Monday, June 05, 2017

Usah Kau Tangiskan 7

WAJAH Wan akhirnya muncul.  Nampak peluh kecik merenik atas dahi.  Taqim sengih.  Tak rasa nak mengamuk seperti biasa bila tengok Wan tunda motor itu masuk ke bengkel Rodi. 
“Susah ke carik kedai ni?”
“Agak susah jugaklah…”  Wan lepas lelah sebaik saja dia tongkat motor.  Fuh… dahaga sungguh. 
“Kau lambat, kenapa?  Dah dekat satu jam aku tunggu.”
“Biasalah, abang.  Motor saya ni, bukan boleh bawak laju…”
“Kau berani ya bawak motor tak ada lesen ni…”  soal Taqim mengingatkan.

Wan sengih.  “Saya lagi sanggup kena saman, daripada kena marah dek abang…” 
“Ceh!”  Taqim mencebek.  Adik dengan kakak, sama aje.  Pandai aje menjawab.  Panjang betul akal korang dua beradik. 
“Kau pergilah balik.  Nanti, bila dah siap… aku bagitahu.  Haa… kau jangan risau.  Aku tak juallah motor kau ni.  Ada aje dekat sini.  Ini bengkel kawan aku.”  Laju Taqim bersuara bila tengok riak wajah risau Wan.
“Err… saya tak risau pasal abang tapi risau pasal kakak dengan mak saya.  Kalau diorang tanya…” 
Taqim paut bahu Wan.  Nak berbisik.  Nanti, Rodi dengar karang… sia-sia aje hidup dia yang lone ranger ni. 
“Dekat mak kau, kau cakap betul.  Tak baik tipu mak.  Tapi, dekat kakak kau, jangan cakap.  Pandai-pandailah kau.  Kau mintaklah mak kau rahsiakan sekali.”
“Eh, bang… jangan.  Abang tak tahu kalau kakak marah, macam mana…”  Wan tunjuk wajah kecut. 
“Kalau masa tu, dia marah… kau cakaplah dekat aku.”
Pulak?  Dahi Wan berlapis kerutan.  Taqim tak kenal kakak macam mana.  Tapi, ada orang dah sudi bantu dia repair motor, apa salahnya, kan?  Niat baik orang, kenapa nak sekat? 
“Err… yalah.”  Sudahnya, Wan akur. 
“Lagi satu bang…”  Wan dekati motor EX5nya.  Plastik yang berisi sebuah mangkuk tingkat dicapai. 
“Untuk abang…”
“Apa ni?”  Wajah Taqim yang tadinya keruh, kian jernih. 
“Saya cakap abang nak jumpa saya, nak bagi bil motor.  Kakak suruh saya bagi ni…”  Wan juga terpaksa tahan diri daripada terus mengusik Taqim.  Karang, ada yang kena luku.
“Kakak kata, makan bunga… dosa.  Makan nasik dengan kuih keria dia buat ni, kenyang.  Abang pilihlah nak mana satu…”  usul Wan lagi.
“Kalau abang nak pilih kakak saya pun, boleh…”  Tak mampu bertahan, tawa Wan terhambur akhirnya. 
Taqim jegilkan mata tapi tak lama, dia juga tersengih tipis.  Menggaru kepala tak gatal.  Aiseh.  Tadi tak lapar.  Kenapa sekarang berkeroncong lain macam. 
“Sengih sikit-sikit aje, bang.  Lebar sangat tu,” tegur Wan.
“Eh kau ni!”  Laju Taqim tumbuk bahu Wan sampaikan wajah itu menyeringai.  “Kau mainkan aku lagi, ya?” 
“Gurau pun tak boleh.”  Wan tarik muka.
“Tak boleh.  Aku bukan kawan kau, kau nak bergurau… kau bergurau dengan orang lapar, memang carik balas, tahu tak?”
Kata-kata Taqim kesat namun senyuman pada raut wajah tampan itu, Wan tahu… Taqim tak marah seperti kali pertama dia temui lelaki ini beberapa hari sudah.
“Bang, saya nak balik dah ni.  Bagilah saya bil abang.  Nanti kakak tanya pulak…”  minta Wan mengingatkan.  Karang balik tanpa bil tu, dia yang kena pulak.
“Oh, bil ya?” 
“Bila apa, dik.  Free aje…”  sampuk Rodi tiba-tiba.
“Eh, kau ni, Di… pasang telinga?”  tegur Taqim.
Rodi sambut marah Taqim dengan tawa.  Dia hampir dua orang lelaki itu.  Motor EX5 itu ditilik. 
“Nak tukar jadi baru ke, bos?”  Kening Rodi terjongket.
“Macam biasa…”  Sengih Taqim tajam.
Rodi kenyit mata.  Dia tunda motor itu ke dalam. 
“Eh, Qim… Kuca pesan kalau lambat, dia tunda appointment kau minggu depan.  Esok Jumaat, dia nak cuti bawak bini dia pergi hospital.  Lagipun, Sabtu Ramadan dah.” 
“Oh yalah… aku lupa…”  Taqim tepuk dahi.  Makin membebellah Kuca dibuatnya. 
“Tapi, Qim… Kuca tanya aku, jadi aku pun nak tanya kau ni…”  ROdi rendahkan suara.  Riaknya berubah serius.  Takut jugak Taqim marah.
“Tahun ni, kau puasa dan raya sendiri lagi ke?”  Perlahan soalan itu Rodi luahkan.  Bimbang luka di hati Taqim kian besar koyaknya.
“Nampaknya…”  jawab Taqim sambil menceberkan bibir.  Dia terus berlalu ke motorsikalnya.  Bahu Wan ditepuk. 
“Aku nak jumpa kawan aku kejap.  Nanti, Abang Rodi tu call kau…”  Helmet disarung setelah dia ikat mangkut tingkat di tempat duduk belakang. 
Enjin menderum garang. Perlahan-lahan, Taqim tinggalkan bengkel Rodi.  Tak sabar nak makan makanan yang ada di belakang. 



