Sunday, June 04, 2017

Usah Kau Tangiskan 4

RIAK wajah mak risau.  Sirat dua kali ganda risau.  Entah apa yang bakal terbit daripada mulut mak.  Entahkan tentang barang dapur yang tiba-tiba ada di depan rumah.  Atau tentang motor Wan? 
“Cuba Wan cakap dekat mak, macam mana boleh jatuh motor?” 
Suapan terhenti.  Wan pandang Sirat.  Kakak hanya bagi isyarat mata.  Taramlah apa saja.  Jangan cakap kau langgar orang! 
“Bawak barang banyak tadi, mak.”  Dahi Wan berkerut.  Menipu mak! 
“Kebetulan kakak keluar tadi, kakak nampak Wan tengah kutip barang.  Itu yang dia suruh Wan balik, kakak bawak balik dengan kereta.” 

Mak diam seketika.  Memikir.  Dalam hati, risau tak hilang lagi. 
“Lain kali, hati-hati, Wan?  Harta itu aje yang arwah ayah tinggalkan untuk Wan.  Esok macam mana nak pergi kerja dengan keadaan motor macam tu?” 
 “Boleh lagi bawak pelan-pelan, mak.  Mak jangan risaulah…”  Safwan lebarkan sengih.  Cuba dihalau resah mak. 
“Hah, yang Sirat pulak.  Cakap dekat mak nak beli barang.  Rupanya, adik kamu telefon cakap jatuh motor, ya?  Tak cakap dekat mak…” 
Sirat sengih.  “Benda tak serius, mak.  Sirat tak nak mak susah hati.  Tapi, syukurlah semuanya selamat…” 
Selamat?  Semua barang dapur rosak.  Tapi yang ada mengganti ni… dia kerling ke tepi dinding.  Berlonggok barang dapur di situ.  Beras sampai sepuluh kilo.  Telur sepapan.  Tepung, gula, susu, teh.  Hampir semua ada.  Termasuk barang basah.  Siapa pulak tak betul ni?  Pergi letak semua barang ni depan rumah dia?  Sadisnya bila mak dulu yang nampak.  Mak ingat dia yang beli dan letak di luar. 
“Tak apalah.  Tapi, esok-esok kalau jadi apa-apa lagi, cakap dekat mak.  Mak tak nak, kamu berdua rahsiakan apa-apa daripada mak…”  Bicara mak mati.  Batuknya kembali.  Dan sukar untuk pergi. 
“Mak dah kenyang.  Nanti Sirat tolong buat air madu sikit untuk mak.  Mak nak rehat dekat bilik kejap.  Rasa sengal pulak badan mak ni…”  Terus mak bangkit.  Berlalu ke sinki, mencuci tangan dan terus hilang di dalam bilik. 
Sirat renung Wan tajam.  “Wan tahu siapa letak barang depan rumah kita?” 
“Wan pun pening ni, kak.  Betul kakak tak beli semua tu?” 
Eh budak ni.  Macamlah Wan tak tahu, dia bukan bawak duit banyak pun tadi. 
“Kau ingat kakak banyak duit.  Lepas beli sikit-sikit tadi, kakak ada dua ringgit aje, tau… ni dalam simpanan kakak ada la dua ratus nak buat modal berniaga bulan puasa tak lama lagi ni…”
Dua ratus?  Fuh… bila teringat dekat motor besar milik Taqim, rasa menggigil tangan.  Berapalah agaknya kos baiki motor mewah begitu.  Dengan motor Wan lagi.  Saman lagi.  Agaknya kalau buat rayuan, dapatlah kompaun sikit kot.  Esok ajelah dia pergi balai.  Tanya terus.  Senang. 
