddy yakin… Siratul tu, jodoh yang tepat buat Mustaqim…”  Senyuman Dato’ Mustapha kian lebar. 
“Tapi, kalau Qim betul-betul suka… daddy nak Qim kahwin cepat.  Raya pertama mungkin,” cadang daddy lagi.
Wajah terkejut Taqim, berganti senyuman.  Ikut hati dia, sekarang jugak dia nak kahwin.  Dia yakin Siratul tak kisah akan segala majlis.  Nanti, lepas raya dia akan raikan.  Cuma, dia mahu pinang Siratul dengan cara terbaik. 
“Qim bawak dia kenal daddy dulu…” 
“Hrm… daddy harap secepat mungkin.”  Kali ini daddy sedikit menggesa. 

Taqim kerut dahi.  Senyuman dia kali ini, terasa aneh.  

24 comments:

  1. Alhamdulillah...akhirnya taqim dh berbaik dgn daddy...em ..mcm lain je cara daddy taqim ni...

    ReplyDelete
  2. Lama menunggu..sedih lah tq rehab

    ReplyDelete
  3. Daddy qim ni sakit teruk ke sebenarnya..? *sobs*

    ReplyDelete
  4. Alah hai daddy mcm xlama aja..anyway tq 4 update rindu siratulmustaqim

    ReplyDelete
  5. Dan ka siratul jmpa dgn daddy mustaqim???

    ReplyDelete
  6. Daddy cm nk pergi jauh je. Kesian bru nk berbaik.

    ReplyDelete
  7. Oh...kena cepat Taqim...mgkin daddy awak dh x lame...cume...jgn Melissa jd pengacau...

    ReplyDelete
  8. alhamdulillah...akhirnya baik antara daddy dan taqim..akhirnya penantian saya untuk tunggu kak rehan sambung dah jadi kenyataan..tq kak

    ReplyDelete
  9. masa daddy dh x lama ke?baru jer Thaqim nk merasa semula kasih sayang seorg bapa..kesiannya..

    ReplyDelete
  10. Mcm pelik je sembang daddy ni..

    ReplyDelete
  11. Allahu.... Sungguh bukan mudah untuk memaafkan dan melupakan...
    -Azzna -

    ReplyDelete
  12. Daddy dah setuju, boleh lah nikah lepas ni, tq rehan

    ReplyDelete
  13. Mcm petanda je daddy tu..cpt taqim

    ReplyDelete
  14. mcm ade agenda yg daddy qim rancang je ..

    ReplyDelete
  15. Suspennya la cara daddy taqim suruh dia kawin ni...harap daddy dia sihat dan tebus balik 10 thn yg hilang tu...

    Adie

    ReplyDelete
  16. Reflect balik diri, yang jahat orang kota nampak..yg baik tu kita pejam mata..akula orang tu..tq rm ingatkan balik bnda ni

    ReplyDelete
  17. hmm...senang ke taqim nak kawen nanti ni.
    takut nanti ada je rancangan jahat melisa tu

    ReplyDelete
  18. Good job kak..berlinang air mata dibuat nyer..huhuhu

    ReplyDelete
  19. Gugur juga airmataku part reunion taqim dgn daddy.. tp lain mcm je ayat daddytu... dh rasa dia Xlama kot 😓😢 tqvm RM for the update 🌹🌷

    ReplyDelete