BILA Wan balik dengan bas, dia tertanya sendiri.  Mana Wan tinggal motor?  Pelik ni.  Sirat dekati adiknya yang sedang membersihkan longkang di luar pagar. 
“Wan?”
“Ya, kak…”  sahut Wan biarpun mata masih menolak sampah yang tersangkut.  Nanti, kalau hujan lebat boleh banjir kilat. 
“Kakak nak tanya ni…”
“Tanyalah…” 
Sirat kembali diam.  Wan angkat wajah.  Tak jadi nak teruskan kerja.  Dia pandang kakak yang ada dalam pagar yang tak tertutup rapat. 
“Wan keluar dengan motor tapi balik jalan kaki.  Wan naik bas?”
“Ya, kak.  Kenapa?” 
“Motor kau mana?”  Sirat hantar pandangan penuh syakwasangka pada adiknya.  Nampak sangat Wan sedang sembunyikan sesuatu. 
“Err… hantar repair, kak.”  Sengih Wan nampak janggal.
“Repair?  Mana ada duit nak bayar?”
“Kan Wan dapat gaji lagi sehari dua.  Wan pergi ambiklah…”  Fuh… nasib ada jawapan. 
“Kan kakak dah cakap, jangan usik gaji tu.  Simpan.  Lagipun, motor tu rosak terus jugak.  Berapa kena nanti?  Kakak risau tak cukup aje.  Tersadai nanti motor tu.  Tak berniaga kita nanti…”  Sirat tak puas hati. 
“Cukuplah, kak.  Kedai tu kata dia bagi diskaun…”
“Diskaun?  Semudah itu?”  Huh, susah nak percaya pada kebaikan tanpa syarat manusia sekarang ni. 
Tengok Taqim ajelah.  Itu ini diarahnya. 
“Wan… Wan… kenapalah tak bincang dengan kakak dulu…” 
Wan tolak pagar.  Mendapatkan kakak yang duduk di atas bangku plastic.  Dia juga turut sama duduk. 
“Kalau tak repair, lagi susah kita, kak.  Wan nak bawak motor tu sorang pun, takut.  Ini nak punggah barang lagi.  Bawak kakak lagi…”  jawab Wan sopan.
Lama Sirat diam.  Memikir.  Ada benarnya juga kata Wan.  Itulah yang sebaiknya.  Rasanya, lepas raya andai ada rezeki lebih dia nak suruh Wan ambik lesenlah.  Setidak-tidaknya, apa jadi… tidaklah mati katak. 
“Iyalah.  Tapi, kali ni aje tau.  Lain kali bincang dengan kakak dulu.  Bukan kakak nak kawal semua keputusan Wan tapi kita kena fikir yang terbaik.  Kakak bukan ada banyak duit.  Mak dahlah tak sihat.  Wan pun kena fikir yang mana penting dulu, ya?”  Tangan Safwan ditepuk perlahan. 
“Kakak masuk dululah.  Tadi, mak lena.  Nak kejutlah.  Nak petang hari ni…” Tubuh diangkat.  Tapi, baru nak masuk ke rumah, Sirat menoleh.
Safwan yang baru saya mahu hela nafas lega, kembali berdiri tegak.  “Kenapa, kak?” 
“Mangkuk tingkat nanti, jangan lupa ambik…”  pesan Sirat.  Malas dia nak sebut nama lelaki tu.  Membazir air liur  ajelah. 
“Iyalah…”  Wan simpan senyum. 
Gamaknya, kakak pun dah jadi macam Abang Taqim tak?  Entahlah…