“Kita terima ajelah kak barang-barang ni.  Dah dekat depan rumah kita, gamaknya orang tu memang niat nak bersedekah untuk kita tak?” 
“Hesy budak ni… tak tahu siapa yang bagi.  Kalau nak dikira sedekah tu, baik dah.  Tapi, kita ni tak susah mana pun, Wan.  Kakak mampu lagi nak bagi makan kau dengan mak.  Telur goreng pun tak apa.  Janji ada.  Tapi, dekat luar sana berapa ramai lagi yang memerlukan.  Elok dia bagi dekat orang tu semua…”  Sirat meningkah cadangan adiknya.
“Nanti, kita hantar ajelah ke surau, Wan.  Surau mesti nak pakai barang tu semua kalau nak buat iftar dekat surau.  Segala pahala, moga Allah hantar pada pemberi tu.  Yang lauk basah aje kita ambik…”
“Eh, kak.  Itu memang untuk kitalah…”
“Mana Wan tahu?!”  Mata bundar Sirat membulat.  Budak ni, orang dah cakap jangan, nak jugak. 
“Err… Wan…”  Bibir diketap.  Wan gagap.  Tak kan dia nak cakap barang tu Taqim bagi?  Rasanya, daripada sedekah dekat masjid, ada kakak pergi buang depan muka Taqim. 
“Yalah, kak…”  Akhirnya, Wan akur. 
Dia tunduk.  Sepi.  Sekadar menghabiskan makan malam.  Tapi, selera dia sedikit tertahan bila teringatkan kata-kata Taqim tadi.  Macam mana pun, kakak kena bayar kos baiki motor.  Berapa?  Tak tahu lagi.  Kalau kakak guna dua ratus yang disediakan untuk modal berniaga nanti, apa yang kakak tinggal? 
Rasa nak mintak esok jugak duit gaji.  Tapi, masih berbaki lebih seminggu. 
“Saman Wan tu, nanti Wan bayar sendiri.  Ya kak?”
“Toksahlah, Wan.  Biar kakak bayar.  Tahulah kakak buat magik nanti.  Wan jangan riasu,” larang Sirat berseloroh.
Wan senyum tawar.  “Nanti dapat gaji, Wan ganti…”
“Pun tak payah.  Kakak usahakan nanti.  Kakak nak kau simpan duit tu untuk masuk universiti.  Dapat offer nanti, kakak risau kakak betul-betul tak ada duit nak bantu Wan.  Masa itu, barulah Wan guna, ya?” 
Tidak dapat tidak, Wan akur lagi.  Tiada pilihan.  Biarpun nada dan suara kakak lembut mendayu, ketegasannya ketara.  Hanya yang kenal kakak saja yang tahu. 
“Apapun, sedap sambal telur kakak.  Lepas dapat gaji ni, Wan berhenti kerjalah.  Kerja dengan kakak.  Boleh terawih malam.  Rehat-rehat.  Tak payahlah kerja shift…”
“Keputusan  yang terbaik…”  Ibu jari Sirat naik. 
Dua beradik itu ketawa.  Hinggakan menarik minat mak untuk mengintai.  Syukurlah.  Biarpun rezeki dalam kebendaan dan wang ringgit sekadar adanya, tapi rezeki dua orang anak yang begitu tabah dan taat adalah sesuatu yang tak ternilai.  Tapi, mak tahu… beban yang tergalas atas bahu anak gadisnya, kian memberat dan dia juga tahu, Sirat sedang sembunyikan sesuatu.
Cuma, mak tak nak mendesak.  Tiba masa, Sirat sendiri akan buka cerita. 