MATA kuyu Kuca terus pandang mata kawannya di depan.  Kenal secara tak sengaja bila Taqim datang baiki kereta dekat bengkel Rodi dulu dan sejak itu mereka kekal menjadi kawan baik sampai sekarang. 
“Sungguhlah, Qim…”
“Hah?  Apa yang sungguh?” 
Kuca senyum tawar.  “Aku pandang kau, aku nampak aku yang dulu…” 
“Maksud kau?”  Wajah manis Taqim tadi, berubah kelat.  Dia seperti tahu apa yang mahu Kuca katakan. 
“Dah lama sangat, Qim…”
“Ca…”  Tangan Taqim naik menahan Rodi daripada terus bersuara.  Jangan disambung biarpun sepatah kata.  Dia akan betul-betul marah. 
Hati dia baru nak rasa lapang ni. 
“Aku tahu kau nak cakap apa.  Tapi, aku harap kalau kau sayangkan persabahatan kita, jangan ungkit perkara tu depan aku.  Aku dah lupa…”
“Kalau lupa, kau tak macam ni, Qim… kau tak pernah lupa!” 
“Habis tu, kau nak aku betul-betul lupa apa yang dah berlaku dekat aku?  Kau tahu tak susahnya aku nak survive selama ni…”
“Tapi, kau berjaya.  Mana kau tau berkat doa orang yang kau marah tu, kau boleh berjaya?  Anak muda seusia kau tak bergantung harap pada harta keluarga.  Kau bina hidup sendiri.  Kerjaya sendiri,” tegur Kuca sedikit keras. 
Ya, dia faham.  Hati yang merajuk, sukar nak dipujuk.  Tapi, melihat Taqim yang nampak begitu kesunyian setiap kali, hati seorang sahabat rasa terpanggil untuk memujuk. 
“Esok lusa dah Ramadan, Qim.  Tak boleh ke kau pujuk hati kau.  Bulan baik, kita mulakan dengan sesuatu yang baik…”  nasihat Kuca lembut.  Bila dia cuba pegang tangan Taqim, lelaki itu membentak. 
Lama Taqim dia merenung Kuca bagai nak ditelan. 
“Kalau kau suruh aku datang sebagai kawan, aku tak kisah.  Nak bincang tentang bisnes atau apa saja, aku tak kisah.  Tapi, kalau hal ni, Ca… aku…”  Taqim geleng.  Dia dah sedia nak bangkit bila daun pintu ditolak daripada luar.
Kuca senyum.  “Maaf, Qim… aku tak ada niat nak rosakkan hubungan kita.  Anggap ajelah ni rezeki kau…”  Langsung dia bangkit dan menuju ke pintu, menyambut tetamu.
Demi mendengarkan bicara Kuca, Taqim berdebar sendiri.  Matanya mula terasa suam.  Tak berani dia nak menoleh apatah lagi mendengar suara itu menyapa Kuca.  Dia cam suara yang pernah menghalau dia pergi kerana perkara yang dia tak lakukan.  Kerana kepercayaan  yang pudar yang kabur dengan fitnah. 
“Sila, Dato’… ini kontraktor muda yang saya cakap dekat Dato’ sangat berkaliber tu…”  Kuca dekati kerusi Taqim.  Menarik Taqim bangkit. 
Saat ini, tubuh Taqim begitu lemah.  Diikut saja kehendak Kuca dan sebaik saja dia menoleh, menatap wajah tua dan badan yang sedikit gempal itu… airmata jantannya jatuh ke pipi. 
“Mustaqim?”  Dato’ Mustapha nampak terkejut. 
“Maaf, Dato’… saya tidaklah sehebat yang Tengku Cairel katakan.  Saya masih hijau dan tak layak nak uruskan projek Dato’.  Eloknya, Dato’ cariklah orang yang Dato’ percaya…”  Serentak itu, Taqim terus berlalu, membimbit bekas yang Sirat kirim. 
Berlalu melepasi bahu lelaki yang pernah dia panggil daddy dulu dan suara lelaki itu jugaklah  yang tak mahu lagi mengaku dia sebagai anak.  Bukan dia yang buang daddy, tapi daddy yang campak dia jauh ke sudut yang begitu sukar untuk dia terima namun, apa daya yang dia ada, melainkan terus berusaha. 
“Qim!”  panggil Dato’ Mustapha. 
“Taqim?”  jeritnya lagi.

“Mustaqim!”  Saat ini, Dato’ Mustapha mencengkam dadanya.  Sakit itu menyengat tiba-tiba.  Airmata tuanya jatuh ke pipi.

...bersambung

28 comments:

  1. Allahu... Kesian Taqim. Ni mesti kes si Melisa giler tu..

    ReplyDelete
  2. Apa sebenarnya yg jadi dulu?
    Sampai keras sgt hati Taqim ni...
    suspen...

    ReplyDelete
  3. OHH....APAKAH KISAH YG TERJADI YE? SIANNN TAQIM. HUHUH

    ReplyDelete
  4. Merajuk panjang taqim.. Aduhai.. Air dicincang xkn putus, kecuali air batu..

    ReplyDelete
  5. Huk huk rehan... awat nak nangis ni.... sabar taqim... gi makan bekal kasih sayang sirat tu

    ReplyDelete
  6. Ape sebabnye ek..

    ReplyDelete
  7. Allahu...apa dah jd Sebenarnya.... Ni....

    ReplyDelete
  8. Mesti si betina Xtau malu tu yg buat fitnah smpai daddy taqim buang dia! Dato' tak cuba siasat ke hal tu sblm halau taqim dulu ye..🤔 tqvm RM for the double update 🌹🌷

    ReplyDelete
  9. Tulisan RM ada lenggok bahasa yg trsendiri...

    Taqim ni ada dendam dgn family sendiri sbb di tuduh & di halau kluar dari keluarga...sekeras2 hati dia..masih ada kelembutan di ceruk hati nya itu...

    ReplyDelete
  10. Mesti lepas ni taqim pujuk hati dia dgn mkn bekalan yg sirat kirim

    ReplyDelete
  11. Allahhh .. beratnya bila dituduh atas perkara yg kita x buat .. perit nak telan tambah pulak mak ayah x percaya .. sian taqim

    ReplyDelete
  12. Ape ek kisah silam taqim...
    Wah...ade kuca...suke2

    ReplyDelete
  13. Taqim..jangan la macam ni, kuca nak tolong tu kan

    ReplyDelete
  14. Comel je part taqim bimbit belas mknn sirat..dpt sya byg kan..hehe

    ReplyDelete
  15. Apa si Melisa fitnah si Taqim tu....sampai kena buang family
    ....

    ReplyDelete
  16. Ada kuca dan rodi...watak hero dan kawan hero dlm sanggupkah kau bersabar sayang..sedih sungguh kisah hiduo taqim...bersabar ye taqim..nnti sirat ubatkan

    ReplyDelete
  17. Cian taqim. Ni mesti keje melissa gila tu

    ReplyDelete
  18. Allahu... Kuatlah wahai taqim

    ReplyDelete
  19. Mak tiri Taqim tu Melissa ke? Tabah lah Taqim😢

    ReplyDelete
  20. Aduhai konflik gan bapak pulak

    ReplyDelete
  21. Siangnya thaqim..daddy on mesti rindu Ngan di anak..

    ReplyDelete
  22. Adoi..sedih..rehan dn sedih berpisah tiada..

    ReplyDelete
  23. Huhuhu... Rehab tiba 2 bust kits sedih..

    ReplyDelete
  24. apa kisah lalu taqim ni...
    Btol2 rasa nk tau

    ReplyDelete
  25. Apa si Melisa fitnah si Taqim tu....sampai kena buang family
    ....

    ReplyDelete