 SEBAIK saja dia hantar motor ke bengkel, Taqim mengajak Fiqri ke balai polis.  Dahi Fiqri berkerut tapi diturutkan saja.  Inilah kawan sehidup semati.  Dia masih tinggal dengan keluarga tapi Taqim, dah lama bawak diri.  Lari jauh daripada keluarga.  Lari jauh daripada segalanya dan dalam tempoh itu juga, Taqim kian berubah.
Tiada lagi Taqim yang sopan penyayang.
Yang tinggal hanyalah Taqim yang begitu baran.
Yang perengus. 
Yang tak pedulikan sesiapa. 
“Kau nak buat apa dekat balai?  Tak selesai lagi ke?” 
“Adalah sikit…”  jawab Taqim malas. 
Fiqri tenang memandu.  Malas nak berbahas.  Setibanya di balai polis Gombak, Taqim meminta dia tunggu di dalam kereta dan lelaki itu melangkah tenang masuk ke balai. 
Entah apa urusannya, tapi dia nampak Taqim menuju ke pejabat trafik.  Bila lelaki itu kembali, Fiqri kerling kawannya lama.
“Kau buat apa dekat pejabat trafik?” 
“Bayar saman aku…”
“Saman yang bila?”  Dahi Fiqri berkerut. 
“Adalah.  Aku pun baru tahu masa aku check MyEG semalam.”
“Banyak ke?” 
“Satu aje…”  Tali keledar dipasang kemas.  “Kau nak interview aku ke atau nak pergi makan ni?”  herdik Taqim pada Fiqri.
Macam-macam soalan ditanya.  Sejak semalam.  Mana kau pergi?  Kenapa dalam kereta aku ada bau ikan, bau ayam, bau sotong, bau udang?  Patutnya dia sembur minyak wangi satu botol. 
“Yalah.  Aku gerak… nak makan dekat mana?” 
“Mana-mana ajelah.  Aku dah kebulur sangat ni…” 
“Eh, Qim…”
“Apa lagi, Fiq?”  soal Taqim dalam sopan yang dibuat-buat.
Fiqri gelak kecil.  Stereng dipaut ke kiri, meneruskan perjalanan. 
“Aku nak tanya sikit ni…” 
Suasana dalam kereta sepi seketika.  Taqim diam memberi ruang Fiqri bersuara.  Macam ada benda penting aje nak tanya. 
“Kau semalam pergi hantar dia ke?” 
“Dia?  Siapa?”  Taqim tayang wajah suci.
“Buat-buat tak tahu pulak…”  sindir Fiqri. 
Taqim gelak tiba-tiba.  “Sirat la nama dia…” 
“Tu dia, Qim… sebut nama pun dah penuh kasih sayang…”
“Eh, diamlah kau!”  Taqim hampir tumbuk bahu Fiqri tapi pantas Fiqri menahan.  Taqim ni jangan dibuat main.  Muay Thai yang dia pernah belajar tu, bukan calang-calang. 
“Tapi, betul ke Qim kau nak dia bayar kos baiki motor kau?  Aku rasa tak payahlah, Qim.  Kalau kau nak, aku boleh bayarkan bagi pihak dia.  Kesian weh, aku tengok…”  Riak Fiqri serius.
Dia masih tak boleh lupa lagi riak wajah Sirat dua hari lepas.  Fuh.  Rasa nak menangis. 
“Dia kena bayar.  Dah dia janji.  Lagipun, memang salah adik dia…”
“Betullah.  Tapi, aku berani kerat jari, dia memang tak mampu…” 
“Kita tengok.  Dia bayar atau kau kena kerat jari..”  Senyuman sinis Taqim tajam.  Dia pandang skrin telefon.  Nombor telefon milik gadis itu, dia tak simpan lagi.  Tapi, perlu ke untuk dia simpan? 



BINGUNG.  Itu yang Sirat rasakan sekarang.  Siapa yang tolong dia bayar saman Wan.  Tadi, jenuh dia cari surat saman tapi entah ke mana perginya.  Gamaknya jatuh masa dia seluk poket dekat mini market dua hari sudah.  Bila dia mintak pegawai trafik itu semak dalam sistem dengan nombor kad pengenalan Wan, nampaknya semua dah selesai.  Aneh.  Rasa pelik tentang barang dapur itu pun belum reda lagi, ditambah pulak dengan saman. 
Dan, lelaki itu tak telefon pun lagi.  Macam mana dia nak bayar ni.  Dia mana tahu nombor telefon Taqim.  Hari tu tak sabar sangat, ini dia dah sedia nak bagi mana ada dulu.  Kerana itu jugak, terpaksalah dia sambung kerja dengan Kak Siti untuk dua tiga hari ni demi mencari modal berniaga. 
Biarpun kena maki dek Kak Siti, dia tak kisah.  Janji Kak Siti izinkan.  Kak Siti tu, mulut aje bising, tapi peluang untuk dia sentiasa ada.  Kata Wan, Kak Siti ambik kesempatan.  Biarlah.  Janji dia dapat sedikit duit. 
Lemah.  Sirat berlalu keluar daripada balai.  Menanti bas Rapid dan terus saja menuju ke Sri Gombak.  Kedai Kak Siti dekat situ.  Turun saja daripada bas, Sirat laju masuk ke dalam kedai.  Dan, wajah Kak Siti muram.
“Kau kata kejap aje, Sirat?”  Memanglah Sirat ada cakap nak keluar pergi balai selesaikan urusan saman Wan, tapi lama betul. 
“Kau pergi bayar saman ke, kau pergi sengaja nak kena saman?”  sindir Kak Siti bengis. 
“Maaf, Kak Siti.  Bas lambat tadi…”  jawab Sirat jujur.  
“Iyalah tu.  Dah, alang-alang ni, pergi buat air sana.  Itu, customer baru masuk.  Pergi layan…” 
“Iyalah…”  Apron dicapai.  Dia terus berlalu ke meja.  Berniaga daripada pagi, tengah hari malah sampai ke malam, siapalah dapat tahan.  Tapi dia, perlu bertahan lagi sehari dua. 
“Nak minum air apa, bang?” 
“Nak nescafe ais…”  jawab Fiqri. 
Taqim mendongak dan sebaik saja dia memandang wajah kuning langsat itu, bibirnya lebar dengan senyum.
“Oh… dua hari lepas bukan main bengis kau, ya?  Hari ni kau panggil aku abang?” 
Dahi Sirat berlapis kerutan.  Dah kenapa dekat sini pulak dia bertemu dengan lelaki bengis ni?!  Kalau dia tahu ini Taqim, dia tak hadap nak panggil abang. 
“Eloklah kau panggil aku abang.  Aku rasa dihormati sikit…” 
“Saya tak akan hormat pada orang yang tak reti nak hormat pada orang lain,” balas Sirat perlahan. 
Taqim tongkat dagu.  Melangut pada Sirat yang masih menanti pesanan daripada dia. 
“Kau tanya aku lagi sekali.  Boleh?”
“Kan saya dah tanya…”  Suara Sirat berubah dalam. 
“Tanyalah lagi sekali.” 
“Nak minum air apa?”  soalnya dengan muka jengkel. 
“Tak cukup perkataan tu…”
“Nak minum air apa…” Sirat jeda.  Tarik nafas dalam.  Kak Siti mengerling tak sudah-sudah.  “Nak minum air apa… bang?” 
“Hurmm… merdu sungguh aku dengar kau tanya aku macam tu.  Rasa macam… err…”  Sengaja Taqim hentikan bicara di situ apatah lagi melihat dahi licin itu terentang kerutan. 
“Cepat sikit, ya sayang.  Abang dahagaaaaa sangat…”  tambah Taqim dengan senyuman senget yang kian menghiris pandangan Sirat. 
“Okey.  Kejap, ya?”  Sirat malas nak layan.  Baru tadi teringat, dah muncul wajah menyakitkan hati ni.  Dia terus berlalu ke belakang.  Membancuh air.  Sebaik saja dia keluar dengan air yang dipesan, Taqim masih memandang.
“Kalau nak makan, layan diri, ya?”  ujar Sirat. 
Tapi, tak sempat dia berlalu… suara Taqim kuat memanggil Kak Siti. 
“Kak, kalau saya tak nak layan diri, nak dilayan… boleh ke?” 
“Eh, boleh.  Nak makan apa?  Akak ambikkan…”  pelawa Kak Siti tapi Taqim menggeleng dengan bibir  yang terjuih pada Sirat yang berdiri tidak jauh daripada mereka. 
“Biarlah pekerja akak ambikkan.  Kakak tauke, dok relaks-relaks aje…”  ujar Taqim sambil mata terus merenung pada Sirat.  Tajam! 
“Hah, Sirat… cepat-cepat.  Biar akak ambik order air orang lain…”  Kak Siti berlalu dan Sirat juga rapat pada meja makanan. 
Tak pernah-pernah lagi ada orang gila macam ni!  Ini pertama kalinya.  Dah dikata, makan tengah di sini layan diri, apa yang susahnya.  Nak makan apa, nak ceduk sebanyak mana, silakan.  Janji bayar. 
“Membebel apa sorang-sorang?”  soal Taqim separuh berbisik. 
Sirat menjauh.  Entah bila Taqim ada di belakang dia.  Rasa nak aje dia tempek nasik panas ni ke wajah Taqim.  Biar padan muka! 
“Aku tak makan seafood…”  ujar Taqim bila dia lihat Sirat nak letak seekor udang galah dalam pinggannya. 
“Saya mana tahu awak tak makan apa?  Sebab tu, kedai ni suruh layan diri.  Nak makan apa, banyak mana… ikut suka.  Nah!”  Sirat tolak pinggan nasik itu ke dada Taqim. 
“Ambik sendiri!”  Sirat nak berlalu tapi Taqim lebih pantas melelar lengan gadis itu. 
“Kau bubuh.  Aku cakap apa aku nak…”  pinta Taqim perlahan namun suara yang menderam dalam halkum itu, benar-benar menghantar maksud apa yang dikata.
Pinggan bertukar tangan.  Sirat diam menanti arahan dengan nafas yang beralun resah menahan geram dan marah. 
“Aku nak telur goreng sambal tu…”  Teringat akan cerita Wan dua hari sudah.  Mereka hanya makan malam dengan lauk telur sambal. 
“Kau masak ni, kan?” 
Sirat tak menjawab.  Memanglah dia masak.  Tapi, malas nak mengaku.  Nanti, Taqim tuduh dia letak racun pulak. 
“Lagi, nak apa?” 
“Itu aje…”  Taqim capai pinggan daripada tangan Sirat dan terus berlalu ke tempat duduk di mana Fiqri sejak tadi memerhati sambil melahap makan tengah hari. 
Sirat berlalu ke dapur.  Airmata dia jatuh lagi.  Rasa bagai tiada harga bila Taqim mengambil kesempatan begitu terhadap dia.  Dia dah cukup letih, tahu tak!  Sejak pagi lagi dia bertungkus-lumus seorang bila seorang lagi pekerja Kak Siti, tak datang. 
Penat sangat!  Allah ajelah yang tahu. 
Kak Siti muncul tiba-tiba.  “Customer tadi nak kau bungkus lauk untuk dia…” 
“Kenapa dia tak ambik sendiri aje…”
“Eh, manalah aku tahu.  Dah, pergi cepat…”  arah Kak Siti tegas.
Tiada pilihan, Sirat keluar lagi.  Memandang wajah Taqim, adalah sesuatu yang tak berdaya dia tahan.  Dia tak mahu, kemarahan bertukar menjadi satu kebencian.  Dia tak nak membenci. 
Tapi, kenapa Taqim tak ambik lauk lain.  Kenapa sambal telur jugak dipilihnya? 
“Kalau aku masuk hospital sebab  makan telur sambal kau ni, kau akan bertanggungjawab, Siratul!”  ugut Mustaqim berbisik. 
Sirat kerut kening.  Mengetap bibir.  Dah kau risau sangat, buat apa kau ambik?!  Nak aje dia muntahkan soalan itu pada Mustaqim. 
“Habis kerja pukul berapa?” 
“Hah?”  Terkejut juga Sirat mendengar soalan itu. 
“Pekak?  Tak dengar soalan?”  sinis Taqim tajam.
“Hari ni, tengah malam.  Sebab tak ada orang…”
“Eh, kau ni daripada siang sampai tengah malam.  Dah jadi kuli batak ke apa?”
“Ya, memang saya kuli batak.  Sebab nak bayar ganti-rugi dekat orang.  Saya akan buat apa saja supaya saya tak berhutang dengan orang tu biarpun satu sen!”  jawab Sirat marah. 
Senyuman sinis Taqim lebar.  “Kalau gitu, aku tunggu kau habis kerja malam nanti.  Kau jangan lari pulak.  Aku nak duit aku sebab aku dah hantar motor aku masuk bengkel.  Kalau aku datang, kau lari… aku akan report kau dan adik kau… langgar lari aku!”  Kata-kata Taqim kali ini, jelas bernada ugutan.

Sirat gamam.  

...bersambung

22 comments:

  1. Geram pulak dekat si Taqim ni...Tak sabar nk tggu sambungan...tiap hari tunggu..hihihi

    ReplyDelete
  2. Hai makin tertunggu kisah dia org berdua ni...best

    ReplyDelete
  3. Ntah ape2 si mustaqim ni. Xabih2 cari pasal. Rasanya nk kena hempuk dgn sirat ni

    ReplyDelete
  4. Aihla taqom ni..jgn keras sgt dgn sirat tu..
    Kang sirat jd benci...jenuh...

    ReplyDelete
  5. Saja je si taqim ni
    Xde modal lain nk ganggu si sirat dia gi menempel pulak kt warung
    Dlm hati dh ada taman ke taqim

    ReplyDelete
  6. Kenapa Taqim ni?? Nak mengorat tapi kasar betul...kesian Sirat

    ReplyDelete
  7. Ape niat c taqim ni yak..sj nk mendera ke ape???

    ReplyDelete
  8. Aduh....ganas sungguh taqim layan sirat ni...tp dlm hati ade cameron highland ye taqim...

    ReplyDelete
  9. Taqim klu dh suka....kata suka, toksah lah buat laguu tu....kesian kt sirat

    ReplyDelete
  10. Taqim ni emonya...sat ok, sat tak ok, apalah masalah dia gamaknya...sian kat Sirat, bertabahlah Sirat...

    MardhiyaAHmad

    ReplyDelete
  11. Adoi Taqim....dlm hati dah ada taman....buang2 jauh ego tu

    ReplyDelete
  12. Taqim pon ada kisah dukanya.. Dan mungkin Sirat yang akan kembalikan Taqim yang dulu. Yang sopan, yang penyayang..

    -widad amsyar-

    ReplyDelete
  13. Aduhai taqim oiiii...
    Jangan lah kejam Sgt...

    ReplyDelete
  14. aduhai mustaqim ni .. gaya macam suka tapi sengaja nk niaya siratul .. sabar lah

    ReplyDelete
  15. Kasar sngt tuh taqim....cian sirah

    ReplyDelete
  16. Iye la Taqim...tak kan dapat sembunyi perasaan dr Fiqri

    ReplyDelete
  17. Kesian sirat kena layan di taqim tu.

    ReplyDelete
  18. Sabo je la taqim ni.. apalah yg geram sgt dgn sirat tu..🤔 apa salahnya sirat jd gadis yg tabah? Dh la dia anak sulung, mestila dia akan usaha sendiri utk sara keluarga.. tu gaya org ada harga diri, biar susah asalkn dpt rezeki atas usaha sendiri. Aritu sirat dh merayu minta tlg settle kes kat luar polis, supaya adik dia Xkna saman, tp taqim pulak buat berlagak hina wan..Xdenye la sirat nk merayu lg.. klu kesian dh bertukar jd suka, layanla sirat baik sket..risau pulak apa jd mlm nti tu.. 😯🤔 tqvm again RM for the special update on sunday 😊🤗😍😆💐🌷🌹

    ReplyDelete
  19. Alah taqim... Mengada sungguh.. Acah2 garang je tu... Tpi sebenarnya dalam hati ada kebun bunga

    ReplyDelete
  20. Amboi taqim, pndai amik kesempatan

    ReplyDelete
  21. nak hantar blk la tu Thaqim ni..tu yg sengaja ugut..kan2..hati dh mula jatuh sayang la tu kat Sirat..

    ReplyDelete